Chereads / Our Tomorrow (Malay) / Chapter 17 - Permulaan Yang Baik

Chapter 17 - Permulaan Yang Baik

MATA Shu Yan menatap Xiao Hua yang sudah terlena berbantalkan lengan. Wanita itu nampak begitu lebih kerana seharian berada di kediamannya. Dia sendiri tidak sedar masa berlalu begitu pantas.

Selepas menyiapkan kaligrafinya, dia fokus pula pada buku. Apa pun yang wanita itu lakukan, dia sengaja tidak mengendahkannya. Sehinggalah dia tersedar apabila melihat kepala itu sudah terlentok di mejanya.

Shu Yan menjegah sedikit kepalanya. Melihat lukisan yang dihasilkan itu, bibirnya mengukir senyuman kecil tanpa sedar. Rupanya wanita itu sebenarnya dalam diam melukis gambarnya yang kusyuk dengan kaligrafinya. Sememangnya hasil lukisan itu tidak mengecewakan.

"Yan Yan..." Suara kecil itu bergumam perlahan.

Shu Yan terkedu. Matanya dipejam seketika sebelum membuka kembali. Dia bingkas bangun dan merapati tubuh kecil itu. Tanpa suara, dia mengendong tubuh kecil itu masuk ke biliknya.

Matanya memandang wajah polos itu. Bulu mata yang begitu lentik dan bibir kecil. Sudah begitu lama dia tidak menatap wajah Xiao Hua serapat itu. Tubuh kecil itu terasa ringan dan sedikit kurus berbanding sebelum ini.

Jemari runcing milik Xiao Hua menyentuh perlahan dadanya sebelum merangkul lehernya. Sekali lagi Shu Yan tergamam. Hembusan nafas Xiao Hua kedengaran lembut di halwa telinganya. Mata itu masih lagi terpejam rapat.

Kakinya sudah menghampiri katil. Perlahan dia merebahkan tubuh kecil itu ke atas katil. Selimut berwarna krim itu ditarik sehingga ke dada Xiao Hua. Kedua tangan wanita itu diletak elok di tepi.

Shu Yan menghela nafas pendek. Tangannya menguis lembut rambut itu sebelum mengusap perlahan pipi gebu itu.

"Yan Yan..." Sekali lagi Ying Hua bersuara dalam tidur.

Tangan Shu Yan terhenti seketika. Yan Yan. Itulah nama manja yang Xiao Hua berikan kepadanya. Dia tidak pernah lupa tentang itu. Tangannya bertukar menjadi genggaman kecil lalu dia bangun dari situ. Hatinya tiba-tiba membara. Dia hampir kalah dengan permainan itu.

Ketika dia ingin berlalu, terasa hujung lengan bajunya ditarik. Shu Yan berpaling. Melihat tangan kecil itu sudah memegang erat hujung lengan bajunya. Matanya dipejam, cuba menahan perasaannya. Lalu dia melabuhkan punggungnya di birai katil itu.

"Wu Xiao Hua." Shu Yan memanggil perlahan.

"Emm..." Suara kecil itu membalas dalam keadaan separuh sedar. Kemudian kedengaran dengkuran kecil menunjukkan betapa letihnya tubuh kecil itu.

Tanpa sedar, bibir Shu Yan mengukir senyuman kecil.

********************

MATANYA ditenyeh perlahan sebelum mengeliat kecil. Tatkala itu dia terkaku sebentar apabila menyedari keadaan sekelilingnya itu berubah. Ying Hua menelan air liur. Bukan sebab biliknya berubah tetapi itu bukan biliknya!

Tempat itu masih lagi dalam ingatannya. Walaupun pada mulanya dia was-was untuk menyatakan 'ya' untuk bersetuju dengan pemikirannya tetapi dia yakin tempat yang dia lihat sekarang adalah sama seperti tempat yang berada di dalam pemikirannya.

Matanya sudah terbuntang. Semalam dia tidur di kediaman utama?! Automatik Ying Hua bingkas bangun dari katil. Dari atas sehingga bawah dia menilik dirinya sendiri. Wang Shu Yan yang diam-diam itu lebih merbahaya daripada segalanya.

Ah! Macam mana la dia boleh biarkan dirinya tertidur di situ!

Kepalanya menghendap kiri dan kanan. Kelibat Shu Yan tidak kelihatan. Kediaman itu sunyi sepi. Agaknya Shu Yan sudah keluar awal pagi tadi. Kakinya terjengket-jengket keluar dari kawasan bilik itu. Halaman utama line clear! Confirm Wang Shu Yan tiada di kediaman itu.

Ketika tangannya ingin menarik pintu, terasa ada tangan menahan pintu itu dari dibuka. Ying Hua menelan air liur. Tangan yang berada di hadapannya itu sudah semestinya tangan manusia. Dia berpaling ke kanan, memandang satu batang tubuh yang berdiri di sebelahnya.

Wang Shu Yan!

"Hehehe..." Ying Hua ketawa kecil menghilangkan gugupnya.

"Nak ke mana?" tanya suara itu tegas.

"Balik?" jawab Ying Hua berupa soalan. Dia menayang giginya sambil mempamerkan wajah yang tidak selesa.

Rambut lelaki itu masih kebasahan. Pakaiannya juga tidak begitu kemas. Lebih tepat lagi, lelaki itu sebenarnya baru selesai membersihkan diri.

Debaran dadanya kian laju dan kuat. Itulah kali pertama dia melihat Shu Yan dalam keadaan sebegitu. Wajah itu masih nampak kacak biarpun tidak terurus. Urat tangan yang timbul dan separuh tangan yang terdedah memperlihatkan otot-otot sasa seorang ketua yang mengawal tentera-tenteranya.

Sememangnya Wang Shu Yan ketika itu lebih nampak kacak berbanding biasa. Serentak itu Ying Hua menggeleng kepala, cuba menyedarkan diri dengan situasi begitu. Boleh pula dia buat perangai tidak semenggah itu!

"Balik? Sini tempat awak. Kenapa perlu balik?" tanya Shu Yan sambil melemparkan sneyuman nakal.

Sekali lagi Ying Hua menelan air liur. Senyuman lelaki itu benar-benar mengerikan. Lebih ngeri daripada diugut bunuh.

"Xin Xin!!" Ying Hua tiba-tiba sahaja menjerit.

Pantas Shu Yan memekup mulut kecil itu dan menarik wanita itu jauh dari pintu. Pinggang Xiao Hua dirangkul erat ketika wanita itu cuba meloloskan diri daripadanya.

"Diam." Shu Yan memberi amaran.

Tatkala itu dengan tiba-tiba pintu utama dibuka dengan kasar. Terpancar dua batang tubuh yang termegah-mengah kerana terkejut dengan jeritan itu.

Shu Yan terkaku. Segera dia melepaskan tubuh kecil itu dan berlalu pantas dari situ. Terasa wajahnya panas dan merah padam apabila melihat dua orang itu di hadapan matanya.

Ying Hua pula terus melarikan diri mendapatkan Xin Xin yang berdiri di sebelah Yuan Zhen. Tanpa bercakap banyak, dia menarik tangan Xin Xin untuk pergi dari situ.

Manakala Yuan Zhen sudah terkebil-kebil di hadapan pintu dengan wajah yang merah padam. Baru tersedar yang dia dan Xin Xin sudah melakukan hal yang salah. Melihat situasi itu, dia merasakan hubungan pasangan itu semakin baik. Kalau tidak mengapa putera keempat itu benarkan Puteri Yan bermalam di kediaman utama.

Perlahan dia menutup kedua pintu itu bersama senyuman kecil. Kalaulah mereka tidak bergegas masuk ke kediaman, mungkin wajah putera keempat itu tidak begitu merah padam.

Hanya kerana Puteri Yan sudah mula melukis, akhirnya putera keempat itu percaya bahawa isterinya tidak lagi berpura-pura. Dia tahu betapa sukarnya untuk Puteri Yan mendapatkan kepercayaan dari putera keempat setelah apa yang berlaku.

Dia mengharapkan putera ketujuh, Putera Xian dapat membantu pasangan itu berbaik semula. Dia tahu Putera Xian begitu percayakan kakak iparnya. Malah dia juga percaya hal yang sama. Putera Xian tidak mungkin buat keputusan terburu-buru tanpa bukti yang benar- Yakin putera ketujuh itu sudah menguji Puteri Yan sebaik mungkin.

Malah sekarang putera ketujuh juga sedang menyiasat apa yang berlaku memandangkan Putera Yan bagaikan tidak mahu mendengar apa-apa alasan melainkan mempercayai apa yang dilihat dengan matanya sendiri.

Sekarang dia hanya mampu mengharapkan Putera Xian dapat membersihkan nama Puteri Yan semula kalau benar Puteri Yan tidak bersalah. Sekaligus akan membuatkan pasangan itu kembali bahagia seperti sediakala.

********************

XIN Xin mencuit lengan tuannya berkali-kali sambil tersengih nakal. Seperti ada sesuatu yang ingin dia tahu. Ada sesuatu yang tuannya sedang rahsiakan daripadanya.

"Awak ni dah kenapa?" tanya Ying Hua sambil menjeling.

Xin Xin hanya tersengih. Sekali lagi dia mencuit lengan tuannya. "Muka tuan puteri nampak berseri-seri hari ni."

Ying Hua mencebik. Tak ada maknanya nak berseri-seri. Bangun awal pagi tadi tu pun dan meninggalkan memori ngeri dalam hidupnya. Macam mana la dia nak hidup kalau ada sesuatu yang berlaku malam tadi. Dia bukan Wu Xiao Hua, apatah lagi isteri Wang Shu Yan. Walau macam mana pun dia cuba berpura-pura menjadi Wu Xiao Hua, dia tetap Wu Ying Hua.

"Lepas ni kalau saya tak keluar dari kediaman utama, awak patut bawa saya balik." Ying Hua mula bersuara.

Xin Xin tersengih lagi. "Kenapa pula tuan puteri? Tuan puteri kan isteri Putera Yan."

Ying Hua menjegil matanya tempat ke arah Xin Xin. Aku tampar juga budak ni kang!

"Lagipun Xin Xin tak berani nak buat macam tu. Apa kuasa Xin Xin untuk halang tuan puteri dari tinggal di kediaman utama." Xin Xin mempertahankan diri.

Ying Hua merengus. Geram sungguh dengan Xin Xin. Sejak bila la gadis itu pandai menjawab. Malah jawapan yang boleh diterima akal pula tu.

"Tapi baguslah tuan puteri dengan Putera Yan dah berbaik. Walaupun Putera Yan masih tak seperti dulu tapi dah cukup bagus Putera Yan cuba buka hati semula untuk tuan puteri. Xin Xin tahu Putera Yan masih sayangkan tuan puteri. Dan Xin Xin yakin Putera Yan juga sebenarnya nak tuan puteri macam dulu semula. Dia mungkin nak maafkan tuan puteri tapi dia perlukan masa," ujar Xin Xin tenang dan lembut. Penuh dengan kata-kata positif.

Ying Hua mempamerkan senyuman kecil. Apa yang Xin Xin katakan itu ada benarnya. Adakala dia melihat Shu Yan seperti mahu melupakan segalanya. Kalau tidak mana mungkin lelaki itu akan memanggilnya. Berbeza dengan pertama kali mereka bertemu. Perkataan bunuh sering sahaja kedengaran di bibir lelaki itu. Biarpun sekarang Shu Yan masih tegas dengannya tetapi dia nampak riak wajah itu memandangnya penuh kasih sayang.

Bertuahnya Wu Xiao Hua. Dia sendiri pun belum tentu dapat jumpa pasangan seperti Wang Shu Yan. Yakini manusia sebegitu belum tentu wujud di dunianya. Jarang untuk bertemu dengan lelaki yang benar-benar mencintai pasangannya.

"Xin Xin... betul ke awak rasa Shu Yan dah mula terima saya ke?"

Xin Xin tersenyum dengan pertanyaan itu lalu mengangguk laju.

"Kan! Tak ada sesiapa pun yang boleh lari dari kecantikkan saya. Betul tak Xin Xin?" Ying Hua sudah mula dengan perangai gila-gilanya membuatkan Xin Xin tersengih.

"Wang Shu Yan! Saya akan pastikan awak jatuh cinta dengan saya!" ujar Ying Hua penuh bangga sambil merunding jari telunjuknya ke depan. Dia akan pastikan ego lelaki itu jatuh menjunam! Dia akan buat lelaki itu tidak terlepas dari genggamannya.

Xin Xin sudah menujukkan ibu jari tanda bagus. Dia juga bahagia apabila melihat tuannya bahagia. Moga tiada lagi kesedihan dalam hidup tuannya. Biarlah apa yang terjadi sebelum ini. Dia harapkan Putera Yan dapat memejam mata untuk lihat kesalahan lalu tuannya.