Pada awalnya, bangunan istana di Pekan Sempadan bukan berada di lokasinya sekarang.
Dahulu, semasa mereka mengorek tanah untuk membuat lapisan batu asas tembok istana, mereka menemui sebuah gua bawah tanah. Tiba-tiba tanah di atasnya telah runtuh ke dalam, jadi mereka tiada pilihan lain selain memindahkan lokasi istana.
Hampir semua terowong air yang telah siap dikorek tertimbus semasa runtuhan tanah itu. Terowong yang tidak tertimbus pula terpaksa ditinggalkan kerana mereka memindahkan tapak pembinaan istana.
Semasa Brian kecil dahulu, dia sering bermain-main dalam terowong tinggal ini, dan pada satu hari dia tidak sengaja terjumpa satu laluan dari sebuah telaga tinggal yang bersambung dengan telaga di taman istana. Brian memberitahu ayahnya tetapi dia telah dipukul teruk. Ayahnya memberi amaran keras agar tidak menceroboh istana kerana hukumannya gantung sampai mati. Sekiranya dia didapati bersalah, dia akan terus dibunuh.
Sejak hari itu Brian begitu takut dan sudah serik untuk masuk ke terowong itu lagi. Apabila dia dewasa dan berkumpul bersama kawan-kawannya, dia selalu berlagak dan berkata dia tahu jalan rahsia ke dalam istana. Sekarang barulah dia menyesali kata-katanya itu.
Selain Greyhound, ada sejumlah sembilan orang yang lain. Maknanya keseluruhan pasukan peronda sudah termakan ajakan Parut Garang, iaitu peluang untuk berkhidmat di bawah Duke Ryan, pemerintah Rantau Barat, yang punya imbuhan menggoda dan sukar dilepaskan.
Telaga tinggal itu terletak di pinggiran runtuhan gua dan sehingga ke hari ini, ia tersadai tanpa digunakan. Dengan pedang Parut Garang terhunus di belakang dan ahli pasukan lain mengasaknya, Brian mendaki turun telaga itu. Dahulunya ia saluran luas tetapi sekarang ia sudah jadi sempit. Sudah bertahun-tahun ia tidak dilalui manusia, malah arus air juga sudah beralih ke tempat lain. Daun-daun menjalar memenuhi gua itu.
Lelaki yang menikam Greyhound tadi kini berada di hadapan sekali sambil memegang jamung. Dia menundukkan badannya dan menebas-nebas semua halangan dengan sebilah kapak kecil.
Brian berpura-pura cuba mengingati jalan tetapi sebenarnya otaknya ligat mencari cara untuk melarikan diri.
Tetapi di tempat sesempit ini, peluangnya untuk lari memang sangat tipis. Dia hanya mampu berharap dia boleh cuba menyelamatkan diri setibanya mereka di istana nanti. Tapi apa yang dia boleh buat bila dia ada di sana? Jerit dan beri amaran pada kesateria peribadi Putera Roland? Tidak, Parut Garang akan membunuh dia serta-merta. Dia mesti cuba menjauhkan diri dahulu daripada Parut Garang jika tidak mahu menerima nasib sama seperti Greyhound.
Apabila teringatkan Greyhound, hatinya rasa hiba kembali.
Brian dan Greyhound sudah tinggal di Pekan Sempadan sejak ia belum menjadi pekan lagi. Mereka berdua membesar bersama-sama dan memasuki pasukan peronda atas saranan Brian sendiri. Dia tidak sangka Greyhound akan terpilih menjadi kapten pasukan peronda.
Selama ini, Brian tumpang gembira dengan tuah Greyhound. Sebelum ini dia selalu dipinggirkan orang lain kerana dia gagap. Sekarang barulah kemampuan sebenarnya telah diiktiraf. Rupanya sangkaan Brian meleset sama sekali.
Apabila Greyhound tersungkur dan disambut raungan Brian, barulah Parut Garang memberitahu sebab sebenar mereka dilantik sebagai kapten.
"Bodoh betul. Semua kapten pasukan peronda mesti tetap berkawal sehingga Bulan Kunjungan Iblis kerana mereka perlu menyalakan obor dan memberi amaran kepada semua orang. Awak ingat saya cukup bodoh untuk mempertaruhkan nyawa saya sendiri?"
Ayat itu menghiris hati Brian umpama sebilah pisau tajam.
Rupa-rupanya semua kata-kata pujian dan ucapan tahniah mereka palsu belaka. Mereka sangat keji dan tidak berperikemanusiaan. Dia cuba menyembunyikan kemarahannya dengan riak wajah terkejut dan sedih. Ini tidak boleh dimaafkan sama sekali. Brian mengetap gigi dengan kuat. Hutang nyawa mesti dibalas!
Selepas setengah jam berjalan dalam saluran air yang sudah kering itu, akhirnya mereka terdengar bunyi air mengalir.
Maknanya mereka sudah hampir dengan destinasi mereka.
Selepas memasuki satu simpang kecil, tiba-tiba gua itu menjadi lebih luas dan kini dua orang boleh berjalan sebelah-menyebelah. Kepala barisan itu tiba-tiba berkata, "Sudah tidak ada jalan di hadapan. Hanya ada lubang di tanah sahaja."
"Kenapa pula?" Parut Garang bertanya sambil menyucuk pedangnya ke belakang Brian.
"Suruh dia tengok atas," kata Brian. "Kita sudah sampai."
Terowong yang mereka lalui bersambung dengan bahagian tengah saluran air laman istana yang sedang digunakan. Mungkin pembinanya dahulu cuai dan terlupa menutup sambungan ini. Parut Garang mendekatkan tubuhnya ke dinding gua dan perlahan-lahan mendekati lubang itu sambil mendongak ke atas. Dia nampak langit malam menerusi satu bulatan kecil manakala menerusi lubang di sebelah kakinya pula, dia dapat melihat air mengalir deras di bawah.
Dia mengarahkan orang lain menjaga Brian sambil mengeluarkan seutas tali dari begnya, mengikatnya pada sebuah cangkuk besi, dan mencampakkannya ke atas. Mereka mendengar bunyi kuat yang menandakan cangkuk itu berjaya disangkutkan pada bahagian tepi dinding perigi itu.
Parut Garang berpaut pada tali itu dan mula memanjat ke atas. Tidak lama kemudian, dia menyentap-nyentap tali itu beberapa kali sebagai isyarat untuk orang lain mula memanjat.
Semalaman mereka memanjat dinding perigi itu seorang demi seorang. Istana yang sebelum ini terletak jauh dari pandangan mata kini tersergam tinggi di hadapan mereka.
Parut Garang menolak Brian ke depan dan berkata, "Sekarang cepat bawa kami ke gudang gandum itu."
Brian baru sekali menjejakkan kakinya di tempat ini. Dia ingat-ingat lupa dengan jalan di taman istana itu tetapi dia terus berjalan sambil membisu, mengopak pintu kayu terdekat dan menyusup masuk ke dalam istana.
Sekarang sudah lewat malam dan kebanyakan orang dalam istana sudah tidur lena, malah jamung-jamung yang tergantung di dinding istana semuanya sudah dipadamkan. Seseorang menyalakan api untuk menerangi gelap-gelita koridor istana itu. Api itu hanya cukup untuk memberi cahaya sejauh beberapa kaki sahaja dan Brian tahu kini peluangnya sudah tiba.
Sebaik sahaja kumpulan itu mendekati pintu tangga yang menghala ke tingkat bawah tanah, Brian tiba-tiba meluru ke arah dasar tangga itu. Walaupun orang yang menjaga Brian tadi tidak lalai langsung, pergerakannya terlalu pantas dan tidak disangka-sangka. Sebelum dia sempat membuka mulut, dia terlanggar Brian di hadapannya dan mula berguling-guling ke bawah.
Setibanya mereka di lantai tingkat bawah tanah itu, mereka ditelan kegelapan bilik dan api tadi tidak cukup kuat untuk menerangi mereka.
"Tak guna!" Parut Garang terus mengeluarkan pisau belatinya dan cepat-cepat memanjat turun tangga itu. Dia menyangka Brian akan mengambil kesempatan untuk lari bila ahli pasukan lain tidak dapat melihatnya. Tetapi Brian bukan sahaja tidak cuba untuk lari, malah dia menunggu pula ketibaan Parut Garang di bawah tangga itu.
Parut Garang melihat orang yang sepatutnya mengawal Brian tadi kini terbaring tanpa bergerak di atas lantai tanah itu. Senjatanya pula digenggam kemas dalam tangan Brian.
"Bodoh, awak ingat awak boleh menang?" Parut Garang hanya menghunus pisaunya tanpa menyerang sementara menunggu orang lain turun sekali. Dia menyambung, "Kami ada tujuh orang tapi awak cuma seorang."
Brian tidak menjawab dan dia tidak perlu memendam kemarahannya lagi. Dia menghayun pedang yang dirampas tadi dan ketika ia berlaga dengan pedang Parut Garang, percikan api menghujani kedua-dua bilah. Tanpa membuang masa, dia menikam bahu Parut Garang!
Parut Garang meraung dan terjatuh ke belakang. Kini ada seorang lagi sudah sampai ke bawah dan menghalang Brian daripada terus menikam Parut Garang.
Kedudukan Brian sangat strategik kerana koridor tingkat bawah tanah itu sempit dan hanya boleh memuatkan seorang orang dewasa sahaja pada satu-satu masa. Dia hanya perlu berdiri sambil menghadap musuh dan menikam mereka satu persatu. Mereka tidak ada peluang langsung untuk menghayun pedang mereka bagi menangkis serangan Brian.
Brian sangat yakin dengan kemahiran berpedangnya dan dia tahu dia tidak akan kalah dengan ahli-ahli lain dalam pasukan peronda itu.
Dulu semasa pasukan ini asyik berfoya-foya, berjudi, dan minum di bar, Brian sibuk berlatih dan mempertajamkan kemahirannya. Tidak kira sama ada hujan, salji, atau ribut sekalipun, dia tidak jemu-jemu berlatih bermain pedang. Sebab itu jugalah dia sengaja tidak menjerit untuk meminta tolong.
Dia sendiri mahu membalas dendam atas kematian Greyhound.