Chereads / STRAYS : Peluang Kedua / Chapter 42 - BAB 38 : HITAM PUTIH, BAHAGIAN 4

Chapter 42 - BAB 38 : HITAM PUTIH, BAHAGIAN 4

"Huh…Huh…Huh…" Wanita bermata merah hijau tercungap-cungap dengan pakaian serta badannya berlumuran dengan darah, kelihatan di hadapannya, dua ekor anjing besar bermata tiga dan juga mayat-mayat samseng yang bergelimpangan.

Alex, White dan seorang lelaki berbadan tegap memandang saja dia, pistol Alex diacu ke arahnya sedang White mengubah badannya pada bentuk harimau besinya. Lelaki berbadan tegap itu tersenyum sinis saja memandang wanita itu.

"Nampaknya sel mutasi kau teraktif…" kata White, wanita itu mengetap giginya, riak wajahnya berubah bengis.

"Se-Sekarang aku ada kuasa macam kau! Aku bunuh kau! Jangan dekat dengan aku!" jerit wanita itu, terdesak, anjing-anjingnya juga menunjukkan gigi mereka yang tajam.

"Aku perlukan orang macam kau…Disebabkan kau Mutant, kau boleh berada di pangkat tertinggi dalam organisasi aku." balas White dengan tenangnya, dia mengambil satu langkah kehadapan, sambil itu Alex menurunkan pistolnya.

"Kau gila. Baru saja tadi kau cuba bunuh aku…Semua…Semua orang aku mati sebab kau jugak…Apa masalah korang? Ka-Kami takde perang atau cari masalah dengan sesiapa!" balas wanita itu, masih gerun dan ragu-ragu dengan White.

"Kami…sedang bersihkan dunia kongsi gelap. Mana-mana kumpulan yang tak mahu bergabung di bawah White Tigers, kami akan musnahkan. Era baru dah bermula, manusia berkuasa, Mutants macam kita akan berada di atas manusia-manusia lemah…" terang White.

"Apa yang kau cakapkan? Aku…tak faham langsung!" keluh wanita itu.

"Pilih. Sertai White Tigers…atau mati disini. Jangan rugikan kehidupan kau." kata White, dia melangkah lagi ke hadapan.

Wanita itu ke belakang dan menggerakkan tangannya ke hadapan dalam keadaan terdesak, kedua-dua ekor anjingnya terus menuju pantas ke arah White.

"Merugikan." keluh White, dia terus menghentak kepala seekor anjing sehingga terbelah dan Alex pula melepaskan tembakan yang menembusi kepala anjing kedua dan keluar dari belakang, terus membunuhnya juga.

Kedua-dua ekor anjing itu cair menjadi kolam darah, wanita itu ingin menggerakkan tangannya namun Alex melepaskan lagi tembakan tepat pada tapak tangan wanita itu.

"Ah!" jerit dia kesakitan, White mendekatinya pula dan mengenggam tangannya erat, wanita itu menutup saja matanya, redha dengan nasibnya.

"Bertenang, bos. Dia hanya takut saja…Bukannya dia sakitkan kita ke apa." Lelaki berbadan tegap itu dapat menahan tangan White sebelum terkena pada wanita itu, riak wajah White kosong saja sedang senyuman masih melekat pada wajah lelaki itu.

"Hei, cik puan…Marilah sertai White Tigers. Tak rasa boleh tahan bos lama lagi ni." pinta lelaki itu, dia memandang wanita itu pula. Kelihatan tangannya bergetar menahan tangan White.

"B-Baik. Aku…sertai White Tigers…" balas wanita itu. White akhirnya menarik semula tangannya, dia menghembuskan nafas panjang. Dia berjalan pergi, lelaki berbadan tegap itu menurunkan badannya dan memandang saja wanita itu, dia terduduk lemah di lantai.

"Aku *******. Apa nama cik puan?"

"Nora…"

Aku tiada pilihan lain selain daripada tunduk pada mereka. Kumpulan aku dibunuh semuanya…Aku terselamat pun kerana Mutant Cell aku teraktif tiba-tiba.

Mereka memang berikan aku posisi tinggi dalam White Tigers hanya kerana aku Mutant. White memang tekad untuk ubah dunia kongsi gelap, dia sendiri akan turun dan jatuhkan kumpulan-kumpulan samseng lain.

Sangat berbeza dengan ketua samseng lain yang menyorok, White tunjukkan sendiri kenapa Mutants berkuasa, dengan tangannya sendiri. Dia tawan satu dunia kongsi gelap hanya dalam masa beberapa bulan…

"Macam mana dengan bilik baru, Cik Nora?" soal lelaki berbadan tegap, dia memasuki bilik baru Nora, kemas dan dihias cantik.

"Tak perlu panggil aku 'cik' lagi rasanya." keluh Nora.

"Aku hanya hormat 'cik' saja, tapi kalau nak aku panggil kau Nora saja, aku takde masalah." balas lelaki itu, Nora mengeluh.

"Ikut kau." balas Nora.

Lelaki pelik. Ada sesuatu pasal dia yang buatkan aku rasa sesuatu tak kena tapi aku tak boleh terangkan.

"Ngaaaurrr!" Dua ekor anjing Nora menggigit seorang lelaki berkali-kali sedang Nora dan lelaki berbadan tegap itu memandang saja.

"Ah! Berhenti! Berhenti! Arrrghhhh!" Lelaki yang diseksa mereka itu meraung kesakitan, lelaki berbadan tegap itu menepuk bahu Nora perlahan menandakan dia untuk berhenti, Nora mengenggam tangannya menyebabkan dua ekor anjingnya berhenti bergerak.

"Sekarang…kau boleh buka mulut kau?" soal lelaki berbadan tegap.

"Y-Ya! Aku bagitau!" keluh lelaki yang terseksa itu pula.

Kehidupan aku sebagai Mutants menyelesakan. White Tigers dibina oleh kami semua, kawalan kuat kami pada dunia kongsi gelap, duit yang bertimbunan banyak.

Muncul pula 'Lelaki Bertopeng' yang cuba ancam kami. Bodoh, sangat bodoh. Tak kisahlah dia Mutants ke atau berkumpulan ke.

Mereka akan hancur semuanya di bawah kuasa kami.

"Waaauurrghhh!" Anjing gergasi bermata enam membuka mulutnya luas cuba menerkam Khairul, dengan dua bilah pedangnya, Khairul menahan dirinya daripada diterkam. Nasuha melepaskan pancaran cahaya yang menolak anjing itu ke belakang memberi peluang untuk Khairul menjauhkan dirinya.

Pada masa sama, Kyoko menfokuskan serangannya ke arah Nora, lelaki-lelaki yang mengelilingi Nora melepaskan tembakan mereka pada Kyoko. Dengan kepantasannya, Kyoko mengelak semua peluru, dia menumbuk seorang lelaki, hasil kuasa kilatnya membuat tumbukannya merenjat lelaki itu.

Khairul cuba membelah kaki anjing gergasi itu namun bilah pedangnya tidak cukup panjang menembusi anjing itu sepenuhnya, dia dilempar oleh kaki anjing itu. Anjing gergasi melompat ke arah Khairul namun ia dihalang oleh perisai cahaya yang dicipta Nasuha.

Kyoko dapat menjatuhkan lelaki yang terakhir tetapi Nora dapat mengambil kesempatan untuk mencipta rasaksa baru dari tangannya. Dia membentuk seekor ular merah yang terus mengigit Kyoko dan menolaknya jauh dari Nora.

"Dia laju, nampaknya dia tahu kalau dia jatuhkan aku dulu, rasaksa panggilan aku akan berhenti juga. Tapi…boleh ke kau terus fokus pada aku bila anak buah kau dalam bahaya yang amat, kilat." monolog Nora, dia mencipta pula dua ekor burung hering yang mempunyai sayap seperti pisau, kedua-dua burung itu terbang terus ke arah Nasuha.

"Ergh!" Nasuha terkena bilah kedua-dua ekor burung itu pada bahu dan sisi tepi perutnya.

"Nasuha! Arghh!" Khairul risau akan Nasuha menyebabkan dia terhilang fokus dan dihentak oleh anjing gergasi, Nasuha terbang sambil mengelak kedua-dua ekor burung itu. Dia kesakitan dan menutup luka di sisi perutnya.

"Sakit…Sakit sangat…" monolog Nasuha.

"Kuso!" Kyoko menyambar kilat ular yang mengigitnya sehingga makhluk itu cair menjadi tumpahan darah semula. Dia melihat keadaan Nasuha yang cedera dan anjing gergasi yang menguasai Khairul, Kyoko sempat menjeling Nora sebelum terbang ke arah Nasuha.

"Kwaak!" Dua ekor burung itu cuba menyerang Nasuha lagi namun kali ini, Nasuha sempat mencipta perisai di sekelilingnya. Kyoko terus menyambar kilatnya sehingga kedua-dua ekor burung itu hancur.

"Nasuha, luka kau?" tanya Kyoko.

"Tak dalam…Tolong Khairul dulu." balas Nasuha, Kyoko hanya mengangguk saja dan terus menuju ke arah Khairul pula. Nasuha melihat lukanya, darah sudah berlumuran keluar tetapi dia memaksa lukanya tutup menggunakan kuasa cahayanya.

"Arrh!" Nasuha menahannya namun dia kembali diserang oleh burung hering yang lain, Nora memandangnya saja.

"Star Slash!" Nasuha membelah terus kedua ekor burung hering baru yang Nora hantar ke arahnya, matanya mengeluarkan cahaya yang terang, Nasuha kelihatan bengang.

Kyoko pula membawa Khairul jauh dari anjing gergasi itu.

"Macam mana keadaan Nasuha?" soal Khairul.

"Katanya luka tak dalam…Kau pula? Boleh teruskan lagi ke?" balas Kyoko sambil menyelit soalannya sendiri.

"Ah…Aku boleh lagi cumanya serangan aku langsung tak sakitkan anjing tu." kata Khairul, Kyoko terus mengenggam belakang baju Khairul.

"Jangan buang masa dengan serang kaki dia. Terus serang kepala dia!" Kyoko terus menerbang Khairul ke atas anjing itu, dia melempar Khairul sekuat mungkin.

"Baiklah!" jerit Khairul sambil memusingkan badannya di udara, kilat mengikuti belakang badannya membuat dia menuju pantas ke arah anjing itu. Khairul membelah masuk ke dalam kepala anjing itu sebelum keluar dari belakang badan anjing itu, berlumuran dengan darah.

Nora kelihatan gerun seketika melihat apa yang Khairul lakukan namun dia segera menghantar burung-burung hering ke arah Khairul, perisai cahaya menghalang makhluk itu, Nasuha terbang pula di belakang Khairul, dia mencipta pendinding cahaya di sekeliling mereka berdua.

"Apa mereka buat?" soal Nora sendirian, Kyoko menolak pula Khairul dan Nasuha dari belakang, mereka bertiga memecut laju ke arah Nora.

"Mati jelah cepat!" Nora menghantar ular gergasi dan dua ekor anjingnya ke arah mereka bertiga, ular itu menggigit pendinding cahaya Nasuha, menolak mereka bertiga ke belakang sedikit dan mengurangkan kelajuan mereka.

Dua ekor anjing itu pula mendekati Kyoko memaksa dia mengelak tetapi Kyoko terus melibas anjing itu dengan sebatan kilat. Pendinding cahaya Nasuha retak hasil gigitan kuat ular gergasi, dia dan Khairul segera ke belakang juga sebelum ular itu menghancurkan pendinding.

"Aku takkan buang masa bermain lama lagi dengan korang! Blood Summon, Chimera!" Nora menggunakan kuasanya, dia mencampurkan semua binatang darahnya menjadi seekor Chimera. Makhluk berkepala singa dan kambing, bersayap kelawar dan ekornya pula seekor ular.

"Terasa dejavu, huh, Nasuha?" keluh Kyoko.

"Sama macam…masa tu." balas Nasuha, dia teringat akan rasaksa Syauqi, Hanna dan Cikgu Syahir yang dihadapinya sebelum ini.

"Masa bila?" soal Khairul yang keliru. Sebelum sempat sesiapa menjawab persoalannya, Chimera itu mengeluarkan nafas asid ke arah mereka, Nasuha mempertahankan diri dan kumpulannya dengan mencipta perisai cahaya namun perisai itu terus cair selepas terkena nafas asid itu.

Chimera itu menuju laju pula ke arah Khairul, ekor ular pula masih menembak asid memaksa Nasuha menggunakan kuasanya untuk pertahanan, Kyoko mengubah posisi Khairul agar dia lebih selamat, Khairul cuba menikam makhluk itu dari tepi namun sayap Chimera itu melibas wajahnya.

"Aaaurrrghhh!" Chimera mula terbang, Nasuha melepaskan Star Slash pada makhluk itu namun serangannya tidak cukup kuat untuk membelah makhluk itu dan hanya melukakannya saja. Kyoko menarik Nasuha pula sebelum dia terkena serangan Chimera.

"Hiyaarghh!" Khairul menyerang pula Nora namun Nora sempat bertindak menghantar ular yang menolaknya jauh.

"Sikit saja lagi…" keluh Nora dalam hatinya, Khairul membelah mulut ular itu, dia kelihatan bengis dengan kostumnya yang berdarah.

"Nasuha…Ke-Kenapa tak guna Star Beam?!" soal Kyoko, dia membawa Nasuha mengelak hentaman dari Chimera lagi.

"Saya tak boleh fokus…Dari tadi, binatang-binatang ni menyerang tanpa henti." keluh Nasuha, Kyoko menghembus nafas panjang.

"Kami akan beri kau masa dan fokus. Jangan fikir apa-apa, lepaskan je Star Beam…Star Beam yang macam haritu." balas Kyoko, teringat akan Star Beam Maximum Output yang dilepaskan oleh Nasuha sebelum ini, yang dapat menolak Stray Farah sehingga terpelanting jauh.

"Baik…Hati-hati." pesan Nasuha, Kyoko mengangkat ibu jarinya sebelum melancarkan dirinya ke arah Chimera, dia menyambar makhluk itu dan menjatuhkan mereka berdua ke lantai semula. Nasuha meletakkan kedua-dua tangannya ke hadapan dan mengambil nafas yang panjang, lukanya di sisi perut terbuka sedikit.

"Arh!" Nasuha cuba mengendahkan rasa sakit itu, cahaya yang banyak terkumpul di sekelilingnya.

"Aaaurrghhh!" Chimera berkali-kali cuba menerkam Kyoko namun dia dapat mengelak semua serangan dan menyambar lagi makhluk itu dengan kilat yang kuat menyebabkan dia terhenti bergerak seketika.

Badan aku sakit…Otak aku celaru. Tapi aku pernah sakit. Endahkannya saja…Fokus…

Khairul masih cuba menyerang Nora, serangannya yang tidak berhenti membuat Nora tidak dapat melepaskan binatang-binatang yang sempurna dan besar maka Khairul dapat membelah semuanya dengan pantas.

"Menyusahkan!" Akhirnya Nora menghantar kura-kura tempat dia duduk, kura-kura itu berpusing dan berlanggar dengan Khairul, kedengaran bunyi tulang yang retak, Khairul terpelanting dan berlanggar dengan dinding.

Khai! Tak…Tak…Fokus!

Kumpulkannya…Macam haritu. Kau boleh lakukannya…

"Kiarrghhh!" Hembusan nafas asid Chimera terkena sedikit pada Kyoko menyebabkan bahagian kiri kostumnya cair, Kyoko segera mengoyakkan bahagian kostumnya itu agar asid tidak merebak namun tapak tangannya terbakar oleh asid itu sedikit.

"Mendokse!" keluh Kyoko, Chimera cuba mencapainya dan Kyoko mengelak lagi. Sayap makhluk itu mula berkibar, dia menuju pantas ke arah Kyoko.

"Takde…tenaga dah!" keluh Kyoko, dia sudah kekurangan kilat, makhluk itu semakin mendekatinya.

"Star Beam!" Nasuha akhirnya melancarkan pancaran Star Beam tepat mengena sisi badan Chimera.

"Aaaaurrrhhh!" Makhluk itu tertolak ke belakang, Kyoko terus tersenyum.

"Kau perisai mereka Nasuha, kau rasa kau boleh lakukannya?"

"Aku percayakan korang…"

"Maximum Output!" Pancaran cahaya Star Beam semakin besar dan kuat menolak Chimera, Nasuha mengarahkan pancarannya agar dia dapat menolak Chimera ke arah Nora.

"Ap-" Sebelum sempat Nora bertindak, dia dilanggar oleh Chimera. Star Beam menelan mereka berdua ke dalam cahayanya.

Nasuha turun dengan perlahan, dia hampir terduduk namun dia menahan dirinya. Luka di sisi perutnya ditutup oleh Nasuha. Kesakitannya mula terasa semula, Kyoko mendarat di tepinya dan Khairul bergegas ke arah mereka.

"Nasuha…Kau okay tak? Lu-luka kau?!" Khairul cemas melihat darah pada sisi kostum Nasuha, senyuman terukir di wajah Nasuha.

"Aku okay…Aku pun Mutant, kau tahu? Luka aku taklah pulih laju tapi aku akan okay." balas Nasuha, Khairul menghembuskan nafas panjang, dia membelai kepala Nasuha.

"Kadang-kadang aku hampir lupa…Betapa menyeramkannya kuasa kau sebab kau comel Nasuha." keluh Kyoko, mereka bertiga memandang ke hadapan, kelihatan dinding yang terbakar dengan Nora tersandar padanya.

"Aku…bunuh dia ke?" soal Nasuha, Kyoko bergerak ke arah Nora kemudian memeriksanya.

"Dia tak sedarkan diri saja. Badan Mutants mungkin boleh tahan serangan macam tadi tapi kalau kena manusia, rasanya dah rosak semua organ dalaman…" balas Kyoko, Nasuha melihat tapak tangannya, ianya terbakar sedikit.

"Fuh…" keluh Nasuha.

"Apa kita nak buat dengan dia?" soal Khairul.

"Mesti ada tali dekat mana-mana…" Kyoko mencari tali di sekeliling bangunan itu, tiba-tiba deria pendengaran Khairul terdengar bunyi siren yang mendekati mereka.

"Ada…polis datang? Mereka dah dekat." kata Khairul, bunyi siren itu akhirnya didengari oleh Nasuha dan Kyoko. Nasuha cuba terbang namun dia tidak cukup kuat lagi, Khairul segera mengambil tangannya.

"Kita menyorok dulu. Aku nak tahu apa yang mereka akan buat." cadang Kyoko.

"Pasti?" soal Khairul.

"Ya…" balas Kyoko yang kelihatan tekad, dia terus membawa Khairul dan Nasuha pergi ke tingkat atas dengan siling yang terbuka menggunakan kekuatan yang tersisa. Siren polis sudah kedengaran kuat di hadapan bangunan itu, dua kereta kebal dengan label 'Pasukan Khas : Superhuman' berada di hadapan bangunan markas itu.

"Macam mana mereka tahu?" bisik Nasuha.

"Mungkin sebab kita hancurkan bumbung bangunan ni?" keluh Kyoko,dia teringat akan betapa bodohnya pilihan mereka untuk hancurkan bumbung bangunan markas White Tiger itu. Nasuha membuat wajah janggal dan Khairul tersenyum pahit.

Anggota Pasukan Khas yang berperisai dan bersenjata mula menyerbu bangunan itu, Syafiq berjalan masuk, dia melihat sekeliling.

"Cari sampai ke lubang cacing…Pastikan kalau ada Superhuman disini, mereka tak terlepas dari genggaman kita."