Zainal buka buku nota semula dan rujuk kembali apa yang bapa dia ceritakan tadi dan mencari perenggan terakhir sebelum mereka masuk tidur. Jam menunjukkan pukul 1.00 pagi. Sambil berbaring, Zainal baca semula apa yang ditulis,
"Sel Seg di bangunan A mempunyai dua blok bahagian segregasi iaitu Blok 1 dan Blok 2. Blok 1 mempunyai 25 bilik sel yang diwakili huruf 1 hingga 25. Blok 2 juga mempunyai 25 sel bermula dari 26 hingga 50. Blok ini dibina di tapak bangunan penjara A atau basement floor. Untuk bangunan B unit Sel Seg mereka terletak di tingkat bawah atau ground floor. Ini kerana bangunan A menempatkan banduan atas kesalahan jenayah dan juga yang menunggu hukuman gantung. Kedudukan sel di Sel Seg juga berlainan dengan sel umum. Contoh, sel umum di asingkan kepada sel tahanan banduan tak bahaya di sebelah kiri bangunan manakala sel tahanan jenayah di bahagian kanan. Sel tahanan jenayah mempunyai jumlah banduan yang kecil iaitu 2 hingga 4 orang dalam satu sel dan kesemua banduan yang tinggal dalam sel tahanan jenayah adalah banduan baju biru, mereka yang dipenjara dari 18 bulan ke atas.
Sel Seg menggunakan pintu masuk berlainan. Kedudukan sel juga berlainan. Bilik tahanan Sel Seg dibina secara memanjang dengan koridor di bahagian tengah. Blok Sel Segregasi A dan B dipisahkan oleh tembok konkrit. Sel Seg bermula dari nombor 1 hingga 13 terletak di kanan. Sel Seg 14 hingga 25 di kiri. Bilik Sel Seg dipisahkan oleh koridor selebar 2 meter di bahagian tengah dimana anggota petugas penjara sesekali lalu untuk periksa tahanan di dalam bilik sel.
"Ada apa dalam sel tu? Hantu?" Zainal tanya, matanya besar memandang Rasyid.
"Hantu jauh lebih baik dari benda yang ada di dalam sel rahsia ini. Ia adalah sejenis puaka yang tak bernama dan tiada tahu asal usulnya. Dengar cerita ada beberapa banduan dan juga pegawai penjara pernah bertembung dengan puaka ini."
"Menakutkan. Bagaimana dia boleh menyusup masuk dalam penjara?"
"Takut tiada kaitan dengan perasaan yang wujud bila jumpa dengan puaka ini. Ia adalah satu jenis keseraman yang lebih membinasakan dari rasa takut. Tiada ayat sesuai gambarkan perasaan tu."
"Bapa pernah nampak puaka ni?" Zainal teringat surat yang dikirim Rasyid.
Rasyid terdiam. Dia alihkan matanya ke arah kegelapan di hadapan. Memandang arah dusun buah, ke arah bukit jauh di depan.
"Janji jangan beritahu mak kau apa yang bapa cakap ni. Bapa orang yang pertama bertarung dan hidup untuk ceritakan tentang pengalaman itu. Sesiapa saja yang terlihat puaka ini akan menjadi gila atau terbunuh. Banduan dan anggota serta pegawai penjara yang pernah bertembung dengan puaka ni? Semuanya gila atau maut. Ada seorang pegawai selamat tapi sudah dipindahkan ke penjara lain. Bapa satu satunya yang selamat cuma kadang kala bila malam urat badan semuanya membengkak." Selesai saja Rasyid berkata demikian dia bangkit dan masuk ke dalam rumah menuju kamar tidur. Tinggalkan Zainal yang tercengang sendirian.
Itu adalah coretan yang ditulis pada hari pertama bapa kongsikan pengalaman nya. Zainal menatap buku nota sehingga matanya tertutup dan dibuai mimpi.
Zainal dikejutkan oleh bunyi kaca pecah. Suasana gelap gelita. Ada suara berbisik perlahan kemudian bertukar menjadi jeritan. Cemas, Zainal bangun dan jalan ke arah pintu tapi keadaan yang gelap membuatkan dia hadapi kesukaran. Dengan tangan depa ke depan, dia cuba mencari suis lampu tetapi walau betapa ligat dia berpusing dia tdk sentuh apa apapun. Mana aku? Bukan aku tidur dalam bilik?
Mak...pak? Dia jerit. Makkkk.. Senyap. Zainal guling badan ke depan. Tentu dia akan melanggar sesuatu. Tapi berapa lama dia berguling seperti bola tak ada apa pun yang menyekat pergerakkan nya. Kemudian dia dengar suara itu sekali lagi.
Lebih jelas. Dia berhenti dan berdiri. Dia ikut arah suara itu hingga sampai satu bilik yang dikelilingi palang besi. Zainal terpijak sesuatu di lantai. Dia pegang dan cuba teka apa yang dipijak. Tulang? Ketika itu cahaya terang datang dari atas. Dia di dalam sel tahanan. Di lantai tulang berselerakan. Kemudian suara itu muncul lagi, kali ini dari atas. Dari corong besi. Suara yang menakutkan.
"Aku akan kelar leher kau. Aku kelar leher kau. Aku akan kelar leher kau.kau...kau...kau...leher kau...leher kau...kau akan menjadi habuan aku wahai anak banduan."
Zainal terkejut dari tidur. Astagfirullah...aku mimpi. Dahinya dibasahi keringat. Diluar hujan lebat memecahkan keheningan subuh.
"Tok...tok...tok. Nal..bangun. Dah masuk subuh." Suara mak dari luar bilik melegakan hati yang runsing.
"Ya mak bangun dah ni."
Zainal bangkit dan sebelum keluar dari bilik sempat menatap wajah di cermin, di bahagian tengkuk kiri, kelihatan satu cakaran halus mencacatkan kesucian tubuh. Darah yang telah kering mencorakkan lakaran hingga ke bahu.