Chereads / Our Tomorrow (Malay) / Chapter 21 - Kemusnahan

Chapter 21 - Kemusnahan

TANGAN yang mengusap lembut pipinya memaksa dia untuk membuka mata. Dia merasakan kepalanya bukan berbaring di atas bantal. Kehangatan itu terasa berbeza, seperti dia berbantalkan anggota badan seseorang.

"Dah bangun?" Suara itu menegur penuh lemah lembut.

Ying Hua melihat kepala yang menjengah ke wajahnya dari atas. Dia mengalihkan pandangan, tetapi pandangannya begitu rapat dengan dada bidang lelaki itu. Rupanya kepalanya berbantalkan paha!

Air liur ditelan kesat. Dia tidak tahu apa yang berlaku. Matanya terasa kabur tetapi dia yakin dia tidak salah melihat. Pantas dia bingkas bangun dari baringan. Namun kepalanya mula terasa sakit.

"Xiao Hua, awak tak ingat apa yang berlaku?" tanya suara itu, kedengaran sinis di telinganya.

Ying Hua berpaling dengan wajah bengang, memandang lelaki di hadapannya seperti ingin menerkam. Senyuman lelaki itu bagaikan mengejeknya.

"Apa yang awak cuba buat!" tanya Ying Hua kasar. Hatinya membara melihat lelaki itu. Jemarinya mengepal erat. Mahu sahaja dia menghayunkan penumbuk ke wajah lelaki itu.

Lelaki itu ketawa lalu bangun dari katil itu. Dia membetulkan pakaiannya untuk tampil kemas. Wajah Xiao Hua dipandang bersama senyuman nakal.

"Xiao Hua... awak dah lupa perkara yang paling penting. Jadi saya patut ingatkan awak semula..." ujar lelaki itu dengan lirikan mata yang menggoda.

"Wang Shu Nian!" Ying Hua menjerit kuat.

Dadanya terasa ingin pecah melihat situasi itu. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh berada di kediaman Nian dengan tiba-tiba. Apa yang Shu Nian cuba lakukan sebenarnya? Fikiranya mula berserabut. Dia tidak mengerti apa yang sedang berlaku.

"Shu Yan!" Serta merta Ying Hua turun dari katil apabila teringat tentang Shu Yan. Dia perlu bertemu dengan Shu Yan di tepi tasik.

"Wu Xiao Hua, awak nak pergi mana?" Shu Nian menarik kasar tangan wanita itu, menghalang daripada pergi dari situ.

"Wang Shu Nian! Apa awak nak sebenarnya?! Tak cukup lagi ke awak cuba musnahkan perkahwinan saya!" Ying Hua menempelak geram.

Awal pagi tadi dia sudah berjanji untuk berjumpa dengan Shu Yan di tepi tasik. Mereka sudah berjanji untuk pergi ke tasik itu selepas Shu Yan pulang dari selatan. Selepas mereka berbaik semula, Shu Yan tidak pernah melayaninya dengan kasar lagi. Hubungan mereka begitu baik selepas kejadian malam itu.

Hanya kerana dia terlalu seronok, dia tidak membenarkan Xin Xin mengikutnya. Dia tahu jalan ke tasik itu biarpun pada kali pertama mereka pergi pada waktu malam. Sedang dia menikmati keindahan alam disekitar itu, dengan tiba-tiba mulutnya dipekup dari belakang. Selepas itu dia tidak tahu apa yang berlaku. Apabila bangun, dia sudah berada di dalam kediaman lelaki itu.

Dua bulan berlalu dengan pantas. Dia tidak menyangka Wang Shu Nian berani bertindak sebegitu. Sangkaannya putera mahkota itu tidak akan menganggunya lagi. Dia merasakan dia cukup bahagia bersama Shu Yan pada dua bulan yang lepas. Tetapi kini segalanya musnah!

Shu Nian ketawa dengan kata-kata itu. "Xiao Hua, awak dah lupa ke saat-saat kita bersama? Awak sendiri yang cakap awak dah bosan dengan Shu Yan. Awak sendiri yang merelakan diri awak untuk bersama saya. Awak yang buat saya jatuh cinta dengan awak. Sekarang awak suruh saya lupakan awak? Tak mungkin Xiao Hua..." ujar Shu Nian dengan nada lembut.

Tapi pada pendengaran Ying Hua, kata-kata itu begitu menjengkelkan. "Penipu!"

"Penipu?" Shu Nian bertanya sebelum ketawa besar. Tangan wanita itu dipegang erat. Matanya yang lembut tadi sudah bertukar garang.

"Wu Xiao Hua, awak yang menipu. Awak yang pilih untuk curang. Awak yang pilih saya untuk berada dalam hati awak. Sekarang awak cakap saya penipu?" Shu Nian menarik tangan Xiao Hua rapat ke arahnya.

Ying Hua cuba meloloskan diri tetapi gagal. Dia masih memandang Shu Nian dengan penuh kebencian. Lelaki itu perosak segalanya!

"Saya cuma nak selamatkan awak daripada pembohongan Shu Yan. Dia tak cintakan awak, Xiao Hua. Dia cuma mahu balas dendam atas apa yang awak dah lakukan sebelum ni. Dia hanya bagi awak harapan kosong. Suatu hari nanti Wang Shu Yan akan tinggalkan awak terkontang kanting.

Cukuplah Xiao Hua. Saya tahu awak hilang ingatan tetapi jangan percaya dengan apa yang awak lihat. Shu Yan mungkin sayang awak tapi itu dulu. Sekarang dia hanya nak balas dendam sahaja. Cubalah awak buka mata, Xiao Hua..."

Kata-kata itu penuh dengan pujukan rayu. Mata itu bertukar lembut. Tangan itu sudah mengelus rambut hitam Xiao Hua yang lurus itu.

"Tak!" Ying Hua membalas kasar. Tidak mungkin! Shu Yan benar-benar sudah maafkannya. Apa yang dia lalui selama dua bulan itu, dia yakin bukan kepura-puraan.

Shu Nian melepaskan tangan wanita itu. Dia mengangguk, mengerti. Matanya menatap sekali lagi wajah Xiao Hua. "Kalau awak tak bersalah, kenapa awak pilih untuk bunuh diri?"

Ying Hua membisu seribu bahasa. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Pertanyaan itu benar-benar menyentak hatinya.

Shu Nian ketawa. "Awak tak boleh jawab kan? Xiao Hua... awak tak boleh tipu diri awak sendiri. Saya lebih kenal awak."

"Saya tak nak ingat apa yang berlaku antara kita! Saya cuma nak bersama Shu Yan. Saya akan dapatkan hati Shu Yan semula!" jawab Ying Hua pantas.

Shu Nian hanya menggeleng kepala, seperti merendah-rendahkan kata-kata itu. Wu Xiao Hua ingin dapatkan semula hati Wang Shu Yan? Setelah apa yang berlaku?

"Xiao Hua, awak bukan hilang ingatan tapi awak sebenarnya dah gila. Buang masa aje untuk awak dapatkan hati Shu Yan. Dan awak takkan pernah dapat pun," ejek Shu Nian. Dia mengusap lembut kepala itu namun Ying Hua pantas menepis.

"Awak tu yang gila!" Ying Hua merengus kasar. Tubuh sasa itu ditolak lalu dia melangkah pantas, cuba keluar dari kediaman itu.

"Xiao Hua!" Shu Nian merampas kasar tangan kanan wanita itu.

"Shu Nian!" Ying Hua menarik tangannya tetapi pegangan itu terlalu kasar. Matanya sudah berair menahan tangis. Keadaan itu lebih menakutkan baginya.

"Awak cari Shu Yan? Tak apa, dia akan datang nanti. Awak tak perlu cari dia..." ujar Shu Nian selamba.

Pang!

Puas! Ying Hua benar-benar puas selepas menampar wajah yang kurang ajar itu. Dia sudah tahu lelaki itu membawanya ke situ bukan kosong semata-mata. Lelaki itu ada agenda lain!

Shu Nian ketawa sambil membuat regangan pada otot mukanya. Pedihnya boleh tahan. "Xiao Hua... jangan menangis sayang. Saya akan akhiri segalanya..."

"Kau..." Ying Hua mengigit bibir menahan geram. Air matanya sudah menitis di pipi. Bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu geram dengan agenda jahat lelaki itu. Serentak itu tubuhnya melayang rapat ke tubuh sasa Shu Nian akibat ditarik lelaki itu.

"Awak patut ingat apa yang berlaku waktu Shu Yan dapat tahu yang isteri kesayangannya curang," bisik Shu Nian di telinga Xiao Hua. Dia ketawa sinis sambil merangkul erat pinggang wanita itu.

"Wang Shu Nian!" Ying Hua cuba menolak tubuh itu tetapi sukar dengan tenaganya yang tidak seberapa itu.

"Wah... dah penat berlakon ke?" Satu suara menegur dari muka pintu. Nadanya lebih kepada menyindir.

Ying Hua mengalihkan pandangan ke arah suara itu. "Shu Yan!"

Shu Nian melepaskan rangkulan itu, membiarkan Xiao Hua berlari ke arah suami kesayangannya. Kemudian dia ketawa kecil. Drama yang dinantikan sudah bermula.

"Shu Yan..." Ying Hua melarikan diri ke belakang Shu Yan. Erat dia memegang pakaian Shu Yan, mengharapkan pertolongan dari lelaki itu. Biarpun dia merasakan sesuatu bakal berlaku tetapi dia tidak mahu menaikkan api kemarahan Shu Yan.

"Wu Xiao Hua sangat unik sikapnya. Lebih menarik berbanding Wu Xiao Hua yang dulu. Tak mustahil kejadian tu akan berulang kembali. Kan Yan Yan?" ujar Shu Nian selamba. Sempat dia menggunakan nama manja yang sering Xiao Hua gunakan untuk Shu Yan.

Shu Yan mengepal penumbuk. Ikutkan hati mahu sahaja penumbuk itu melayang ke wajah putera mahkota itu. Seluruh tubuhnya menggigil menahan marah.

"Shu Yan..." Ying Hua terus mencapai tangan itu dan digenggam erat. "Saya... saya akan terangkan segalanya. Apa yang awak lihat sekarang bukan seperti yang awak sangka." Sedaya upaya Ying Hua cuba menjelaskan apa yang berlaku.

Dia tidak mahu Shu Yan termakan dengan permainan Shu Nian. Walaupun dia tidak tahu kebenaran yang berlaku pada masa lalu Xiao Hua tetapi dia tidak mahu dipersalahkan sebegitu. Sudah terang-terang Shu Nian menculiknya. Bukan dia sendiri yang datang ke kediaman lelaki itu. Barangkali jua apa yang berlaku pada Xiao Hua sebelum ini sama dengan situasi yang berlaku sekarang. Semua itu tidak mustahil.

Shu Nian hanya memeluk tubuh sambil mempamerkan wajah tidak bersalah. "Shu Yan... Xiao Hua sebenarnya nak jadi puteri mahkota. Dia tak mahu pun gelaran puteri keempat..."

"Penipu!" tempik Ying Hua menghalang Shu Nian daripada bercakap yang bukan-bukan. Dia menarik Shu Yan menghadap ke arahnya sambil menggeleng kepala.

"Tak Shu Yan. Jangan percaya apa yang dia cakap..." rayu Ying Hua. Melihat wajah yang tidak beriak itu, dia semakin takut. Dia menggoyangkan kedua lengan Shu Yan, mengharapkan lelaki itu membalas kata-katanya.

"Jadi kenapa awak perlu datang pada saya kalau awak tak nak gelaran puteri mahkota, Xiao Hua? Semua orang tahu awak dan Shu Yan saling menyukai. Tapi kenapa awak berubah hati? Sebab Wang Shu Yan bukan putera mahkota?" Shu Nian sengaja menuangkan api ke dalam minyak. Masih lagi cuba memanaskan hati Shu Yan yang sudah membara itu.

"Penipu!" tempik Ying Hua sekali lagi. Matanya merenung tajam ke arah Shu Nian. Terasa ingin membunuh lelaki itu sahaja.

"Shu Yan... fikirlah sendiri. Wu Xiao Hua hilang ingatan? Lihat apa yang berlaku sekarang. Benarkah dia hilang ingatan ataupun sekadar ingin menutup kesalahan lalu?" Shu Nian semakin mengapi-apikan Shu Yan.

"Wang Shu Nian!" Tubuh Ying Hua sudah menggigil. Matanya merah dan berair. Wang Shu Nian benar-benar melampau.

Dia memandang Shu Yan, meminta simpati lelaki itu sambil menggeleng kepala berkali-kali. Dia tidak kisah kalau Shu Nian mengejeknya tetapi dia tidak mahu dipersalahkan pada kesalahan yang bukan dia lakukan.

"Shu Yan... tolong jangan percaya kata-kata dia..." rayu Ying Hua.

"Yuan Zhen!" Shu Yan akhirnya bersuara setelah lama berdiam diri. Matanya menikam wajah Shu Nian dengan penuh kebencian. Kemudian pandangannya beralih ke arah Xiao Hua yang sudah mengalirkan air mata.

Yuan Zhen merapati tuan mudanya. Tidak bersuara, hanya menunggu arahan seterusnya.

"Kurung Xiao Hua di penjara bawah tanah." Tegas Shu Yan memberi arahan.

Ying Hua tersentak. Dia menggeleng kepala berkali-kali. "Shu Yan... Shu Yan..."

Shu Nian tiba-tiba ketawa. "Wang Shu Yan... kenapa perlu menyeksa wanita kesayangan kau? Kau benci atau kau masih sayang?"

"Jangan risau, putera mahkota. Apa pun urusan berkaitan Wu Xiao Hua, putera mahkota tak perlu risau," ujar Shu Yan tegas kemudian terus berlalu dari situ.

Yuan Zhen memberi isyarat kepada beberapa orang pengawal yang bersamanya untuk membawa Puteri Yan ke penjara bawah tanah.

"Shu Yan!" Ying Hua menjerit sambil menggeleng kepala berkali-kali. Air matanya sudah penuh membasahi wajahnya. Dia meronta-ronta cuba meloloskan diri dari dua pengawal itu.

Tidak! Dia tidak bersalah! Wang Shu Nian cuba memerangkapnya!

"Wang Shu Yan!" Sekali lagi Ying Hua memanggil nama itu. Shu Yan sudah berjalan jauh di hadapannya. Sedikit pun tidak berpaling ke arahnya. Hatinya begitu sedih. Dadanya terasa sakit melihat wajah itu memandangnya penuh kebencian.

Dia lemah. Dia lelah. Tenaganya sudah tiada untuk meloloskan diri. Kini dia diheret bagaikan pesalah. Langsung tiada belas kasihan dari lelaki itu.

Shu Nian hanya ketawa melihat keadaan itu. Rancangannya berjaya. Melihat pasangan itu bahagia bagaikan merobek hatinya. Dia mahu melihat kemusnahan pasangan itu. Dan hari ini dia berjaya membuatkan Shu Yan melepaskan segala yang terpendam.

Selepas ini, kehidupan Wu Xiao Hua akan berubah.

********************

TUBUH Ying Hua terus dilempar kasar masuk ke dalam penjara besi itu yang hanya beralaskan daun-daun. Pintu jeriji besi terus ditutup dan dikunci.

Shu Yan berdiri di hadapan pintu itu dengan wajah tegang. "Awak patut tinggal di sini dan fikir apa kesalahan awak."

"Shu Yan..." ujar Ying Hua lemah. Dia cuba bangun dan merapati pintu besi itu.

"Pengawal! Jangan ada sesiapa pun yang berani melawat Puteri Yan apatah lagi cuba keluarkan dia dari sini." Kasar Shu Yan memberi arahan. Hilang Wang Shu Yan yang lemah lembut yang dilihat selama dua bulan yang lalu.

"Shu Yan..." Ying Hua menggeleng kepala berkali-kali.

Shu Yan merendahkan tubuh sama paras wanita itu dan merapati dirinya di tiang besi. "Wu Xiao Hua, awak nak pilih racun juga ke kali ni?"

Ying Hua menggeleng kepala. Tangannya cuba memegang tangan Shu Yan tetapi lelaki itu menepis kasar. Shu Yan bingas bangun.

"Tuan puteri!" Xin Xin muncul dengan tiba-tiba di situ namun ditahan oleh Yuan Zhen.

Shu Yan ingin berlalu namun Xin Xin dengan tiba-tiba melutut di hadapannya membuatkan pergerakkannya terhenti.

"Putera Yan... maafkan Puteri Yan..." pinta Xin Xin menahan tangis. Lelah hatinya melihat tuannya di sebalik tiang besi untuk kali pertama.

Shu Yan tidak beriak. Dia terus berlalu dari situ tanpa bersuara. Hatinya makin sakit melihat semua itu. Dia takkan sesekali memaafkan wanita itu lagi. Segala kemaafan yang diberi, akhirnya dibalas begitu. Hatinya pedih.

"Xin Xin." Yuan Zhen menegur gadis itu.

"Yuan Zhen, tuan puteri tak bersalah. Dia benar-benar keluar untuk jumpa Putera Yan di tasik. Tuan puteri tak menipu..." Xin Xin cuba menjelaskan segalanya.

Berita yang dia terima tadi benar-benar mengejutkannya. Awal pagi tadi tuannya sudah bersenang hati dengan gembiranya untuk bertemu dengan Putera Yan di tasik. Tetapi dengan tiba-tiba dia dapat tahu tuannya berada di kediaman putera mahkota.

Mengapa kejadian itu berulang kembali? Mengapa? Dia tidak tahu apa yang berlaku tetapi dia yakin tuannya tidak bersalah.

Selama dua bulan mata itu penuh dengan kegembiraan dan kasih sayang. Mana mungkin tuannya akan mengulangi kesilapan lalu.

Hiba dia memandang tuannya. Dia tidak tahu apa yang boleh dia lakukan untuk bantu tuannya keluar dari situ.