Chapter 24 - Bab 24

"Tak mengapa." Chu Qiao berkata sambil tersenyum ringan, "Saya akan menjadi lebih baik lepas saya berehat."

"Oh." Huan Er mengangguk dan lantas beredar dari bilik tidur Chu Qiao. Setelah pintu bilik rapat tertutup, raut wajah anak gadis ini serta-merta bertukar dan lantas dia berfikir sendirian, skandal sebesar itu pun tak boleh nak hapuskan Zhu Shun? Baiklah, aku akan hapuskan dia dengan tangan aku sendiri kalau macam tu.

Chu Qiao mengetap giginya perlahan sambil terduduk di atas kerusi. Nampaknya anak gadis kecil ini sudah mempunyai rancangan yang baharu sekarang.

Pagar di halaman rumah ketua pengawal Zhu Shun terkunci rapi, namun teriakan kesakitan daripada seorang lelaki yang bagaikan bunyi khinzir akan disembelih itu kedengaran kuat datang dari dalam kawasan rumahnya. Kepala hamba-hamba yang melintasi laluan depan rumah Zhu Shun itu semuanya tertunduk akibat terlalu takut untuk melihat apa yang sedang diperlakukan kepada ketua pengawal tersebut, namun raut wajah mereka yang jelas terpancar dengan keterujaan itu tidak boleh disembunyikan lagi - melihat Zhu Shun yang akhirnya akan menerima hukuman sepertimana dia telah menghukum hamba-hamba ini sesuka hati sememangnya lebih menggembirakan hati mereka daripada gaji yang mereka akan dapat pada hujung tahun.

Zhu Shun terbaring di atas katil tanpa seutas benang di badannya sambil berteriak dan terlolong, tanpa henti mengherdik hamba-hamba yang sedang menyapu ubat ke badannya, seolah-olah mereka yang telah menyebabkan kesengsaraan yang dirasakan Zhu Shun itu. "Tak guna! Kau nak seksa aku sampai mati ke?"

Dengan muka yang lencun dengan peluh, salah seorang daripada hamba yang sedang menolongnya itu membalas dengan waspada, "Pengawal Zhu, awak kena tahan kesakitan ini sebab kulit awak sudah melekat pada seluar awak, jadi kami kena menyiat seluar awak daripada kulit awak!"

Bahagian timur bilik itu menghadap sungai dengan beberapa rumpun pokok renek yang berdaun jarang tumbuh menghijau di sekeliling kawasan itu. Tanpa disangka, sebuah pisau belati tiba-tiba muncul pada tingkap rumah itu dan dengan pantas memotong sekitar bingkai tingkap, dan Chu Qiao lantas menyiku penyelak di tingkap dengan senyap sementara Zhu Shun yang sedang terpekik kesakitan. Anak gadis itu berdiri dengan perlahan sambil memegang busur silang mampu lipat yang dibuat dengan tangannya sendiri, dan menyasarkan busur itu ke arah kepala Zhu Shun. Busur silang yang dibuat sendiri oleh Chu Qiao itu berasal dari satu puak hutan tempatan di Afrika Selatan, dengan corak di busur yang sangat rumit. Bahagian-bahagian di busur itu juga boleh ditanggalkan dan dilipat, ia juga mempunyai keupayaan untuk melepaskan panahan dalam jarak dekat dengan senyap dan juga sangat tepat.

Menggunakan busur silang ini, Chu Qiao pernah menyelinap masuk ke dalam salah sebuah parti sulit yang sangat terkawal dengan pengawal peribadi, lantas menghapuskan sasarannya dengan senang dalam salah sebuah misi sulit yang ditugaskan kepadanya di luar negara. Ia sangat mudah untuk dibawa ke mana sahaja namun pada masa yang sama ia juga sangat berbahaya, di mana seorang pemburu handal boleh membunuh seekor harimau dalam sekelip mata dengan menggunakannya. Dalam era tanpa senjata api, senjata ini merupakan senjata yang terbaik untuk menghapuskan pembunuh upahan, seolah-olah ia telah direka khas demi tujuan ini. Zhu Shun sepatutnya berasa bangga kerana dia akan menjadi orang pertama untuk mati disebabkan senjata berkuasa yang telah dibawa dari masa hadapan ini.

Pada masa yang sama, seorang jejaka bergegas masuk ke dalam bilik Zhu Shun dengan tergesa-gesa, sambil berteriak, "Ketua pengawal Zhu, ketua pengawal Zhu!"

"Kenapa kau menangis?" Zhu Shun bertanya dengan pekikan yang kasar, "Kau ingat ini pengebumian aku ke? Aku belum mati lagi!"

Hamba tersebut terus memberitahu dengan tergopoh-gapah, "Ketua pengawal Zhu, Tuan, orang-orang suruhan dari perkarangan istana lagi satu sudah datang. Tuan Besar Kedua hantar seseorang ke mari untuk bertanya kenapa hamba perempuan belum dihantar ke sana seperti yang dijanjikan?"

Zhu Shun terus tersadung lalu terjatuh dari katil sebelum berdiri dengan cemas, langsung terlupa akan punggungnya yang tercedera itu. Setelah kesakitan di punggungnya membuak-buak, dia terbaring di atas katil sekali lagi sambil berteriak dan terlolong dalam kesengsaraan, namun berkata dalam rintihan, "Rasanya hamba perempuan yang aku janjikan itu tak dapat datang sebab Tuan Muda Keempat masih belum lepaskan dia. Aku sudah sediakan sepuluh hamba perempuan yang baru dibeli di dalam dewan Xi Le. Pergi suruh seseorang untuk bawa mereka keluar."

"Ya Tuan, saya faham," lelaki itu membalas, lalu memusingkan badannya dan berlari keluar.

Zhu Shun lantas menjerit kuat, "Jangan lupa untuk bagitahu Tuan Besar Kedua yang aku tengah sakit sekarang ni. Aku akan melawat dia lepas aku sihat kembali."

Busur silang yang berada di luar tingkap bilik itu direndahkan serta-merta dengan perlahan dan Chu Qiao melihat sekelilingnya, matanya jelas menunjukkan bahawa dia mempunyai rancangan yang lain.

Mungkin terdapat cara lain untuk menghapuskan lelaki ini tanpa mengotori kedua tangannya.

Setelah pintu penjara bawah tanah dewan Xi Le dibuka, bau busuk yang tidak tertanggung dapat dihidu. Orang suruhan yang telah dihantar oleh keluarga besar kedua itu mengerutkan mukanya dan lantas berkata dengan hidung yang ditutup, "Apa ni? Kau ingat perempuan-perempuan dengan darjat serendah ini boleh dihadiahkan kepada Tuan Besar ke?"

Hamba yang berlari dari rumah Zhu Shun itu tadi terus membalas dengan penuh hormat, "Hamba bukan senang untuk didapati buat masa ni. Masa penjual hamba dengar yang kami sedang membeli untuk keluarga Zhuge, mereka terus naikkan harga. Susah-payah Tuan saya beli hamba-hamba ni. Awak tak perlu risau, lepas mereka dimandikan, saya pasti mereka semua ini akan jadi cantik. Tuan Besar mesti akan jadi gembira lepas melihat mereka ni!"

"Okay, tak perlu merepek lagi, lepaskan mereka saja."

Kanak-kanak yang berada di dalam penjara bawah tanah itu telah lama tidak melihat cahaya mentari akibat mereka telah dipenjarakan. Setelah mereka dibawa keluar, mereka kelihatan sangat selekeh, gelisah, dengan mata yang ditutup, seolah-olah sekumpulan anak-anak anjing yang ketakutan.

Lelaki dari perkarangan istana lagi satu itu bertanya dengan muka yang masih dikerutkan, "Bukan ke sepatutnya ada sepuluh hamba saja? Kenapa ada sebelas di sini?"

"Ya ke?" Orang suruhan milik Zhu Shun itu mengira hamba-hamba itu sekali lagi dengan tergesa-gesa dan lantas berkata, "Mungkin ketua pengawal Zhu salah cakap. Saya akan pergi ke sana kembali dan bertanya kepada dia."

"Tak perlu susah-susah, aku tiada masa. Bawa saja mereka pergi!"

Seperti yang diarahkan, beberapa orang lelaki berbadan sasa melangkah ke hadapan dan lantas menolak salah seorang daripada gadis kecil itu dan memekik, "Ikut aku!"

Gadis-gadis kecil itu berasa sangat takut sehinggakan salah seorang daripada mereka mula menangis dengan senyap.

"Siapa yang berani menangis lagi akan dibunuh! Melampau betul!" salah seorang daripada lelaki berbadan sasa itu menjerit sambil merentap badan salah seorang daripada gadis pencuci itu.

Pada masa yang sama, gadis itu memusingkan badannya dan terus menggigit pergelangan tangan pengawal berbadan sasa itu tanpa teragak-agak, dan lantas melepaskan tangannya yang menggenggam kuat pada bahu gadis itu dengan jeritan kesakitan. Gadis pencuci itu terus mengambil kesempatan tersebut untuk melarikan diri.

"Ah! Seorang terlepas! Tangkap dia!"

Hamba-hamba daripada Kediaman Zhuge itu tergesa-gesa memalingkan badan mereka ke arah hala tuju gadis yang sedang melarikan diri itu. Berundur ke belakang, mereka terjerit kepada orang suruhan dari perkarangan istana lagi satu, "Pembantu utama Zhu, kawasan itu milik Tuan Muda Keempat dari istana Qing Shan, kita tak dibenarkan untuk pergi ke sana!"

"Hanya seorang hamba saja yang terlepas, apa yang nak dirisaukan?" Pembantu utama Zhu berkata, menolah tangan seorang hamba dan berlari untuk mengejar anak gadis yang telah melarikan diri itu.

Pintu gerbang istana Qing Shan ditendang buka, dan orang suruhan Tuan Besar Zhuge bergegas masuk ke dalam perkarangan istana itu bagaikan seekor binatang buas, sekaligus memeranjatkan pembantu-pembantu rumah di dalam istana tersebut seperti Huan Er yang sedang membersihkan pasu-pasu bunga di koridor istana.

Zhuge Yue baru sahaja dipanggil untuk pergi ke istana Hong Shan oleh Zhuge Huai, dan pengawal-pengawal seperti Zhu Cheng juga tiada di istana itu. Zhuge Yue seorang yang sangat menggemari ketenteraman dan ketenangan, lantas apabila Zhuge Yue tiada di kediamannya itu, suasana di sana menjadi lebih sepi dan senyap. Hanya pembantu-pembantu rumah sahaja yang ditinggalkan di istana Qing Shan.

Huan Er yang paling tua dalam kalangan pembantu-pembantu rumah di situ melangkah ke hadapan dan bertanya sambil tangannya yang menggeletar itu disembunyikan, "Siapa kalian? Beraninya kalian masuk ke dalam kawasan ni. Kalian tak tahu ke bahawa perkarangan ini milik Tuan Muda Keempat?"

"Kami sedang mencari seorang gadis hamba yang sudah melarikan diri. Kami minta maaf kalau telah menyusahkan kalian, tapi kami harap kalian faham."

"Kenapa awak cari hamba di perkarangan kami ni?" Huan Er menjadi lebih berani untuk bersuara setelah mendapati bahawa lelaki di hadapannya itu berkelakuan agak sopan dalam percakapannya, dan lantas dia bertanya lagi, "Awak berkhidmat di perkarangan istana yang mana satu? Awak tak tahu peraturan di sini ke?"

"Kami berkhidmat dengan Tuan Besar Kedua. Kalau kamu nak mengadu, kamu boleh mengadu dekat Tuan Muda Keempat kamu itu dan kami akan memberitahu Tuan Besar Kedua juga."

Sebaik sahaja Huan Er mendengar nama Tuan Besar Kedua, dia terus terdiam dan lantas menjawab dengan sedikit gementar, "Kami tak nampak mana-mana hamba pun. Lebih baik… lebih baik kalian jangan buat macam-macam di sini."

Salah seorang daripada hamba melangkah ke hadapan dan berkata lantang, "Dia ada di dalam rumah di sana! Saya nampak dia panjat ikut tingkap."

Terperanjat, Huan Er memintas pantas, "Tapi kamu tak boleh pergi ke sana. Bilik itu milik pembantu utama Tuan Muda Keempat."

Pembantu utama Zhu merenung Huan Er dengan penuh curiga dan berkata dalam nada yang dalam, "Masuk ke dalam dan pergi ambil perempuan tu."

"Tidak!" Huan Er telah dihalang oleh salah seorang pengawal berbadan sasa itu semasa dia ingin melangkah ke hadapan untuk menghentikan mereka dan lantas pengawal-pengawal itu terus bergegas masuk ke dalam bilik tersebut.

"Pembantu utama Zhu! Itu dia!"

"Xing Er!" Huan Er menjerit kuat. Dia lantas berpaling ke arah lelaki-lelaki tersebut dan berteriak, "Kalian dapat orang yang salah! Dia ialah pembantu rumah di perkarangan istana ni, bukan hamba yang kalian cari!"

Pembantu utama merenung gadis itu dengan pandangan yang dingin dan lantas mengugut, "Aku sudah tengok hamba-hamba macam kalian ini cuba untuk menolong satu sama lain, jadi aku nasihatkan kau diam saja. Ia takkan menolong kau kalau apa-apa terjadi dekat dia ni." Dengan ancaman sebegitu, hamba-hamba yang lain melaung dan lantas mengheret Chu Qiao keluar dari perkarangan istana Qing Shan.

"Xing Er!" Huan Er merintih sedih dan dia lantas terlihat seseorang yang dikenali dari kediaman Zhuge, dia terus melangkah ke arahnya dan berkata, "Kau bukan orang suruhan Ketua Pengawal Zhu Shun ke? Kau yang bawa mereka datang ke sini ke? Bawa Xing Er balik ke sini!"

Lelaki tersebut berasa sangat hairan kerana dia juga melihat bawa gadis itu telah melonjak dari bilik tersebut dengan mata kepalanya sendiri. Dia langsung tidak mengagak bahawa pembantu rumah dari istana Qing Shan ini akan menjadi sangat rapat dengannya. Lalu dia mengerutkan dahinya. "Jangan kacau, mereka ini hamba perempuan yang akan dihadiahkan kepada Tuan Besar Kedua daripada ketua pengawal Zhu. Kalau kau terus nak masuk campur, aku akan hantar kau sekali dengan mereka!"

Para lelaki berbadan sasa itu beredar dari perkarangan istana dalam sekelip mata dan Huan Er berdiri di pintu gerbang terpana, sambil beberapa orang lagi pembantu rumah sedang menyorok di belakangnya, tiada sesiapa yang berani untuk melangkah ke hadapan.

"Oh ya, pergi cari Tuan Muda Keempat!" Huan Er dengan pantas mengelap air matanya yang mengalir ke pipi itu dan terus memecut ke arah istana Hong Shan.

Zhuge Yue sedang berada di dalam mesyuarat bersama Zhuge Huai di dalam bilik bacaan miliknya. Secara tiba-tiba, Zhu Cheng muncul dari luar dan berkata, "Tuan Muda Keempat, Huan Er baru saja sampai untuk melaporkan bahawa dia mempunyai suatu perkara yang mustahak untuk dibincang dengan Tuan."

Zhuge Yue lantas memasamkan mukanya dan merungut, "Perkara apa yang nak dibincangkan sampai tak boleh nak tunggu aku balik? Ini sudah mengarut, suruh dia balik dan tunggu aku."

Keadaan di luar bilik bacaan senyap seketika, namun setelah itu Zhu Cheng mengetuk pintu sekali lagi dan berkata, "Tuan Muda Keempat, ia pasal… pasal Xing Er. Dia sudah diambil oleh orang-orang suruhan Zhu Shun."

Pintu bilik bacaan lantas dibuka luas. Zhuge Yue menjawab dingin, "Apa yang kau cakap?"

Zhu Shun mula berpeluh sambil melihat ke dalam bilik bacaan dan terlihat muka Zhuge Huai yang kebingunan itu. Dia menjilat bibirnya dengan gementar dan membalas dengan perlahan, "Orang-orang suruhan ketua pengawal Zhu kata yang salah seorang daripada hamba dia sudah larikan diri dan juga cakap Xing Er ialah hamba yang larikan diri tu. Mereka sudah heret Xing Er keluar dari istana Qing Shan."

"Heret keluar? Pergi mana?"

"Erm, mereka cakap ke perkarangan istana milik Tuan Besar Kedua yang lagi satu."

Setelah mendengar ayat yang keluar dari mulut Huan Er itu, raut wajah Zhuge Yue terus bertukar menjadi sangat muram.

"Mungkin mereka dapat orang yang salah. Semenjak Zhu Shun tercedera, dia memang melakukan tugasnya dengan pelik sikit." Zhuge Huai mara ke hadapan dan lantas menepuk-nepuk bahu Zhuge Yuai, cuba untuk menenangkannya. Dia tersengih dan berkata lagi, "Adik keempat, dia akan pergi ke perkarangan istana Tuan Besar Kedua, jadi apa kata kamu lupakan hal ni. Dia hanya pembantu rumah saja. Abang akan pilih beberapa orang pembantu rumah yang cerdik dan hantar ke istana kamu sekejap lagi. Abang takkan hampakan kami, percayalah."

"Sudah berapa lama mereka beredar?" Renungan mata Zhuge Yue masih lagi tertumpu kepada Zhu Cheng dan bertanya kepada pengawalnya itu seolah-olah dia tidak mendengar apa yang telah diucapkan oleh Zhuge Huai.

"Mereka…mereka sudah pergi dalam sejam yang lalu."

Zhuge Yue menolak pintu bilik bacaan dengan pantas tanpa berkata apa-apa dan bergegas keluar. Zhu Cheng dan beberapa lagi orang suruhan dari istana Qing Shan yang tahu bahawa hal ini akan terjadi terus mengekori Tuan Muda Keempat mereka.

Semasa Zhuge Yue sedang menerima berita tentang Chu Qiao yang telah diheret keluar dari perkarangan istana Qing Shan dan pergi berjumpa Tuan Besar di kediaman pusaka Wei, Wei Guang telah menghulurkan sebatang anak panah keemasan ke dalam tangan Wei Shuye. Dengan renungan yang serius, orang tua itu berkata perlahan, "Shuye, jangan hampakan pak cik dan juga nenek-moyang keluarga Wei."

Wei Shuye membuka tangannya luas dan rata, merenung anak panah keemasan itu. Anak matanya bersinar. Dia membuka mulutnya, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, namun tiada apa yang dapat dikeluarkan.

"Shuye, nenek-moyang keluarga Wei sedang perhatikan kamu, ayah kamu pun sedang perhatikan kamu. Kamu tahu apa yang patut kamu buat."

Dengan keningnya yang disambung rapat, dia berkata perlahan, "Siapa?" setelah seketika.

Wei Guang tersenyum ringan dan perlahan-lahan menulis suatu perkataan di altar setelah dia mencelupkan jarinya ke dalam cawan teh.

Anak mata Wei Shuye terbeliak dan keningnya dirapatkan sekali lagi dan merenung orang tua ini seolah-olah dia mempunyai jawapan yang dicarinya.