Chereads / PENJARA / Chapter 7 - Bachok

Chapter 7 - Bachok

Blok  Sel Segregasi mula sibuk dengan perpindahan banduan sempena hukuman 45 hari yang dikenakan P.P. Walaupun ramai yang membantah tetapi P.P tetap berkeras untuk menunjukkan bahawa sistem penjara negara tak akan tunduk kepada mereka yang sesuka hati mengambil tindakan diluar undang undang. Tetapi ramai yang menganggap tindakan P.P tu hanya untuk menutup kelemahan mereka kerana pada hari Riki dibunuh takde pun anggota bertugas menjaga koridor seperti biasanya. Maka timbul teori bahawa semua rancangan ini telah diatur lebih awal dan yang menjadi mangsa iaitu banduan dalam penjara. Sehari sebelum mereka dipindahkan, ada diantara tahanan yang berbisik sesama mereka. Ini adalah satu petanda bahawa sesuatu bakal terjadi. Rasyid ada dengar tentang komplot yang kempen agar semua tahanan bersatu dan buat rusuhan agar orang luar tahu tentang ketidakadilan sistem penjara tetapi setelah dinasihatkan oleh mereka yang sudah lama dalam tahanan ianya berjaya dipatahkan. Rata rata bersetuju mereka hanya ingin menjalani hukuman dengan aman dan balik ke pangkuan keluarga satu hari nanti.

Rasyid adalah antara mereka yang membantah keras hukuman yang diberikan tetapi akur apabila dia diiring ke tempat tahanan baru nya iaitu bilik sel 12. Walaupun sudah beberapa kali Rasyid masuk ke Sel Seg untuk membaiki paip yang rosak ianya tak sama dengan masuk kesana dan tinggal kat dalam. Bau yang dihidu lebih kuat dan kesuraman yang mengelilingi mereka terasa lebih gelap. 

"Jangan bimbang. Ini sementara sahaja. Kami akan cuba minta agar hukuman ini diringankan." Sarjan Halim menjelaskan pada mereka semasa mengiring jalan ke Blok Sel Seg. Halim dah naik pangkat ke Sarjan selepas setahun lebih kejadian dia dengan Rasyid dalam Sel Seg. 

"Ringan? Kami tak mahu hukuman diringankan. Kami mahu hukuman ini dibatalkan sebab kami tak bersalah." Salah satu banduan membalas kepada Halim.

"Ye itu kami tau tapi semua ni terpulang dengan P.P. Kamu ingat dia boleh buat suka hati ke? Semua tindakan yang diambil mesti dapat persetujuan dari pengawai tertinggi iaitu Komisioner Jeneral Penjara. Dia akan disoal jika terdapat rungutan dan komen negatif dari masyarakat dan jika nasib menyebelahi kamu maka Komisioner Jeneral Penjara ada kuasa mutlak untuk batalkan hukuman sementara ini. Tetapi sebelum masa tu tiba,  kami minta semua bekerjasama dan buat je lah apa yang telah diarahkan. Kami pun cuma jalankan tugas." sambung Sarjan Halim. Semuanya diam sebab ada benarnya. Sekarang mereka cuma dapat berdoa agar Komisioner Penjara akan mengambil tindakan menyebelahi mereka.

"Semua pegawai ponek!" bisikan di belakang Rasyid kedengaran. 

"Hah siapa tu kuang hajau sangat tu!?" salah satu Koperal yang eskot di belakang menjerit.

"Semua berhenti. Siapa yang cakap tadi tu?" Koperal Johari yang cukup terkenal dengan ketegasannya menyoal. 

Semua banduan diam tunduk melihat lantai. Rasyid mengerling belakang dan menyumpah dalam hati, "celaka kau Badul."

"Hah kau ke tu Rasyid? Pasal saya dengar macam dari arah sini je suara tu." Koperal Johari menuding ke arah Rasyid. 

"Bukan saya Kop. Apa tu Ponek pun saya tak tau." Rasyid balas.

"Dah, dah bukan Rasyid. Suara tu aku kenal bunyi dia macam sengau sebab orang yang cakap tu takde gigi. Dah teruskan kita dah lewat ni." Sarjan Halim arahkan mereka teruskan ke unit Sel Seg. Bila dah sampai giliran Badul lalu tepi, Halim ketuk kepala dia dengan jari. 

"Aduh…" Badul menjerit dengan senyuman pahit.

Urusan perpindahan memakan masa dari pagi ke petang. Bila Rasyid sampai ke sel tahanan, hari sudah hampir senja. Makanan pada hari itu semuanya dihantar ke dalam unit sel. Keseluruhan tahanan sudah pun berjaya dipindahkan tanpa sebarang insiden. Mereka yang dah uzur dan tak sihat dibiarkan dalam sel tahanan umum. Masing masing cuba selesakan diri dengan suasana baru mereka. Rasyid diberikan sel 12 dan Badul di sel 23. 

Tepat jam 10 malam, lampu laluan koridor digelapkan dan lampu dalam sel juga dikurangkan dari dua kepada 1. Kini semua bilik tahanan hanya bercahayakan sebiji lampu di tengah bilik sel. Katil mereka terletak bersebelahan dinding konkrit. Sebelah kanan ialah mangkuk tandas. Lampu dalam sel hanya sekadar cukup menerangi separuh mangkuk tandas, separuh katil dan seluruh bahagian depan pintu. Cahaya ini bukan bermaksud untuk membuatkan banduan selesa tetapi untuk memudahkan pemeriksaan dijalankan. 

Sebaik lampu digelapkan tiada lagi yang boleh dilakukan selain dari tidur. Dan seperti biasa, Rasyid yang ditempatkan dalam bilik tahanan seorang diri akan membuat senaman dalam sel untuk memenatkan badan agar lebih mudah tidur. Apabila malam semakin larut dan seluruh Blok Sel Seg sepi dari suara perbualan, Rasyid selesakan diri dan bersedia untuk tidur tetapi diganggu oleh suara yang tak henti bercakap datang dari barisan Sel 13.. Rasyid tak pasti suara itu dari sel 10 atau sel 20 atau sel 11.

"Badul kau ke tu? Boleh tak kau diam dah masa nak tidur ni." Rasyid menegur.

"Bukan aku lah Rasyid. Aku ingat kau yang membebel tak henti. Kami semua dalam ni senyap je. Kau dengan kawan kau senyap ke? Oh maaf kau seorang diri pula dalam tu hahahaha." Badul mengejek. 

"Celaka kau Badul. Jangan nanti gigi kau ada dua tu tinggal kosong."

"Apa? Kau nak baring? Oh baring lah takde sapa larang." Badul balas.

Bodoh. Dah lah pekak hodoh lagi Rasyid mengomel sendiri.  

Rasyid dekatkan telinga pada dinding konkrit sebelah katil dan dapati suara yang dia dengar tu datang dari sel 13. Tapi sel 13 kan kosong. Kalau ada pun...hishhh jangan sebut ayat tu, bahaya. Rasyid ingatkan diri sendiri. 

Untuk kepastian Rasyid melaung dari katil dia tengah baring, "Badul, siapa di sel 13? Kan cakap tadi kosong."

"Oh ada tahanan tadi anggota hantar masuk. Aku dengar juga suara dia bercakap. Tapi sebab kami bertiga tak lah kami takut sangat. Lain kalau seorang diri macam kau hahahaha." Badul sekali lagi kenakan Rasyid. 

Haii, sapa yang kena masuk dalam sel 13. Kan cakap tadi sel ni dikosongkan sebab takut hal hari tu berulang. Mungkin tahanan baru kot tak pun dah takde tempat nak muatkan banduan. Ah, biarlah. Sekurangnya ada juga orang kat sebelah tak takut sangat, Rasyid berbisik sendiri dan akhirnya terlelap.

Semua bilik tahanan dalam Blok Sel Seg ini dibina dari konkrit tebal dilengkapi dengan corong udara yang melalui saluran yang sama. Oleh itu setiap perbualan tahanan dari dalam bilik sel boleh didengari bilik sel sebelahan dan sebelah, berterusan sehingga bilik sel yang terakhir. 

Bila malam semakin larut, Rasyid terbangun disebabkan suara dari sel sebelah yang masih bercakap tak berhenti cuma ia kedengaran semakin aneh. Rasyid dekatkan telinga sekali lagi dan dapati suara itu bukan lagi bercakap tetapi seperti membacakan doa atau jampi serapah. 

Oleh kerana walau dah ditegur berkali kali suara itu masih tak berhenti, Rasyid memukul dinding konkrit sebelah katil dengan tapak tangan.

"Woi, siapa sebelah ni? Orang nak tidur lah. Kau ni tak erti tidur ke dari tadi bercakap tak pandai diam. Tidur lah." Rasyid menegur keras. Suara itu akhirnya senyap dan Rasyid sambung tidur semula. tak sampai 30 minit suara itu datang semula dan kali ini lebih kuat dari biasa seperti menjerit pun ada. Kemudian apabila jeritan itu kembali menjadi bisikan Rasyid mula bimbang. Orang gila ke sebelah aku ni dah lah tak pandai diam, bercakap pun sekejap kuat sekejap bisik. Rasyid lekatkan telinga pada dinding dan cuba menafsir erti ayat dibualkan. Tetapi suara yang didengari itu bukan berbual dengan sesiapa tetapi amat pasti seolah dia sedang membaca jampi serapah. Rasyid mula risau tetapi semuanya menjadi pasti bila dia terdengar bisikan yang seperti menembusi dinding tebal konkrit langsung masuk ke telinga nya.

"Aku ingat kau. Aku ingat kau. Aku ingatttttttt kau." bunyi itu berulang dan tetap sama. 

"Aku ingat kau! Aku ingattttt kau. Aku ingat kau."

"Akuuuuuuuu ingattttt kauuuuuuuuuuuuuuu."

"Woiii Sapi. Kalau kau tak diam memang kau akan ingat aku bila kepala kau pecah kena pukul dengan pembuka paip. Baik kau diam dan tidur." Rasyid yakin suara itu datangnya dari sel 13 menjerit dari katil.

Namun apa yang berlaku memang diluar dugaan sebab suara itu bukan sahaja semakin kuat tetapi kini ia juga bercampur dengan nada marah.

"Aku akan kerat leher kau!"

"Aku akan kerat leher kau!!"

"Aku akan kerat leher kau!!!""

"AKU AKAN KERAT LEHER KAU!!!!!"

Oleh kerana Rasyid sudah lama dalam penjara maka ancaman begini baginya sudah kedengaran seperti ancaman takde isi. Biasalah kalau budak baru dalam tahanan. Tunggu kau esok aku tanya Halim kau siapa. Rasyid akhirnya tutup telinga dan teruskan tidur.

Esoknya selepas sarapan, Rasyid jumpa dengan Halim yang sedang membuat rondaan di koridor. 

"Lim, semalam siapa yang duduk sebelah sel aku?"

"Kau sel apa Syid?"

"Blok Sel Seg A bilik sel 13."

"Hah kenapa dengan dia?"

"Sepanjang malam tu tak henti cakap dah tu lewat malam baca jampi serapah. Bila aku tegur dia cakap nak kerat leher aku. Adakah patut macam tu. Siapa budak tu? Badul cakap ada tahanan baru kena masuk dalam bilik sel 13."

"Takkan lah anggota pengawal tak dengar suara orang tu jerit nak kerat leher aku?" Rasyid sambung bila tengok Halim seolah kehairanan.

"Wei Rasyid kau ni apehal? Pagi dah melalut macam mabuk gam paip je. Mana ada tahanan tinggal kat bilik sel 13. Kan aku dah cakap sel 13 tu kosong sebab tak nak kejadian macam hari tu berulang."

"Kosong. Tapi Badul cakap ada tahanan baru dimasukkan dalam tu. Lepas tu memang jelas aku dengar suara tu datangnya dari bilik sel 13." Rasyid garu kepala, bingung.

"Yang kau pi percaya dengan Badul tu kenape? Kan dah nama pun Badul. Kau tak leh percaya lah dengan Siamang tu." Halim tengok keliling seolah mencari sesuatu. 

"Sepanjang Blok Sel Seg A tu cuma sel 12 dan sel 23 je tinggal. Yang lain tu dipindahkan ke Blok Sel Seg B semalam jam 9 sebab ada retak di sepanjang dinding bilik sel 1 ke sel 11. Hanya ada dua bilik sel je yang dibiarkan iaitu bilik 12 dan 23. Sel 13 memang kosong."

"Apa? Semua kosong?" Rasyid tiba tiba rasakan jantung berhenti dan dia jatuh menyembah bumi di depan Sarjan Halim.