Roland duduk di meja sambil terkedu. Dia tidak sangka ada yang berani cuba membunuhnya di dalam istana. Jika Nightingale tidak sempat menjumpai kesemua pembunuh itu, mereka tentu sudah berjaya membunuh dia.
Siapa pula dalangnya kali ini? Mungkinkah kekanda ketiganya? Atau kekanda-kekanda lain? Kenapa mereka begitu tidak sabar? Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta akan berkuat kuasa untuk lima tahun lagi dan baru beberapa bulan sahaja berlalu. Roland menggenggam penumbuk dan menghentakkannya ke meja dengan geram. 'Melampau! Mereka tidak boleh biar saya lalui musim sejuk ini dulu?' bentak Roland dalam hati.
Bunyi tapak kaki kedengaran dari luar. Ketua Kesateria Carter Lannis membuka pintu dan memasuki kamar Roland. "Ampun Tuanku, semua mayat itu sudah dikenal pasti. Tujuh daripada lapan mayat itu ialah bekas ahli pasukan peronda Pekan Sempadan dan seorang lagi tidak dapat dikenal pasti. Dua orang yang ditemui masih hidup, seorang masih tidak sedarkan diri selepas disembuhkan oleh si ahli sihir… maksud saya, Cik Pine. Seorang lagi pula dipenjarakan dan sedang dikawal ketat."
"Pasukan peronda?" Roland tahu pasukan itu. Mereka dilantik pemerintah terdahulu dan memang tidak boleh diharap. Roland mengetap gigi menahan berang. Lapan daripada sepuluh anggota pasukan itu mengkhianati dia. Mujurlah dia tidak memilih mereka untuk menjadi angkatan tentera awam.
"Pastikan pengawal mengawasi banduan itu baik-baik. Jangan biarkan dia cuba bunuh diri untuk kali kedua!"
"Kali kedua?"
"Err… tiada apa-apa." Roland cuba berdalih. Nightingale mengejutkannya pada larut tengah malam dan fikirannya masih berserabut. "Beta hanya mahu dia menjawab dengan mulutnya sendiri. Beta mahu tahu siapa dalangnya, siapa orang dalam mereka, siapa rakan subahat mereka, semuanya. Kita mesti cari mereka semua."
"Perintah dijunjung, Tuanku." Carter tunduk tetapi dia tidak keluar dari kamar Roland. Sebaliknya, dia melutut ke lantai pula. "Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun. Patik gagal menjalankan tugas sehingga ada pembunuh berjaya menceroboh istana. Hukumlah Patik, Tuanku."
"Sudah. Awak tiada dalam istana semalam. Percubaan membunuh itu tidak ada kaitan dengan awak."
"Jadi…" Carter teragak-agak sebentar. "Tuanku, boleh Patik tahu siapa berjaya melawan kumpulan pembunuh itu? Apa Patik lihat semasa di tempat kejadian itu, mereka…" Kesateria itu berhenti untuk menelan air liur. "Mereka nampaknya telah dibunuh oleh orang sama dan mereka seolah-olah tidak berpeluang langsung melawan kembali."
"Macam mana awak tahu semua itu?" Roland agak kagum dengan pemerhatian Carter.
"Jika dua pihak yang sama kuat sedang berlawan, tempat pergelutan mereka mustahil sebersih itu dan masing-masing tentu akan ada pelbagai bentuk luka di tubuh mereka," Carter berkata dengan suara perlahan. "Tetapi mereka semua hanya terbaring di atas lantai gudang kita. Tidak ada satu pun barang pecah. Kotak-kotak besar tempat kita menyimpan daging kering tiada satu pun kesan tetakan pedang. Ini bermaksud orang yang berjaya melawan kumpulan pembunuh itu dapat bergerak lincah dalam tempat sempit tanpa perlu melindungi diri. Pada pendapat Patik, ini boleh dikatakan mustahil, Tuanku."
"Begitu," Roland mengangguk. Dia faham maksud Carter. Kalau orang terkuat di dunia sekalipun dikepung musuh di tempat sempit sebegitu, dia tidak akan dapat melepaskan diri dengan begitu mudah. Pertarungan di dunia sebenar bukan seperti adegan perlawanan dalam filem di mana hero akan melawan musuh seorang demi seorang. Serangan daripada titik buta hampir pasti akan membawa maut. Sebab itulah dalam sesuatu pergelutan, langkah paling strategik adalah membelakangi tembok atau dinding dan menghadap semua musuh secara depan-depan.
Namun Nightingale bukan calang-calang orang.
"Tidak mengapa. Buat masa ini, awak hanya ikut arahan Beta. Beta tidak akan bongkarkan siapa orang ini lagi. Bila masanya tiba nanti, Beta tentu akan maklumkan kepada awak."
Walaupun Ketua Kesateria itu setia, boleh diharapkan, dan tahu Anna dan Nana ahli sihir, Roland masih memutuskan untuk menyembunyikan kewujudan Nightingale buat masa ini. Berbeza daripada dua orang ahli sihir itu, Nightingale bukan betul-betul berada dalam pasukan Roland. Dia hanya tinggal di Pekan Sempadan semata-mata demi Anna. Dia ahli Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir dan suatu hari nanti, dia tetap akan meninggalkan Pekan Sempadan.
Carter keluar dengan perasaan kecewa jelas terbayang di wajahnya.
Roland memahami perasaan Carter. Sudah bertahun-tahun Carter berlatih pedang untuk meningkatkan kemahirannya dan selama ini dia belajar daripada semua pemain pedang berpengalaman. Carter menganggap semua didikan itu sebagai anutan teguh. Jadi apabila dia melihat corak perlawanan pedang yang begitu luar biasa, sudah tentulah dia mula meragui semua didikan itu. Jika ada orang lain mahir berpedang sehandal itu, apa gunanya dia belajar daripada orang-orang berpengalaman itu dulu?
"Patik ingatkan Tuanku akan membocorkan rahsia Patik," Nightingale memunculkan diri. Dia masih duduk bersilang atas sudut meja Roland.
"Beta pun rasa begitu juga. Apa kata awak tinggal di sini? Awak jadi pengawal halimunan Beta dan awak akan menerima dua keping emas setiap bulan, dua kali ganda upah Anna. Awak terima tawaran Beta?" Roland memulakan usul. Dia menambah lagi, "Awak akan dapat satu pondok di taman, cuti dua hari seminggu. Setiap tahun, awak dapat cuti berbayar. Maksud Beta, awak masih dapat upah walaupun ada hari awak tidak bekerja."
Roland agak terkejut sebab kali ini Nightingale tidak menolak serta-merta. Dia menguntumkan senyuman dan berkata tegas, "Patik tidak boleh tinggalkan keluarga Patik."
"Jadi suruhlah mereka berpindah ke sini juga. Sesudah musim sejuk nanti, Pekan Sempadan akan siap diubah suai sepenuhnya. Pekan ini boleh memuatkan jauh lebih ramai penduduk berbanding sekarang. Golongan ahli sihir juga boleh hidup bebas di sini tanpa sebarang diskriminasi. Tiada siapa akan menganggap awak sebagai orang jahat lagi."
"Baik, jadi maklumkan Patik nanti bila Tuanku sudah laksanakan semua itu." Nightingale hanya menjawab sambil lewa.
Baiklah, jadi dia mahu lihat bukti di depan matanya dulu. Roland mengubah topik perbualan. "Nana sudah selamat dihantar balik ke rumahnya?"
"Ya. Tapi dia agak ketakutan."
Putera itu mengeluh kecil. Nightingale mengejutkan dia daripada tidur pada waktu tengah malam. Apabila turun dan melihat tapak pergelutan itu, dia hampir termuntah. Nightingale menceritakan ringkas semua yang terjadi. Sesudah itu, Roland mengarahkan dia pergi mendapatkan Nana secara senyap-senyap. Anak gadis itu hanya pernah merawat ayam sahaja, jadi apabila dia melihat lelaki yang berlumuran darah itu, dia hampir pengsan.
Sejurus sebelum matahari terbit, barulah semuanya selesai.
"Apa pendapat awak tentang insiden ini? Boleh awak tahu siapa antara kekanda Beta yang menjadi dalangnya?"
Nightingale menggelengkan kepala. "Mereka semua ahli pasukan peronda Pekan Sempadan. Cuma mereka tidak membawa sebarang surat pengenalan diri. Tidak dapat dikenalpasti siapa yang mengupah mereka. Tetapi Patik percaya percubaan membunuh ini tidak ada kaitan dengan kekanda-kekanda Tuanku."
"Kenapa pula?"
"Pergerakan mereka terlalu selekeh. Ini seolah-olah kali pertama mereka melakukan rancangan jahat dan itupun mereka asyik berbalah sepanjang masa. Tidak ada seorang pun cuba membunuh diri sebaik sahaja misi mereka gagal dan dua orang ditinggalkan masih hidup. Semasa kami bergelut, mereka bukan berlawan seperti penjahat profesional tetapi laksana samseng jalanan. Rasanya mereka tidak biasa buat kerja jahat begini. Ia kelihatan seperti komplot picisan yang dirancang amatur. Kalau Patik tidak muncul pun, Patik pasti mereka akan tetap gagal membunuh Tuanku. Ingat, Anna pun sedang tidur di tingkat bawah."
Nightingale mencapai cawan air Roland, menghirupnya dengan selamba, dan menyambung percakapannya. "Apa-apa pun, kesateria Tuanku sedang menuju ke penjara untuk menyoal siasat dia sekarang. Tak lama lagi dia pasti akan dapat mengorek cerita sebenar. Kalau dibandingkan dengan muslihat kekanda Tuanku, lelaki ini jauh lebih selekeh. Malah dia merayu pada Patik agar tidak membunuh dia."
"Tapi ketua pasukan peronda yang cedera parah itu, Beta rasa Beta pernah panggil dia menghadap Beta."
"Oh ya?" Nightingale melentokkan kepalanya. "Patik rasa Tuanku perlu mengiktiraf keberaniannya. Jika dia tidak cuba menahan rakan-rakan subahatnya, Patik tidak akan jumpa mereka sepantas itu di tingkat bawah tanah. Patik tidak pasti kenapa dia melawan mereka pula, tetapi lawan kepada musuh kita ialah kawan kita, bukan?
"Betul juga," fikir Roland. Tetapi sekarang dia bukan memikirkan sama ada ketua pasukan peronda itu kawan atau lawannya; tetapi sebaliknya dia tertarik dengan satu ungkapan Nightingale.
Kawan "kita".