Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 31 - Pakar Misteri (1)

Chapter 31 - Pakar Misteri (1)

"Jangan tidur lagi, mari kita makan!" Jun Xian menyiku anaknya dengan kuat. Sekarang Jun Qing sudah semakin sihat dan akhirnya boleh makan untuk meningkatkan kekuatan dan menyihatkan badannya, apa lagi yang mereka tunggu?

Sewaktu hamba-hamba masuk ke bilik itu membawa bubur panas, aromanya sungguh menggoda sehinggakan buat seketika, kedua-dua ayah dan anak itu khayal memandang mangkuk berasap itu.

Bubur itu ada sedikit bau herba, tetapi baunya tidak terlalu kuat. Setelah lama tidak makan, Jun Qing dapat merasakan perutnya mengecut sebaik mangkuk itu diletakkan di hadapannya.

Sebaik dia menarik nafas panjang, aroma itu menyerang setiap derianya dan dia tidak lagi berasa tidak berselera seperti sebelum ini. Dengan susah payah dia duduk di katilnya untuk menikmati makanan pertamanya selepas beberapa hari berlalu.

Selepas makan dengan kenyang, Jun Qing duduk di katilnya dan baru sedar yang dia berada dalam keadaan genting sewaktu dia tidak sedarkan diri.

"Setiap tabib yang datang merawat kamu membuat kesimpulan yang kamu tenat dan hampir mati...kalaulah tidak kerana dia…"

Jun Xian mengeluh sambil memikirkan kedukaannya saat kehilangan anak sulungnya… Kalaulah perkara yang sama berlaku lagi, dia tidak tahu jika dia boleh menerimanya.

"Tapi…Jun Wu Xie baru saja mula belajar ilmu perubatan tak lama dulu, bagaimana dia tahu saya boleh diselamatkan?" Jun Qing tertanya-tanya, nampaknya ini perubahan yang besar dalam diri Jun Wu Xie. Gadis yang dahulunya tidak terkawal dan biadap nampaknya sudah hilang tanpa kesan. Malah ketika menghadapai Mo Xuan Fei yang membulinya juga dia tidak menunjukkan perasaan tidak puas hati, tidak seperti dia yang dahulu yang pastinya sudah mengamuk. Kini dia sangat bijak dan tenang.

"Anak itu sudah banyak berubah baru-baru ini, dia semakin bijak. Ayah rasa kecederaan dia sebelum ini tidak semudah yang kita fikirkan. Kalau tak kerana perkembangan besar ini, dia tak akan berubah sebanyak ini dalam masa yang singkat." Jun Xian tidak mengatakan apa-apa sebelum ini tapi dia sudah lama memikirkannya dan membuat beberapa tekaan.

Semua ini hanya bermula selepas dia kembali dengan semua kecederaan itu. Kesukaran apa yang telah dia alami?

Jun Qing teragak-agak seketika sebelum akhirnya memberitahu perkara sebenar tentang Jun Wu Xie memberi dia makan biji benih teratai sejurus sebelum kejadian ini.

"Biji benih teratai?" Jun Qing berkerut sedikit. Pada mulanya dia sangkakan ada orang secara sembunyi telah membuat kacau, tapi kini Jun Wu Xie pula tiba-tiba terlibat.

"Mungkin dia berikan pada saya tanpa niat lain atau badan saya tak dapat bertahan dengan racun itu. Walau apa sekalipun, saya percaya Wu Xie tak akan mengapa-apakan saya. Tapi saya perlu katakan ini, walaupun saya berasa amat letih sekarang, saya rasa lebih sihat berbanding apa yang saya rasa sejak lebih sedekad ini. Racun itu sudah meresap jauh ke dalam tulang saya selama bertahun-tahun dan walaupun racun itu tidak meragut nyawa saya, minda dan rohani saya menjadi lemah." Jun Qing risau dia akan menyebabkan Jun Wu Xie terbabit dalam hal ini jadi dia cepat-cepat cuba menjelaskan.

Dia tidak membesar-besarkan cerita, badannya masih lagi lemah tetapi mindanya sangat peka. Lagi satu, racun itu sebelum ini menyebabkan dia tidak dapat mengumpulkan tenaga rohani tetapi kini dia dapat merasakan sedikit denyutan apabila dia cuba mengesan tenaga rohaninya.

"Benarkah? Jangan fikir kamu boleh menipu Ayah. Sudah tentu Ayah percayakan Wu Xie. Tapi kalau kamu ada berasa tidak selesa, jangan sembunyikannya." Walau apa sekalipun, kedua-duanya ialah saudaranya yang terdekat dan Jun Xian tidak mahu mereka diapa-apakan.

Jun Qing senyum dan mengangguk sambil menggerakkan-gerakkan tangannya secara berlebih-lebihan demi menunjukkan kepada Ayahnya yang dia sudah benar-benar sihat.

Namun, pada ketika itu, satu perasaan aneh meluap dalam dirinya. Seluruh badannya kaku sambil dia bertafakur.

"Apa yang berlaku?" Jun Xian cepat-cepat bertanya setelah melihat ekspresi wajah Jun Qing yang pelik.

Jun Qing menelan air liur, dia kebingungan dan kelihatan seolah-olah tidak percaya.

"Kaki saya…."

"Kenapa dengan kaki kamu?" Jun Xian bertanya dengan resah.

"Kaki saya berasa...sakit?" suara Jun Qing beransur-ansur menjadi perlahan...