Bapa duduk di beranda rumah sambil menarik asap rokok, secawan kopi yang masih berasap menunggu untuk diminum. Aku tiba bersama beg kecil berisi pita rakaman, buku nota, pen dan beberapa benda yang kurang penting.
"Apa tu Nal?" bapa tanya, muncung mulut menghala pada beg di tangan.
"Alat menulis dari pejabat." aku balas.
"Jangan tulis yang tak patut je bapa minta." bapa balas sambil melirik pada Zainal.
"Ermmmm, pak boleh…"
"Kau sudah makan ke belum? Kalau belum pi makan dulu." Rasyid sampuk sebelum anaknya sempat habiskan ayat.
"Dah lepas kerja tadi. Errr, jadi bapa sudah…"
"Tunggu mak kau masuk bilik dulu baru bapa cerita. Nanti risau mak kau dengar." Rasyid cuba tenangkan Zainal yang kelihatan gemuruh.
Zainal angguk perlahan. Udara nyaman malam membuatkan mata rasa segar. Bunyi cengkerik dan katak kedengaran tak jauh dari rumah. Bunyi guruh jauh di utara memberi pesan hujan mungkin turun lewat malam nanti.
"Nal, kalau nak makan ada ibu tinggalkan lauk dalam periuk atas dapur. Cuma panaskan. Nasi ada dalam mangkuk mak sudah simpan asing. Mak masuk tidur dulu, pening rasanya kepala ni." suara dari ruang tamu mengejutkan Zainal yang mengelamun.
"Ya mak. Terima kasih. Nak Zainal picit kepala mak?" sejak bapa tiada memang tugas Zainal menjaga mak.
"Tak. Kamu dua cerita lah. Bapanya jangan tidur lewat sangat. Nanti masuk angin, bengkak sana sini susah lagi nak solat." mak kedengaran bercakap dari dalam bilik. Rasyid cuma senyum sambil merenung anaknya.
Selepas mak masuk dalam bilik, suasana bertambah sunyi. Bapa senyap, matanya merenung jauh menembusi bukit bukau dan gunung beratus batu jauhnya. Surat yang mana?" Rasyid jawab tapi matanya masih merenung arah dusun buah yang gelap jauh di hadapan.
"Surat yang bapa cakap dia...ermmm..wu...jud." Zainal perlahankan suara pada akhir ayat.
Rasyid tunduk seketika kemudian renung Zainal. Bibirnya bergerak seperti ingin katakan sesuatu tetapi akhirnya dibatalkan niat itu.
"Dah sedia? Bapa akan ceritakan semua tetapi hanya sekali. Jadi dengar dengan teliti. tak ada ulangan. Bila ada yang Zainal tak faham, jangan soal bapa macam macam. Tulis je dalam buku nanti bapa akan terangkan."
Zainal angguk, buku nota dibuka lebar, pen sedia dititip pada muka kertas. Terdapat sedikit getaran pada tangan yang memegang pen tetapi Rasyid tak hiraukan itu sedikit pun. Memang patut sesiapa saja yang mendengar pengakuannya ini berhak meluahkan rasa takut, berhak menunjukkan rasa gementar. Sebab dia yang telah melalui pengalaman itu tahu apa perasaan takut bila berdepan dengan sesuatu yang tak difahami.
"Bapa akan mulakan cerita ini dari hari pertama melalui proses tahanan. Ini untuk memudahkan Zainal faham bila cerita ini berlanjutan. Baiklah kita mulakan." Rasyid menarik nafas panjang, nyalakan sebatang rokok dan dengan hembusan panjang dia menoleh ke arah Zainal.
"Hari pertama kami dimasukkan dalam penjara adalah hari yang paling sukar dilupakan. Selepas dijatuhkan hukuman, kami dipindahkan dari lokap sementara ke pusat penjara negeri. Didalam van penjara ada beberapa orang senasib dan sepanjang perjalanan, bapa rakamkan pemandangan ke dalam memori sebab itu kali terakhir kami melihat erti kebebasan.
Apabila sampai ke bangunan penjara, kami dibawa masuk ke bahagian pemprosesan banduan baru dan ketika itu bermula hidup kami sebagai banduan. Langkah pertama ialah tanggalkan semua pakaian. tak boleh ada seurat benang pun melekat di tubuh. Masa itu soal malu sudah tak wujud dalam hidup. Saat itu, semuanya berubah. Kami menjadi manusia yang baru. Umpama kain putih yang kotor, kami bakal dibersihkan tak kira dengan apa cara sekalipun. tak kira disental , diberus atau dihempas atas batu, objektifnya adalah kain putih itu mesti bersih.
Kami diperiksa dengan teliti, setiap rongga dalam badan, lubang sekecil jerawat pun diperiksa setiap kali kami masuk atau keluar dari mana-mana bilik dalam kawasan bangunan penjara. Kami diasingkan dan dimasukkan dalam bilik tahanan sel mengikut jenis kesalahan. Setiap bilik sel dihuni beramai ramai. Ada yang 6-7 orang, ada juga sehingga 20-30 orang bersesak seperti ikan masin. Kami diberi masa untuk tidur, untuk makan. Setiap detik, setiap saat dihitung. Kami diberikan taklimat tentang peraturan dalam penjara dan mana satu katil kepunyaan kami selama kami merengkok dalam penjara.
Selepas pemeriksaan kami diberikan sepasang baju seragam penjara, dua buku sabun mandi, berus dan ubat gigi. Baju seragam penjara adalah mengikut jenis kesalahan. Masa bapa dalam lokap polis, baju ialah warna Oren.
Lepas tu tukar warna ungu bila dah masuk proses reman dan proses bicara kat mahkamah. Bila masuk penjara tukar ke baju biru atau dikenal dengan nama "Kolar Biru". Baju biru untuk tahanan yang menjalani hukuman melebihi 18 bulan termasuk penjara seumur hidup dan sepanjang hayat. Setelah pakai baju biru selama 10 tahun, bapa diberikan baju warna hijau muda iaitu baju "Pra Bebas." Tahanan dalam penjara pandang kita dari warna baju. Bila dah pakai baju hijau muda maka setiap kali jumpa dengan tahanan lain mesti akan tanya bila dibebaskan.
Tapi sebelum tu pada tahap awalan ramai yang tewas dengan perasaan sendiri. Ada yang tahan sehingga seminggu dan ada juga yang bergelut dengan kesedihan sebaik sahaja malam pertama mengakhiri pusingan nya. Apabila kenyataan itu tiba baru kami sedar bahawa bilik segi empat yang berpintu besi ini lah rumah kami mulai saat itu dan orang yang tak dikenali dalam bilik itu akan menjadi rakan bersedih atau gembira selama kami menjalani tahanan. Takde pangkat, gelaran, keistimewaan atau kemewahan yang diberikan. Kami semuanya sama, orang yang bersalah.
Apabila seorang manusia hilang hak dirinya, hilang kebebasan diri dan hilang maruah maka setiap penyesalan terasa 100 kali lebih berat dari diluar sana. Tetapi kehilangan keluarga adalah pengalaman yang paling perit. Apatah lagi bila terkenang anak isteri diluar sana yang ditinggalkan tanpa sebarang harta, terasa hati mengalirkan darah setiap kali teringatkan mereka.
Maka dari sana timbul sesalan yang membawa kepada perubahan diri. Ketika itulah ayat keramat ini kerap bermain di dalam fikiran setiap banduan "kalau lah dapat aku ubah apa yang terjadi pada hari itu."
Itulah sikap manusia. Penyesalan hadir hanya selepas terlanjur langkah. Bukan sebelumnya.
Ada tiga kategori dalam penjara iaitu pengawasan maksimum, pengawasan sederhana dan pengawasan minimum. Penjara dalam negara kita bukan seperti penjara di negara asing. Lebih kurang seperti masuk ke dalam sekolah asrama penuh cuma bezanya cikgu yang mengajar tu adalah anggota polis dan banduan adalah pelajar.
Pada bulan kedua dalam tahanan, bapa berazam untuk ubah nasib diri dan mula mengingati segala rutin harian sebagai banduan. Bapa sibukkan diri dengan mengikuti kelas kemahiran hidup. Selain itu, bapa juga sertai kursus sukarelawan. Bapa belajar membuat perabot. Belajar membuat pasu. Belajar menjahit dan yang paling bapa suka, belajar bidang mekanikal dan pembentungan. Bapa ingin menjadi kontraktor pembentungan apabila dibebaskan kelak. Setelah setahun belajar kursus pembentungan, bapa daftar dalam ujian kursus perpaipan dan lulus dengan cemerlang. Bapa dikenali sebagai Orang Kerja atau O.K dan mempunyai baju seragam yang berlainan warna dengan tahanan lain. Kira warna seragam ni umpama tahap seseorang tu dalam penjara. Jika tahanan lama, seragam biru. Jika tahanan awal baju kuning. Jika tahanan yang bekerja seragam hijau, contoh je lah.
Kompleks penjara pusat ada enam bangunan. Bangunan A dan B adalah pusat tahanan banduan. Bangunan C ialah bangunan pentadbiran dimana pejabat Penguasa Penjara, cafeteria untuk kakitangan penjara, klinik perubatan, pusat kaunseling, perpustakaan terletak. Bangunan A adalah penjara untuk banduan jenayah dan banduan hukuman mati. Bangunan B adalah untuk banduan tak merbahaya dan tahanan sementara.
Setiap bangunan mempunyai 20 sel utama dan setiap sel utama mempunyai 12 bilik lokap. Setiap bilik lokap mempunyai 4 hingga 7 orang banduan. Semakin ringan kesalahan mereka, semakin ramai pesalah didalamnya. Ini kerana mereka tak menjalani hukuman yang lama. Ada yang cuma beberapa bulan, ada yang seminggu. Tahanan yang menjalani hukuman lebih dari 10 tahun biasanya ditempatkan dalam bilik lokap yang berasingan. Dua atau 4 orang berkongsi satu bilik. Dalam bilik begini hidup lebih selesa sebab pakai katil berkembar atau Double Deck. Kalau lokap yang besar biasanya tidur atas lantai dengan tilam nipis je beramai ramai kadang sampai 20 orang.
Setiap bangunan dilindungi pagar kawad tinggi. Ada empat menara yang memantau setiap sudut. Banduan bangunan A tak boleh merayau ke bangunan B dan seterusnya. Lagipun bangunan dimana kami ditempatkan itu mengikut jenis kesalahan. Bapa duduk di bangunan A." Bapa berhenti bercerita. Dia nyalakan sebatang rokok dan hirup kopi yang dingin. Aku sempat menjeling jam tangan, pukul 11.30 malam.
Setiap bangunan mempunyai kawasan tahanan istimewa yang bergelar Sel Segregasi dan dalam Sel Segregasi ini ada 26 unit sel didalamnya yang mewakili huruf A ke Z. Bangunan A dan B ada sel segregasi masing-masing."
"Untuk apa Sel Segregasi tu pak?" Zainal tanya sambil menulis.
"Sel Segregasi atau Segregation Cell atau lebih ringkas kami panggil Sel Seg atau Sel S adalah bilik tahanan untuk banduan yang bermasalah atau mencetuskan masalah walau sudah berada dalam penjara. Contohnya banduan yang terlibat dalam pergaduhan, cederakan anggota petugas atau kes yang lebih teruk, membunuh tahanan lain. Dibina di bawah tapak bangunan, kawasan ini memang mengerunkan kerana selain dikurung selama 23 jam sehari, tiada cahaya matahari yang tembus ke dalam kecuali cahaya lampu suram . Satu jam yang diperuntukkan bagi banduan dalam Sel Seg selalunya digunakan untuk bersenam atau berjemur matahari. Tahu tak kalau manusia kurang dapat cahaya matahari, kulit mereka jadi lembut atau senang merekah, senang luka."
"Berapa lama mereka dikurung dalam tu?"
"Tengok kesalahan. Ada kena 30 hari. Ada 45 hari. Ada kena 100 hari." Rasyid terangkan pada Zainal.
Rasyid berhenti sekali lagi kali ini untuk mematikan api rokok kemudian sambung semula cerita.
"Sel Seg ni bagi bapa, umpama neraka. Hanya mereka yang tak betul atau mempunyai niat tertentu yang tak kisah dihumban ke dalam neraka ni dengan sengaja mencetuskan masalah ketika dalam tahanan umum. Mereka tahu apa hukuman yang menanti tetapi mereka tetap buat. Sel Seg kalau tak biasa boleh buat orang jadi gila. Bayangkan dikurung 23 jam dalam sel yang gelap tanpa ada sesiapa pun boleh bawa berbual. Gelap, sunyi dan bau hapak, hangit, busuk."
Rasyid diam, mata merenung lantai rumah, jari melakar sesuatu di permukaan kemudian menghela nafas panjang. Dia bakal melepaskan satu beban yang telah lama dipikul. Beban yang telah lama minta dibebaskan.
Dia tengok Zainal dan akhirnya redha.
"Segalanya bermula dari Sel Seg. Semua berpunca dari Sel Seg..."
"Apa pak?" Zainal alihkan kedudukan agar lebih dekat dengan Rasyid.
"Dari dalam salah satu sel di Sel Seg ini lah legenda paling digeruni dalam sejarah penjara dilahirkan. Legenda ini bukan satu mitos tetapi kenyataan. Legenda yang membuatkan banduan paling ganas boleh menangis dan anggota petugas penjara yang paling tegas jadi lemah. Disitu lahir satu kejadian yang diluar pemahaman manusia. Makhluk yang zahirnya manusia tetapi melencong menjadi sesuatu yang amat ganas dan tak berperasaan. Malahan tak salah jika dia digelar binatang sebab kelakuan nya menyerupai haiwan buas. Namun haiwan yang paling buas pun tak dapat menandingi kerakusan benda ini. Benda yang setanding dengan nama yang diberikan."
"Apa dia pak?"
Puaka Sel 13..