Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 11 - Serangan

Chapter 11 - Serangan

"Saya lapar." Keutamaan Jun Wu Xie ialah untuk cepat sembuh - makin lama dia dirawat tabib-tabib penipu tu...menggigil dia memikirkannya.

Jun Wu Yao meninggalkan Wu Xie di bawah jagaan hamba-hamba dan senyap-senyap dia menghilangkan diri.

Selepas meninggalkan Istana Lin dalam keadaan marah, wajah Bai Yun Xian menunjukkan rasa tidak puas hati. Puas Mo Xuan Fei cuba memujuknya, tapi dia langsung tidak ambil peduli.

"Kalau bukan sebab kamu yang minta, kamu fikir saya akan menjejakkan kaki ke tempat tu? Dia ingat dia siapa?" Bai Yun Xian merengus sambil menggigit bibir bawahnya. Sebagai anak murid Pemerintah Puak Qing Yun, ramai orang yang mahu bertemu dengannya, tapi demi Mo Xuan Fei, walaupun dia berat hati, dia tetap pergi. Akhirnya? Dia dihalau keluar! Dia tidak pernah rasa begitu terhina.

"Yun Xian, kenapa bazirkan tenaga untuk si tak guna tu?" pujuk Mo Xuan Fei.

"Apa sekalipun, Tuanku ni Putera Raja! Merendahkan diri depan orang...Tuanku…" Bai Yun Xian mencemuh.

Wajah Mo Xuan Fei merah padam kerana malu.

"Janganlah marah. Beta pasti akan balas dendam untuk kamu." Memujuknya itu penting.

Selepas mendengar kata-kata itu, air muka Bai Yun Xian sedikit gembira.

"Jangan lupa janji Tuanku." Bai Yun Xian mengerling ke arah Mo Xuan Fei.

"Sudah tentu. Beta tak akan berjanji kosong," Mo Xuan Fei menarik nafas lega.

Untuk menggembirakan hati Yun Xian, Mo Xuan Fei tidak terus balik ke istana. Sebaliknya, mereka menaiki pedati kuda sambil diiringi sekumpulan pengawal dan bersiar-siar di luar kota. Hanya selepas Yun Xian tersenyum sebaik melihat matahari terbenam di kawasan "Lautan Bunga" yang terkenal, barulah mereka kembali ke kota.

Dalam perjalanan balik, Mo Xuan Fei memegang tangan Yun Xian sambil mereka bersandar antara satu sama lain.

Tiba-tiba pedati kuda terhenti. Sebelum itu, pedati bergerak laju jadi bila tiba-tiba berhenti, mereka hampir tercampak keluar.

"Kenapa kamu berhenti?" jerit Mo Xuan Fei.

Tapi tiada siapa menjawab soalannya.

Sewaktu dia keluar untuk memarahi mereka, dia nampak bayang-bayang seseorang berdiri dengan senyap di hadapan rombongan pengiring, sambil diselubungi kegelapan malam. Cahaya dari api obor tidak mengenai wajahnya.

"Siapa di sana?" tanya Mo Xuan Fei dengan berhati-hati. Ketika ini, Bai Yun Xian juga sudah keluar dari pedati.

Kumpulan pengawal di bahagian hadapan memerhatikan orang asing itu dengan penuh waspada. Dia mengangkat tangannya sebelum dengan tiba-tiba menggenggam penumbuknya.

Dengan serta-merta, semua badan pengawal berkecai serentak, darah terpercik merata-rata.

"Aaahhhhhhhh!" Bai Yun Xian menjerit nyaring apabila percikan darah itu mengenai pakaiannya yang cantik.

Semua obor api jatuh ke tanah, menjadikan kawasan sekeliling mereka dikelilingi api. Di tengah-tengah terdapat dua susuk tubuh ketakutan sedang berpelukan.

Sambil melihat lingkaran api itu, satu susuk tubuh berundur ke belakang. "Malangnya, saya bukan seorang penyabar." lelaki itu berbisik di bawah cahaya bulan.