Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 32 - Kesateria

Chapter 32 - Kesateria

Sebaik sahaja Brian mencelikkan mata, benda pertama yang dia lihat adalah siling berwarna putih pudar.

Cahaya matahari yang terang masuk menembusi jendela. Brian memejamkan matanya sedikit dan membukanya kembali tetapi cahaya matahari itu masih terlalu terang.

"Ini bukan mimpi rupanya," fikir Brian dalam hati. "Saya… Saya masih hidup?" Dia tidak berdaya mengangkat tubuhnya tetapi hanya mampu menggerakkan jarinya sahaja. Brian berasa seolah-olah badannya kehilangan tenaga.

Kemudian Brian terdengar suara seseorang. "Dia sudah sedar. Maklumkan Baginda sekarang."

"Baginda?" Brian berasa otaknya masih belum bersedia untuk berfungsi, jadi dia terbayang perkara yang bukan-bukan. "Sekejap, bagaimana saya boleh pengsan?" Brian ingat-ingat lupa ketika Ular Kapak menembak panah ke dadanya. Dia yakin ajalnya sudah hampir tiba tetapi seorang wanita tiba-tiba muncul, melayang seperti hantu, dan menumpaskan semua musuh Brian dengan sekelip mata.

Tidak lama kemudian, beberapa orang dayang datang dan membantunya duduk bersandar pada kepala katil. Seorang lagi dayang membawa sebekas air untuk membasuh kakinya. Brian tidak pernah dilayan sebegini rupa, sudahlah dayang-dayang itu masih muda, jadi dia merasa agak tidak senang duduk.

Mujurlah kejanggalan itu tidak berlarutan. Sebaik sahaja Putera Roland masuk ke dalam bilik itu, semua orang berhenti kerja dan menunduk hormat.

Jantung Brian berdegup pantas. Pelbagai pertanyaan mengasak fikirannya tetapi lidahnya tetap kelu. Putera Roland menganggukkan kepalanya seraya berkata, "Beta sudah tahu tentang jasa awak, Brian. Awak memang wira sejati."

Bila Baginda menuturkan perkataan "wira", mata Brian mula bergenang dan suaranya terketar-ketar sambil berkata, "Tidak… Tuanku, wira sebenar ialah kawan…"

Roland menepuk bahu Brian untuk mententeramkan dirinya.

Seperti diramalkan Nightingale, Parut Garang membocorkan segalanya sebaik sahaja dia diheret masuk ke bilik soal siasat. Warden penjara langsung tidak perlu menyeksanya dahulu.

Dalang utama komplot ini bukan kekanda-kekanda Roland. Sebaliknya, ia angkara Keluarga Rusa Tanduk dari Kubu Longsong. Earl daripada Keluarga Rusa Tanduk telah menghubungi saudara jauhnya, Kihls Medde atau dikenali juga sebagai Parut Garang, untuk menyusup masuk dan memanipulasi pasukan peronda Pekan Sempadan melalui habuan dan pengasingan. Selain itu, Earl itu juga menggantikan salah seorang ahli pasukan peronda itu dengan orangnya sendiri untuk memastikan rancangannya berjalan lancar. Matlamat mereka bukannya untuk membunuh Roland tetapi mahu membakar semua bekalan makanan agar Roland terpaksa berhijrah ke Kubu Longsong.

Komplot ini telah mengakibatkan kematian seorang ahli pasukan peronda yang tidak bersalah – Greyhound. Dia mahu menghalang rancangan jahat kumpulan Parut Garang tetapi dia dibunuh ahli pasukan lain dengan pisau. Ahli pasukan peronda itu yang digantikan Ular Kapak masih tidak dijumpai. Mungkin dia melarikan diri selepas melihat rancangan mereka gagal kerana gudang istana tidak terbakar dan Parut Garang tidak kembali dengan serta-merta.

Roland menunggu sehingga Brian bertenang dan menyambung, "Kawan awak, Greyhound, akan diberikan pengebumian selayaknya. Keluarganya akan diberi pampasan lumayan dan mereka tidak perlu risau tentang makanan lagi."

"Terima kasih, Tuanku," Brian menghela nafas dalam. "Tuanku, izinkan Patik bertanya… Adakah Parut Garang sudah mati?"

"Dia masih hidup buat masa ini."

Kapten pasukan peronda itu memejamkan mata untuk menyembunyikan perasaan sakit hatinya. Dia lebih rela mengheret Parut Garang ke neraka bersama dia daripada diselamatkan begini. Sekarang mustahil Parut Garang akan diberi balasan setimpal. Memang Parut Garang bersalah tetapi kesalahan seorang ahli keluarga bangsawan hanya boleh dihukum dengan setakat denda sahaja.

Roland seolah-olah boleh membaca fikiran Brian. "Kihls Medde, orang yang awak panggil Parut Garang itu, ialah ahli Keluarga Rusa Tanduk dari Kubu Longsong. Keluarga itu diketuai Luke Medde, seorang Earl yang dilantik Duke Ryan dan juga bapa saudara jauh Parut Garang…" Roland berhenti seketika. "Tetapi darah bangsawannya tidak akan diambil kira dalam penyabitan kesalahannya. Parut Garang akan dihukum gantung sampai mati. Dia akan digantung dalam masa tiga hari. Jika awak sudah cukup kuat pada masa itu, awak boleh tengok sekali."

Mata Brian terbeliak. "Tapi… Tapi, Tuanku… Tuanku boleh menuntut duit emas sebagai denda daripada keluarga bangsawan itu. Keputusan Tuanku tentu akan membangkitkan kemarahan…"

Roland mengangkat tangan sebagai isyarat untuk menyuruh Brian bertenang. "Keluarga bangsawan? Mungkin bagi awak, Parut Garang yang dilahirkan dalam Keluarga Rusa Tanduk mempunyai kedudukan sosial lebih tinggi daripada awak. Tapi sebenarnya dia tidak boleh digelar bangsawan kerana dia tiada pangkat mahupun tanah. Kalau dia betul-betul bangsawan sekalipun, dia mesti menerima hukuman berat atas semua kesalahannya – menceroboh kediaman diraja, percubaan memusnahkan bekalan makanan dan mempertaruhkan nyawa 2,000 orang penduduk Pekan Sempadan."

Roland teragak-agak semasa mahu menghukum mati Tyre tapi Parut Garang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Jika rancangan Parut Garang berjaya dilaksanakan, semua usaha Roland membangunkan Pekan Sempadan akan musnah sepenuhnya. Roland tidak akan mendapat peluang lain untuk mencuba semula. Ini jauh lebih membinasakan daripada setakat membunuh Roland.

Adakah keputusan ini akan membangkitkan kemarahan Kubu Longsong? Peduli apa! Kalau Earl sendiri enggan berbincang secara baik dengan Roland dan sanggup membawa musibah kepada Pekan Sempadan, Roland tidak akan sesekali memberi muka kepada dia selepas ini. Cubaan membunuh ini juga bertindak sebagai amaran kepada Roland – persengketaan politik pada zaman ini jauh berbeza dengan kemelut pada zaman Cheng Yan. Dalam dunia moden Cheng Yan, pemimpin politik lebih gemar bersengketa senyap-senyap manakala dalam zaman ini pula, mereka lebih cenderung menonjolkan kebencian dan permusuhan mereka.

"Berehatlah dulu. Awak sudah banyak kehilangan darah jadi baik awak jangan tinggalkan istana lagi. Beta sudah mengarahkan orang lain menggantikan tugas awak dalam pasukan peronda. Beta juga akan mengadakan upacara pengurniaan pingat kepada awak selepas Bulan Kunjungan Iblis berakhir."

"Tu…Tuanku…" Selepas mendengar ayat terakhir Putera Roland tadi, Brian memandangnya dengan rasa tidak percaya. "Maksud Tuanku…"

"Ya, awak akan menjadi kesateria diraja, Encik Brian," Roland menjawab seraya tersenyum.

*******************

"Sedia? Tikam!"

Van'er melunjurkan sebatang galah panjang pada sudut dan kekuatan sama seperti sebelum ini.

Ini kali ke-100 dia melunjurkan galah itu.

Lengannya sudah lenguh teruk dan Van'er rasa dia sudah tidak mampu meneruskan latihan ini lagi. Walaupun dia sudah mahu putus asa semasa kali ke-50 dia melunjur galah tadi, dia tetap mengikut arahan Kapak Besi secara automatik selepas seminggu mereka berlatih. Van'er sendiri terkejut dia boleh sampai sejauh ini.

"Semua orang rehat!"

Sebaik sahaja Kapak Besi melaungkan arahan untuk berehat, Van'er mendengar helaan nafas lega dari keliling dia. Van'er pun merasa lega juga. Dia meletakkan galahnya ke bawah dan terus jatuh terduduk.

Sekarang barulah Van'er mengerti angkatan tentera ini bukannya pasukan biasa-biasa yang hanya bertugas membantu askar diraja serta kesateria. Selepas seminggu menjalani latihan aneh, corak latihan mereka menjadi lebih rasmi. Contohnya sekarang, mereka sedang berdiri atas tembok kota dan berlatih menusuk lembing – walaupun lembing mereka digantikan dengan galah, Van'er sudah faham peranan dan tanggungjawabnya dalam angkatan ini.

Pasukan logistik tentu tidak perlu latihan sebegitu. Maknanya Van'er dan rakan sepasukan lain mesti bersemuka dan melawan makhluk-makhluk iblis di tembok kota. Van'er rasa seram sejuk. Mulanya dia ingat mahu curi-curi lari tetapi selepas melihat rakan-rakannya gigih berlatih dan memikirkan makanan sedap serta gaji lumayan, Van'er tidak sanggup untuk melepaskan semua itu.