Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 27 - Tangan Penyembuh (1)

Chapter 27 - Tangan Penyembuh (1)

Keadaan Jun Qing tidaklah seteruk yang orang lain katakan. Nampaknya racun itu sudah menyerap masuk ke dalam tulang sumsum. Memandangkan biji benih teratai itu berfungsi menyucikan tulang dan mengeluarkan toksin, semuanya akan dikeluarkan bersama-sama peluh melalui liang-liang roma badan. Sebelum proses ini selesai, pengumpulan sisa toksin yang dikeluarkan akan mengelirukan orang lain, menyebabkan mereka fikir sejumlah racun yang sangat banyak sudah merebak ke jantungnya dan sebab itu mereka katakan Jun Qing akan mati.

Sebenarnya, keadaan ini tidaklah begitu bahaya!

Jun Wu Xie meletakkan Jun Qing dalam keadaan terlentang kerana dia mahu memudahkan proses penyahtoksikan. Dengan pantas dia mengeluarkan beg berisi jarum, menarik keluar sebatang jarum yang panjang dan dengan tepat mencucuk pusat meridian utama Jun Qing. Dia terus mencucuk jarum-jarum di beberapa bahagian lain dengan tujuan meningkatkan aliran darah Jun Qing bagi mempercepatkan proses itu dan menghentikan seksaannya.

Sedang dia begitu fokus menggunakan jarum-jarumnya untuk merawat Jun Qing, Jun Wu Xie tidak sedar keadaan sekelilingnya. Sewaktu dia mula-mula menarik keluar jarum-jarum itu, lelaki itu tidak tahan lagi dan mahu menghentikannya tetapi Jun Xian, yang juga dalam keadaan terkejut, telah mengangkat tangannya dan menahan lelaki itu.

Mereka berdiri di sebelah katil dan memandang Jun Wu Xie dengan diam sambil dia melakukan rawatannya. Mereka telah melihat Jun Wu Xie membesar dan tidak pernah menjangka kebolehan merawatnya amat bagus.

"Sediakan sepuluh tungku dalam bilik ini, tutup pintu dan tingkap," dengan tenang Jun Wu Xie memberikan arahan.

"Apa yang kamu buat ni? Ini Pak Cik kamu! Kamu tak nampakkah dia sedang tenat?" Lelaki itu memekik. Dia tidak tahan lagi. Jun Qing sedang sakit dan peluhnya sudah membasahi cadar katil tapi Jun Wu Xie mahu dia berkurung dalam bilik ini bersama-sama sepuluh tungku?

Jun Wu Xie menjeling dan berkata dengan suara yang dingin, "Saya tak akan cakap dengan orang bodoh."

Dia tidak peduli betapa dahsyatnya ekspresi muka lelaki itu, dia terus mengambil kucing hitamnya dan berlalu pergi.

Tidak ada masalah dengan proses penyahtoksin Jun Qing, tetapi badannya terlalu lemah kerana bahagian bawah badannya sudah lama tidak digerakkan. Organ dalamannya kucar-kacir, jadi walaupun tulang-tulangnya disucikan, Jun Wu Xie masih perlu membantu Jun Qing membina semula resam tubuhnya menjadi seperti dahulu atau lebih baik lagi! Sekarang matlamat utamanya ialah menyingkirkan sisa-sisa toksin itu secepat mungkin.

Jun Wu Xie bergegas mendapatkan preskripsi untuk menstabilkan dan meningkatkan sistem dalaman Jun Qing.

Di dalam bilik Jun Qing, keadaan begitu melemaskan dengan muka lelaki itu sehitam arang dan ekspresi wajah Jun Xian yang sedih.

Jun Xian memerhatikan Jun Qing yang terbaring di katil dan dalam keadaan pucat. Dia bergelut dengan perasaannya seketika sebelum akhirnya mengarahkan, "Sediakan sepuluh tungku! Tutup pintu dan tingkap rapat-rapat!"

"Lin Wang nak biarkan Cik Muda mempermainkan nyawa Jun Qing?" Lelaki itu memandang Jun Xian seolah-olah tidak percaya.

Jun Xian mengeluh. "Kamu sudah dengar apa kata tabib-tabib lain. Mereka kata tiada cara lagi untuk merawatnya. Mereka semua sudah berputus asa. Kalau ada sedikit sinar harapan, tidak kiralah jika ia tidak munasabah, saya akan mencubanya. Saya hanya ada seorang anak saja lagi dan saya tak akan biarkan dia meninggalkan saya dengan mudah. Kalaupun peluang ini hanya satu dalam sejuta, saya akan berpaut padanya."

Dia sudah terdesak dan tidak ada jalan lain lagi. Dia sanggup mengambil risiko. Lagipun, dia tidak akan rugi apa-apa.

Sewaktu dia melihat kebolehan cucunya menggunakan jarum itu, satu sinar harapan menyala dalam dirinya. Dia lebih sanggup meletakkan harapan pada ahli keluarganya sendiri!

"Tuan nak letakkan semua harapan Tuan padanya? Sudah berapa lama dia belajar ilmu perubatan? Ini sudah melampau! Tuan bermain dengan nyawa! Bukankah anak murid Pemerintah Puak Qing Yun ada di Istana Diraja? Kalau Maharaja tak izinkan sekalipun, saya boleh ikat dia dan heret dia ke mari!" kata lelaki itu.

Jun Xian menggelengkan kepalanya. "Racun Jun Qing terlalu kuat, Pemerintah Puak Qing Yun juga tak mampu meneutralkannya, apatah lagi anak muridnya? Kalau kamu ikat dia dan heret dia ke mari sekalipun, apa gunanya?"