Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 18 - Teratai Putih Kecil (3)

Chapter 18 - Teratai Putih Kecil (3)

Sewaktu seorang bayi dilahirkan ke dunia ini, roh berkontrak akan membentuk ikatan dengan roh manusia. Roh berkontrak itu akan tidur dalam roh manusia dan hanya akan terjaga sewaktu manusia itu mencecah usia empat belas tahun. Tiada cara lain dapat memisahkan mereka, kecuali kematian.

Seseorang hanya boleh membina ikatan dengan satu roh berkontrak sepanjang hayat. Jadi tidak kira betapa tidak bergunanya roh berkontrak miliknya, Jun Wu Xie tiada pilihan dalam hal ini, apatah lagi mahu menghalaunya.

"Dunia Roh." Kata Teratai Kecil dengan nada kecewa.

"Itu tempat asal kamu?" Ini pertama kali Jun Wu Xie mendengar tentangnya.

Teratai Kecil mengangguk, seolah-olah takut Jun Wu Xie tidak akan sukakannya. Dengan sopan dia menambah, "Sebelum dibangkitkan, roh berkontrak akan tinggal di dunia roh. Kalau pemilik kami mati, kami akan pulang ke sana semula. Tempat itu amat menakutkan. Saya baru saja dapat melepaskan diri, tolong jangan halau saya ke sana semula, ya?"

Kalau ikutkan hatinya, mahu saja berbuat begitu. Tapi sanggupkah dia?

"Saya... Saya boleh buktikan saya ni berguna, tunggu sebentar!" Teratai Kecil tiba-tiba dipenuhi keazaman dan dia akhirnya melepaskan kaki Jun Wu Xie. Badannya yang kecil dan lemah kelihatan menggigil sewaktu dia berdiri dan menghulurkan tangannya di hadapan Jun Wu Xie.

"Ah?" tanya Jun Wu Xie sambil memandangnya.

Teratai Kecil mendengus, wajah kecilnya yang kelihatan terseksa memandang ke arah Jun Wu Xie. Dia mengumpul kekuatan dan akhirnya menjerit,"Makanlah!"

"...." Apa yang hendak dimakan?

"Saya ni teratai istimewa, kalau makan kelopak bunga saya, darah cik dapat dibersihkan dan segala kekotoran di dalamnya dapat disucikan," Kata Teratai Kecil dengan bangga dan bersemangat.

Mata Jun Wu Xie bersinar mendengar kata-kata itu. Tiada siapa yang lebih tahu darinya betapa jarangnya darah manusia dapat dibersihkan. Ubat paling hebat sekalipun ada batasnya. Kebolehan melatih badan manusia dan memperbaiki fizikal amat perlu untuk benar-benar menyucikan badan dari segala kekotoran dan memberi kesan seolah-olah seperti dilahirkan semula!

Dalam dunianya yang terdahulu, walaupun bidang teknologi dan perubatan sangat maju, ramai saintis masih mengkaji tentang gen dan bagaimana gen mempengaruhi tubuh manusia, namun masih lagi belum menemui kaedah paling sesuai.

Jika apa yang didakwa Teratai Kecil ini benar, nampaknya dia sangat berharga!

Untuk menentukan sama ada Teratai Kecil berkata benar, Jun Wu Xie memegang tangan kecilnya yang lembut... walaupun dia tahu budak kecil di hadapannya ini sebenarnya ialah teratai putih, bentuknya yang menyerupai manusia menyukarkan Jun Wu Xie untuk meneruskan tindakannya. Dia mengangkat tangan Teratai Kecil ke mulutnya sambil memandang budak itu. Air mata Teratai Kecil sudah mula mengalir.

"...." Dia bukanlah kejam sangat.

Jun Wu Xie mengeluh lembut dan melepaskan tangan Teratai Kecil.

Walaupun Teratai Kecil "berazam" untuk menjadi sangat berguna kepada tuannya, sewaktu dia melihat tangannya berada di bibir Jun Wu Xie, dia tidak dapat mengawal ketakutannya dan air matanya mula mengalir. Apabila kesakitan yang ditunggu tidak tiba, perasaanya bercampu-baur - dia gembira tidak dimakan, tapi... tuannya pasti merasakan dia sangat tidak berguna dan akan mengabaikannya.

"Saya… Saya tak takut sakit….." Teratai Kecil berkata dengan lemah.

Jun Wu Xie memberi sekilas pandang ke arah mata Teratai Kecil yang merah dan dibasahi air mata.

"...…" Teratai Kecil terus rasa tawar hati.