Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 8 - Tetamu Tidak Diundang (2)

Chapter 8 - Tetamu Tidak Diundang (2)

Di dalam dewan utama Istana Lin, teh sedang dihidang kepada tetamu.

Tuan rumah yang melayan tetamu itu ialah seorang lelaki tampan berusia awal 30-an. Dia memakai jubah berwarna biru muda, tetapi duduk di atas kerusi roda. Sayang sekali lelaki sebaik ini seorang yang lumpuh.

Seorang lelaki berpakaian broked sutera berwarna kuning muda duduk di kanannya. Wajahnya tampan tetapi kelihatan angkuh. Di sebelahnya pula, seorang wanita anggun yang berpakaian putih.

"Sila tunggu sebentar, Putera Kedua. Wu Xie masih belum sembuh sepenuhnya, jadi dia akan mengambil masa untuk ke sini." Lelaki berkerusi roda itu memberitahu tetamunya dengan sopan. Dia ialah anak lelaki bongsu Jun Xian - Jun Qing.

Putera Kedua Mo Xuan Fei mengangguk dengan ekspresi wajah acuh tak acuh. Walaupun dia tunang Jun Wu Xie, sepanjang tempoh pertunangan, inilah kali pertama dia datang melawat. Malah dia datang bersama perempuan lain.

Pastilah wajah Jun Qing kelihatan kurang selesa.

Tidak lama kemudian, Jun Wu Yao sampai ke dewan.

Sikap Mo Xuan Fei berubah serta-merta sambil keningnya dikerutkan.

Mo Xuan Fei boleh dikatakan sebagai salah seorang lelaki paling tampan dalam Kerajaan Qi, tapi kini, tunangnya Jun Wu Xie dibawa masuk oleh seorang lelaki yang jauh lebih tampan daripadanya.

Memandangkan Wu Xie masih belum sembuh, wajahnya tidak lagi kemerah-merahan. Kini wajahnya sedikit pucat, membuatkan dia kelihatan seperti teratai putih yang sedang mekar. Wu Xie kelihatan selesa berada dalam dakapan pemuda asing itu. Sikapnya yang suka memerintah digantikan dengan perwatakan lembut dan menawan.

Mo Xuan Fei tidak sukakan Jun Wu Xie, seluruh Kerajaan Qi tahu tentangnya. Perjanjian perkahwinan mereka hanya atas dasar takut menimbulkan kemarahan Lin Wang yang mengawal sepenuhnya Tentera Rui Lin.

Tapi ini tidak bermakna Mo Xuan Fei gembira melihat tunangnya curang!

"Ini siapa?" Mo Xuan Fei bertanya sambil mengerutkan dahinya.

"Ini Jun Wu Yao, abang Wu Xie," Jun Qing menjawab tanpa sedar.

"Apa?" wajah Mo Xuan Fei berubah. Generasi ketiga Istana Lin hanya ada seorang saja, dari mana datangnya Jun Wu Yao ni?

Adakah ini bermakna Lin Wang sudah lama mengambil langkah berjaga-jaga terhadap Keluarga Diraja dan menyembunyikan maklumat penting ini? Mo Xuan Fei mengecilkan matanya.

"Tidak, Wu Yao anak yatim piatu, dibela oleh ayah saya yang membesarkannya di luar kawasan Istana Lin. Kali ini Wu Xie cedera teruk, ayah pula tidak sihat dan saya tidak boleh membantu, jadi kami buat keputusan memanggil Wu Yao balik untuk menjaga Wu Xie," balas Jun Qing.

Mereka tiada pertalian darah. Mo Xuan Fei menarik nafas lega. Sejak dulu lagi, Mo Xuan Fei tidak ambil peduli tentang Jun Wu Xie.

Jun Wu Yao and Jun Wu Xie perlahan-lahan duduk di kerusi mereka. Wu Xie memberikan pandangan bersahaja kepada pasangan di hadapannya dan mencemuh dalam diam. Jadi inilah lelaki yang digilai Wu Xie yang asal. Namun dia tidak ingat tentang wanita yang duduk di sebelah lelaki itu.

"Ayahanda dengar Wu Xie cedera jadi baginda menghantarkan ubat-ubatan. Kebetulan Yun Xian ada, jadi beta ajak dia datang bersama untuk melihat kecederaan Wu Xie. Yun Xian berbakat dalam bidang perubatan dan eloklah dia periksa kecederaan kamu supaya kamu cepat sembuh." Ekspresi acuh tak acuhnya sudah kembali, namun setiap kali dia menyebut nama Yun Xian, dia akan memandangnya dengan penuh kasih-sayang dan nada suaranya lembut.

Seolah-olah dia sedang memandang kekasih hatinya.