Selepas sarapan pagi yang berat mereka meneruskan ekspedisi. Kali ini mereka menggunakan jalan singkat selepas mengetahui jarak perjalanan. Kabus naik sampai lebih dari semeter dengan keadaan yang dingin. Hanya bunyi daun berdesir dan langkah kaki mengiringi perjalanan. Ray berada di belakang sekali. Dia memerhati sebarang pergerakan mencurigakan dari sekeliling dan juga di atas dahan pokok.
Selepas sejam setengah mereka sampai dengan selamat tanpa gangguan. Mungkin juga raksasa di hutan misteri ini kurang aktif pada waktu pagi. Mereka menuju ke laluan sebelah kanan kali ini bila sampai di laluan bercabang tiga semalam. Selepas 50 meter ada laluan yang bercabang ke sebelah kanan.
Mereka menumpaskan beberapa raksasa semut sepanjang perjalanan. Laluan ini lebih panjang. Ia bercabang kepada laluan-laluan kecil menempatkan sarang semut-semut itu dan juga tempat menyimpan makanan. Ruang itu diselimuti dengan bau bangkai raksasa. Kemudian mereka menemui laluan yang bercabang dua selepas sejam berada di situ.
Dibahagikan kepada dua kumpulan untuk mempercepatkan ekspedisi kali ini. Selepas sejam, masing-masing menuju semula ke laluan bercabang tadi dan keluar ke arah laluan bercabang utama. Langkah kaki dituju ke laluan terakhir. Di bahagian tengah laluan mereka menjumpai dua lubang di kiri dan kanan di mana ia menuju ke bahagian atas.
"Nak masuk sini ke?", tanya Kyrie.
"Tak. Kita boleh buat itu kemudian selepas selesai laluan ini", balas Malakh.
Selepas 100 meter, laluan ini bercabang kepada 5 laluan berbeza. Ray melihat lantai tanah batu yang bercorak aneh. Ia dipenuhi dengan kesan lubang bersaiz sederhana besar yang tidak terlalu dalam. Kesan apa ni? Takkanlah semut-semut tu yang buat? Ray rasa ia sangat aneh. Sebab di laluan lain mereka terokai tadi tiada langsung kesan-kesan ini.
Mereka keluar dari gua itu untuk makan tengah hari. Ray melihat jam poket. Sudah pukul 2 petang. Lama juga mereka di dalam tadi. Selepas rehat selama setengah jam, ekspedisi diteruskan. Mereka kembali ke laluan tadi dan mengambil laluan di kedua terakhir sebelah kanan. Dinding laluan itu ada kesan cakaran. Mungkin semut-semut itu yang lakukan. Fikir Ray. Rosalyn berdiri di sebelah Ray, dia turut melihat kesan cakaran itu.
Ada juga kesan darah kering. Sesekali mereka bertemu dengan semut pekerja yang membawa makanan di mulutnya. Ia hanya memerhati mereka seketika sebelum menuju ke laluan lain. Kakinya yang runcing mengeluarkan bunyi setiap kali ia berjalan. Mungkin ia sibuk dan malas mahu melayan manusia di hadapannya.
Kyrie menyarungkan semula pedang. Semakin lama mereka di laluan ini, ia semakin tinggi. Tapi tidaklah sampai perlu mendaki sebab laluan ini digunakan oleh semut pekerja. Ray melihat sesuatu bersinar di hadapan. Dia mempercepatkan langkah. Gua bersaiz sederhana besar itu dipenuhi dengan batuan genshi yang bersinar kerana cahaya yang datang dari bebola api yang menerangi gua itu.
Ada pelbagai jenis dan warna batuan genshi. Merah. Biru. Hijau. Kuning. Ungu. Ia kelihatan seperti pelangi. Ray memandang kagum dengan jumlah batuan genshi yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Sukar untuk menjumpai batuan genshi yang banyak dalam satu ruang begini.
Rosalyn tersenyum melihat jumlah batuan genshi di depan mata. Mereka belum lagi habis meneroka laluan lain tapi ini pun sudah cukup untuk membuat ribuan senjata dan aksesori.
Mereka pulang semula ke khemah dengan perasaan gembira dan teruja. Malam itu Malakh melukis semula peta yang diperoleh. Ray meletakkan batuan genshi kecil yang diambilnya dan diletak dalam secebis kain kecil lalu diikat pada kaki Who. Dia melepaskan burung hantu bersama Rosalyn.
"Mort mesti puas hati dengan ekspedisi kali ni", kata Rosalyn. Ray menoleh.
"Ya. Kita berjaya jumpa dalam jumlah yang lebih dari jangkaan", kata Ray pula. Setakat ini sudah ada beberapa ekspedisi yang gagal sejak setengah tahun lalu. Itu pun mereka belum selesai lagi.
"Tuan muda. Nampaknya ekspedisi kali ini membuahkan hasil", kata Kyrie. Kesatria yang lain duduk di sekeliling unggun api bersama minuman di tangan. Mereka masih lagi memanggang daging raksasa yang diburu. Kesatria yang tinggal untuk menjaga khemah bukan hanya duduk di situ. Kyrie memberi arahan untuk berlatih dan memberi kuota yang perlu dipenuhi.
"Jangan gembira awal sangat. Ia belum berakhir lagi", balas Ray. Malam ini bintang bersinar lebih terang seolah-olah turut gembira. Tetapi fikirannya masih teringat kesan pelik yang mereka temui. Yang lain hanya menganggap ia sekadar kesan yang dilakukan raksasa di gua itu.
Azrien imbas kad identiti miliknya pada mesin pengimbas. Kesatria yang berkawal di pondok kawalan mengangguk. Kereta diparkir. Mereka melaporkan diri dahulu dan menuju ke bilik unit elit nombor 01S.A. Kesatria yang lain bangun dan tabik hormat sebaik sahaja Azrien melangkah masuk.
Seorang kesatria menghulurkan fail laporan. Walaupun kejadian itu bukan di bawah bidang kuasa unit ini, mereka perlu ambil tahu sebarang kejadian di empayar ini.
Unit Elit adalah unit yang berasingan dari unit kesatria yang berkhidmat atas nama empayar. Tapi mereka juga adalah sebahagian dari mereka cuba berbeza bidang kuasa dan skop tugasan.
Azrien membaca dan melihat gambar yang dikepil bersama. Keningnya berkerut melihat keadaan mayat yang dijumpai. Selepas selesai dia letak ke tepi fail.
Max mengambil fail. Dia membuat muka bila melihat gambar mangsa. That was disturbing.
"Dekat mana mereka tempatkan mangsa yang terselamat?", tanya Azrien.
"Di bilik rawatan Blok C. Kapten nak pergi jumpa dia?", tanya si kesatria.
"Hmm... Boleh juga. Max pergi beli sesuatu sekarang", arah Azrien. Max menutup fail dan lantas berdiri.
Mereka menuju ke tingkat tiga Blok C bersama bakul di tangan. Bila mereka menolak pintu, ada seorang kesatria duduk pada kerusi di tepi katil. Budak lelaki demi-human itu menoleh ke arah muka pintu.
Kesatria itu menoleh. Mukanya berubah terkejut melihat uniform dua orang di hadapannya. Dia baru hendak bangun bila Azrien mengangkat tangan. Max meletak bakul di meja. Azrien menuju ke sebelah kanan katil.
"Jangan risau. Saya datang nak melawat saja. Kamu yang jumpa dia di sana kan?", kata Azrien kepadanya.
"Ah. Ya. Saya yang jumpa dia", balasnya, di masih tak percaya dapat berjumpa dengan unit yang selalu menjadi khabar angin di kalangan kesatria.
'Keadaan dia lebih baik dari yang saya fikirkan', Azrien melihat badan si kucing yang berbulu putih dan bertompok hitam di telinga dan ekornya. Dia memandang Azrien dengan takut. Tapi tidak melepaskan pandangan pada rambut Azrien yang bersinar dek cahaya matahari dari tingkap.
Max melihat sepasang telinga yang gebu itu. Dia terasa mahu mengusap kepala si kucing. Tapi bimbang menakutkan dia pula. Kejadian itu mesti memberi trauma kepadanya.
Jarum jam dinding bergerak ke pukul 2.35 petang. Si kucing berbaring dan menutup mata. Sekejap saja dia sudah berada di alam mimpi.
"Saya dengar dia kehilangan satu-satunya abang dan ahli keluarga dia", kata Azrien. Dia duduk di kerusi sambil melihat si kucing yang dibuai mimpi. Telinganya bergerak-gerak sedikit.
"Ya. Dia mati serta merta di bilik tu", mesti si kucing mendengar segala perkara yang berlaku semasa itu. Kesatria itu memandang si kucing dengan perasaan sedih. Abangnya saja yang keadaan anggota badan lain dari yang lain.
"Boleh saya jumpa dengan ketua yang mengurus kejadian itu?", tanya Azrien.
"Boleh. Saya bawa Tuan ke sana sekarang"
Dia mengetuk daun pintu. Bunyi sahutan kedengaran dari dalam. Mereka melangkah masuk. Seorang kesatria menoleh melihat gerangan yang masuk, dia turut terkejut melihat dua individu selain seorang yang dikenalinya.
"Tuan Azrien. Lama kita tak jumpa", dia memulakan bicara. Mereka taklah rapat tetapi pernah juga berganding bahu dalam beberapa misi. Azrien menuju ke papan yang dipenuhi dengan gambar mangsa dan keadaan perkampungan demi-human. Dia terhenti bila melihat sekeping gambar yang lain dari yang lain.
"Apa ni?", dia menoleh ke arah Andrew.
"Salah seorang kesatria dari pasukan siasatan jumpa. Ia dilekatkan pada papan notis", jelasnya sambil mengambil barang bukti yang sama yang diletakkan dalam beg plastik bahan bukti.
Azrien mengambil. Terdapat nombor 09 dan simbol aneh di bawahnya. Apa yang mereka cuba sampaikan? Max turut mendekati Azrien. Melihat secebis kain hitam itu. Di dalam simbol aneh itu ada bulatan berwarna merah.
"Boleh saya ambil gambar?", tanya Azrien. Andrew mengangguk. Dia nak tolong kes ini ke?
Azrien ambil gambar dengan telefonnya dan memberi semula beg plastik itu.
"Kalau awak tak kisah. Boleh beritahu saya fasal perkembangan kes ini nanti?", katanya di muka pintu.
"Mestilah boleh. Saya akan beritahu secepat mungkin bila kami tahu sesuatu", katanya sambil tersenyum. Si malaikat maut tertarik dengan kes ini ke?
Adam menghayun pedang untuk ke 150 kali. Dahinya basah dek peluh. Gurunya hanya memerhati dari tepi. Sudah seminggu dia mengajar Tuan muda baru Kerabat Artorius. Dia seorang yang sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam segala perkara dan dia suka sisi Adam yang ini.
Cuma bagi dia Adam masih terlalu naif. Mungkin sebab dia dibesarkan dalam keadaan yang aman dan selamat sejak kecil. Berbeza dengan adik-beradik angkat yang lain. Mereka dibawa masuk sebelum berumur 10 tahun. Jadi mereka melalui banyak perkara di dunia sebenar.
Seorang kesatria dengan telinga panjang yang gebu melihat Adam dari bawah pokok. Dia ditugaskan sebagai pengawal peribadi Adam sejak seminggu lalu atau lebih tepat hari kedua Adam tiba di rumah agam ini. Telinganya bergerak-gerak mendengar setiap hayunan pedang. Selesai 200 hayunan Adam berhenti. Dia melangkah mendekati gurunya.
"Saya dah habis kuota untuk pagi ni", kata Adam.
"Petang nanti kamu buat kuota yang sama juga", katanya sambil mengambil beg di tempat kesatria itu berdiri.
"Baik", Adam menerima sahaja tugasan yang sudah dilakukan seminggu lamanya. Bila agaknya dia dapat mula belajar teknik pedang. Dia tak sabar menunggu hari itu tiba.
"Saya ada urusan yang perlu diuruskan selama seminggu. Pastikan kamu berlatih sepanjang tempoh itu", dia menoleh ke arah Adam.
"Okay...", wajahnya berubah sugul. Seminggu ke?
"Tak perlulah buat muka begitu. Sekejap saja seminggu tu", dia menepuk bahu Adam sambil tersenyum nipis.
"Saya tahu. Cikgu, jaga diri", kata Adam. Dia tersengih mendengar nasihat yang tidak diperlukan tapi tak bermaksud dia tak sukakan nya. Dia melambai untuk kali terakhir sebelum menuju ke pagar utama.
Kesatria itu mendekati Adam dan menghulurkan tuala dan botol air. Adam mengucapkan terima kasih dan meneguk botol dahulu sebelum peluh dilap. Adam menuju ke bilik untuk membersihkan diri. Si kesatria hanya berdiri di tepi pintu dalam bilik Adam. Dia melihat dekorasi bilik yang serba merah.
Adam keluar dari bilik mandi sambil mengelap rambut. Dia menoleh ke arah pengawal peribadi, Lucillez. Telinga arnabnya tidak kelihatan. Adam memandang hairan.
Mata biru kelabunya melihat Adam. Mereka saling memandang sebelum Adam membuka mulut.
"Lucillez boleh saya tanya sesuatu?", kata Adam yang sudah duduk di sofa putih.
"Apa yang Tuan muda nak tahu?", katanya dengan riak muka bersahaja.
"Saya nak tahu awak jenis arnab apa", tanya Adam. Dia mahu tanya juga kenapa dia tidak nampak telinga arnab yang gebu itu.
"Saya tak pasti kalau Tuan muda tahu atau tidak. Saya dari puak Snowshoe Hare. Kami tinggal di kawasan bersalji tebal. Selain daripada itu, puak kami ada kebolehan istimewa", Adam mendengar dengan teruja. Ohh. Jadi sebab itulah Lucillez serba putih.
"Kami boleh tukar rupa paras yang menyatakan kami demi-human kepada rupa manusia biasa. Maksudnya orang lain tak boleh lihat ekor dan telinga kami", sambung Lucillez. Puak demi-human memang sangat menarik. Adam ada membaca buku mengenai puak demi-human tapi belum pernah mendengar puak Snowshoe Hare.
"Ohh. Menariknya. Ini kali pertama saya dengar fasal puak tu", kata Adam.
Lucillez melihat reaksi di wajah Adam. Dia pun sebenarnya ada banyak soalan yang dia ingin kemukakan kepada Tuan muda baru itu. Tapi entah kenapa dia rasa Adam tak tahu pun fasal diri dia yang sebenarnya. Asal usul darah elf dalam dirinya.
"Dah berapa lama awak di sini?", tanya Adam. Dia mencapai mug berisi air teh panas.
"Termasuk tahun ini. Saya sudah berkhidmat selama hampir tiga tahun. Seperti yang Tuan muda tahu untuk menjadi salah seorang kesatria Kerabat Artorius, seseorang itu perlu melakukan pelbagai ujian yang berbahaya", walaupun dia lepasi ujian itu dengan mudah. Di bahagian dada kirinya terdapat lencana yang berpangkat lebih tinggi dari kesatria biasa yang lain.
Dalam unit kesatria mana-mana Kerabat, ada beberapa pangkat yang berbeza, disebabkan jumlah kesatria yang ramai, mereka perlu dibahagikan mengikut tahap kemahiran masing-masing.
"Saya dengar ujian tu berubah setiap tahun", kata Adam. Dia tahu pun sebab Ian yang beritahu.
"Ya. Pada tahun saya ambil ujian itu kami dikehendaki untuk menangkap seekor raksasa rank B dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan ada tiga orang", jelasnya. Kalau orang lain sudah pasti mustahil untuk menyelesaikan ujian itu.
Mustahil sebab hanya ada tiga orang untuk menumpaskan seekor raksasa rank B. Tapi kumpulan dia dianggotai oleh rekrut yang berkebolehan dan berpengalaman. Jadi mereka berjaya selesaikan ujian lebih awal dari tempoh yang diberikan.
Vyrut membaca laporan yang dihantar dari ibu negeri. Arth masuk sambil membawa dulang. Air teh dituang ke dalam cawan. Vyrut mencapai cawan dan menghirup sedikit. Adam mengetuk pintu dan masuk. Vyrut menoleh.
"Kenapa ni?", Adam hanya berdiri di tepi pintu.
"Saya nak pergi jalan-jalan dengan abang nanti boleh?", tanya Adam.
"Nak pergi mana?"
"Saya nak pergi tunggang kuda dekat tepi pantai", dia nak pergi lebih dekat dengan laut.
"Okay. Kalau macam tu, setengah jam lagi kita pergi", Vyrut melihat jam dinding yang menunjukkan angka 3.
"Okay! Saya pergi bersiap dulu", kata Adam sambil melangkah keluar dengan perasaan teruja. Vyrut tersenyum saja.
Angin laut membelai rambut mereka. Kuda melangkah perlahan menyusuri persisiran pantai. Adam memandang ke arah laut.
"Abang. Saya dah lama nak tanya. Mana orang lain?", tanya Adam. Dia maksudkan abang-abang Vyrut dan yang lain. Setakat ini cuma mereka bertiga saja di kediaman itu.
"Ah. Yalah. Lupa pula saya nak cakap fasal tu. Abang saya yang lain tinggal dekat Kediaman Utama di bandar. Ada yang masih belajar di akademi dan lakukan misi. Di sini cuma kita berempat yang tinggal", jelas Vyrut.
"Kediaman Utama?", kata Adam keliru.
"Ya. Ini kediaman kedua kami sebab abang Noah tinggal di sini untuk menguruskan Ibu Pejabat Pangkalan Pemanah dan yang seorang lagi tu susah kamu nak jumpa. Dia tinggal di sana", Vyrut menunjuk ke arah laut. Adam ikut menoleh. Dia dapat melihat sesuatu yang nampak seperti bangunan.
"Ada apa dekat sana?", tanya Adam.
"Unit Kesatria DiRaja Laut tinggal di sana. Mereka bertanggungjawab menjaga kawasan perairan laut. Dia General di bawah unit itu"
"Ohh..."
"Dia jarang pulang. Itu pun sekali sekala saja", kata Vyrut. Dia tak berapa rapat dengan abangnya yang seorang itu. Dia jenis yang nak orang ikut cakap dia saja. Kalau dia nak itu, itulah yang kamu kena buat.
"Oh. Rumah api lah", Adam melihat reka bentuk rumah api yang unik itu. Ia dipenuhi dengan pelbagai jenis ukiran haiwan akuatik seperti ikan paus, jerung, ikan pari dan ikan-ikan kecil yang lain.
"Tak lama lagi aquarium akan dibuka. Kita dijemput untuk merasmikan nanti", kata Vyrut.
"Eh? Kita?", Adam menoleh.
"Yalah. Kita berdua pergi sebab abang Noah sibuk. Ia bulan 10 nanti. Tak lama lagi"
"Hmm. Lepas selesai kita boleh tengok aquarium tu ke?"
"Mestilah. Ia aquarium paling besar di empayar. Rugilah kalau tak tengok"
Adam turun dari kuda. Dia melangkah mendekati laut sehingga air laut mencapai buku lali. Adam merendam kedua-dua belah tangan ke dalam air laut yang jernih. Terasa sejuk di tangannya.