Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 30 - Kemunculan Misteri

Chapter 30 - Kemunculan Misteri

Musuh hanya sempat menangkis serangan Brian dua kali sebelum senjatanya turut berjaya ditepis.

"Mereka berlawan seperti samseng jalanan, bukan seperti ahli pasukan peronda rasmi," fikir Brian dengan penuh marah. "Selain memeras dan mengugut orang, apa lagi mereka tahu buat? Saya dan Greyhound melaksanakan setiap tugasan yang diberi dengan penuh amanah, tetapi kami pula dianggap kera sumbang."

Tetapi… samseng-samseng jalanan inilah yang tidak kisah apa akan terjadi kepada Pekan Sempadan dan sanggup membunuh Greyhound tanpa hati perut hanya kerana mahukan jawatan di Kubu Longsong.

Melampau!

Brian bersedia untuk menghayunkan pedangnya untuk menetak leher musuh yang sedang ketakutan di hadapan dia dan…

Pada saat itu, muncul sebuah bayang dari belakang musuh itu dan pantas menikam berhampiran jantung Brian. Serangan itu terlalu licik dan Brian tidak menyedarinya sehinggalah sudah terlambat.

Brian terkapai-kapai lalu terjatuh terlentang atas lantai gua itu. Tubuhnya melantun dan dia merasa kesakitan tajam dalam dadanya.

Selepas menggulingkan dirinya beberapa kali, Brian menggigihkan diri untuk bangun dan cuba mempertahankan diri. Tikaman tadi hanya berjaya menembusi jubah dan kulitnya tetapi tidak menyebabkan kecederaan parah. Tetapi siapa yang menyerang dia tadi? Dia tidak kenal sesiapa pun dalam pasukan peronda itu yang begitu mahir menikam dengan pedang.

"Apa? Awak berjaya mengelak tadi?" Bayang itu menolak rakan subahatnya ke tepi dan memunculkan diri.

Di bawah cahaya api jamung, Brian mendapati dia tidak pernah melihat orang ini – dia tidak tinggi, namun tangannya sangat panjang dan terjuntai sehingga hampir ke lututnya. Wajahnya tidak dikenali dan Brian pasti dia tidak pernah bertemu lelaki itu.

"Awak bukan ahli pasukan peronda. Siapa awak sebenarnya?"

Walaupun Brian jarang bertugas bersama lima ahli lain dalam pasukan peronda itu, sekurang-kurangnya dia mengenali mereka. Nampaknya lelaki ini menggantikan salah seorang daripada mereka, mengekori pasukan ini ke dalam gua dan menyusup sekali ke dalam istana. Jika Brian tidak menyedari kehadirannya, itu boleh difahami tetapi Parut Garang tentu sudah tahu dia ada sekali. Orang-orang lain pun tidak kelihatan terkejut jadi satu-satunya penjelasannya adalah Parut Garang sengaja menyelitkan lelaki ini sekali ke dalam kumpulan mereka.

"Awak sudah tahu jawapannya. Kenapa awak bertanya lagi?" Dia tersenyum tanpa sebarang emosi. "Tak kisahlah, yang penting awak akan mati juga."

"Tak guna, dia tikam saya!" Parut Garang menjerit penuh sakit hati. "Ular Kapak! Potong tangan dan kaki dia! Saya mahu dia berdarah sampai mati!"

"Malangnya tak boleh, Encik Kihls. Saya mesti menyelesaikan tugasan arahan Earl terlebih dahulu."

Tanpa melengahkan masa, lelaki yang dipanggil Ular Kapak itu terus menyerang. Pergerakannya tangkas dan samar-samar, tangannya yang luar biasa panjang pula menyukarkan Brian untuk mengelak tikaman bertalu-talu. Brian terpaksa mengundurkan diri kerana dia tidak mampu membalas semua serangannya.

'Saya terlalu cuai!' fikir Brian penuh cemas. 'Kami sudah lama berlawan di sini, tak mungkin pengawal masih tak sedar kehadiran kami?'

Niatnya mahu membalas dendam atas kematian Greyhound, tetapi kini dia hanya berharap dia mampu bertahan sekejap sahaja lagi sehingga pengawal diraja datang untuk menyerbu kumpulan penceroboh ini.

"Awak seakan-akan menanti sesuatu." Tiba-tiba Ular Kapak berhenti menyerang. "Mungkin awak tunggu pengawal diraja datang menyelamatkan awak? Sudahlah, istana ini bukan seperti kedai minum murahan. Pijak lantai sedikit sudah bunyi berkeriut. Di sini, kalau pintu ditutup, tiada siapa akan dengar awak walaupun awak menjerit sekuat hati."

Ular Kapak berjaya menghidu niat tersembunyi Brian dan ini membuatkan Brian menjadi teragak-agak. Ular Kapak mengambil kesempatan ini. Pedangnya dihunus agar lawannya tidak bergerak sementara sebelah lagi tangannya dinaikkan untuk melancarkan busur silang kecil yang terselit dalam lengan bajunya.

Sebilah anak panah sepanjang sebatang jari berdesing keluar dari celah lengan baju Ular Kapak dan belum sempat Brian berkata apa-apa, ia sudah tertusuk dalam paru-parunya.

Dadanya terasa seakan-akan meletup dengan kesakitan amat sangat. Brian mencampakkan pedangnya pada Ular Kapak dan berpusing untuk melarikan diri. Tetapi kerongkongnya kini dipenuhi darah melimpah dari paru-parunya yang bocor dan membuatkan dia sesak nafas. Dia tidak sempat berlari jauh. Dia tersadung di sebuah bendul dan tersungkur ke lantai.

Viper berkejar mendapatkan Brian dan bersedia untuk menamatkan riwayatnya tetapi dia dihalang oleh Parut Garang.

"Biar saya buat!" jerit Parut Garang dengan bengis. "Biar dia tahu apa balasannya pada orang yang berani menikam saya!"

Sekilas perasaan jengkel membayangi wajah Ular Kapak tetapi dia tetap beralih ke tepi. "Pastikan dia mati dan jangan lupa matlamat utama kita."

Parut Garang mencekup rambut Brian dan menengking, "Tengoklah, saya akan pastikan dia mati dengan seksa!"

Brian mahu meludah darah pada muka Parut Garang tetapi dia dapat rasa tenaganya semakin hilang. Inilah pengakhiran hidupnya. Semua kekesalan kini menyerbu dalam hati pilunya, seperti kekasih hati yang dia belum temui dan impiannya untuk menjadi seorang kesateria. Tetapi apa yang dia paling kesali adalah kegagalannya untuk menuntut bela kematian Greyhound.

Sekejap, apa yang baru terjadi?

Dia mengelip mata dan ada seorang wanita sedang duduk bersilang kaki di atas sebuah kotak. Dalam cahaya samar itu, wajahnya tidak jelas tetapi tubuh mungil itu memang sah kepunyaan seorang wanita.

Alamak, adakah dia sedang berhalusinasi? Semasa dia masuk bilik ini tadi, tiada sesiapa pun di dalam. Adakah dewa-dewi sedang mengasihani dirinya dan memberikan sebuah ilusi untuk mententeramkan dia semasa dia nazak?

"Hei, sudahlah tak malu masuk rumah orang, sekarang mahu bunuh kawan sendiri pula di depan saya. Ibu awak tidak ajar awak adab, ya?"

Brian dapat merasa tangan Parut Garang menggeletar dan dia melepaskan rambut Brian. Dia mendengar bunyi pedang dikeluarkan dari sarung dengan serentak, dan ada beberapa orang menjerit. "Siapa itu?"

'Kenapa mereka begitu terkejut… Nanti sekejap!' Brian termangu-mangu sambil menahan sakit. 'Bukankah ini halusinasi saya seorang?'

"Saya di sinilah." Wanita itu meloncat turun dari kotak itu dan menepuk-nepuk jubahnya untuk membuang habuk. Dengan bantuan cahaya kelam dari jamung mereka, Brian melihat jubahnya ada tenunan corak aneh. Tiga bentuk segi tiga diatur seiring dan di tengah-tengahnya ada gambar sebiji mata. Mata yang ditenun dengan benang emas itu berkilau-kilau disinari cahaya obor.

"Awak siapa? Tikus yang baru naik dari parit?" Suaranya jelas dan lembut, namun seperti tiada perasaan. Mustahil… mana ada wanita yang boleh melihat seseorang berlumuran darah dengan setenang itu?

Ular Kapak nampaknya sedar tentang hal ini juga. Dengan muka serius, dia menyelinap ke sebelah wanita itu dan tiba-tiba menikamnya.

Wanita itu tidak memalingkan kepalanya, sebaliknya hanya mengibas tangannya sedikit. Ular Kapak tidak dapat melihat senjata yang dia gunakan tetapi dia berasa angin dingin menderu menembusi tubuhnya.

Bunyi jeritan bergema dalam bilik bawah tanah itu. Parut Garang merenung Ular Kapak dengan rasa tidak percaya apabila dia melangkah ke hadapan, tetapi kemudian berundur semula. Tangannya yang sedang memedang pedang tadi tiba-tiba sudah tidak kelihatan.

Tangan yang masih erat menggenggam pedang itu kini berada di atas lantai.

Sekarang baru Parut Garang dikuasai ketakutan melampau. Mungkin orang lain tidak tahu tetapi dia sudah cukup masak dengan kemampuan sebenar Ular Kapak – ganas, berbahaya, dan sangat kejam bila dia menyerang. Itulah sebab dia dipilih oleh earl. Seseorang yang dipilih secara peribadi oleh earl tentu mempunyai kekuatan tidak tertanding. Brian sendiri sudah hampir tumpas di tangan dia. Tetapi sekarang dia pula diserang seorang wanita dengan satu lambaian tangan saja dan kini bahunya yang kudung bersembur darah.

"Apa tunggu lagi? Cepatlah bunuh dia!" Ular Kapak menjerit sambil menekup bahunya.

Selepas kehilangan banyak darah, penglihatan Brian mula kabur. Dia dapat dengar bunyi tapak kaki menghentak-hentak lantai, senjata berlaga, dan derap tubuh menghempap tanah selepas kehilangan nyawa. Apa terjadi sebenarnya? Dia cuba untuk memalingkan kepalanya untuk melihat di hadapannya.

Dan kapten peronda itu melihat sesuatu yang dia sendiri tidak dapat fahami.

Wanita itu berjalan sambil melayang seperti hantu di celah-celah orang ramai itu; kadang-kadang dia menghilang, kadang-kadang dia muncul semula. Tapi setiap serangannya mengena pada sasaran. Ia tidak kelihatan seperti sebuah pertarungan, tetapi sebuah tarian. Brian tidak pernah melihat sesiapa berlawan dengan begitu anggun dan bersahaja. Sebuah bayang berbentuk sebilah pedang dihayun-hayunkan di udara. Orang lain kelihatan seperti ulat menggeliang-geliut tanpa arah tujuan. Mereka cuba menyerang balas tetapi sia-sia sahaja. Mereka tumbang seorang demi seorang dan akhirnya hanya wanita itu sahaja kekal berdiri di antara timbunan mayat di kakinya.

Itulah perkara terakhir dilihat Brian sebelum dia pengsan.