Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 28 - Parut Garang

Chapter 28 - Parut Garang

Apabila Roland cuba membuatnya sendiri, barulah dia sedar realitinya tidak semudah teori.

Selepas berhempas-pulas di laman belakang istana selama empat hingga lima hari, akhirnya beberapa bit gerudi besi keras berjaya dihasilkan. Dengan bantuan Anna yang mengeluarkan api bersuhu tinggi, dia berjaya mendapat besi lebur pada suhu lebih 1,500 darjah Celsius. Tanpa sebarang kekangan suhu, dia boleh menghasilkan kuantiti kecil keluli dengan kaedah tempaan tradisional secara mudah dan pantas. Sebaik sahaja besi lebur itu dikacau dengan batang besi, lebihan karbon dan bendasing lain dalam besi jongkong itu akan bergabung dengan oksigen dalam udara dan selepas langkah ini diulangi beberapa kali, keluli berkualiti tinggi akan dihasilkan apabila leburan besi itu sejuk.

Masalahnya ialah enjin wap pertama.

Semasa jentera primitif itu digunakan, ia asyik berdentung-dentang dan bergegar teruk. Akibatnya, gerudi itu tidak dapat menggerudi bongkah besi dengan lancar. Jika untuk pembuatan barangan besi lain, gegaran ini tidak memberi sebarang kesan, tetapi lain pula ceritanya apabila mereka mahu menghasilkan laras senjata.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Roland mesti menghasilkan sebuah pengawal imbang empar bagi mengawal kuasa yang dikeluarkan enjin wap itu dan kemudian menggunakan pemasangan gear bagi mengurangkan gegaran dan menyelaraskan kadar putaran bit gerudi. Tambahan lagi, gear pemesinan memerlukan pelarik ringkas. Kalau begini caranya, Roland berasa mustahil untuk sempat menyiapkan semua ini sebelum Bulan Kunjungan Iblis.

Setelah jenuh berfikir, dia mendapati dia terpaksa menggunakan kaedah lama dan meminta tukang besi untuk mengetuk besi itu dengan tukul. Disebabkan itu, rancangannya untuk menghasilkan senapang batu secara besar-besaran tidak dapat dijalankan. Berdasarkan bilangan bengkel tukang besi di Pekan Sempadan, paling banyak boleh dihasilkan dalam sebulan hanya tiga atau empat laras sahaja; itupun jika mereka menunda proses pembuatan enjin wap kedua.

Mujurlah dia tidak perlu begitu mementingkan kejituan kualiti laras yang dihasilkan nanti. Tukang besi hanya perlu mengetuk kepingan itu menjadi bentuk paip-paip bulat sahaja. Anna akan menyambungkan paip-paip itu nanti. Hasilnya, paip-paip itu akan membentuk sebuah silinder laras licin serta kedap dan menyerupai laras yang dibuat dengan alat penggerudi dan ini akan menyingkirkan risiko laras senapang meletup kerana sambungan tidak kedap.

Roland tiada pilihan lain selain mengubah sedikit rancangan asalnya. Pada mulanya, dia mahu mengarahkan setiap pemburu di Pekan Sempadan untuk membentuk Angkatan Senapang Batu kerana kebanyakan daripada mereka mahir memanah dan sudah cekap menggunakan busur panah serta busur silang. Latihan menembak pula mengambil masa singkat, jadi angkatan ini sudah boleh dikerahkan tidak lama lagi.

Namun begitu, mulai sekarang sehingga Bulan Kunjungan Iblis kelak, hanya empat laras senapang batu boleh dihasilkan. Maknanya hanya pemburu yang benar-benar berbakat sahaja boleh membentuk sebuah angkatan elit. Roland memutuskan untuk mengamanahkan Kapak Besi bagi melaksanakan rancangan ini. Dia sudah menetap di Pekan Sempadan selama 15 tahun dan rata-rata orang mengakui dia memang pemburu terbaik.

*******************

Sepanjang dua minggu lepas, Brian memendam rasa tidak puas hati.

Setiap kali terserempak dengan pasukan tentera yang baru dibentuk itu, rasa marahnya semakin meluap-luap. Dia tidak dapat menerima kenyataan ini.

Dia berasa seperti sudah dilupakan oleh Yang Amat Mulia Putera Roland.

Sebulan yang lalu, sewaktu dia dipanggil oleh ketua kesateria untuk menghadap, Brian begitu teruja. Apabila dia menghadap Putera Roland dan baginda bertanya pelbagai perkara kepadanya, itulah saat paling menyeronokkan dan membanggakan Brian.

Dia dilahirkan dalam keluarga pemburu sederhana dan membesar di Pekan Sempadan. Kemampuannya membuatkan dia dilantik menjadi Ketua Unit Peronda. Dia tahu dia tidak cukup berpengalaman untuk menjadi seorang kesateria, jadi dia hanya mampu menunggu peluang untuk seseorang menyedarinya dan dilantik sebagai kesateria, sekiranya dia bernasib baik.

Apabila dipanggil Putera Roland untuk menghadap, dia menyangka peluangnya sudah tiba. Nampaknya Putera Roland enggan meninggalkan pekan ini dan mahu cuba mencari jalan untuk melawan makhluk-makhluk iblis itu. Selepas itu, apabila baginda memulakan pembinaan tembok kota, Brian yakin baginda serius mahu menghadapi Bulan Kunjungan Iblis di Pekan Sempadan.

Jika Putera Roland mahu cuba menghalang serangan makhluk iblis di pekan ini, baginda mesti menubuhkan angkatan tentera yang cukup berani untuk berhadapan dengan mereka. Brian yakin dia calon terbaik untuk angkatan ini kerana dia mempunyai kemahiran menyiasat, bermain pedang, dan juga menaiki kuda. Setiap tahun, dia akan setia berkawal sehingga masanya tiba untuk pasukannya menyalakan obor amaran bagi membuktikan keberaniannya. Tetapi dia tidak pernah menyangka Yang Amat Mulia Putera Roland akan memilih ahli-ahli angkatan tentera itu daripada kalangan penduduk tempatan sendiri untuk melawan makhluk iblis!

Ya, angkatan itu terdiri daripada orang kampung. Tambahan lagi, kesemua sepuluh orang ahli pasukan peronda termasuk dirinya sendiri tidak melepasi pemilihan ketua kesateria. Ini memang tak boleh diterima langsung. Jadi baginda merasakan orang kampung yang tak pernah mengangkat senjata itu lebih layak menjaga Pekan Sempadan berbanding Brian? Entah-entah sebaik sahaja bersua muka dengan makhluk iblis itu nanti, mereka akan terus lari lintang-pukang.

Tetapi nampaknya baginda tidak bergurau. Baginda bukan sekadar melatih orang-orang kampung itu, malah memberikan mereka baju seragam. Pada setiap tengah hari, Brian melihat kumpulan itu berkawad dalam dua barisan di tengah-tengah pekan dengan memakai baju perisai kulit berwarna perang dan kelabu. Pada awalnya barisan mereka kelihatan lintang-pukang, tetapi lama-kelamaan barisan kawad mereka semakin tersusun.

Dia pula? Hanya menjalankan tugas-tugas membosankan hari demi hari tanpa sebarang harapan untuk dinaikkan pangkat.

Pada malam itu, semasa Brian berbaring dan bersusah-payah cuba melelapkan mata, dia terdengar satu bunyi kuat di bilik sebelah. Selepas itu pintu biliknya dibuka dan seseorang masuk dengan perlahan-lahan.

"Hei, bangun! Awak semua bangun!" Orang itu berbisik kuat. Brian kenal suara itu; dia salah seorang ahli pasukan peronda Brian dan diberi nama gelaran Parut Garang.

Bilik Brian turut diduduki empat orang yang lain. Selain Greyhound dan dirinya, tiga orang lagi bingkas bangun dari pembaringan seolah-olah mereka sudah bersedia untuk bertindak sebaik nama mereka dipanggil.

"Kapten, cepat bangun. Saya ada perkara penting untuk diberitahu."

Parut Garang ada seorang saudara berdarah bangsawan di Kubu Longsong dan dia dikatakan berasal daripada keluarga mulia, jadi kedudukannya sangat tinggi dalam pasukan itu. Brian tidak berani melawan perintahnya jadi dia bangun lalu bertanya, "Ada apa?"

Greyhound juga sudah bangun. "Seka… sekarang sudah lewat… malam. Awak semua… tak… tidur lagi?"

"Saya ada tugas untuk awak semua. Awak mahu dilantik jadi kesateria atau tidak?"

"A…apa? Kesateria?" Greyhound terkejut.

Jantung Brian terus berdegup pantas dan dia bertanya, "Tugas apa sebenarnya?"

"Awak semua kenal bapa saudara saya, Hirte, bukan? Dia seorang earl yang dilantik oleh duke dan dia juga orang paling dipercayai duke. Saya dengar ini daripada mulut Pak Cik Hirte sendiri," Parut Garang serta-merta memperlahankan suaranya. "Putera Roland mahu memutuskan hubungan kerjasama dengan Kubu Longsong dan ini membuat Duke Ryan sangat marah. Jadi duke itu mahu memastikan dia kekal sebagai pemerintah paling berkuasa di Rantau Barat ini."

"Ja… jangan kata… awak… awak mahu…bu…bunuh…." Gagap Greyhound selalu bertambah buruk sekiranya dia gementar dan kali ini, dia tidak mampu menghabiskan ayatnya.

"Jangan mengarutlah," balas Parut Garang sambil tertawa sinis. "Tak akan kita mahu bunuh seorang putera raja pula. Kalau kita bunuh baginda, Duke Ryan pun tidak ada kuasa untuk melindungi kita. Tapi seperti yang saya katakan tadi, tugas ini satu peluang keemasan."

Tiba-tiba hati Brian terdetik mengatakan tugas ini mungkin tidak semudah yang dikatakan. Tetapi dia sangat tertarik dengan tawaran untuk menjadi kesateria itu jadi dia terus berkata, "Saya mahu dengar lagi."

"Bijirin," kata Parut Garang ringkas. "Jika tak ada makanan, Putera Roland tiada pilihan lain selain berhijrah juga ke Kubu Longsong. Duke Ryan berjanji asalkan kita boleh bakar gandum yang dikumpulkan Putera Roland, dia akan lantik kita semua menjadi kesateria. Malah dia akan berikan kita sebidang tanah di belah selatan Kubu Longsong. Kita tidak patut lepaskan peluang ini. Kapten, apa pendapat awak?"

"Awak… awak sudah gila… agaknya. Baginda sudah ka… kata tahun ini… Bulan Kunjungan Iblis akan berlarutan lebih… lebih empat bulan. Kalau awak… bakar semua bijirin, kita mahu makan apa?" Greyhound menggeleng-gelengkan kepala. "Awak sudah lu… lupa apa jadi… dua tahun lepas?"

"Apa kaitannya itu dengan kita?" Lelaki itu menjawab dengan bongkak. "Lagipun saya tidak mahu tinggal di sini. Selepas kita selesaikan tugas Duke Ryan, saya mahu hidup senang-lenang di Kubu Longsong."

"Betul. Awak mahu terus duduk mereput di sini dan sedut habuk bijih selamanya?" Mereka yang lain turut mengiyakan kata-kata Parut Garang.

"Tak guna, mereka sudah berpakat awal-awal," Brian rasa kecewa. Hanya dia dan Greyhound membesar di Pekan Sempadan, sementara yang lain pula hanya berpindah ke sini jadi mereka tidak ada rasa sayang pada Pekan Sempadan. Brian tahu sia-sia saja dia cuba menghalang mereka jadi dia mengubah topik perbualan. "Tapi semua gandum sudah diangkut ke istana Putera Roland. Pintu masuknya dikawal oleh kesateria peribadi Baginda, jadi macam mana awak mahu masuk?"

"Sebab itu saya ajak awak ikut sekali," jawab Parut Garang dengan ketawa jahat. "Awak sudah merempat di tempat ini sejak kecil lagi jadi awak cukup mahir dengan kawasan ini. Saya masih ingat lagi awak pernah kata ada telaga di belakang gunung yang bersambung dengan saluran air di bawah istana. Saluran itu boleh membawa awak ke taman istana. Malah awak kata awak pernah merangkak dalam saluran itu semasa awak kecil dulu. Jadi kalau awak ikut sekali, awak ada peluang untuk menjadi seorang kesateria – malah mungkin Duke Ryan sendiri akan melantik awak."

Tidak… Seorang kesateria sepatutnya berani dan melawan ketidakadilan. Mereka tidak patut mudah tunduk pada desakan dan mesti melindungi orang lemah! Hanya kerana mahu memuaskan dendam amarah Duke Ryan, tak akan kita sanggup biarkan penduduk pekan mati kebuluran? Kesateria seperti itu tidak ada maruah dan tidak patut dibanggakan.

Brian baru mahu membuka mulut untuk menolak tetapi tiba-tiba Greyhound memekik.

"Awak… awak semua sudah gila! Awak sampai mahu… mahu bakar gandum kita! Saya tidak akan biar… biarkan awak buat itu! Saya… akan laporkan…" Suara Greyhound terputus di tengah jalan. Matanya terbeliak dengan rasa tidak percaya dan dia memusingkan kepalanya ke belakang. Salah seorang rakan sebilik mereka menyeringai pada Greyhound. Sebilah pisau belati hitam telah ditusuk ke belakang Greyhound dan tenggelam sehingga ke hulu. Tubuh Greyhound menggigil, bibirnya terbuka untuk cuba mengatakan sesuatu tetapi hanya suara serak terkeluar dari kerongkongnya.

Penyerang itu memusing-musingkan pisau belati itu dua kali dan merentapnya keluar. Greyhound tersungkur ke lantai bilik, tubuhnya terlungkup tidak bernyawa.

"Jadi bagaimana?" Parut Garang mendekati Brian sehingga bau nafasnya yang tengik memenuhi hidung Brian. "Saya pasti awak sudah ada jawapan awak. Bukan begitu, Kapten?"