Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 22 - Tubuh Badan Ibarat Harta (3)

Chapter 22 - Tubuh Badan Ibarat Harta (3)

Dia bertahan dengan kesengsaraan itu selama hampir sejam sebelum kesakitan itu akhirnya reda. Bajunya melekap pada tubuh kecil moleknya akibat dibasahi peluh serta satu lapisan cecair berwarna hitam.

Akhirnya dia bebas dari seksaan! Dia mengeluh lega sambil melihat tangannya dan segala kekotoran yang sudah dikeluarkan.

"Budak kecil itu tak menipu," kata Jun Wu Xie secara tidak sedar sambil dia cuba mengesan perubahan apa yang telah dilalui oleh tubuhnya. Dia dapat merasakan yang sendi-sendinya lebih fleksibel dan badannya juga seperti lebih ringan.

Di dalam dunia ini, seseorang yang ingin membina kuasa rohani memerlukan tubuh badan yang hebat. Sebelum ini dia tidak tergesa-gesa hendak memulakan pertapaan kerana ingin menjadikan tubuh badannya hampir mencapai tahap sempurna dahulu sebelum memulakan perjalanan pertapaan yang sukar. Memulakan pertapaan dengan asas yang kuat akan membawa kepada faedah yang besar di masa hadapan!

Selepas merasai segala kesakitan dan memperoleh manfaat yang besar untuk dirinya, Jun Wu Xie kini yakin dia sudah bersedia untuk memulakan rawatan Jun Qing dan Jun Xian. Sudah tiba masanya untuk meningkatkan resam tubuh mereka dan mengembalikan kegemilangan Istana Lin!

Salah satu sebab utama Maharaja begitu berani bertindak kerana Istana Lin tidak ada waris. Dengan keadaan Jun Qing yang lumpuh dan Jun Wu Xie yang sombong dan tidak berguna, masa depan keluarga mereka kelihatan gelap sehingga menyebabkan orang lain berani bertindak terhadap mereka.

Kalau kesihatan Jun Xian dan Jun Qing baik, dengan semangat keberanian dan aura mereka, orang lain akan berfikir dua kali sebelum menentang keluarga mereka. Dengan Jun Xian sebagai tulang belakang Tentera Rui Lin, hanya ada satu pengakhiran - berlakunya pertumpahan darah!

Sepanjang waktu ini, Jun Wu Xie menghabiskan masanya ke hulu ke hilir, dari kawasan halamannya ke farmasi, sibuk meningkatkan kesihatan tubuh badannya melalui pemakanannya. Wajahnya yang pucat akhirnya bertukar menjadi kemerah-merahan.

Jun Xian risau cucunya akan berminat menjadi tabib hanya buat sementara waktu sahaja sebelum berasa bosan, jadi dia amat gembira mendengar Jun Wu Xie sibuk keluar masuk farmasinya dan dia juga lega melihat keadaan cucunya yang semakin sihat setiap kali dia melihatnya.

Di dalam Istana Diraja, mereka masih belum menerima sebarang tindakan atau balasan daripada Istana Lin dan ini membuatkan Maharaja tersenyum. Istana Lin sudah menerima terlalu banyak kemegahan ketenteraan selama ini. Siapa yang akan melepaskan peluang untuk menjatuhkan nama mereka? Inilah kesan yang diharapkan oleh Maharaja, menghancurkan semangat Istana Lin.

Kini, api fitnah jahat mengenai Jun Wu Xie yang menggunakan Tentera Rui Lin untuk bertindak atas kepentingan peribadinya, semakin marak dan tersebar jauh ke luar kota.

Selama ini, Jun Xian cuba mengesan dan mencari kumpulan lelaki misteri itu dan mendapatkan bukti bagi membersihkan nama Jun Wu Xie. Namun, Jun Xian berasa curiga sesuatu yang penting telah disembunyikan darinya.

Kesemua mayat pengawal peribadi Putera Kedua berada dalam keadaan tidak sempurna, seolah-olah badan mereka meletup dari dalam. Tambahan pula, Putera Kedua dikatakan cedera parah akibat berlawan dan menangkis serangan kumpulan misteri itu tetapi Jun Xian tidak dibenarkan berjumpa dengan Putera Kedua untuk memastikan kecederaan apa yang dialaminya dan senjata apa yang digunakan untuk mencederakannya.

Jelas sekali Istana Diraja menyembunyikan maklumat penting untuk melambatkan penyiasatannya demi menjatuhkan reputasi Jun Wu Xie.

Dari pagi hingga ke malam, Jun Xian sering keluar mencari bukti. Sebaliknya, Jun Wu Yao jarang dilihat berada di dalam kawasan Istana Lin. Hanya Jun Qing dan Jun Wu Xie yang ada untuk menguruskan hal Istana Lin.