Dia... Dia tidak marah?
"Itu sajakah?"Jun Wu Xie memandang mereka tanpa perasaan.
Reaksinya yang tenang bukan saja mengejutkan Jun Qing, malah Mo Xuan Fei juga terdiam. Ini di luar jangkaan mereka.
Sewaktu dia mahukan pertunangan itu, dia begitu terdesak dan melakukan apa saja sehingga menyalahgunakan kedudukan datuknya untuk memaksa Mo Xuan Fei bersetuju. Namun kini setelah Mo Xuan Fei mengumumkan untuk memutuskan pertunangan, Jun Wu Xie pula tidak ambil peduli.
"Jun Wu Xie, lebih baik kita berpisah. Benarkan Yun Xian untuk menyembuhkan kamu dan kita tidak akan terhutang budi lagi antara satu sama lain. Wajah Mo Xuan Fei berkerut kerana dia tidak dapat membaca niat Jun Wu Xie. Apa pula yang dirancangnya kali ini?
Jun Wu Xie melihat ke arah Yun Xian dan memerhatikannya dari hujung rambut ke hujung kaki, seolah-olah menilai sesuatu barang, dan bibirnya mengukir senyuman lembut.
"Dunia ini luas, kamu tak mahu menerokanya?" tanya Jun Wu Xie dengan nada mengusik.
"Apa maksud kamu?" Mo Xuan Fei kebingungan.
Jun Wu Yao ketawa kecil,"Saya rasa dia maksudkan sudah tiba masanya kamu berambus." Matanya sedikit berair kerana menahan ketawa sambil dengan "baik hatinya" menerangkan maksud Jun Wu Xie kepada mereka.
Air muka Mo Xuan Fei pantas berubah marah. "Jun Wu Xie, kalau kamu tak setuju dengan pemutusan pertunangan kita sekalipun, kamu perlu menerimanya. Ayahanda beta sudah pun menyiapkan titah yang akan diumumkan ke seluruh dunia esok."
Bai Yun Xian yang selama ini mendiamkan diri akhirnya bersuara dengan lembut dan perlahan. "Cik Jun, guru saya pernah berkata, setiap yang hidup pasti akan mati. Ada perkara yang tidak boleh dipaksa. Dalam keadaan kamu sekarang, meneruskan perkahwinan ini bukan keputusan terbaik." Yun Xian dengan "baiknya" memberikan nasihat dengan nada yang menyembunyikan kesombongannya.
Kesimpulannya, jangan jadi orang tidak tahu malu dan tetap mahu berkepit dengan Mo Xuan Fei.
[Berani betul dia! Cik! Perempuan ini mengecam Cik!] Kucing kecil hitam itu geram dengan pasangan curang itu.
"Saya penat." Jun Wu Xie tidak memandang pasangan itu walaupun mereka berada di depannya. Dia memusingkan badan dan memandang Wu Yao.
Jun Wu Yao terus bangun, menghulurkan tangannya dan mengangkat Wu Xie yang kecil molek, kemudian melangkah keluar dari dewan itu tanpa menoleh ke belakang.
Mo Xuan Fei semakin lama semakin berang. Jun Wu Xie tidak pernah tidak mempedulikannya tapi hari ini, dia langsung tidak akui kewujudan Mo Xuan Fei.
"Hari pun dah lewat, eloklah kamu beredar." kata Jun Qing dengan dingin. Kalau tidak kerana darjat mereka yang istimewa, sudah pasti dia akan menghalau mereka awal-awal lagi.
Mo Xuan Fei ingin mengatakan sesuatu tapi Bai Yun Xian bangun dengan rasa tidak puas hati. Mo Xuan Fei menelan saja kata-katanya dan dengan diam mengikut Bai Yun Xian keluar.
Dalam dewan yang senyap itu, wajah Jun Qing kelihatan pucat. Sejak bila Istana Lin bertoleransi dengan penghinaan? Melihatkan keadaan sekarang, dengan ayahnya yang sudah tua dan ketiadaan pewaris yang sesuai untuk Tentera Rui Lin, Keluarga Diraja sudah mula berani bertindak. Melihatkan tindakan Mo Xuan Fei hari ini, nampaknya Keluarga Diraja tidak lagi menghormati Istana Lin.
...…
Sambil membawa Wu Xie dalam dakapannya, Wu Yao tersenyum nakal.
"Kamu tak marah?" Wu Yao menundukkan pandangannya dan melihat ke arah Wu Xie. Jelas sekali Putera Kedua berniat jahat dengan sengaja datang melawat bersama kekasih barunya.
Namun, Wu Xie tidak sedikitpun nampak marah.
Wu Xie mengangkat sedikit kepalanya dan merenung Wu Yao dengan mata yang tenang dan dipenuhi persoalan.
Jun Wu Yao tidak dapat menahan diri dari tersenyum lebar sambil matanya bersinar. Tiada siapa boleh meneka apa yang bermain di fikirannya.
"Wu Xie, kamu ni penyabar orangnya."