DARI jauh Shu Xian tersengih nakal apabila melihat pasangan itu seperti pasangan yang baru berkahwin. Berkepit tanpa berjarak sedikit pun.
"Berbulu mata rasanya. Mengalahkan orang baru kahwin. Tak lama lagi kita bakal sambut putera kecil ke?" usik Shu Xian selamba membuatkan Shu Yan menjegilkan matanya.
Ying Hua tersipu-sipu malu. Mana tidaknya, Shu Yan tidak melepaskan genggaman tangan sedikit pun. Dah macam angau bercinta pula rasanya. Bertambah merah padam lagi mukanya apabila Shu Xian menuturkan kata-kata sebegitu.
Segan rasanya ditegur sebegitu. Padahal tiada apa-apa pun yang berlaku di antara mereka. Selepas dia menolak Shu Yan semalam, lelaki itu tidak bersuara banyak. Mungkin mahu memberi masa kepadanya.
Lega rasanya kerana Shu Yan berfikiran sebegitu. Kalau tidak, dia sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku dalam hidupnya. Bercinta pun tak pernah, tiba-tiba muncul di dunia asing itu terus ada suami. Fuh! Seram!
"Tapi kak, abang memang tak romantik kan?" Sengaja Shu Xian ingin provok abangnya.
"Emm?" Dahi Ying Hua berkerut.
"Kenapa pula?" Shu Yan bersuara geram. Adiknya itu tidak boleh diam langsung. Ada sahaja pertanyaan yang mengundang sakit hatinya.
"Yelah. Nak romantik pun pergi la tasik ke, taman ke. Ini kat kem ketenteraan? Suasana apa aje yang ada? Memanah? Berkuda?" Sambung Shu Xian tanpa rasa bersalah.
Dah memang betul pun apa yang dia katakan itu. Tahulah abangnya memegang jawatan ketua dalam kem ketenteraan itu. Tak bermakna boleh membawa masuk isteri sesuka hati. Entah apalah yang dibuat dua orang itu sejak semalam. Tak ada satu pun yang menarik di kem itu.
Ying Hua tersengih. Ya tak ya juga kan. Tetapi Shu Yan sudah pun membawanya ke tasik sebelum ini. Mungkin lelaki itu tidak tahu tempat mana lagi yang sesuai untuk mereka berdua menghabiskan masa bersama.
"Ketua general kan? Awak kena faham." Sedaya upaya dia berpihak pada Shu Yan. Rasanya tak adil juga kalau dia menyatakan Shu Yan tidak romantik.
"Wu Xiao Hua." Shu Yan sudah menghala pandangan tajam ke arah isterinya.
Ying Hua menayangkan giginya. Terasa comel pula melihat reaksi Shu Yan ketika itu. Selalunya lelaki itu hanya menayangkan wajah tegas dan tegang.
"Awak sekarang dah pandai mengusik saya kan. Awak nak apa? Cakap aje, saya akan suruh Yuan Zhen belikan," ujar Shu Yan menahan geram.
Shu Xian terkekek-kekek ketawa. "Tengok! Tak ada perempuan yang nak tinggal kat sini pun. Abang seorang aje yang rasa tempat ni romantik," bidasnya selamba.
Shu Yan merengus, tidak berpuas hati selepas mendengar kata-kata Shu Xian. Dia akan pastikan Xiao Hua terharu sehingga menangis!
"Sebenarnya Shu Xian, awak tak tahu ada tempat romantik kat sini." Ying Hua segera menuturkan kebenaran.
Dia tahu kawasan itu kalau dilihat dari luaran, sememangnya tiada apa-apa yang menarik. Waktu dia tiba di situ pun, dia juga merasakan perkara yang sama sehinggalah Shu Yan membawanya naik ke bukit tinggi itu.
Mungkin juga pada orang lain, pandangan itu hanya biasa-biasa. Tetapi tidak baginya. Melihat wilayah yang terbentang luas di hadapannya, suasana yang dingin dan nyaman ditemani oleh cahaya bintang yang bergemerlapan di langit. Sememangnya membuatnya jantungnya berdegup begitu kencang sekali.
Andai Wang Shu Yan bukan milik siapa-siapa, sudah pasti dia akan jatuh cinta dengan lelaki itu. Andai lelaki seperti Shu Yan wujud di dunianya, dia mungkin adalah perempuan yang paling bahagia ketika itu.
Mata Shu Xian mula membulat. Seperti tidak percaya apa yang wanita itu katakan. "Biar betul?"
Ying Hua mengangguk.
Shu Yan yang sedari tadi menayangkan muka kelat terus berubah reaksi. Seperti bangga dengan apa yang dia lakukan.
Sememangnya tidak ramai yang tahu tempat itu. Hanya Yuan Zhen dan beberapa orang bawahannya sahaja yang tahu. Itulah tempat ketika dia ingin menenangkan diri bersendirian. Selepas apa yang berlaku dalam kediaman Yan, dia banyak menyendiri di situ.
Sebenarnya dia ingin membuat kejutan pada Xiao Hua sebaik sahaja menjumpai tempat indah itu. Tetapi tidak disangka berlaku krisis dalam rumahtangganya. Akhirnya tempat itu menjadi tempat untuk dia melepaskan segala duka dan derita.
Namun kini angan-angannya untuk membawa Xiao Hua ke tempat itu berhasil juga. Melihat reaksi gembira wanita itu, dia tahu Xiao Hua tidak pernah jemu dengan suasana alam. Tidak kira walau macam mana pun perubahan Xiao Hua, hati wanita itu masih sama.
Dalam diam dia tersenyum sendiri melihat Xiao Hua dan Shu Xian berbual panjang. Dua orang itu semakin riuh mempertahankan diri. Berbeza dengan sebelum ini. Ketika Shu Xian bercerita, Xiao Hua akan mendengar sambil tersenyum. Namun kali ini berbeza. Kedua mulut itu tidak berhenti-henti berbicara.
Andai masa boleh berhenti, alangkah indahnya.
********************
PRANG! Shu Nian melemparkan cawan ke lantai. Nafasnya berdesah menahan amarah. Berita yang disampaikan ketika itu membuatkan dia sakit hati.
Shu Yan dan Xiao Hua sedang bergembira seperti tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Membara hatinya seperti ingin menyedarkan Xiao Hua ketika itu.
Hati Xiao Hua ketika ini tidak tentu arah. Kerana hilang ingatan, wanita itu kembali ke pangkuan Shu Yan. Kembali ke pangkuan Shu Yan bererti dia kalah. Dia mahu berterusan melihat Shu Yan dalam derita dan membenci Xiao Hua.
Waktu itu Xiao Hua akan kembali kepadanya semula dan mengharapkan dia semata-mata. Wanita itu takkan mampu hidup aman andai Shu Yan dikhianati.
Memusnahkan hidup Shu Yan sememangnya sukar kerana lelaki itu mempunyai seni pertahanan diri yang hebat. Hanya dengan cara menjatuhkan Xiao Hua sahaja akan mampu menjatuhkan lelaki itu.
Mengapa Xiao Hua perlu berubah di saat rancangannya hampir berjaya. Sepatutnya Shu Yan sudah jatuh di saat lelaki itu membenci isterinya. Tetapi mengapa sekarang Shu Yan berubah hati dan merelakan diri untuk memaafkan kesalahan Xiao Hua.
Dia menepuk mejanya dengan kuat. Tidak berpuas hati kerana segala rancangannya tidak menjadi seperti yang dia inginkan. Dia tahu Shu Yan sebenarnya dalam diam sedang menyiasat apa yang berlaku. Jadi dia terpaksa berhati-hati agar segalanya tidak terbongkar.
"Apa rancangan Putera Mahkota selepas ni?" tanya Cheng Zhang.
Shu Nian membisu sambil otaknya ligat berfikir. Tidak kira apa jua cara sekalipun, dia takkan benarkan Shu Yan menang.
Seraya itu dia tersenyum senang. Sepertinya dia sudah ada idea menarik untuk membuatkan Shu Yan tiada di sekeliling mereka.
"Esok saya akan usulkan pada ayahanda untuk Shu Yan tak guna tu jauh dari Xiao Hua! Dia akan untuk uruskan banjir di selatan! Lebih baik dia takkan pernah pulang ke sini lagi!"
Wang Shu Yan, aku takkan benarkan kau bahagia!
********************
XIN Xin hanya mampu menggeleng kepala melihat tuan puterinya sepanjang masa bersama lukisan. Makanan tengah hari yang diletakkan di atas meja masih tidak disentuh. Bererti tuan puterinya masih tidak meninggalkan lukisannya dari pagi tadi.
"Tuan puteri, kenapa tak makan?" tegur Xin Xin yang berdiri di hadapan tuannya.
"Lupa." Ringkas sahaja jawapan yang Ying Hua berikan kepada Xin Xin.
Ketika dia fokus, dia takkan buat benda lain walaupun makan. Malah perutnya juga seperti bekerjasama dengannya untuk tidak merasa lapar. Andai dia lapar, sudah tentulah dia akan hilang fokus pada kerjanya.
"Tuan puteri..."
"Ala sikit lagi aje. Nak habis dah," potong Ying Hua. Kalau dia tak potong, Xin Xin mungkin akan membebel kepadanya pula.
"Xin Xin tahu la tuan puteri rindukan Putera Yan. Tapi jangan la tak makan. Nanti Putera Yan marahkan Xin Xin sebab tak jaga tuan puteri," ujar Xin Xin cuba mengingatkan tuan puterinya semula.
Mana tidaknya, sebelum Putera Yan pergi, dia sudah menerima tanggungjawab besar untuk memastikan tuan puterinya dalam keadaan baik. Andai jatuh sakit ataupun timbul apa-apa masalah, apa dia nak jawab dengan Putera Yan?
"Ala awak ni. Saya bukannya tak nak makan. Saya tengah fokus siapkan lukisan ni," jawab Ying Hua lagi.
Takut sangat Xin Xin kalau didenda oleh Shu Yan. Padahal perkara kecil aje pun. Mungkin sebab hati Xin Xin terlalu rapuh membuatkan gadis itu jadi takut biarpun hanya timbul masalah kecil.
Semenjak Shu Yan ditugaskan di luar daerah, dia hanya fokus pada lukisannya sahaja. Bukan sebab dia sengaja sibukkan diri tetapi memang sudah tiada apa-apa yang dia boleh lakukan di situ melainkan melukis.
Tanpa Shu Yan, sememangnya dia agak bosan. Dia tidak terasa ingin keluar ke mana-mana. Jadi dia berterusan berada di kediaman Yan sahaja.
Adakalanya Shu Xian akan melawatnya dengan makanan. Kemudian dia akan teruskan kerjanya semula. Dalam erti kata lain, fokusnya benar-benar pada lukisan. Sememangnya kediamannya sudah dipenuhi dengan lukisan hasil tangannya sendiri.
Daripada tradisional kepada digital dan kini kembali semula kepada tradisional. Bilamana dia sudah terbiasa dengan digital, dia merasakan skill lukisan tradisionalnya semakin berkurang. Jadi tak salah rasanya dia melatih diri sementara masanya begitu banyak.
"Putera Yan akan balik esok." Xin Xin mengingatkan tuan puterinya.
"Emm..." Ying Hua mengangguk.
Xin Xin hanya mampu menggeleng kepala. Tahu sangat tuan puterinya tidak mengendahkan sedikit pun kata-katanya.
"Tuan puteri, Putera Yan balik esok." Xin Xin mengulangi semula dengan menekankan perkataan Putera Yan.
Seraya itu Ying Hua mendongak memandang Xin Xin yang berdiri di hadapannya. Tersedar dengan apa yang gadis itu cuba sampaikan. Tidak sangka masa berlalu dengan pantas.
"Ah? Esok? Cepatnya!"
Xin Xin sudah membulatkan matanya. "Cepat? Tuan puteri lupa ke Putera Yan dah pergi sebulan ke sana."
"Sebulan? Ah... cepatnya masa berlalu." Akhirnya Ying Hua tersedar juga.
Sekali lagi Xin Xin menggeleng kepala. Itulah. Dah terlalu fokus pada lukisan sehingga tidak sedar sebulan berlalu dengan begitu pantas. Kalau Putera Yan tahu keadaan tuan puterinya ketika itu, memang membebel panjang agaknya.
Melihat senyuman lebar itu, dia tahu tuan puterinya itu sudah tidak sabar-sabar ingin menyambut kepulangan Putera Yan.