Semakin hari, cuaca menjadi semakin sejuk. Roland pula semakin lambat bangun pagi.
Sebagai kelas atasan, dia tidak perlu bangun awal pagi. Lebih-lebih bila sudah selesa berlingkar atas katil dibaluti tiga lapis selimut baldu, seluruh tubuhnya tenggelam dalam keempukan tilam bila dia berbaring. Jadi dia memang susah mahu bangun awal.
Tapi selepas dia menggagahkan diri untuk bangun, Roland membersihkan dirinya dan masuk ke dalam kamar kerjanya. Nightingale sudah bertenggek di atas meja sambil menunggu dia.
"Ini sarapan Tuanku. Patik sudah makan separuh semasa panas-panas tadi, tapi sekarang ia sudah sejuk," katanya sambil mencemik muka seperti anak kecil. Dia menyua dagu pada roti yang bersisa atas mejanya seolah-olah dia cik puan besar istana ini.
"Tak ada orang ajar awak yang awak patut hormat seorang putera?" tanya Roland sambil dia menolak pinggan-pinggan itu ke tepi dan duduk di atas kerusinya. "Seingat Beta awal-awal dulu awak begitu beradab-sopan."
Dalam hati, Roland mengeluh panjang. Dia tidak sangka Nightingale akan jadi mesra secepat ini dan dia akan sentiasa berkepit dengan Anna atau dia. Pada mulanya wanita itu masih menyembunyikan dirinya tetapi sekarang jika tiada orang luar, dia sudah berani berlegar-legar dalam kamar pejabat Roland tanpa memakai kerudung pun.
"Beradab macam ini?" Dia meloncat dari atas meja ke lantai dan buat-buat menunduk rendah seperti seorang wanita bangsawan. "Kebelakangan ini Tuanku selalu lambat bangun pagi. Tuanku jarang habiskan sarapan Tuanku jadi Patik hanya tidak mahu membazir rezeki saja." Dia berjalan mendekati Roland dan berkata, "Tapi sebenarnya Tuanku tak kisah, bukan? Patik tahu Tuanku bukannya suka etika dan protokol yang melemaskan."
"Dia boleh baca fikiran jugakah?" Soalan itu terlintas di hati Roland. "Itu pun dia tahu?"
Roland malas mahu bertekak. "Suka hati awaklah, tapi lain kali kalau awak mahu makan sarapan Beta, habiskan saja. Beta akan pesan orang dapur buat lain nanti."
"Baik, Tuanku!" Nightingale tersenyum riang seraya mengangkat pinggan makanan Roland dan membawanya ke satu sudut.
Roland membentangkan sehelai kertas kekulit kosong. Dia sudah bersedia untuk menyiapkan lukisan rekaan yang dia belum habiskan semalam.
Jika dia mahu mempertahankan Pekan Sempadan, dia mesti membuat perancangan teliti supaya jika dia kalah sekalipun, dia takkan menanggung kerugian dan kehilangan nyawa yang tinggi. Angkatan tenteranya baru saja mula berlatih dan bukan askar berpengalaman kerana tidak pernah berperang dan Roland takut jika mereka kalah teruk, mereka akan hilang semangat untuk terus mempertahankan tembok kota mereka.
Dia memerlukan senjata yang lain daripada yang lain jika dia mahu mempunyai kelebihan menentang makhluk iblis nanti.
Dia memerlukan senapang batu.
Zaman ini mempunyai semua unsur yang diperlukan bagi ciptaan senapang batu. Ahli alkimia sering menghasilkan sesuatu yang mereka namakan serbuk salji untuk sambutan keraian istana. Sebenarnya ia serbuk api tetapi dengan nisbah kombinasi berbeza agar ia membakar dengan lebih perlahan. Bila ia dimasukkan dalam tiub tembaga, ia hanya menghasilkan bunyi letupan kecil.
Sepatutnya dalam masa seratus tahun lagi, prototaip pertama untuk senapang batu atau harquebus akan dicipta. Senjata api bertongkat itu mempunyai fungsi rumit dan bergantung pada kerjasama dua orang penembak untuk mengisi peluru dan melepaskan tembakan. Biasanya ia hanya boleh digunakan untuk sekali tembakan sahaja. Kepantasan dan kuasanya jauh lebih lemah daripada seorang pemanah terlatih.
Sudah tentu Roland tidak mahu mengulang sejarah lama. Lebih baik dia memanfaatkan kemampuan ahli sihir dan terus hasilkan senapang batu yang benar-benar praktikal untuk digunakan, seperti masa dia mencipta enjin wap itu tempoh hari.
"Patik ada tertengok senarai pesanan Tuanku atas meja sebelum Tuanku masuk tadi." Nightingale menelan kunyahan terakhir dia dan bertanya lagi, "Apa yang Tuanku mahu buat dengan begitu banyak ais? Sekarang musim sejuk. Kalau Tuanku mahu minum air sejuk, letak saja cawan Tuanku di luar tingkap."
The noble liked to use ice during summer, namely, the ice made of saltpeter. Then they could cool their milk, wine or juice for enjoyment. Thanks to winter's blessing, the current purchasing price for saltpeter was very low.
Orang kelas atasan suka menggunakan ais semasa musim panas, khususnya ais yang diperbuat daripada kalium nitrat. Mereka gunakannya untuk menyejukkan susu, wain, atau jus agar lebih enak dinikmati semasa hari panas. Tapi oleh sebab sekarang musim sejuk, harga jualan semasa untuk kalium nitrat jatuh merudum.
"Kalau mahu buat keju beku, suhunya tak cukup rendah lagi. Kalau tak cukup sejuk, ia takkan menjadi," dalih Roland penuh hati-hati.
Walaupun wanita di hadapannya ini bukan musuhnya, Roland masih tidak kenal dia seperti dia kenal Anna. Tidak seperti enjin wap, pembuatan senapang batu agak ringkas dan tidak memerlukan pengetahuan teknologi canggih. Jika ia dihasilkan dengan meluas, ia bakal membahayakan projek pembinaan Roland. Selagi dia masih belum kenal Nightingale dengan lebih rapat, lebih baik jika dia berahsia dan tidak mendedahkan semua rancangannya. Memikirkan ini, dia bertanya sesuatu yang sudah lama dia fikirkan. "Selain mencari Pergunungan Suci bersama, adakah Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir membantu melatih pembunuh juga?"
"Tidak, kami hanya sekumpulan orang yang bersama-sama berusaha mencapai impian kami," jawab Anna sambil mengibas tangannya dan menyambung, "Lagipun Patik baru masuk Persekutuan itu dua tahun lepas."
"Maksud awak, sebelum ini awak bekerja dengan orang lain?" Mustahil Nightingale boleh membaling pisau dengan begitu mahir tanpa diajar orang lain atau tanpa dilatih selama bertahun-tahun. Roland sangat pasti dengan itu. "Selain daripada Beta, ada lagi orang lain yang sudi mengajar seorang ahli sihir?"
"Sudi mengajar?" Nightingale mengulang kata-kata Roland dengan nada sedikit bingung. "Sudah tentulah tidak. Kalau dia tahu Patik akan jadi ahli sihir, dia akan halau Patik serta-merta. Tapi selepas itu, kalau Patik tak buktikan kemahiran Patik ada gunanya, dia tentu akan arahkan Patik dibunuh."
"Oh? Boleh awak ceritakan lagi?"
Nightingale menggeleng kepalanya sambil tersenyum dan kali ini, air mukanya lebih sukar mahu ditafsirkan. "Tuanku, Patik akan ceritakan semuanya bila tiba masanya nanti. Patik tahu kerisauan Tuanku yang sebenarnya. Tapi usah risau, sudah lima tahun Patik bersendirian dan bukan berada dalam upahan majikan lain."
Misi mengorek cerita gagal, pertanyaan Roland dibidas lembut oleh Nightingale. Tetapi jawapannya secara tidak langsung mengesahkan sangkaan Roland. Maknanya sekurang-kurangnya lima tahun lalu, dia mempunyai majikan lain. Mujurlah orang itu hanya mengambil kesempatan sementara daripada kemahiran Nightingale, dan bukannya merekrut ahli sihir secara besar-besaran macam apa yang Roland mahu lakukan.
Roland tidak bertanya lebih lanjut. Dia menundukkan kepalanya dan menyambung lukisan rekaannya.
Selepas beberapa ketika Roland tersedar keadaan kamarnya jadi senyap dan hanya diselang-seli dengan bunyi kayu api terbakar dalam pendiang. Nightingale selalunya suka berkeliaran dalam bilik ketika Roland membuat kerja tetapi bila dia mengangkat kepala untuk meregangkan lehernya yang lenguh, dia mendapati Nightingale sudah tiada dalam kamarnya.
"Dia tak beritahu saya pun dia mahu keluar," Roland merungut sendirian sambil menggulung kertas kekulit itu dan menyelitnya di saku dalam baju luarnya.
Dia meneruskan rekaannya selama beberapa hari. Selepas itu, semua lukisan, rekaan senjata serta salinannya berjaya disiapkan.
Roland bercadang untuk menghasilkan senapang batu, senjata api popular pada zaman kuno dulu dan tahap kesukarannya sama dengan harquebus, cuma serbuk apinya dimasukkan dari belakang dan peluru pelor dimasukkan dari depan. Kadarnya adalah hampir tiga tembakan setiap minit. Jadi ia lebih daripada cukup untuk menumpaskan makhluk-makhluk iblis yang tiada akal.
Kebanyakan haiwan tidak boleh memanjat tembok batu jadi jarak tembakannya kira-kira sama dengan jarak dari puncak tembok hingga ke tanah iaitu dalam empat meter. Dalam jarak ini, sukar untuk penembak tidak mengena sasaran dan kelajuan asal peluru takkan berkurangan. Asalkan kulit makhluk iblis itu tidak diperbuat daripada besi, mereka boleh dibunuh dengan satu tembakan sahaja.
Cuma satu kekurangan senapang batu adalah tempoh pembuatannya yang sangat lama. Mulanya, seperti harquebus, ia dibentuk dengan ketukan bertalu-talu menggunakan tukul. Dari laras hingga ke picu, tiga bulan diperlukan untuk menyiapkan satu pucuk senapang batu. Dalam banyak-banyak bahagiannya, bahagian laras yang paling banyak memakan masa. Tukang besi mesti mengetuk kepingan besi menjadi bentuk silinder yang nipis, menyadurinya dengan serbuk besi dan kemudian mengukir alur berpilin di bahagian dalamnya. Walaupun ia tidak memerlukan ukuran yang jitu, tukang besi yang bertanggungjawab untuk ini mesti ada kemahiran yang cukup tinggi untuk menghasilkan laras yang berkualiti.
Sebab itulah Roland mencipta dan menghasilkan enjin wap itu terlebih dahulu.
Bila ada enjin wap itu, Roland boleh terus menggerudi bongkah besi dengan gerudi keluli untuk menghasilkan silinder yang berongga. Jadi tempoh pembuatan boleh disingkatkan tanpa bergantung kepada tenaga pekerja mahir. Sekarang Roland hanya perlukan meja pelantar untuk melekatkan batang besi itu sebagai dasarnya.