Chereads / Our Tomorrow (Malay) / Chapter 25 - Pilihan

Chapter 25 - Pilihan

WAJAH yang polos itu direnung lama. Tuala lembab disapu perlahan di wajah dan kedua tangan Xiao Hua. Suhu badan yang panas itu mula menurun. Namun Xiao Hua masih lagi tidak membuka matanya.

Sesekali nafas kecil itu terasa begitu berat. Bagaikan menanggung satu beban di bahu. Sebentar tadi doktor sudah memeriksa keadaan Xiao Hua. Wanita itu masih lagi lemah dan perlukan rehat.

Esakkan tadi tidak mampu dihapuskan dari mindanya. Luaran wanita itu nampak begitu kuat, akan tetapi hakikatnya mudah rapuh. Mulut yang menyebut perkataan api berkali-kali cukup meruntunkan hatinya. Seakan-akan mengembalikan memori silam yang perit itu semula.

Tuala lembab diletakkan di dalam bekas air semula lalu diberikan kepada Xin Xin yang berdiri tidak jauh dari katil itu. Yuan Zhen pula hanya berdiri tegak memandang perlakuan tuannya.

"Xin Xin." Shu Yan memanggil.

Xin Xin yang mahu berlalu segera menghentikan langkah dan berpaling semula ke arah putera keempat itu. "Ya Putera Yan."

"Lepas ni jangan pernah jejakkan kaki ke tempat tu lagi," sambung Shu Yan.

"Baik Putera Yan..." Xin Xin menunduk hormat, patuh pada arahan putera keempat itu. Selepas menuturkan ayat itu, dia terus berlalu keluar dari kediaman utama. Hatinya sedikit lega apabila melihat perubahan putera keempat itu. Dia masih lagi memegang kata-kata Yuan Zhen sebentar tadi. Tuannya tidak akan dihukum lagi.

Sejauh mana dia boleh percaya pada kata-kata pengawal peribadi putera keempat itu, dia tidak pasti. Cuma apa yang dia harapkan tuannya tidak mengalami ketakutan seperti dahulu lagi dan kembali hidup seperti biasa.

Perlahan Shu Yan menghela nafas panjangnya. Mujur hatinya tidak begitu keras untuk membiarkan Xiao Hua pergi. Kalau tidak, dia sendiri tidak tahu apa keadaan Xiao Hua sekarang ini.

Diusap lembut rambut Xiao Hua. "Awak takkan lalui semua ni kalau awak tak berdegil, Xiao Hua." Perlahan dia mengungkapkan kata-kata itu.

"Yuan Zhen."

"Ya tuan muda." Yuan Zhen merapati putera keempat itu.

"Saya perlu maafkan Xiao Hua ke?" Lemah sahaja kedengaran suara itu. Mata yang memandang wajah itu tidak lagi mata yang memandang penuh kebencian. Pandangan yang penuh kesedihan, mungkin mengharapkan semua itu tidak pernah berlaku.

Yuan Zhen membisu dengan pertanyaan itu. Dia tidak tahu jawapan apa yang perlu dia berikan kepada tuannya. Kejadian yang sama berlaku untuk kali kedua. Di hadapan mata putera keempat itu sendiri. Tiada apa yang mampu menipu lagi.

Hati yang berkecai semakin hancur lumat. Sudah berusaha untuk memberi peluang kedua tetapi siapa sangka Puteri Yan masih bersikap sama. Bagaimana mahu dirawat kesakitan itu lagi untuk kali kedua. Sebab itu Putera Yan sanggup mengurungkan isterinya di penjara bawah tanah.

Baginya itu adalah keputusan yang mengejutkan. Barangkali rasa sayang itu sudah tipis. Hati itu sudah dipenuhi dengan kebencian. Dia boleh lihat bagaimana Putera Yan berkeras hati untuk tidak mengeluarkan Puteri Yan daripada penjara.

Kalau bukan kerana Putera Xian, entah apa yang jadi pada wanita itu. Dan kalau bukan kerana arahan maharaja untuk membawa Puteri Yan pulang ke kediaman Yan semula, dia juga tidak tahu apa yang bakal berlaku pada putera keempat itu.

Shu Yan menarik nafas apabila tiada jawapan dari Yuan Zhen. Sama seperti keadaannya, lelaki itu juga bingung untuk memikirkan tindakan seterusnya.

Suatu masa dahulu mereka begitu rapat sehingga datuknya ingin mengahwinkan mereka berdua setelah mereka besar. Ayahandanya juga senang hati dengan pemintaan itu. Wu Xiao Hua menjadi orang yang paling disayangi di istana hanya kerana telatah manjanya yang mencuit hati. Wajah yang polos, walaupun diusik tetap mengambil serius. Biarpun ayahnya adalah general tetapi Xiao Hua langsung tidak berminat dengan aktiviti ketenteraan.

'Xiao Hua, suatu hari nanti awak akan jadi isteri saya.'

Itulah janji dia ketika kecil selepas mendengar usikan manja datuknya. Dia juga selesa bermain dengan gadis itu kerana baginya Wu Xiao Hua tidak sama dengan gadis-gadis yang dia jumpai. Wu Xiao Hua malu-malu kucing ketika pertama kali bertemu dengannya. Malah tidak berani mendekatinya kerana status kedudukan mereka yang berbeza. Sedangkan gadis lain berusaha untuk mendekatinya dan bercita-cita untuk menjadi isterinya apabila dewasa.

Ketika perkahwinannya menjadi nyata, dia gembira. Tetapi waktu itu Xiao Hua menyangka dia kasihan akan nasib gadis yang kehilangan seluruh ahli keluarga. Sepenuh kasih sayang diberikan kepada gadis itu untuk membuktikan perkahwinan itu bukan kerana usikkan datuknya dan bukan juga kerana kasihan. Dia tidak pernah meninggalkan gadis itu dalam kesusahan. Tetapi kini kebaikannya bagaikan dipijak-pijak. Mengetahui Xiao Hua ada hubungan dengan Shu Nian, hatinya benar-benar membara.

Mindanya terbayang kisah lalunya bersama Xiao Hua. Kisah lalu yang merobek hatinya dan memusnahkan kasih sayangnya terhadap Wu Xiao Hua.

********************

MATANYA membara memandang insan yang disayanginya berada dalam dakapan putera mahkota itu. Berkali-kali dia cuba menidakkan wanita dalam dakapan itu bukan Wu Xiao Hua. Tetapi matanya tidak mampu menipu. Wanita itu benar-benar Wu Xiao Hua, isterinya yang sah.

Wajah itu benar-benar nampak terkejut tatkala melihat dia berdiri kaku tidak jauh dari mereka. Di kediaman Nian, Xiao Hua ada di situ tanpa memberitahunya. Rupanya ada agenda tersendiri.

Nafasnya ditahan. Dia berlalu dari situ tanpa bersuara. Hatinya membara tetapi dia cuba untuk mengawal kemarahannya. Dia merasakan Xiao Hua berlari mengekori langkahnya tetapi dia memilih untuk tidak berpaling. Sehingga tiba di kediaman Yan pun, dia masih berdiam diri tanpa sepatah kata.

"Yan Yan!" Xiao Hua mendekati Shu Yan. Tangan itu cuba dicapai namun ditepis kasar.

Shu Yan masih lagi tidak bersuara. Hatinya cuba menidakkan apa yang berlaku tetapi melihat wajah itu, dia begitu benci dan jijik.

"Yan Yan... dengar. Saya..." Xiao Hua ingin bersuara namun dia membisu seketika. Dia memandang wajah Shu Yan yang kaku itu. Ingin meraih simpati tetapi dia tahu ketika itu dia tidak mampu membuat apa-apa. Wajah Shu Yan yang tertayang di hadapannya itu adalah wajah yang tidak pernah dia lihat sebelum ini. Shu Yan benar-benar marah.

"Saya tahu awak marahkan saya. Saya akan terangkan pada awak bila marah awak dah reda..." ujar Xiao Hua perlahan. Dia menunduk hormat dan berundur dari bilik itu. Berbincang ketika amarah tidak membawa apa-apa. Hanya mendatangkan api kemarahan sahaja.

Shu Yan mengepal jemarinya menahan perasaan. Air matanya menitis perlahan di pipi. Perasaan kecewa sudah tidak mampu digambarkan. Hatinya benar-benar hancur. Selama ini dia ada mendengar khabar angin tentang itu tetapi dia menidakkan segalanya. Dia menyangka gadis-gadis cemburu dengan kebahagian Xiao Hua. Tetapi hari ini dia mendapat segala jawapannya. Di hadapan matanya sendiri, bukan lagi khabar angin.

Lama dia membisu di kediamannya. Tidak keluar dari situ apatah lagi menjamah makanan. Namun petang itu dia ke kediaman Xiao Hua. Xiao Hua menyambutnya penuh hormat dan lemah lembut. Tetapi wajah itu nampak sembab seperti menangis seharian. Bibir itu tetap mengukir senyuman manis.

Dia masuk ke dalam kediaman itu. Tidak membenarkan sesiapa pun berada di situ mahupun Xin Xin dan Yuan Zhen. Segalanya mahu diselesaikan berdua bersama Xiao Hua.

"Yan Yan..." Xiao Hua memanggilnya perlahan.

Panggilan yang lembut itu hampir membuatkan dia tertipu. Jemarinya dikepal menahan amarah. Dia mengeluarkan sesuatu dari pakaiannya dan diletakkan di atas meja. Kemudian dia berjalan sedikit ke hadapan dan duduk di atas katil.

"Saya bagi peluang untuk awak jelaskan segalanya. Dan di atas meja itu adalah pilihan yang awak ada kalau awak cuba tipu saya." Tegas Shu Yan bersuara. Itulah kali pertama dia bersuara dengan nada sebegitu dengan Xiao Hua.

Xiao Hua memandang dua barang yang berada di atas meja itu dengan tubuh yang menggigil. Tangannya mencapai kertas itu dan diletakkan semula. Kemudian dicapai pula botol di sebelah kertas itu dengan tangan menggeletar. Lidahnya kelu untuk bersuara.

Perlahan dia melangkah mendekati Shu Yan. Kakinya terasa berat. Tangannya menggeletar. Bibirnya ingin menyebut nama Shu Yan tetapi lidahnya kaku.

"Awak tak perlu takut kalau awak tak salah, Wu Xiao Hua. Wu Xiao Hua yang saya kenal selalu tegakkan keadilan. Dia akan hukum orang yang salah. Begitu juga dengan saya. Saya takkan hukum orang yang salah," ujar Shu Yan tanpa sebarang senyuman. Hanya mempamerkan wajah serius.

"Saya akan terangkan pada awak tapi..." Xiao Hua berhenti bersuara. Seperti ada sesuatu yang bermain di mindanya.

Shu Yan memandang tanpa suara. Menunggu kata-kata seterusnya.

"Awak takkan percaya apa yang saya cakap..." sambung Xiao Hua perlahan.

Shu Yan merengus. "Saya takkan percayakan awak kalau awak berbohong, Xiao Hua!"

Xiao Hua sudah melutut di hadapan Shu Yan apabila melihat lelaki itu sudah marah. "Saya tak curang, Yan Yan. Percayalah cakap saya..."

"Kalau awak nak sangat bersama dengan Shu Nian, saya akan benarkan awak pergi," kata Shu Yan keras. Hatinya sudah tawar. Apa pun penjelasan Xiao Hua, dia tidak boleh terima. Takkanlah lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri berpelukkan sebegitu. Erat bagaikan tidak mahu dilepaskan. Matanya tidak buta untuk menilai semua itu.

"Tak..." Xiao Hua menggeleng kepala berkali-kali. Air matanya sudah menitis perlahan.

"Wu Xiao Hua, sanggup awak khianati saya. Apa yang tak cukupnya saya bagi pada awak? Apa lagi Xiao Hua? Apa lagi?!" Shu Yan sudah mula menengking sambil memegang kuat kedua bahu Xiao Hua.

Xiao Hua menggeleng kepala berkali-kali. "Saya minta maaf..."

"Maaf? Berapa banyak awak tipu saya, Xiao Hua? Berapa lama awak tipu saya? Apa yang awak buat di belakang saya selama ni, Xiao Hua? Ada orang pernah nampak awak bersama Shu Nian tapi saya tak percaya. Itu cuma khabar angin yang cuba memburukkan nama awak. Tapi hari ni mata saya tak menipu, Xiao Hua. Awak berpelukkan dengan Shu Nian? Awak cakap apa? Tak curang?" sinis Shu Yan berkata.

Xiao Hua menggapai tangan Shu Yan. "Yan Yan, saya tahu awak sayangkan saya. Saya tahu apa yang saya lakukan hari ni salah tapi saya tak pernah curang..."

"Jangan tipu saya, Xiao Hua!" jerkah Shu Yan.

"Saya sayangkan awak!" balas Xiao Hua, kuat.

"Sayang? Kalau awak sayangkan saya, awak takkan buat semua ni," balas Shu Yan pantas.

"Saya ada sebab..." Xiao Hua bersuara perlahan kembali. Tangan Shu Yan diraih tetapi ditepis kasar.

"Sebab?" Sinis sahaja Shu Yan memandang wajah yang sudah basah dengan air mata itu. Hatinya membeku. Kalau dahulu air mata itulah yang menjadi kelemahan buatnya tetapi hari ini air mata itu bagaikan tiada apa-apa makna. Dia bingkas bangun.

"Yan Yan..." Xiao Hua merangkak mengekori langkah Shu Yan. Kaki itu dipeluk erat. Dia tahu tiada kemaafan buatnya.

"Saya bagi awak dua pilihan. Sama ada pilih surat cerai atau mati."

Serentak itu Xiao Hua menggeleng kepala berkali-kali. "Tak! Saya tak curang, Yan Yan. Saya tak curang..." Xiao Hua sudah menangis teresak-esak.

"Cukup!"

"Yan Yan..."

Shu Yan merendahkan tubuhnya dan memegang erat bahu wanita itu. Matanya memandang tajam ke anak mata Xiao Hua.

"Saya akan bagi surat cerai pada awak dan awak boleh pergi pada Shu Nian!"

"Tak! Jangan..." Xiao Hua merayu lemah.

"Habis tu awak nak pilih mati?" Soal Shu Yan sinis sambil merenung pada botol kecil yang berada di atas meja itu. Dua pilihan yang ada di atas meja itu hanyalah surat cerai dan satu botol minuman yakini adalah racun. Dia ingin melihat pilihan apakah yang Xiao Hua akan pilih.

Menggeletar tangan Xiao Hua ketika itu. Wajah Shu Yan dipandang lemah. Dia menggeleng kepala berkali-kali.

"Tiada kemaafan langsung untuk saya?" tanyanya perlahan.

"Saya takkan pernah maafkan orang yang menipu saya. Awak tahu kan saya paling tak suka ditipu."

Lemah Xiao Hua ketika itu. Dua pilihan yang benar-benar menyakitkan. Wang Shu Yan tidak pernah bermain-main. Wajah itu juga serius.

"Wang Shu Yan... saya nak tahu adakah awak sayangkan saya seikhlas hati selama ni?" soal Xiao Hua lemah.

"Awak jangan cuba pujuk saya, Xiao Hua." Shu Yan memberi amaran. Kali ini dia tidak akan termakan dengan air mata dan pujuk rayu wanita itu.

"Tak. Saya cuma nak tahu. Saya akan buat pilihan selepas saya dapat jawapan awak," balas Xiao Hua dengan senyuman perit.

Shu Yan bingkas bangun. Dia memandang Xiao Hua yang duduk di lantai dengan keadaan yang tidak terurus. "Suatu masa dulu awak adalah wanita yang paling saya sayang. Saya sanggup buat apa sahaja untuk awak. Apa sahaja yang awak nak, saya akan berikan untuk awak. Saya kahwin dengan awak bukan sebab amanat datuk atau sebab kasihankan awak.

Tapi Xiao Hua, awak tak hargai apa yang saya lakukan selama ni. Saya sayang awak sepenuh hati saya. Tapi ini yang awak balas dalam diam? Berapa lama awak tipu saya? Kenapa awak tipu saya? Kasih sayang saya tak cukup ke? Patut kita tak dapat anak. Sebab awak tipu saya di belakang."

Panjang lebar Shu Yan meluahkan perasaan. Sedih, kecewa dan marah. Dia tidak tahu mana silapnya sehingga Xiao Hua jadi begitu. Dia tidak tahu dimana lopongnya sehingga Xiao Hua mengkhianatinya.

Xiao Hua sudah menangis teresak-esak di situ. Tiada kata yang terluah, hanya tangisan yang berpanjangan.

Shu Yan duduk di birai katil dengan perasaan yang ditahan. Hari ini dia akan melepaskan wanita yang dia sayang ke tangan abang sulungnya. Hatinya kucar kacir tetapi kekecewaan itu sudah tidak mampu dibendung lagi. Lebih baik melepaskan Xiao Hua pergi daripada memandang wajah itu dengan penuh kebencian.

Entah berapa lama Xiao Hua teresak-esak di lantai, namun dengan tiba-tiba wanita itu bangun. Wajah Shu Yan dihadapannya dipandang lama. Senyuman kecil bercampur perit dilemparkan kepada lelaki itu.

Berat kakinya melangkah ke arah meja. Disentuh perlahan kertas itu bersama perasaan bercampur baur. Perit. Pedih. Disentuh perlahan botol kecil berisi racun itu. Kemudian dia berpaling memandang Shu Yan.

"Kalau saya pilih mati, awak akan puas?" tanya Xiao Hua perlahan sambil tersenyum perit.

Shu Yan merengus. Dia tahu Xiao Hua cuba mengujinya. Gadis itu sering menggunakan helah untuk menarik perhatiannya.

"Wang Shu Yan..." Perlahan Xiao Hua memanggil. Shu Yan menatap wajah Xiao Hua tanpa sebarang perasaan.

"Terima kasih untuk segalanya..." ucap Xiao Hua perlahan. Dia berpaling menghadap meja dan membuka penutup botol lalu diteguk rakus.

Mata Shu Yan terbeliak melihat Xiao Hua memilih untuk minum racun itu dihadapannya. Senyuman itu membuatkan seluruh tubuhnya menggigil.

"Saya minta maaf..." ucap Xiao Hua perlahan bersama senyuman manis. Lama dia memandang wajah Shu Yan tanpa berkelip. Wajah terakhir untuknya. Senyuman terakhir untuk Shu Yan. Kesalahannya tiada kemaafan. Lebih baik dia tidak hidup di dunia itu lagi.

"Xiao Hua!" Shu Yan mendapatkan tubuh kecil yang sudah terjelopok di tepi meja sambil menyentuh dada.

"Kalau awak sayangkan Shu Nian, saya akan benarkan awak pergi pada dia! Kenapa awak pilih racun!" Shu Yan bersuara keras. Tubuh kecil itu sudah lemah dipangkuannya.

Xiao Hua tersenyum untuk kali terakhirnya. Perlahan matanya terpejam. Tangannya yang digenggam erat oleh Shu Yan sudah pun terkulai jatuh ke lantai.

Kaku seluruh tubuh Shu Yan melihat semua itu. Darah yang mengalir dari bibir itu disapu dengan ibu jarinya. Air matanya tidak keluar biarpun hatinya sedih. Erat dia memeluk tubuh kecil yang kaku itu. Tanpa kata dan air mata.

"Yuan Zhen!" Shu Yan memanggil tegas dari dalam kediaman. Sesaat kemudian pengawal peribadinya muncul di hadapannya. Lelaki itu nampak terkejut dengan situasi itu.

"Saya arahkan awak untuk tutup mulut semua yang ada di kediaman Yan. Apa yang berlaku hari ni, jangan ada satu cerita pun keluar. Esok khabarkan pada maharaja yang Xiao Hua mati mengejut." Perlahan Shu Yan bersuara. Walaupun tegas tetapi masih ada lopong ketegasan itu. Seolah-olah sedang menahan perasaan.

Yuan Zhen sedikit terkedu namun ditunduk hormat tanda menerima arahan itu. "Baik tuan muda..."

Shu Yan tersedar dari bayangan panjang itu apabila merasakan jemari Xiao Hua memegang erat jemarinya. Mata itu masih terpejam rapat tetapi ada butiran jernih mengalir dari mata yang tertutup itu.

Perlahan Shu Yan mengesat air mata itu. Dia tidak tahu mimpi apa yang Xiao Hua lalui dalam tidur itu sehingga mengalirkan air mata. Barangkali mimpi tentang kebakaran itu.

Bayangan tadi terus terhapus dari mindanya. Biarpun sudah tiga bulan lebih berlalu namun keadaan itu masih jelas di mindanya. Dan persoalan bagaimana Xiao Hua bangun semula itu masih tidak ada jawapan.

Selepas beberapa jam kejadian itu, Xin Xin memberitahunya ada sesuatu yang aneh berlaku pada Xiao Hua. Pada mulanya dia tidak percaya apabila diberitahu bahawa jari jemari Xiao Hua bergerak dengan tiba-tiba. Jadi dia kembali ke kediaman itu bersama doktor perubatan.

Ajaib tetapi aneh. Doktor menyatakan nadi Xiao Hua cuma dalam keadaan lemah. Sedangkan Xiao Hua benar-benar minum racun itu dihadapannya. Tetapi Xiao Hua hidup semula seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cuma tanpa kenangan lalu di minda wanita itu.

Kematian itu bagaikan tidak pernah berlaku. Sehingga sekarang dia masih tidak percaya tetapi itulah hakikat yang dia lalui.