Senyuman Jun Qing terus hilang dan dia menggelengkan kepalanya. "Tsk. Satu-satunya orang yang boleh tahan dengan angin kamu ini adalah Abang. Jangan lupa yang budak itu...dia anak kepada lelaki yang kamu lafazkan sumpah taat setia. Kalau satu hari nanti Ayah dan saya sudah tiada, dia dalam jagaan…"
Sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya, Jun Qing merasakan seperti tulang-tulangnya sedang dipotong dengan pisau tumpul. Dia membongkokkan badannya apabila rasa sakit ini mula tersebar ke setiap tulang dalam badannya.
"Tuan!" Lelaki itu risau melihat Jun Qing yang kelihatan pucat.
Racun dalam badan Jun Qing masih belum dikeluarkan sepenuhnya dan sisa-sisa racun yang tinggal sudah meresap jauh ke dalam tulang sumsum. Pemerintah Puak Qing Yan yang terkenal juga gagal meneutralkan racun itu. Selama ini Jun Qing amat berhati-hati, termasuk dari segi pemakanannya. Dia elok saja sebentar tadi, malah sempat memarahi lelaki itu, kenapa tiba-tiba…?
Lelaki itu tiba-tiba terfikirkan sesuatu.
"Biji benih teratai? Tapi mana mungkin?"
Sebanyak mana sekalipun dia tidak sukakan Jun Wu Xie, darah keluarga Jun masih mengalir dalam diri gadis itu, sebab itu sewaktu Jun Wu Xie mendatangi Jun Qing sebentar tadi, lelaki itu tidak ada rasa bimbang. Tak mungkin ini disebabkan oleh Jun Wu Xie?
Jun Qing mengetap giginya sekuat hati sebaik dia merasakan kesakitan yang tidak terhingga. Seolah-olah dia sedang dihancurkan dan kesakitan itu menyelubunginya sehingga dia mengalirkan peluh sejuk.
Melihatkan keadaan Jun Qing yang semakin bertambah buruk, lelaki itu cepat-cepat mengangkatnya dan bergegas kembali ke bilik Jun Qing.
Semua ini tidak diberitahu kepada Jun Wu Xie. Dia berkurung dalam farmasinya untuk membuat kajian. Dia tidak memikirkan tentang Jun Qing langsung kerana dia sendiri sudah melalui proses penyucian tulang dan walaupun proses itu menyakitkan, pada pandangan Jun Wu Xie, ia tidaklah terlalu sukar.
Namun begitu, apa yang dia tidak tahu ialah bagi penyucian tulang manusia biasa dan seseorang yang pernah diracun, kesannya jauh berbeza.
Pada saat ini, Jun Qing sedang mengalami kesakitan yang menyeksakan, ibarat tulangnya ditetak-tetak dengan seribu bilah pisau. Panggilan kecemasan dibuat kepada semua tabib-tabib berkebolehan di daerah itu untuk segera datang ke Istana Lin dan merawat Jun Qing.
Tetapi, semua tabib-tabib itu tidak berupaya memberi diagnosis sambil Jun Qing terlantar di atas katilnya. Suhu badannya meningkat, badannya tersentak-sentak dan tidak lama kemudian cadarnya dibasahi peluh. Peluh yang keluar daripada badannya juga bercampur cecair berwarna hitam yang berbau busuk.
Keadaan ini menakutkan tabib-tabib itu yang berlutut di sisi katil Jun Qing sambil menggigil.
Jun Xian menerima khabar dan bergegas pulang untuk melihat anaknya terbaring di atas katil dengan wajah yang pucat lesi. Keadaan Jun Qing kelihatan teruk, seolah-olah dia dalam keadaan tenat dan hampir mati.
Jun Xian naik peluh sejuk sambil bertempik, "Apa yang dah terjadi?" Sepasang mata yang merah merenung tajam ke arah tabib-tabib yang melutut di tepi katil.
"Ha..ham..hamba ini…tidak tahu bagaimana... Bagaimana aliran darahnya kucar-kacir dan racun dalam tulang sumsumnya tiba-tiba merebak...merebak ke...se...seluruh ba...badannya. Ha...hamba ini sudah cuba yang terbaik...Lin Wang, harap ada belas kasihan ke atas kami!" Kumpulan tabib itu meminta belas kasihan kerana mereka semua ada diagnosis yang sama-umur Jun Qing tidak panjang!
Maklumat ini hampir membuatkan Jun Xian jatuh pengsan sebelum dia kemudiannya mengawal dirinya.
Adakah satu-satunya anak lelakinya ini akan mati?
Tidak!
Ini tidak mungkin berlaku!
Jun Xian bergegas ke Istana Diraja, niatnya ingin mencari Bai Yun Xian kerana dia anak murid Pemerintah Puak Qing Yun. Namun dia kecewa kerana Bai Yun Xian enggan bertemu sesiapa, katanya dia masih berasa takut akibat serangan tempoh hari dan sedang memulihkan kesihatan dirinya.
Jun Xian segera menyerbu masuk ke dalam Dewan Utama untuk menghadap Maharaja. Tuanku Maharaja dalam keadaan sukar kerana tidak punya banyak pilihan. Maharaja hanya mampu memandang tanpa daya apabila Jun Xian membawa kesemua Tabib Diraja di Istana Diraja balik ke Istana Lin untuk membantu merawat Jun Qing.