Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 32 - Pakar Misteri (2)

Chapter 32 - Pakar Misteri (2)

Sejak Jun Qing diracun, deria rasa di kakinya telah hilang, kecuali kadangkala kakinya berasa dingin akibat angin musim sejuk. Namun, kini dia jelas dapat merasakan sesuatu yang sudah lama tidak dirasakan sejak bertahun-tahun lalu. Walaupun rasa itu ialah kesakitan, ia masih lagi salah satu deria rasa!

"Ayah, mana Wu Xie?" Jun Qing tiba-tiba teringatkan sesuatu.

["Pak Cik percayakan saya?"]

Sewaktu Jun Wu Xie bertanyakan soalan itu kepadanya, dia tidak memikirkannya sangat, tapi kini setelah apa yang berlaku… Selepas Jun Wu Xie menanyakan soalan itu, dia memberi Jun Qing makan "biji benih teratai" dan selepas itu badannya mengalami perubahan besar.

Semua ini tidak mungkin hanya kebetulan!

Jun Xian menghantar seseorang untuk memanggil Jun Wu Xie datang ke situ.

Sebaik Jun Wu Xie memasuki bilik itu, ada sedikit aroma herba. Sebelah tangannya memegang kucing hitamnya dan dia berjalan menuju ke katil.

"Pak Cik sudah sedar." Tiada rasa terkejut pada suaranya, seolah-olah dia sudah menjangkakannya.

"Wu Xie, kali ini Pak Cik benar-benar perlu berterima kasih kepada kamu." Jun Qing tersenyum kepada anak saudaranya. Dia nampak kucing itu kelihatan gembira dan bahagia dalam dakapan Jun Wu Xie. Gadis itu memang sukakan haiwan, tetapi disebabkan sikapnya yang kurang sabar, setiap kali dia medekati haiwan-haiwan ini, semuanya tidak akan duduk diam dan melarikan diri. Jun Qing juga pernah cuba menangkap banyak kucing dan anjing untuk dipegang oleh Jun Wu Xie tetapi haiwan-haiwan itu pasti akan lari, jadi ini ialah sesuatu yang jarang dapat dilihat.

"Tak perlu, ini semua salah saya," Jun Wu Xie berkata dengan perlahan sambil mengusap bulu kucingnya dan menundukkan kepala.

Kata-katanya mengejutkan dua beranak itu.

"Wu Xie, apa maksud kamu?"Jun Xian bertanya dengan lembut, risau kalau-kalau nadanya terlalu kasar dan menakutkan cucunya.

Jun Wu Xie memandang mereka berdua dengan matanya bersinar dan perlahan-lahan berkata, "Sebenarnya, tak ada sebab untuk berahsia daripada Datuk dan Pak Cik. Ketika saya jatuh dari cerunan dulu, hampir semua tulang saya patah. Kalau tak kerana Tok Guru menyelamatkan saya, pasti saya sudah lama mati."

"Tok Guru?"

Jun Wu Xie mengangguk. "Dialah yang menyelamatkan saya dan menghantar saya balik ke Istana Lin. Tetapi, dia tidak mahu orang lain tahu tentang dia, sebab itulah dia serahkan saya kepada Wu...Abang. Sewaktu saya sedang pulih daripada kecederaan, Tok Guru lihat saya berminat mahu belajar ilmu perubatan dan dia mengambil saya menjadi anak muridnya. Walaupun saya tak tahu asal usulnya, dia penyelamat saya dan kebolehannya mengagumkan. Saya belajar ilmu perubatan bukan kerana minat, tetapi kerana Tok Guru kata memandangkan resam tubuh saya lemah dan saya tak ada roh berkontrak, ini caranya untuk saya melindungi diri saya." Jun Wu Xie memandang mereka sepintas lalu, mereka memandangnya dengan serius. Dia menyambung, "Sebenarnya, itu bukan biji benih teratai biasa. Biji benih itu diberikan oleh Tok Guru dan ada kuasa untuk membersihkan tulang sumsum."