Chereads / Our Tomorrow (Malay) / Chapter 18 - Pertemuan Romantik

Chapter 18 - Pertemuan Romantik

MATA Ying Hua sudah membulat memandang makanan yang terhidang di atas meja itu. Macam tak percaya dengan apa yang dilihat dengan matanya itu.

Shu Xian sudah tersengih kecil melihat reaksi itu. "Hari ni akak boleh makan sepuasnya."

"Serius la?" Ying Hua bertanya bagaikan tidak percaya.

Hanya anggukan Shu Xian berikan sebagai jawapan. Terasa begitu lama tidak berjumpa dengan kakak iparnya itu. Mendengar sahaja berita daripada pengawal peribadinya, Bai Leng yang menyatakan abangnya dan Xiao Hua sudah berbaik, dia terus bergegas pulang ke kediamannya.

Kerana tidak mahu datang ke kediaman Yan dengan tangan kosong, dia memaklumkan kepada orang gaji kediamannya untuk menyediakan beberapa juadah untuk dibawa ke kediaman Yan. Dia tahu kakak iparnya itu suka makan berbanding dengan barangan berharga yang lain.

"Bai Leng, abang saya masih belum sampai?" tanya Shu Xian kepada pengawal peribadinya.

"Putera Yan akan datang lewat sikit. Dia minta tuan muda boleh mulakan tanpa dia," balas Bai Leng, menyampaikan pesanan daripada putera keempat itu.

Shu Xian mencebik. Belum dia bersuara, Bai Leng menyambung kembali kata-katanya.

"Putera Yan cakap dia dah tak marahkan tuan muda. Harap tuan muda pun tak marahkan dia."

"Emm dia tu perangai memang macam tu." Shu Xian sempat lagi mengutuk. Baru aje dia nak mengusik abangnya meskipun sebelum ini mereka bergaduh teruk. Dia bukannya melawan tetapi dia cuma mahu memberi kesedaran kepada abangnya sahaja. Tidak terfikir pun untuk bergaduh panjang.

Bai Leng hanya tersenyum kecil. Mengerti akan sikap dua beradik yang begitu rapat itu. Tak kira salah faham macam mana pun tetap akan berakhir dengan kemaafan.

Matanya sudah memandang Puteri Yan yang duduk di meja itu. Mata itu membulat memandang makanan yang terhidang. Suatu masa dahulu Puteri Yan melayani Putera Xian seperti seorang adik. Tetapi kini seperti terbalik pula. Puteri Yan lebih nampak kebudak-budakkan berbanding tuannya.

Benar kata tuannya, ada sesuatu yang berlaku pada Puteri Yan. Meskipun mereka belum mendapat jawapan yang tepat tetapi tuannya tidak pernah mengalah. Kejadian yang berlaku di kediaman Nian penuh dengan pelbagai persoalan. Dan juga bagaimana Putera Yan dengan tiba-tiba muncul di kediaman sehingga dapat melihat kecurangan isterinya di hadapan mata.

"Ha awak! Duduk la sekali."

Ajakan wanita itu menyedarkan Bai Leng dari lamunan panjang. Dia terus menunduk hormat kepada wanita itu. "Tak apa, Puteri Yan. Saya dah makan."

Shu Xian ketawa melihat telatah selamba kakak iparnya. Dengan gaya yang cukup santai, sememangnya jauh berbeza dengan yang dia kenal. Tetapi sikap ceria itu membuatkan keadaan itu tidak begitu sunyi. Apatah lagi wanita itu kini lebih banyak bersuara berbanding dengannya. Sedangkan ketika dahulu, mulutnya lebih banyak beroperasi dan Wu Xiao Hua hanya ketawa mendengar celotehnya.

"Akak, makan perlahan-lahan ye. Makanan tu takkan lari dari akak," seloroh Shu Xian apabila melihat chopstick itu laju mengambil makanan dari pinggan ke pinggan dan dimasukkan ke dalam mulut.

Ying Hua menelan makanannya sebelum bersuara. "Makanan tu akan lari ke mulut awak, Shu Xian."

Shu Xian ketawa. Dia mengangkat kedua belah tangannya bagaikan pesalah.

"Gurau... gurau. Cepat makan. Jangan tinggal sikit pun dekat orang gila tu." Ying Hua tersengih nakal.

"Orang gila?" Dahi Shu Xian sudah berkerut. Orang gila mana pula yang kakak iparnya maksudkan?

Ying Hua mengangguk sambil mengunyah dumpling kesukaannya itu.

"Maksud akak?" Shu Xian masih lagi tidak mengerti. Dia memandang Xin Xin untuk dapatkan jawapan tetapi gadis itu menunduk, seperti takut untuk memberitahu kebenaran.

"Wang Shu Yan." Ringkas Ying Hua menjawab.

"Hah?" Shu Xian sudah terkebil-kebil. Patutlah Xin Xin tak berani menjawab. Kemudian dia tersenyum kecil. Uniknya apabila kakak iparnya memanggil abangnya dengan panggilan begitu.

"Abang awak tu kan gila. Kejap macam kucing, kejap macam singa. Kejap marah, kejap tenang. Angin puting beliung tak tentu pasal. Kalau baik tu, baik sangat. Kalau marah, asyik nak ugut bunuh aje. Tak ke namanya orang gila?" bebel Ying Hua selamba. Kisah apa dia kutuk putera keempat di depan adiknya sendiri.

Shu Xian tersengih mendengar jawapan itu. Macam tak ada salah pun apa yang kakak iparnya sampaikan. Memang mood abangnya kacau bilau. Kejap baik, kejap tidak.

Dia mencapai dumpling lalu disumbat masuk ke dalam mulutnya. Sempat dia mengerling ke arah Xiao Hua yang tidak cukup sopan itu. Dia sendiri bingung dengan personaliti wanita itu sekarang ini. Selamba, ceria, suka buat masalah, kecoh dan macam-macam lagi yang dia dengar. Patutlah abangnya sakit kepala dengan telatah baru isterinya itu.

Tatkala itu matanya menangkap satu lukisan yang tergantung di dinding kediaman itu. Dahinya berkerut, menyangka dirinya tersalah lihat.

"Akak, lukisan tu bukan Taman Hexie ke?" Jari telunjuk Shu Xian menujuk ke arah lukisan yang terdapat kolam dan jambatan itu. Yakini taman itu adalah taman kecil yang berada di kediaman Yan, berdekatan dengan kediaman utama.

"Taman Hexie?" Ying Hua berhenti menguyah dan berpaling tubuhnya ke arah lukisan itu. "Oh taman dekat dengan kediaman utama tu ke? Ha'ah..."

Dahi Shu Xian semakin berkerut. Xin Xin yang melihat situasi itu bagaikan mengerti apa yang bermain di fikiran putera ketujuh itu.

"Siapa yang lukis?" tanya Shu Xian. Aneh! Selama ini tiada satu pun lukisan di kediaman Yan. Bagaimana lukisan itu ada di dalam kediaman Xiao Hua?

Ying Hua merunding jari ke arah dirinya sendiri berkali-kali. Maklumlah, dia lebih fokus pada makanan berbanding dengan pertanyaan Shu Xian.

Shu Xian bagaikan tidak percaya. Tidak mungkin! Mustahil!

Matanya melirik ke arah Xin Xin yang berdiri di sisi Xiao Hua. Melihat gadis itu mengangguk, dia terdiam seribu bahasa. Ada sesuatukah yang dia terlepas?

Matanya melirik ke arah satu lukisan lagi. Lukisan berupa seorang perempuan yang berpakaian hanfu, yakini adalah Wu Xiao Hua sendiri. Biarpun hanya menggunakan dakwat hitam tetapi masih nampak begitu cantik di matanya.

Dalam hatinya dia berasa gembira kerana kakak iparnya sudah berjaya melawan ketakutan yang dialami 5 tahun lalu. Melihat tangan itu mula melukis kembali, dia terasa senang hati. Sekurang-kurangnya kisah lalu tidak membuatkan wanita itu hidup dalam ketakutan lagi.

********************

"WAH..." Mulut Ying Hua sudah terbuka luas melihat pemandangan pada waktu malam di tasik itu. Langit yang gelap dipenuhi dengan bintang-bintang yang bergemerlapan. Kunang-kunang yang bercahaya juga berterbangan di sekitar itu mencantikkan lagi suasana.

Pada mulanya dia terasa pelik mengapa tiba-tiba Shu Yan mengajaknya keluar dari kediaman sedangkan Shu Xian masih lagi berada di situ. Sudahlah lelaki itu tidak hadir untuk makan petang yang dihidang oleh Shu Xian. Tiba-tiba dia perlu tinggalkan tetamu pula.

Ingatkan Wang Shu Yan ni cemburu dengan adiknya sendiri. Rupanya ada agenda tersendiri. Patutlah tak hadir pada makan petang tadi. Rupanya sudah bersiap sedia untuk aktiviti malam.

Shu Xian pula tidak bersuara banyak. Hanya membenarkan dia pergi bersama senyuman nakal. Ah budak kecil itu! Nampak macam innocent tapi sebenarnya boleh tahan nakal juga.

Matanya masih tidak berkelip memandang persekitaran itu. Satu suasana yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya. Masih tidak menyangka ada tempat secantik itu di muka bumi ini.

"Hey Wang Shu Yan, tak sangka awak ni romantik juga orangnya." Sempat Ying Hua memuji. Baru aje dia nak merancang untuk dapatkan hati lelaki itu tetapi tak sangka lelaki itu memulakan misi terlebih dahulu.

Shu Yan yang mendayung perahu hanya memekakkan telinga. Dia tidak tahu sama ada Xiao Hua menyindirnya ataupun memuji. Tetapi cukup dengan senyuman itu sudah mampu membuat dia gembira.

"Emm... mungkin mulut awak aje yang tak romantik," bidas Ying Hua selamba. Dah bagi pujian melambung pun masih tayang muka selamba. Rasa nak bagi penampar aje. Apatah lagi pedang tiada di tangan lelaki itu. Tak pun tolak aje ke dalam tasik. Puas hati!

Kali ini Shu Yan hanya memberi pandangan maut kepada wanita itu. Dia berhenti mendayung, membiarkan sampan kecil mereka itu berada di tengah-tengah tasik.

Ying Hua tersengih kecil dengan pandangan maut itu. Naik seram pula dibuatnya. "Gurau aje..."

Dia kembali menatap pemandangan di situ. Sementara mood Shu Yan masih baik, lebih baik dia jangan cari penyakit. Silap-silap tenggelam dia ditengah tasik itu nanti.

Shu Yan hanya memerhati wajah ceria itu. Dari reaksi yang dia lihat, wanita itu masih tidak ingat kisah terindah mereka berdua. Tempat itu bagaikan kali pertama menjejakkan kaki buat Xiao Hua. Hakikatnya itulah tempat yang penuh dengan memori manis mereka.

"Hua Er..." Shu Yan memanggil perlahan.

Ying Hua memaling kepalanya memandang Shu Yan. Cara panggilan itu sudah berubah.

"Kalau awak lupa, saya akan ingatkan awak semula."

Ying Hua terkedu. Nada itu sudah berubah lembut. Wajah itu juga nampak ikhlas di matanya. Hakikatnya bukan lupa tetapi kerana dia dan Xiao Hua adalah orang yang berbeza. Dia tidak tahu apa yang akan berlaku andai Shu Yan tahu bahawa dia bukan Xiao Hua.

Perlahan dia mengangguk, cuba menghargai apa yang Shu Yan cuba lakukan. Biarpun dia bukan Wu Xiao Hua tetapi di mata Shu Yan, dia adalah Wu Xiao Hua.

Shu Yan mendongak memandang langit. Menikmati pandangan malam yang hanya ditemani cahaya bintang dan kunang-kunang. "Ni tempat kita berdua..." ujarnya tanpa sedar.

"Emm?" Ying Hua terkebil-kebil memandang Shu Yan. Lelaki itu memandangnya namun hanya melemparkan senyuman tawar. Mungkin kecewa kerana dia tidak ingat segalanya.

"Hey Shu Yan, banyak mana awak sayangkan Xiao Hua?" tanya Ying Hua tiba-tiba. Tatkala itu dia terus memekup mulutnya. Tidak menyangka persoalan yang bermain di mindanya terlepas keluar di bibirnya.

Melihat jelingan itu, Ying Hua tersengih menayang gigi.

Jari telunjuk Shu Yan menunjuk ke arah langit. Ying Hua turut mendongak. Apa kena sayang dengan langit? Setinggi langit? Dia mempamerkan wajah bingung.

"Sebanyak bintang di langit. Yang tak terhitung bilangannya." Ringkas sahaja jawapan Shu Yan.

Ying Hua sedikit terkedu. Macam tak percaya dengan apa yang dia dengar. Manis juga mulut Wang Shu Yan sebenarnya.

********************

YING Hua mengerling ke arah tangannya yang berada dalam genggaman Shu Yan. Selepas tiba di tebing tasik itu, lelaki itu tidak melepaskan tangannya. Dadanya berdegup kencang dengan perilaku Shu Yan ketika ini. Jauh berbeza seperti sebelum ini.

Mereka berjalan memasuki kawasan pekan yang kelihatan meriah. Hanya melintasi gerai-gerai sahaja. Dia tidak tahu ke mana Shu Yan ingin membawa dia pergi tetapi kakinya tidak menolak untuk mengikutnya.

"Shu Yan..."

"Emm?" Shu Yan memberi pandangan penuh kasih sayang.

"Apa perangai awak yang sebenar? Awak baik hati atau kejam? Saya tak tahu nak menilai awak macam mana," soal Ying Hua tanpa berfikir panjang. Bersama dengan lelaki itu dengan perangai yang tidak pernah diduga membuatkan dia bingung. Apatah lagi dia terasa gugup dengan sikap yang terlebih perhatian dari lelaki itu.

Selalunya lelaki itu hanya mengugutnya, malah hanya mempamerkan wajah tegangnya tanpa senyuman. Setiap tingkah laku lelaki itu hanyalah mendatangkan kemarahannya sahaja. Tetapi hari ini sangat berbeza.

"Kenapa?" tanya Shu Yan lembut. Langkahnya terhenti dan matanya menatap wajah itu.

"Tak ada la. Saya cuma tertanya-tanya. Semua orang cakap saya adalah wanita yang paling bertuah. Awak mesti seorang lelaki yang baik," jawab Ying Hua tanpa berselindung.

Shu Yan membisu. Ya, dia seorang lelaki yang sanggup buat apa sahaja untuk orang yang dia sayang. Tetapi sayangnya, dirinya tidak dihargai.

Ying Hua gugup apabila melihat wajah itu berubah. Dia menarik perlahan tangannya dari genggaman itu namun tanpa disangka Shu Yan menarik kembali tangannya sehingga tubuhnya melayang ke dada bidang itu.

Dup dap dup dap. Jantung Ying Hua sudah berdegup laju. Dia membetulkan kedudukannya dan ingin menjarakkan diri dari tubuh sasa Shu Yan. Tetapi sekali lagi langkahnya terbatas apabila kedua tangan Shu Yan memeluk erat tubuhnya.

"Shu... Yan..." Dia tidak menyangkan Shu Yan akan bereaksi sebegitu. Biarpun dia cuba meloloskan diri dari pelukan itu tetapi dia tetap tidak mampu melawan tenaga lelaki itu.

"Sekejap aje..." ujar Shu Yan lembut.

Sesungguhnya kalau dia mempunyai kuasa, dia ingin hentikan masa itu. Biarkan mereka tinggal di dalam memori yang bahagia sahaja. Melupakan segala kenangan pahit yang berlaku selama ini. Benci macam mana pun dia dengan kecurangan Xiao Hua, hatinya tetap tidak mampu menipu dirinya sendiri. Hatinya sangat menyayangi wanita itu melebihi segalanya.

Ying Hua hanya terkaku tanpa bicara. Dia merasakan air jernih menitis di wajahnya, yakini air mata Shu Yan. Dia tidak tahu mengapa tetapi dia merasakan Shu Yan benar-benar sayangkan Xiao Hua.

Perlahan dia membalas pelukan itu dengan erat. Dia sudah tidak peduli pandangan orang yang melintasi mereka. Emosi Shu Yan lebih penting dari segalanya. Lelaki itu merindui isterinya biarpun melihat kecurangan di depan matanya sendiri.

Mungkin ada sebab mengapa dia muncul sebagai Xiao Hua. Mungkin ada sebab mengapa kejadian aneh berlaku pada dirinya. Mungkin juga dia datang sebagai Xiao Hua untuk menyelamatkan Wang Shu Yan. Walaupun dia tidak pasti apa sebabnya tetapi dia yakin hal itu sebenarnya berkait dengan Wang Shu Yan.

Shu Yan... saya akan buat awak lupakan kesedihan lalu. Desis Ying Hua dalam hati.