Jun Wu Xie terkejut sedikit sambil dia memandang ke pintu dengan wajah berkerut.
Jun Wu Yao berjalan dengan bersahaja ke kerusi terdekat. Dia duduk dan dengan malasnya meletakkan kepalanya di atas tangannya sambil memberikan Jun Wu Xie senyuman yang menawan. Rambut hitamnya yang panjang mengurai ke tepi dan membingkaikan wajahnya yang sangat tampan.
Wajah yang amat menggoda sehingga dirasakan berdosa melihatnya.
Jun Wu Xie tidak nampak lelaki ini sejak beberapa hari lalu dan hampir melupakan kewujudannya. Dia tidak sangka Jun Wu Yao akan muncul secara tiba-tiba.
Bersama kemunculan Jun Wu Yao, Jun Wu Xie dapat menghidu sedikit bau darah. Walaupun bau itu disembunyikan oleh haruman herba yang kuat, hidungnya yang sensitif masih dapat menghidunya.
Jun Wu Yao memandang Jun Wu Xie dengan gembira tetapi ekspresi wajahnya berubah melihat gadis itu memandang ke arahnya sambil mengerutkan muka dan menutup hidungnya dengan tangan. Senyumannya yang tampan menjadi kaku.
"Lain kali, kalau awak belum menghilangkan bau ini sepenuhnya, awak tak dibenarkan masuk ke dalam farmasi." Jun Wu Xie memberikan amaran. Dia tidak peduli dari mana lelaki itu datang. Selagi Jun Wu Yao tidak membangkitkan kemarahannya serta Istana Lin, dia boleh buat apa saja yang dia suka.
Jun Wu Yao perlahan-lahan bangun dan memandang Jun Wu Xie dengan wajah yang sedih.
Bau itu hampir tidak dapat dikesan, tambahan pula, tempat ini mempunyai haruman herba yang sangat kuat. Begitu tajamkah deria bau Jun Wu Xie sehingga dia boleh menghidu bau darah di sebalik bau-bauan lain di sini?
"Kamu benar-benar tidak sukakan bau ini?" Jun Wu Yao tertawa kecil.
"Ya!" Jun Wu Xie melihat Jun Wu Yao berjalan perlahan-lahan ke arahnya. Tanpa sedar, dia melangkah ke belakang apabila Jun Wu Yao semakin mendekatinya. Kalau dia tidak merawat pesakit, bau ini membuatkan dia rasa sangat mual!
"Saya… minta maaf." Sambil Jun Wu Yao memandang Jun Wu Xie yang jelas sedang mengelak daripadanya, satu senyuman jahat terukir di wajahnya sebelum dia tiba-tiba hilang. Sebelum sempat Jun Wu Xie bertindak, dia dipeluk sepasang tangan yang kuat.
Wajahnya yang halus ditekan secara paksa ke dada Jun Wu Yao yang bidang. Bau darah yang berkali ganda lebih kuat menusuk hidungnya. Jun Wu Xie berdiri terpaku.
"Lepaskan!"
"Kalau kamu layan saya dengan baik, lain kali saya pastikan kamu tak akan baunya lagi." Jun Wu Yao bukan saja tidak melepaskan Jun Wu Xie, malah memeluknya lebih kuat.
Kecil molek dan lembut, seperti haiwan kecil yang sedang bersembunyi di tempat yang selamat. Tetapi si kecil yang sedang dia pegang ini nampaknya ada taring yang tajam dan sedang menyeringai.
Jun Wu Xie mahu naik gila apabila Jun Wu Yao memeluknya dengan erat dan mengusap-usap kepalanya seolah-olah dia ini binatang peliharaan. Dia perlu menyalin bajunya sekali lagi kerana baju yang dipakainya sekarang ada bau darah. Sebaik Jun Wu Yao melepaskannya, Jun Wu Xie bergegas lari keluar dari farmasi dan menyental badannya berkali-kali sebelum dia sanggup keluar semula.
Selepas ditinggalkan oleh tuannya, kucing hitam itu hanya menjeling ke arah Jun Wu Yao. Lelaki itu tidak dapat menahan ketawanya apabila terlihat kelibat Jun Wu Xie yang sedang melarikan diri. Kucing hitam itu dapat mengesan perubahan tenaga yang besar dan menyedari betapa bahayanya lelaki ini! Kucing itu terus mengikut jejak langkah Tuannya dan lari dari farmasi itu.
Cik! Jangan tinggalkan saya dengan lelaki gila ni!
...….
Jun Qing akhirnya tersedar dan dalam keadaan mamai dia terlihat satu susuk tubuh yang dikenali sedang duduk di sisi katilnya. Setelah penglihatannya beransur pulih, dia menyedari yang orang itu ialah Ayahnya, yang kelihatan semakin berusia sejak kali terakhir dia melihatnya.
"Ayah?" Jun Qing bersusah payah cuba duduk tetapi dia merasakan seperti semua tulang-tulangnya telah dipatahkan dan kesannya sungguh kuat sehingga dia tidak dapat bergerak.
"Jangan bergerak! Baring!" Jun Xian cepat-cepat mencapainya.
"Apa sudah jadi dengan saya?" Walaupun seluruh tubuhnya dirasakan seperti sedang berkecai dan dia tidak dapat bergerak, dia masih dapat merasakan sedikit keselesaan dan ketenangan.
"Kamu benar-benar menakutkan Ayah sehingga Ayah rasa ingin mati!"
"...…" Jun Qing memandang lelaki muram di sisi katilnya dengan pandangan tidak berdaya.