TANGAN Ying Hua lincah digerakkan bersama berus. Seperti biasa, hidupnya tidak pernah membosankan dengan adanya seni. Awal-awal pagi lagi dia sudah bangun untuk memulakan lukisan terbaru.
Dia seakan-akan sudah tidak peduli apa yang berlaku di sekelilingnya lagi. Hal Shu Yan ke, hal putera mahkota ke, dia sudah malas nak ambil peduli. Daripada kepalanya disesakkan dengan hal-hal yang dia sendiri pun tidak faham, lebih baik hanya fokus pada diri sendiri. Janji dia ada tempat tidur dan makan minum. Itu sudah mencukupinya.
Bak kata orang, lempar la ke pulau sekalipun, tetap pandai cari makan. Ibaratnya begitulah kisah hidupnya ketika ini. Walaupun dia sendiri masih belum dapat jawapan mengapa dia berada di situ tetapi tiada apa yang boleh dia lakukan ketika itu. Lebih baik memandang terus ke hadapan dan lalui apa rintangan yang mendatang sekalipun.
Dia membunyikan alunan muzik dengan suaranya, menunjukkan betapa senang hatinya ketika itu. Sambil melukis, dia hiburkan dirinya sendiri.
"Tuan puteri!"
Suara Xin Xin tiba-tiba mengejutkan telinganya. Hampir sahaja dia terlepas berus dari tangannya dek terkejut.
"Ah Xin Xin. Apa yang awak terpekik sangat ni?" tanya Ying Hua separuh geram. Hilang mood dengar jeritan kelam kabut itu. Xin Xin ni kadangkala cepat sangat gelabah walaupun hal kecil. Boleh kecoh satu kediaman kalau dia gelabah.
Xin Xin sudah terduduk di hadapan meja tuannya dengan nafas yang tersekat-sekat, dah macam baru lepas marathon.
"Putera Yan..."
Ying Hua menjuih bibirnya sebaik sahaja mendengar nama itu disebut. Menyampah!
"Haa, nak apa orang gila tu?" tanya Ying Hua tidak berminat.
"Putera Yan panggil tuan puteri ke kediaman utama," ujar Xin Xin kelam kabut. Sebenarnya bukan kelam kabut apa pun. Gadis itu cuma terkejut mendengar berita itu dari Yuan Zhen tadi. Macam tak percaya dengan apa yang dia dengar.
Ying Hua sudah membeliakkan matanya. Serius la? Orang gila tu panggil dia ke kediaman utama selepas beberapa hari mogok tak nak bercakap, tak nak berjumpa bagai. Aih! Pelik! Rindu ke?
Wu Ying Hua yang selama ni single sepanjang 25 tahun dan hanya sibuk dengan kerjaya tiba-tiba ada orang rindu pula? Tiba-tiba Ying Hua tersengih nakal dengan pemikirannya itu.
"Jom!" Laju Ying Hua bangun meninggalkan lukisannya yang separuh siap itu. Lukisan sudah tidak penting lagi buatnya ketika itu. Apa yang lebih penting adalah menghadap Wang Shu Yan yang tinggi melangit egonya. Bukan senang lelaki itu mahu memanggilnya ke kediaman utama. Dijemput pula tu!
'Itulah. Masa aku terhegeh-hegeh menjerit depan pintu, tak nak layan, halau balik. Aku buat bising, marah. Aku buat perangai, marah. Sekarang dah senyap baru tahu sunyi sepi. Ni Wu Ying Hua okey! Tak ada dia, tak meriah dunia.' Sempat lagi Ying Hua membebel dalam hatinya. Siap pakej perasan lagi.
Terkial-kial Xin Xin bangun mendapatkan tuannya yang sudah berlari laju meninggalkan kediaman itu. Aduh! Tak menyempat sungguh la tuannya ni!
"Tuan puteri! Janganlah lari. Nanti jatuh apa Xin Xin nak jawab dengan Putera Yan." Xin Xin sudah risau. Terlebih tenaga sangat tuannya yang sekarang. Kejap panjat pokok, berlari sana sini. Naik pening dia melayan kerenah tuannya itu.
Ying Hua tersengih nakal. Tak ada nak jatuh punya! Dia bukan budak-budak lagi yang asal lari aje boleh jatuh. Kalau jatuh pun, bukannya dia tak boleh bangun sendiri.
Dia mencekak pinggang memandang Xin Xin yang berlari anak ke arahnya. "Lambat la awak ni, Xin Xin. Awak tahu kan Shu Yan tu moodnya terumbang ambing. Kejap dia okey, kejap dia macam angin taufan. Mana tahu tadi hati dia baik, kejap lagi kalau kita lambat sampai, tiba-tiba angin taufan macam mana? Awak nak merosakkan semuanya ke?"
Sempat lagi dia mengugut gadis itu. Sebenarnya benda yang paling best adalah mengusik Xin Xin. Gadis itu pantang diusik, pasti matanya sudah merah menahan tangis. Takut punya pasal.
Dia yakin sebelum ni Xiao Hua pasti tidak pernah melakukan hal sebegitu memandangkan wanita itu lebih lembut dan sopan berbanding dengan dirinya yang lebih selamba dari segala benda. Sebab itulah Xin Xin lemah.
Xin Xin terus menggeleng kepala. Dia pantas berdiri di hadapan tuannya dan menunduk hormat. "Maafkan Xin Xin..."
Ying Hua tersenyum kecil. Dia menarik tangan Xin Xin untuk rapat dengannya.
"Awak ni kan Xin Xin, saya bergurau pun awak ambil serius." Ying Hua mencubit manja kedua belah pipi Xin Xin. Baginya Xin Xin sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Ketika dia di situ tidak mempunyai sesiapa, Xin Xin selalu berada di sisinya.
Xin Xin hanya mengangguk dengan wajah yang lurus. Dia membetulkan pakaian tuannya dengan lembut. "Tuan puteri tak nak bersiap dulu ke sebelum jumpa Putera Yan?"
Ying Hua menggeleng kepala bersama senyuman kecil. Kemudian dia terus berlari anak meninggalkan kawasan kediamannya dengan wajah bahagia.
Dan sekali lagi Xin Xin kelam kabut mengejar tuannya yang sudah meninggalkannya di belakang.
********************
BERSAMA senyuman kecil di bibir, Ying Hua berdiri di hadapan Shu Yan yang masih duduk di hadapan meja bersama kaligrafinya. Walaupun dia berlari dari kediamannya menuju ke situ tetapi sampai sahaja di muka pintu, dia mengawal tingkah lakunya.
Yuan Zhen dan Xin Xin pula sudah keluar dari kediaman kerana suruhan putera keempat itu sendiri. Bermakna di dalam bilik itu hanya tinggal mereka berdua semata-mata. Dia sendiri tidak tahu apa yang berada di fikiran Shu Yan ketika itu. Memanggilnya ke situ untuk kali pertama tetapi masih mempamerkan wajah serius seperti dia tidak wujud di hadapan lelaki itu.
Mata Ying Hua menilau memandang sekeliling. Sempat juga dia menilik hasil kaligrafi lelaki itu. Sebenarnya dia sudah kebosanan menunggu di situ tanpa membuat apa-apa. Dia fikir lelaki itu ingin bercakap sesuatu yang privasi sehingga menyuruh Yuan Zhen dan Xin Xin keluar. Tetapi sehingga sekarang masih tiada sepatah pun perkataan keluar dari mulut lelaki itu.
"Buatkan saya teh."
"Ah?" Ying Hua akhirnya tersedar apabila mendengar Shu Yan bersuara. Dia terkebil-kebil. Alamak! Dia tak pernah membuat teh selama dia berada di situ. Apa yang dia tahu teh yang dibuat di situ tidak sama dengan di dunianya.
"Buatkan saya teh." Shu Yan sudah mendongak memandang wanita itu sambil melirikkan matanya ke arah meja yang berada tidak jauh dari situ. Lebih tepat lagi, set untuk membuat teh sudah siap tersedia.
Ying Hua menelan air liur memandang ke arah meja itu. Rasa macam Shu Yan cuba mengujinya sesuatu.
"Ah... baik." Ying Hua akur dengan perasaan yang teragak-agak. Namun dia terus berlalu ke arah meja itu tanpa banyak suara. Anehnya mulutnya tidak menyatakan tidak.
Dia duduk bersimpuh. Bahan-bahan di hadapannya terasa begitu baru buatnya. Daun teh asli, teko, cawan dan beberapa bahan yang dia sendiri tidak tahu. Tetapi entah mengapa tangannya secara automatik bergerak seakan-akan sudah terbiasa dengan keadaan itu. Yakin sudah biasa membuah teh padahal hakikatnya dia sendiri tidak pernah tahu cara membuat teh secara manual.
Hairan. Seolah-olah roh adalah miliknya tetapi tubuh badan itu adalah milik Xiao Hua. Dia tidak rasa gusar apatah lagi takut. Segalanya berjalan lancar tanpa cacat cela.
Shu Yan memandang sekilas melihat perilaku wanita itu. Xiao Hua yang dia lihat ketika itu sama seperti Xiao Hua yang dia kenal. Gerak geri itu cukup mirip. Biarpun sikap itu tidak sama seperti sebelum ini tetapi Xiao Hua tetap Xiao Hua.
Tidak lama selepas itu dia melihat wanita itu sudah bangun dari tempatnya bersama cawan seperti sudah bersiap sedia untuk menghidangkan minuman itu kepadanya. Shu Yan segera fokus pada kaligrafinya semula. Pura-pura tidak melihat wanita itu.
Lembut tangan Ying Hua menyuakan cawan kecil itu kepada Shu Yan. Senyuman kecil terukir di bibirnya tatkala lelaki itu memandang wajahnya.
Tangan Shu Yan meletakkan berus dan mencapai cawan itu. Dia mengambil bau aroma teh sebelum menghirup perlahan teh itu. Kemudian dia membisu untuk seketika.
"Kenapa?" tanya Ying Hua apabila menyedari perubahan itu. Jangan cakap tehnya tak menjadi. Dia menelan air liur. Sempat juga dia mengerling ke arah pedang yang diletak elok di tempat letak pedang berkayu di belakang Shu Yan.
"Walaupun awak lupa ingatan tapi teh yang awak buat masih tak ubah rasanya," jawab Shu Yan agak lambat.
"Oh..." Ying Hua hanya mengangguk. Dia duduk bersimpuh di hadapan Shu Yan. Sudah bersedia untuk mendengar apa yang lelaki itu ingin bicarakan. Dia sendiri tidak tahu apa tujuan dia dipanggil. Mungkin juga berkaitan dengan putera mahkota. Nampaknya mentalnya perlu diperkuatkan lagi.
Shu Yan meletakkan cawan di tepinya. Dicapai berus dan disambung semula seni kaligrafinya yang terhenti di tengah jalan itu. Matanya hanya fokus pada penulisannya bagaikan wanita itu tidak wujud di hadapannya.
Ahh... sekali lagi dia terpaksa jadi patung! Gumam Ying Hua sendirian.
********************
YING Hua mengeliat kecil setelah lama berada di situ. Kesabarannya benar-benar teruji gara-gara kelakuan Shu Yan itu. Terasa ingin berlalu sahaja dari situ. Perlahan dia melepaskan keluhan. Kakinya semakin kebas gara-gara duduk bersimpuh di lantai.
"Panjang mengeluh." Setelah lama berdiam diri, akhirnya Shu Yan mula bersuara.
Ying Hua menjeling. "Awak panggil saya ke sini tapi sampai sekarang awak tak cakap apa-apa pun. Takkan suruh saya datang sini semata-mata nak buat yang ni aje?" tanyanya menyampah sambil memuncungkan mulutnya.
Entah berapa lama dia jadi patung depan lelaki itu. Mananya tak sakit hati. Nak control ayu pada mulanya. Tapi bila dah sampai tahap begitu, naik angin pula dibuatnya.
Selepas membuat teh, lelaki itu menyuruhnya untuk memarut dakwat. Tangannya terus memarut dakwat tanpa banyak soal. Kononnya dia rasa lelaki itu cuba mengujinya. Kemudian dia hanya duduk sendirian menunggu arahan seterusnya. Tapi senyap sampailah sekarang.
Nak kata Shu Yan marah, macam tak. Nak kata macam tak marah pun, tak juga. Perangai lelaki itu sukar diduga. Ada juga la manusia perangai pelik macam ni. Pening kepala!
Shu Yan terus membisu tanpa membalas. Masih lagi fokus pada kaligrafinya. Masih lagi tidak mempedulikan wanita itu.
Ying Hua hanya melihat Shu Yan yang kusyuk itu. Berbakul makian dilemparkan kepada lelaki itu. Tetapi hanya mampu dalam hati ajelah. Mengenangkan pedang itu berada begitu dekat dengannya, tak beranilah dia bising lebih.
Matanya mengerling lama ke arah tulisan kaligrafi itu. Nampak begitu cantik di matanya. Tersusun dan kemas. Seperti tulisan secara digital. Tiada beza pun. Tidak pernah dia sangka lelaki itu berseni juga rupanya. Sebelum ini dia hanya mengerling sekilas sahaja. Hari ini baru dia benar-benar dapat menatap lama pada hasil kaligrafi Shu Yan.
Sebenarnya dia teringin juga untuk membuat sesuatu untuk hilangkan kebosanan. Daripada terus menjadi patung di hadapan lelaki itu, lebih baik dia buat sesuatu. Tangannya terus mencapai kertas kosong yang terletak elok di sebelah kiri meja dan juga satu batang berus dari bekas itu.
Sempat dia mengerling ke arah Shu Yan. Seperti yang disangka, lelaki itu begitu kusyuk sehingga tidak nampak perbuatannya. Dia tersengih kecil sebelum melakar sesuatu di atas kertas itu.
Mata Shu Yan melirik ke arah wanita itu. Dia melihat tangan Xiao Hua sudah tenang menggunakan berus itu di hadapan matanya sendiri. Wajah itu nampak gembira seolah-olah masa lalu itu tidak membawa apa-apa makna. Mungkin kerana Xiao Hua tidak dapat membayangkan apa yang berlaku jadi ketakutan yang ada dahulu tidak lagi wujud ketika ini.
Tangan itu nampak begitu lembut sekali. Benarlah. Kalau Xiao Hua sekadar berlakon, tak mungkin wanita itu akan memegang berus dengan wajah yang polos. Sedangkan sebelum ini tangan itu menggeletar untuk memegang berus.
5 tahun lamanya Xiao Hua tidak pernah menulis apatah lagi melukis. Apapun tentang lukisan, Xiao Hua lebih rela menjauhkan diri. Tiada satu pun hasil lukisan yang tergantung di dalam bilik kediaman mereka berdua. Dan tiada sesiapa pun lagi bercakap-cakap tentang lukisan. Kediaman Yan melarangkan perkataan lukisan disebut.
'Xiao Hua... apa yang awak nak sebenarnya?' desis hati kecil Shu Yan dengan perasaan yang berbaur. Apakah yang patut dia lakukan? Gembirakah kerana melihat perubahan itu? Atau sedih kerana Xiao Hua tidak ingat kejadian lalu yang berlaku dalam hidupnya?
Fikirannya bercampur baur. Dia tidak jelas dengan perasaannya sendiri. Hatinya masih sayang tetapi mengenangkan apa yang Xiao Hua lakukan kepadanya, kebencian mula menguasai.