YING Hua termenung jauh di jendela. Memandang kosong pada kawasan kediaman Xian dengan hati yang lelah. Dia berada di kediaman Shu Xian selepas lelaki itu menyelamatkannya. Dia tidak pasti apa yang berlaku dan dia juga tidak mahu ambil tahu.
Terlepas dari penjara bawah tanah sudah cukup buatnya. Sehingga kini dia masih tidak bertanya apa-apa tentang itu. Xin Xin juga tidak bersuara banyak. Begitu juga dengan Shu Xian. Mungkin kerana menyangka dia masih belum sembuh.
Baru hari ini dia mampu untuk bangun setelah hampir seminggu terlantar di atas katil. Menurut Xin Xin, dia mengalami demam panas yang melampau sehingga tidak sedarkan diri. Ikutkan hatinya, dia benar-benar tidak mahu bangun. Dia mahu menganggap semua itu hanyalah sekadar mimpi dan bayangannya sahaja. Tetapi tidak. Dia masih lagi berada di dunia asing itu dan merasai keperitan yang sama.
Selama dia tidak sedarkan diri, dia bermimpi tentang seorang wanita yang mirip dengan wajahnya. Dia merasakan wanita itu adalah dirinya tetapi bukan dirinya. Wajah yang begitu mirip hampir membuatkan dia tidak dapat membezakan dirinya dan Wu Xiao Hua. Di dalam mimpi itu dia melihat Xiao Hua bersama Shu Nian. Situasi yang berlaku pada dirinya, sama seperti situasi di dalam mimpi itu. Wang Shu Yan menjadi orang pertama yang melihat kecurangan Xiao Hua.
Ying Hua masih tidak mengerti. Mengapa dia bermimpi tentang itu. Seakan-akan memberi gambaran pada apa yang pernah berlaku pada diri Xiao Hua, kini berlaku pada dirinya pula. Adakah Xiao Hua benar-benar curang?
Perlahan dia menghela nafas berat. Andai mimpinya itu adalah satu petunjuk untuknya, bermakna tidak kira apa jua yang dia cuba lakukan sekarang ini, tiada apa yang boleh mengubahnya. Wu Xiao Hua tetap bersalah. Walaupun dia cuba untuk tidak mengakuinya, jawapannya tetap sama.
Matanya menghala ke arah Xin Xin yang sudah mendekatinya. Langkah itu begitu perlahan, barangkali tidak mahu mengejutkannya. Bibirnya mengukir senyuman tawar kepada Xin Xin.
"Tuan puteri..."
"Awak rasa saya jahat ke, Xin Xin?" tanyanya perlahan.
Serta merta Xin Xin menggeleng kepala. Dia merapati tuannya dan duduk bersimpuh. Tangan kanan tuannya dicapai dan diusap perlahan. Semenjak keluar dari penjara, tuannya lebih banyak membisu dan termenung.
Dia tidak sanggup melihat keadaan itu. Dia lebih menyukai Wu Xiao Hua yang selalu ketawa gembira dan memeningkan kepalanya dengan telatah nakal itu. Tetapi hal itu tidak mungkin dapat dilihat lagi.
"Xin Xin percaya tuan puteri tak buat semua tu."
Ying Hua hanya membisu. Xin Xin gadis yang polos. Gadis itu tidak tahu menilai kebenaran kerana lebih mempercayai Xiao Hua hanya kerana mereka membesar bersama-sama. Hakikatnya entah berapa banyak Xiao Hua menipu Xin Xin.
Sekali lagi dia menghela nafas. Dadanya masih belum terasa lapang. Tidak kira di mana dia berada, dia di situ hanyalah seorang pesalah.
"Saya nak balik..." Perlahan Ying Hua menuturkan ayat itu.
Kepala Xin Xin digeleng laju. "Putera Xian tak benarkan tuan puteri balik ke kediaman Yan. Putera Yan pasti akan menghukum tuan puteri lagi. Kediaman Xian lebih selamat untuk tuan puteri. Putera Xian tidak benarkan sesiapa pun datang sini tanpa kebenarannya," jelas Xin Xin pantas.
Ying Hua menggeleng kepala. Bukan itu maksudnya. "Maksud saya, rumah saya, rumah kelahiran saya."
Xin Xin terkedu. Itu kali pertama tuannya menyebut tentang kediaman Wu.
"Awak mesti tahu rumah saya. Saya nak balik. Saya dah tak nak tinggal di sini lagi," sambung Ying Hua perlahan.
Sampai bila dia harus berada di situ, di kediaman Xian. Shu Yan akan datang bila-bila masa sahaja. Cukup dengan onar yang dia lakukan sebelum ini. Dia tidak mahu Shu Xian menjadi mangsa kebencian Shu Yan pula. Malah dia juga tidak mahu memburukkan keadaan lagi.
Xin Xin masih membisu. Mana mungkin mereka akan pulang ke kediaman Wu dalam keadaan sebegitu. Lagipun kediaman Wu sudah tidak terurus selepas kebakaran itu. Dia sendiri tidak pernah ke sana selepas berpindah ke kediaman Yan.
"Tuan puteri..." Xin Xin cuba memujuk.
"Awak nak saya minum racun ke?" Ying Hua mengugut.
Pantas Xin Xin menggeleng kepala. Erat dia menggenggam tangan tuannya, mengharapkan tuannya tidak bertindak yang bukan-bukan.
"Bawa saya balik. Tak kira apa jua sekalipun, saya tak nak tinggal di sini lagi." Suara Ying Hua sudah tegas. Dia tidak boleh lemah semangat lagi. Jalan terbaik untuknya adalah keluar dari situ. Keluar dari segala yang berkaitan dengan Shu Yan dan Shu Nian.
"Tapi tuan puteri..."
"Kalau awak tak nak pergi, saya akan pergi sendiri." Ying Hua sudah bangun dari tempat duduknya. Xin Xin turut bangun sambil menggeleng kepala.
"Xin Xin patuh arahan tuan puteri. Tapi Xin Xin perlu maklum kepada Putera Xian supaya dia tak risau keselamatan tuan puteri." Xin Xin akhirnya patuh. Dia tidak mahu menghalang. Tuannya sudah lama menderita. Dia yakin tuannya sudah tidak mampu menahan semua itu lagi.
Dia tidak kisah ke mana pun tuannya mahu pergi. Dia akan mengekori sehingga akhir hayatnya. Apa yang tuannya rasai, dia akan rasa bersama. Tidak kiralah kalau seluruh muka bumi merunding jari kepada tuannya, dia tetap percayakan tuannya.
********************
PEDANG yang panjang itu dilap dengan kain putih sehingga berkilat. Terasa begitu lama dia tidak menilik pedang miliknya yang sering dibawa ke sana sini. Sengaja dia membiarkan dirinya sibuk dengan urusan-urusan luar kerana ingin menghapuskan perihal Xiao Hua dari mindanya.
Namun awal pagi tadi dia sudah diseru ke istana untuk bertemu dengan ayahandanya. Nampaknya berita itu sudah sampai ke tangan ayahandanya. Melihat kelibat Shu Nian yang turut ada bersama, dia menahan amarah daripada meletus.
Sewaktu dia tiba di istana, sempat dia berselisih dengan Shu Xian. Adik lelakinya itu tidak bersuara apa-apa, apatah lagi menyapanya. Lelaki itu terus berjalan melintasinya bagaikan tidak wujud. Ketika itu mereka berdua bagaikan musuh ketat yang sedang berperang.
Ayahandanya begitu marah selepas mendengar berita itu. Seperti biasa, Shu Nian berdolak dalih, meminta ayahandanya bertanya lebih lanjut kepada Xiao Hua. Dia tidak tahu apa yang berada di fikiran ayahandanya ketika ini sehingga dia diarahkan untuk membawa Xiao Hua pulang ke kediaman Yan semula. Dia yakin keputusan ayahandanya ketika itu pasti berkait dengan kedatangan Shu Xian sebentar tadi.
Putera ketujuh itu terlebih dahulu bertemu dengan ayahanda mereka. Dia yakin ada sesuatu yang Shu Xian sampaikan sehingga ayahandanya masih boleh menerima Xiao Hua seperti tiada apa-apa yang berlaku. Adakah kerana ayahandanya begitu menyayangi Xiao Hua hanya kerana amanat General Wu atau sebaliknya. Dan tindakan Shu Xian ketika itu benar-benar mengujinya.
"Tuan muda..." Yuan Zhen menunduk hormat sebelum mendekati putera keempat itu.
"Emm, Xiao Hua dah sampai?" tanya Shu Yan seperti tidak ambil peduli. Dia hanya menurut perintah ayahanda sahaja. Ikutkan hati, dia tidak mahu wanita itu menjejakkan kaki ke kediaman Yan lagi.
"Puteri Yan tiada di kediaman Xian," jawab Yuan Zhen sedikit risau. Sewaktu dia tiba di kediaman Xian, putera ketujuh memberitahu Puteri Yan tiada di kediamannya. Dia menyangka Putera Xian cuba untuk mengingkari arahan maharaja jadi dia bergegas masuk untuk mencari.
Wajah Putera Xian tidak menunjukkan apa-apa. Tidak mempamerkan wajah risau apatah lagi marah. Seperti mengagak hal itu akan berlaku. Dia meminta Putera Xian memberitahu kebenaran tentang keberadaan Puteri Yan tetapi putera ketujuh itu hanya menggeleng kepala menyatakan Puteri Yan sudah tiada di kediamannya. Tetapi kata-kata Putera Xian yang seterusnya begitu mengejutkannya.
Shu Yan sudah bangun dari tempat duduknya. Shu Xian benar-benar mencabar kesabarannya.
"Tuan muda, Puteri Yan pulang ke kediaman Wu," jelas Yuan Zhen pantas apabila merasakan angin putera keempat itu sudah berubah. Pasti menyangka putera ketujuh tidak membenarkan Puteri Yan pulang ke kediaman Yan.
Apa yang dia tahu, Putera Xian sudah mendapat arahan lebih awal dari maharaja untuk pujuk Puteri Yan pulang ke kediaman Yan semula. Bimbang akan mata-mata memandang kalau wanita itu tinggal begitu lama di kediaman putera bujang itu. Sudah cukup onar yang berkait dengan putera mahkota. Sebab itulah maharaja bertegas untuk membawa Puteri Yan pulang sebelum menyiasat segalanya dengan lebih lanjut.
Tidak kira apa jua kesalahan Wu Xiao Hua, wanita itu tetap isteri Putera Yan. Apa jua siasatan yang ingin dilakukan, wanita itu tetap perlu berada di kediaman Yan. Tetapi kini Puteri Yan tidak mahu pulang ke kediaman Yan. Wanita itu tiba-tiba pulang ke kediaman Wu.
Shu Yan tiba-tiba membisu. Hampir sahaja tuala kecil itu terlepas dari tangannya. Terkejut dengan apa yang dia dengar dari mulut Yuan Zhen.
Kediaman Wu? Bererti Xiao Hua sudah mengingati segalanya?
"Putera Xian cuba tahan Puteri Yan dari pergi tetapi Puteri Yan bertegas untuk pergi. Dia cuma minta saya sampaikan kepada tuan muda untuk bawa Puteri Yan dengan cara elok. Emosi dan kesihatan Puteri Yan masih belum stabil," kata Yuan Zhen, menyampaikan pesanan dari putera ketujuh itu dengan baik. Dia tahu Putera Xian sudah cuba sedaya upaya.
Shu Yan menghela nafas. Semenjak Shu Xian membawa Xiao Hua keluar dari penjara bawah tanah, dia masih tidak bersemuka dengan wanita itu. Cuma dia hanya dengar tubuh Xiao Hua begitu lemah ketika dibawa keluar. Hatinya beku mendengar semua itu. Kebenciannya melebihi segala-galanya.
Tetapi mendengar Xiao Hua ingin pulang ke kediaman Wu, hatinya pedih. Mindanya terbayang saat-saat kebakaran itu. Bagaimana api marak yang menjilat seluruh kawasan kediaman Wu. Bagaimana tangisan dan esakkan Xiao Hua meminta tolong untuk padamkan api yang marak itu.
Selama 5 tahun dia tidak pernah membenarkan Xiao Hua melalui jalan itu. Kerana kebakaran itu, Xiao Hua tidak mampu memegang berus lagi. Kerana kebakaran itu juga, Xiao Hua sering menyalahkan diri. Tetapi hari ini wanita itu ingin kembali ke tempat yang penuh memori luka.
Matanya dipejam rapat. Hatinya meronta-ronta tetapi akalnya menidakkan segalanya. Dia bingung. Apa yang dia perlu lakukan sebenarnya? Kenapa sekali lagi dia ingin memberi peluang kepada wanita itu sedangkan hatinya sudah berkecai dirobek oleh kecurangan Xiao Hua.
Dia menarik nafas, cuba menenangkan fikirannya. Tuala kecil yang dipegangnya sudah digenggam erat.
"Tuan muda... saya tahu saya tak patut cakap tetapi saya nak tuan muda tahu Puteri Yan mengugut semua orang di kediaman Xian untuk melepaskan dia pergi dari situ. Kalau tidak dia akan minum racun..." Yuan Zhen bersuara perlahan.
Kebenaran itu begitu perit. Wanita yang bernama Wu Xiao Hua bagaikan tahu dirinya tidak mempunyai pilihan lain. Sama ada pulang ke kediaman Yan dan hidup menderita kerana kebencian suaminya atau mengakhiri kehidupannya seperti sebelum ini.
Shu Yan terus melempar tuala kecil itu ke lantai sebelum bergegas keluar dari situ. Yuan Zhen segera mengekori langkah tuannya tanpa suara. Yakin tuannya sudah ada jawapan yang terbaik.