Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 9 - Tetamu Tidak Diundang (3)

Chapter 9 - Tetamu Tidak Diundang (3)

[Lelaki tak guna!] Suara kucing hitam kecil itu bergema dalam minda Jun Wu Xie.

Di hadapan tunangnya dia bermesra dengan perempuan lain!

Jun Wu Xie yang hanya mendiamkan diri selama ini akhirnya bersuara.

"Tak perlu."

Tabib-tabib dunia ini sudah cukup menyeksanya.

Keengganan Jun Wu Xie melunturkan senyuman Mo Xuan Fei dan wanita itu.

Mo Xuan Fei menyuarakan rasa tidak senangnya dan berkata, "Yun Xian ini berguru dengan Pemerintah Puak Qing Yun."

Puak Qing Yun?

Jun Wu Xie mengangkat keningnya sedikit, malah wajah Jung Qin juga menunjukkan rasa terkejut.

Ada beberapa kuasa besar di luar Kerajaan Qi, salah satunya ialah Puak Qing Yun. Mereka terkenal di seluruh benua dan tiada tandingannya dalam bidang perubatan.

Mereka mempunyai sejarah yang panjang dalam menghasilkan cendekiawan. Kemasyhuran setiap cendekiawan mampu menggegarkan benua. Cendekiawan paling masyhur ialah Pemerintah mereka yang mempunyai kebolehan setaraf wali dan dihormati oleh setiap kerajaan. Kerajaan Qi pasti menerima padahnya jika mereka menimbulkan kemarahan Puak Qing Yuan.

Bai Yun Xian anak murid Pemerintah, maksudnya statusnya dalam kumpulan itu agak tinggi.

Setelah Mo Xuan Fei memperkenalkannya, Bai Yun Xian mengangkat sedikit dagunya dan paras wajahnya dapat dilihat lebih jelas. Ternyata penampilannya cukup luar biasa.

"Beta berusaha keras untuk menjemput Yun Xian. Tambahan pula, Wu Xie tidak ada roh berkontrak. Kalau dia tidak sembuh sepenuhnya, apa akan jadi dengan dia? Walaupun kami tidak berjodoh, sebagai kenalan atau kawan, beta patut membantu dia." Akhirnya Mo Xuan Fei meluahkan niatnya.

Wajah Jun Qing berubah marah.

Sebelum ini, Mo Xuan Fei bertunang dengan Jun Wu Xie hanya disebabkan kuasa ketenteraan Istana Lin, tapi kini tiada apa yang dia takutkan kerana dia sudah ada sokongan yang lebih kuat.

Kuasa ketenteraan Jun Xian, sekuat mana sekalipun, bukan tandingan Kumpulan Qing Yun.

Tujuan Mo Xuan Fei amat jelas, dia mahu memutuskan pertunangan!

"Adakah ini bermakna Putera Kedua mahu memutuskan pertunangan dengan Wu Xie?" Jun Qing memegang kerusi rodanya begitu kuat sehingga jari-jarinya bertukar putih.

"Perkara ini amat merunsingkan. Walaupun beta tidak ada perasaan terhadap Wu Xie, memandangkan dia sukakan beta, beta mahu cuba berbaik dengannya dan lihat jika hubungan kami dapat diteruskan. Tapi setelah sekian lama, beta langsung tidak ada perasaan terhadapnya dan jelas yang dia juga tiada roh berkontrak. Kami tidak ditakdirkan untuk satu sama lain." Mo Xuan Fei menerangkan dengan sabar.

Bagaimana dia nak mengahwini gadis manja dan sombong yang langsung tidak ada roh berkontrak? Dia putera sebuah negara. Mana boleh dia berkahwin dengan gadis tak guna ini dan jadi bahan ketawa?

Dia langsung tidak peduli tentang Jun Wu Xie dan sudah memalukan dia dengan menyebut tentang Jun Wu Xie tergila-gilakannya serta status gadis itu sebagai seorang yang tak berguna.

Dia menyalahkan Jun Wu Xie atas segalanya sedangkan dia kekal suci.

Wajah Jun Qing muram, dia mengutuk dirinya dalam hati dan menyalahkan dirinya. Disebabkan kecacatannya, orang lain membuli anak saudaranya di rumahnya sendiri, namun tiada apa yang boleh Jun Xing lakukan untuk melindungi Wu Xie.

Begitu rendahkah status Istana Lin kini?

Jun Qing tidak sanggup melihat wajah Wu Xie. Dia tahu Jun Wu Xie amat sayangkan Mo Xuan Fei. Dengan sikap yang panas baran dan kini dihina oleh lelaki yang dia amat sayangi, bagaimana Jun Wu Xie dapat bersabar?

Namun, apa yang dilihatnya amat mengejutkan.

Dia sangkakan ada drama yang akan berlaku, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jun Wu Xie, dengan aura sombong dan acuh tak acuh, hanya mengerling ke arah Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian.