Jun Wu Xie mengerling ke arahnya, Wu Yao duduk di depannya dan dengan tangkas menyuapkan ubat untuk Wu Xie.
Jun Wu Xie tidaklah terlalu memikirkan tentang perbuatan Wu Yao, sangkanya tentu Wu Yao dengan ikhlas membalas budi.
Sejak lahir, Jun Wu Xie dibesarkan di sebuah vila rahsia selama sepuluh tahun, dari kanak-kanak yang naif sehingga meningkat remaja, jadi dia tidak berpeluang untuk belajar dan memahami tentang dunia luar. Cara bergaul dengan orang lain bukanlah sesuatu yang dia fikirkan.
Dalam tempoh itu, cuma pelbagai buku dan pengetahuan perubatan memenuhi fikirannya. Satu-satunya saudaranya telah mengurungnya di kawasan gunung.
Jangan harapkan apa-apa darinya kalau berkaitan dengan lumrah kehidupan.
Jun Wu Yao membongkok sedikit, sebelah tangannya di belakang Jun Wu Xie sebagai sokongan sambil sebelah lagi tangannya yang memegang semangkuk ubat menyuap Jun Wu Xie perlahan-lahan.
Sewaktu Wu Yao membongkok, Wu Xie berkerut sedikit.
"Saya tak suka bau darah." katanya dengan muram.
Jun Wu Yao tersenyum kaku. Jun Wu Xie terus menghirup ubat.
Setelah selesai, Jun Wu Yao membawa pergi mangkuk yang sudah kosong. Sebaik meninggalkan bilik itu, senyumannya hilang. Dia mengangkat tangannya dan mencium lengan bajunya, ada sedikit bau darah.
Awal-awal tadi, dia amat berhati-hati mengelak kesan darah kena pada dirinya.
"Nampaknya lain kali saya perlu mandi dulu." Senyuman nakal kembali menguntum di wajah tampan Jun Wu Yao, matanya yang hitam pekat tidak menunjukkan sebarang emosi.
...
Pagi itu, berita tersebar luas di Kota Diraja.
Malam semalam, dalam perjalanan balik dari "Lautan Bunga", Putera Kedua dan rombongan pengiringnya telah diserang oleh satu kumpulan misteri dan semua pengawalnya terkorban. Putera Kedua bertarung sengit dengan musuh dan hanya mampu menyelamatkan nyawanya sendiri dan seorang wanita cantik. Perkara ini membuatkan Maharaja murka dan Tuanku memerintahkan siasatan dijalankan dengan ganjaran hebat ditawarkan bagi menangkap penjenayah yang berani mahu membunuh Putera Kedua.
Suasana dalam Kota Diraja agak kecoh. Banyak perbincangan berlaku. Semua orang memperkatakan tentang kejadian itu.
Semua orang tahu yang Putera Kedua dan Jun Wu Xie dari Istana Lin bakal berkahwin. Namun pada malam Putera Kedua diserang, gadis cantik yang diselamatkannya bukanlah tunangnya, Jun Wu Xie! Maksudnya, hari itu dia telah ke "Lautan Bunga" bersama perempuan lain.
Jun Wu Xie memang zalim!
Cik Muda Istana Lin memang dikenali sebagai orang yang amat biadab dan sombong serta sering menimbulkan masalah di kota.
Orang ramai mula berspekulasi yang dalang di sebalik serangan ke atas Putera Kedua ialah Jun Wu Xie. Maklumlah, tunangnya keluar bersama perempuan lain. Wanita biasa pun tak akan bersabar, apatah lagi Jun Wu Xie yang kejam itu?
Pagi itu Kota Diraja dalam keadaan huru-hara. Putera Kedua khabarnya enggan bertahan dengan Jun Wu Xie yang kejam dan telah curi-curi keluar bersama perempuan lain, tapi Jun Wu Xie pula dapat tahu dan dia menghantar Tentera Rui Lin untuk menyamar dan membunuh Putera Kedua serta kekasih barunya.
Khabar angin itu disebarkan seolah-olah mereka yang menyampaikan cerita menyaksikan sendiri kejadian yang berlaku.