"Tuanku, apa makna semua ini?" Sebelum ini Carter hanya menganggap telatah Putera Roland berbeza daripada orang lain tapi kali ini nampaknya putera itu benar-benar sudah hilang kewarasan.
Kalau dalam soal melatih askar, tiada siapa yang lebih layak dalam hal ini berbanding ketua kesateria itu sendiri. Keluarganya sudah mencipta kaedah latihan yang lengkap, di mana seorang budak lelaki berusia 10 tahun akan dilatih menjadi seorang askar dan akan menguasai penggunaan semua jenis senjata dalam masa lima tahun sahaja. Jika dia menyambung latihannya selama lima tahun lagi, dia boleh menjadi askar mahir, seorang kesateria yang arif dengan tatacara hidup kelas atasan – dan sudah semestinya pelatih itu tidak boleh datang daripada keluarga orang kebanyakan.
"Tengok semua orang bodoh ini. Baru sebut telur sudah terliur!" cemuh Carter dalam hati. "Sudahlah telur pun mahal!"
Roland menjawab santai, "Tengok sajalah nanti. Tapi ingat, mereka mesti dilatih begini untuk beberapa hari akan datang. Beta akan membuat beberapa perubahan dan Beta akan tulis semua butirannya nanti."
Semasa era Perang Dingin, negara-negara terlibat tidak boleh melatih sekumpulan askar berkelayakan dalam masa dua atau tiga bulan. Roland tidak pernah terfikir mahu berbuat demikian kerana dia tidak perlukan tentera Sparta yang bengis dan cukup kuat untuk menyembelih haiwan liar dengan tangan kosong. Setiap orang askar ini tidak perlu mempunyai kekuatan, cuma mereka mesti berdisiplin dan melaksanakan setiap arahan tanpa gagal.
Sebuah kumpulan yang bersatu-padu lebih berkuasa daripada seorang individu sekuat Badang. Perpaduan hanya boleh dicapai dengan penerimaan dan kekariban. Jadi Roland mesti mengasuh mereka sebagai sebuah unit dengan pantas. Latihan ketenteraan moden dengan sedikit pengubahsuaian untuk diaplikasikan dalam situasi semasa merupakan pilihan yang tepat. Menurut pengalaman peribadi Cheng Yan semasa dia mengikuti kem latihan khidmat negara dulu, mereka memerlukan masa separuh bulan sahaja untuk menyatukan belia dari seluruh negara menjadi satu unit yang padu. Kesannya memang terbukti nyata, tak kira proses apa pun yang dijalankan.
Bila kumpulan orang kampung ini sudah benar-benar memahami kepentingan disiplin, barulah Roland boleh melaksanakan langkah seterusnya dalam rancangannya.
Akhirnya Van'er gagal juga mendapat telur kedua itu.
Mereka terpaksa berdiri dua kali ganda lebih lama berbanding kali pertama tadi dan mereka bertahan sehinggalah seseorang sudah tidak tahan lagi dan jatuh tersungkur.
Pada masa itu, barulah Putera Roland mengumumkan masa rehat untuk mereka dan mengarahkan para pembantunya menyajikan makan tengah hari. Kemarahan orang ramai terhadap lelaki yang jatuh tadi dengan pantas bertukar menjadi kerakusan untuk mendapatkan makanan. Tapi Van'er syak Yang Amat Mulia Putera Roland memang tidak mahu berikan telur kedua itu sejak awal lagi.
Makan tengah hari dibawa dalam empat kawah besar yang dibawa menaiki pedati kuda ke pinggir pekan itu. Selain makanan, pedati itu juga membawa banyak mangkuk dan sudu kayu.
Van'er menjilat-jilat bibirnya dan bersedia untuk menyerbu pedati itu bersama orang lain tetapi mereka dihalang oleh ketua kesateria.
Yang Amat Mulia Putera Roland mengarahkan semua orang beratur dalam empat barisan dan tampil seorang demi seorang untuk mendapatkan satu mangkuk dan satu sudu. Sesiapa yang memotong barisan akan dipaksa menjadi orang terakhir yang mendapatkannya.
Orang-orang kampung itu berhimpit-himpit dan saling menolak untuk membentuk empat barisan. Van'er bernasib baik kerana dia orang pertama yang berdiri di hadapan barisan yang paling kiri. Sudah tentu ada sesetengah orang yang tidak puas hati dengan kedudukan mereka. Bunyi pertengkaran dan pergaduhan didengari dari belakang salah satu barisan. Beberapa kesateria dan pengawal meluru ke dalam barisan itu dan menghalau si pengacau tadi.
"Bodoh", fikir Van'er bila dia melihat si pengacau yang dimaksudkan itu. Itu Buku Lima Gila, samseng paling jahat dalam pekan mereka. Dia suka mencetuskan kekecohan di mana-mana pun dan paling mudah menghayun penumbuk tetapi sekarang dia hanya mencangkung di tengah-tengah kerumunan pengawal yang menghunus pedang padanya. Dia nampak begitu menyedihkan sekarang.
Van'er rasa dia sudah faham cara pemikiran Putera Roland.
Baginda suka keadaan yang teratur.
Mereka mesti berdiri dalam barisan lurus, mereka dipaksa beratur untuk mengambil makanan, mereka mesti mengikut arahan… Dulu ada pedagang yang biasa berjalan jauh pernah menceritakan kepada Van'er yang sesetengah kaum bangsawan ada tabiat yang aneh; mereka tidak suka sesuatu yang tidak teratur dan jika ada apa-apa yang keluar dari aturan, mereka tidak dapat menahan diri daripada mengaturkannya semula.
Pada Van'er pula, orang macam itu hanya terlebih bosan dan tak ada kerja lain mahu dibuat. Jadi bila tak ada susah, mereka sengaja mencari susah.
Dia tak sangka Yang Amat Mulia Putera Roland berperangai sebegitu.
Sebaik sahaja penutup kawah dibuka, Van'er terhidu aroma makanan yang menyelerakan.
Bau lazat itu tersebar keliling mereka dan Van'er hampir tidak dapat mengawal dirinya. Orang lain juga mula keresahan sehingga Kesateria Carter terpaksa menjerit untuk menenangkan mereka. "Nanti mesti kami terpaksa beratur balik lagi," getus hati Van'er.
Ya, seperti yang diramalkan, Putera Roland meminta mereka berbaris lagi untuk mengambil makanan seperti mereka berbaris mengambil mangkuk tadi.
Air liur mereka sudah berjejeh-jejeh dan perut mereka berkeroncong lapar. Tetapi bila melihat apa yang terjadi pada Buku Lima Gila tadi, mereka memaksa diri untuk beratur dengan penuh sabar.
Kawah-kawah itu berisi bubur bijirin yang baru siap dimasak. Van'er terkejut bila mendapati ada daging kering juga dalam bubur itu! Walaupun dia hanya mendapat kepingan yang nipis, daging tetap daging! Tambahan lagi, dia dapat juga dua telur seperti yang dijanjikan tadi.
Van'er melahap keseluruhan bubur itu sehingga licin. Malah dia menelan sebiji telur terus tanpa mengunyah pun. Dia menelan makanan yang panas tadi dengan begitu cepat dan tergopoh-gapah jadi sekarang lidahnya sudah terbakar.
Selepas menjilat mangkuk itu bersih, dia meletakkannya ke tanah, mengusap perutnya dan tersendawa kekenyangan. Sudah lama dia tidak menikmati makanan selazat itu. Tapi yang lebih penting lagi, ia memberikan rasa kepuasan yang tidak terhingga pada dirinya. Jika dibandingkan dengan seberapa banyak roti kelat sekalipun, bubur bijirin daging tadi terasa seumpama makanan syurga. Dia terfikir, kalau dia boleh makan seperti ini setiap hari, dia tidak kisah kalau perlu melawan makhluk iblis di tembok kota.
Selepas makan tengah hari, mereka disuruh berehat panjang. Mereka dibawa kembali ke dalam kawasan pekan dan berjalan sehingga ke kem batalion tentera. Seorang lelaki kaum asing yang bertubuh besar serta sasa muncul dan mula mengajar mereka cara membina khemah kain.
Van'er kenal orang asing itu – hampir semua orang dalam pekan itu kenal benar dengan Kapak Besi. Kemahiran memanahnya cukup hebat dan mengatasi pemburu paling berpengalaman di pekan itu. "Sekejap. Jadi Kapak Besi bekerja bawah Putera Roland sekarang? Kalau tak silap saya tengok dia di sebelah barisan kesateria tadi." Van'er mengerutkan dahi. "Betulkah baginda buat begitu? Bukankah Kapak Besi berasal dari Negeri Pasir?"
"Betulkah Tuanku mahu lantik seorang rakyat Negeri Pasir sebagai kapten?" Rupanya Carter ada persoalan yang sama. "Dia bukan orang Kerajaan Graycastle. Dia bukan orang dari benua kita pun."
"Ahli sihir pun bukan orang Kerajaan Graycastle," balas Roland, "tapi mereka orang Pekan Sempadan. Lagipun, bukankah awak ada untuk memerhatikan mereka untuk Beta?"
"Tapi, Tuanku…"
"Sudah." Roland menepuk lembut bahu Ketua Kesateria itu. "Asal-usul seseorang tidak penting dalam kerajaan Beta. Asalkan mereka tidak melanggar undang-undang negara, mereka masih rakyat jelata Beta. Jika awak benar-benar risau, awak boleh lantik dua orang kapten lagi yang berkelayakan. Lagipun pasukan ini akan bertambah besar kelak jadi awak mesti mula melatih pemimpin yang sesuai. Beta sudah menulis semua peraturan latihan kita. Usah risau lagi tentang orang Pasir Besi itu, baik awak tumpukan perhatian pada ini dulu."
Carter menyambut kertas kulit yang disua oleh Roland. Dia membaca seimbas lalu isi kandungannya dan keningnya terangkat tanda terkejut. Latihan seperti ini memang tidak tercapai oleh akalnya. Mereka mesti lari mengelilingi Pekan Sempadan pada waktu tengah hari mulai pukul dua petang hingga senja. Peraturan itu menyatakan semua orang mesti menjalani ini dan mereka dibenarkan saling membantu. Jika mereka bertahan dan tiada siapa menyerah kalah, mereka akan mendapat sebiji telur lagi semasa makan malam. Satu lagi, semasa semboyan dibunyikan pada waktu malam, semua orang mesti bersiap dan beratur secepat mungkin. Kalau dengan latihan seketat ini, Carter risau ramai orang akan berputus asa pada hari keesokannya.
Beberapa peraturan awal sudah sukar diterima oleh Carter tetapi peraturan yang terakhir benar-benar membuat dia bingung.
'Setiap kali selepas makan malam, semua anggota diwajibkan ke sekolah Cikgu Karl untuk pelajaran budaya.'
"Tuanku, apa maksud Tuanku dengan 'pelajaran budaya'? Tuanku mahu ajar mereka membaca dan menulis?"
"Ya, niatnya begitulah. Tapi masa kita singkat. Karl hanya sempat ajar mereka beberapa perkataan dan angka mudah agar mereka boleh membaca dan menulis arahan. Beta sendiri sudah menjelaskan pada Karl tentang tugas dia. Awak hanya perlu menghantar mereka ke sana saja."
"Tapi kenapa Tuanku mahu buat ini? Apa gunanya tahu membaca kalau mahu melawan makhluk iblis?"
"Mana awak tahu ia tak berguna?" Roland menguap kepenatan. "Angkatan tentera yang bagus handal berlawan dan berilmu juga. Itulah pengajaran dari masa lampau."