Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 39 - BAB 26

Chapter 39 - BAB 26

"Duduk sini diam-diam. Jangan keluar walau apa pun terjadi", katanya kepada adiknya yang dalam lingkungan umur 12 tahun.

"Tapi!", dia menyambar tangan abangnya dengan riak risau di wajahnya.

"Tolong dengar cakap abang! Kamu mesti selamatkan diri. Jangan biar mereka tahu kamu di sini!", terdapat suara jeritan ketakutan dari luar rumah. Penduduk di situ berlari lintang pukang menyelamatkan diri. Kanak-kanak juga tidak terlepas dari menjadi manga. Darah merembes keluar dari leher mereka yang dikelar tanpa belas kasihan. Ada juga yang diikat tangan mereka.

Dia menutup pintu kayu itu lalu dikunci. Tanah diratakan di atasnya sehingga tiada tanda-tanda ada ruang rahsia di situ. Katil kayu ditolak untuk menutup dari pandangan mereka. Budak lelaki itu hanya mampu mendengar gerakan abangnya dari dalam kegelapan.

Kemudian dia dapat mendengar pintu hadapan dibuka dengan kasar. Seorang lelaki memakai uniform serba hitam dan berpenutup muka yang menampakkan matanya sahaja meluru ke arahnya. Dia menyambar lehernya dan dicekik kuat, badannya terangkat ke udara.

Tangan lelaki itu digenggam. Dia meronta, cuba mengambil nafas yang semakin sukar ditarik. Lehernya terasa kebas, genggaman lelaki itu sangat kuat. Mata lelaki itu memandang dia dengan penuh kebencian. Adiknya hanya mampu menutup mulutnya, memastikan tiada suara yang keluar.

"K-kau boleh bunuh aku. T-tapi buk-an semangat kami", katanya dengar suara tersekat-sekat. Dia tersenyum sinis ke arah lelaki serba hitam itu. Dia melihat logo di bahagian dada kanannya.

Dia menggunakan tangan sebelah lagi yang dilitupi dengan api biru lalu mencucuk bahagian dada kirinya. Di mana jantung berada. Cahaya kehidupan di matanya hilang. Tangannya jatuh ke sisi, tidak bernyawa lagi. Adiknya menangis, matanya bersinar dengan rasa kebencian terhadap lelaki yang meragut nyawa abangnya.

Selepas memastikan tiada lagi orang di rumah itu, dia keluar dan menyertai yang lain. Tangisan dari ruang rahsia itu dapat didengari. Dibaluti dengan kesedihan, kebencian, rasa lemah dan marah dengan dirinya yang tak mampu membuat apa pun.

Malam tragedi berdarah ini akan kekal di memori sehingga akhir hayatnya.

Keesokan paginya, sepasukan unit mencari dan menyelamat serta pasukan siasatan berdiri di hadapan jalan masuk ke perkampungan kecil itu. Ada yang menutup mulut, tidak sanggup melihat rupa mangsa yang dilayan tanpa belas kasihan. Darah merah yang masih basah mengikuti sepanjang langkah mereka. Mayat-mayat dikumpul dan dikenalpasti identiti mereka. Muka mereka calar balar dan ada yang terkena luka terbakar.

Mayat ditutup dengan plastik hitam dan disusun. Pasukan siasatan cuba mencari jejak tinggalan dalang di sebalik tragedi ini. Salah seorang anggota masuk ke dalam sebuah rumah, bila dia melihat badan seorang lelaki demi-human yang terdampar di dalam sebuah bilik tidur, dia memanggil anggota yang ditugaskan untuk melakukan proses pengecaman mayat.

Tok! Tok! Dia berpaling ke dalam bilik dari muka pintu. Bunyi apa tu tadi? Dia memandang ke segenap bilik. Mencari dari mana datangnya bunyi itu. Tok! Tok! Dia mengikut arah bunyi itu sehingga ke katil.

Dia menoleh ke bawah katil. Terdapat kesan-kesan tanah di lantai. Dia bangun dan mengalih katil itu ke tepi. Tanah yang menutup pintu ruang rahsia itu disapu dengan tangan. Selak dibuka dan di dalamnya terdapat seorang kanak-kanak demi-human yang duduk di dalam ruang kecil itu.

"Kamu okay ke?", katanya dengan lembut. Dia dapat melihat sinar ketakutan di matanya.

"Jangan risau. Saya takkan buat apa-apa pada kamu. Mari sini", dia menghulurkan tangan. Dia menyambut tangannya dengan perasaan teragak-agak. Lelaki itu mendukung nya dan berlari-lari anak ke arah khemah di luar desa itu. Dia melihat keadaan rumahnya dan yang lain yang berubah dalam sekelip mata.

"Tuan! Saya jumpa mangsa yang terselamat!", katanya di khemah bahagian pengurusan. Ketua bagi sesi mencari dan menyelamat itu menoleh dengan riak terkejut.

"Bawa dia ke khemah rawatan sekarang!", dia mengikut anggota itu. Budak lelaki itu diletakkan pada katil terdekat. Doktor meluru ke arahnya dan memeriksa badannya.

Ketua memandang budak lelaki itu. Nampaknya mereka ada saksi. Walaupun cuma seorang saja.

"Dekat mana kamu jumpa dia?", dia menoleh ke arah anggota itu.

"Saya jumpa di bawah sebuah ruang kecil di bawah katil. Nampaknya 'mereka' tak perasan dia bersembunyi", dia melihat budak lelaki itu.

"Dia bernasib baik", dia rasa kasihan dengan budak itu, yang kehilangan semua orang yang dikenali dalam satu malam.

Pejam celik, sudah seminggu berlalu. Ervalen dan adiknya menghantar dia ke depan pintu utama.

"Bye bye. Kalau ada masa saya datang lagi", kata Max kepada adik perempuannya.

"Azrien. Jaga diri", Ervalen membuka mulut, ada lagi mahu dipesan tapi dia berhenti.

"Saya memang selalu jaga diri sendiri", balasnya bersahaja. Dia menoleh ke arah adiknya.

"Nanti saya hantarkan hadiah kalau ada singgah mana-mana", katanya.

"Saya ada sesuatu untuk abang", dia menghampiri Azrien. Dia menghulurkan kotak. Brooch berbentuk bunga ros emas yang bertatahkan permata biru.

"Kamu pilih ke?", dia mengangguk. Azrien tersenyum lalu mengusap lembut rambutnya.

"Terima kasih", katanya. Max duduk di sebelah tempat duduk pemandu.

"Saya pergi dulu", katanya ke arah Ervalen.

"Abang tunggu kamu di sini. Baliklah selalu", riak mukanya berubah mendengar katanya tadi. Sebelum ni tak pernah dia kata begitu.

Dia menunggu sehingga kereta keluar dari pagar dan berlalu masuk dengan senyuman di wajahnya.

Azrien menukar sistem pemanduan kepada auto pilot. Dia menekan butang di sebelah kirinya. Imej hologram seseorang terpapar.

"Kenapa? Ada sesuatu terjadi ke?", dia perasan wajah orang bawahannya nampak cemas.

"Tuan. Ada sesuatu terjadi dua hari lepas. Melibatkan sebuah puak demi-human", katanya.

"Teruskan"

"Sebuah perkampungan demi-human telah dihapuskan dalam satu malam. Hanya seorang saksi yang terselamat, itu pun cuma seorang kanak-kanak", jelasnya.

"Boleh kamu minta laporan penuh dari mereka? Saya nak baca bila sampai nanti", kereta membelok ke laluan kiri menuju ke Pusat Utama Tentera Darat.

Ray melipat baju untuk dibawa ke dalam beg camping. Who bertenggek menunggu di dalam sangkar. Jam 8 mereka akan bertolak. Dia menuju ke kawasan penempatan kesatria di bahagian belakang. Ray menuju ke arah kesatria yang sudah berkumpul di situ. Mereka menyapa Ray. Ray melihat ke arah seorang gadis berambut merah ikal mayang yang menawan dan bermata kelabu.

"Kak Rosa?", panggil nya. Ingatkan dia sahaja yang ikut ekspedisi ini.

"Ray. Tepat pada masanya. Sekejap lagi kita bertolak", dia menoleh ke arah Ray. Di tangannya terdapat tongkat sepanjang 2 meter suku.

"Saya tak tahu pun kakak ikut sekali", kata Ray. Kesatria bergerak masuk ke dalam sebuah lori besar menempatkan 15 orang kesatria ,3 orang ahli sihir dan 5 orang pemanah.

"Kakak tak nak kamu pergi sana seorang diri. Walaupun mereka ni ada", katanya sambil menoleh ke arah kesatria lain.

Mereka berdua masuk ke dalam kereta lain bersama seorang pemandu. Mereka bertolak menuju ke Hutan Larangan. Sejam setengah kemudian, mereka sampai. Kesatria lain mula memasang beberapa biji khemah dan menyusun bekalan dan peralatan yang dibawa.

Khemah itu dipasang di luar kawasan Hutan Larangan. Ray memandang ke arah hutan yang tidak jauh dari situ. Entah kenapa hutan itu nampak gelap dan suram berbanding tempat dia berdiri sekarang. Rosalyn menepuk bahu Ray.

"Janganlah risau. Doakan aje ekspedisi ini berjaya", dia melangkah pergi ke kesatria yang masih sibuk.

Ray melihat hutan itu sebentar sebelum pergi ke khemah. Seorang lelaki iaitu pakar selok belok gua sedang bercakap dengan ketua kesatria.

"Encik Malakh. Bila kita boleh bergerak pergi?", katanya. Lelaki itu menoleh ke arah Ray.

"Selepas semua persediaan sudah dilakukan. Kita boleh terus bergerak Tuan muda dan sila panggil saya Malakh saja", dia rasa tak selesa pula bila Ray memanggilnya begitu.

"Ahh.. Tapi Encik Malakh lebih tua dari saya. Saya rasa tak selesa kalau panggil nama saja", jelas Ray. Ketua kesatria itu tersengih mendengar kata Ray. Dia tahu Ray akan berkata begitu.

"Kalau begitu Tuan muda katakan saya ikut saja", dia mengalah dengan kehendak Ray.

Ray mendekati meja dan melihat peta yang terbentang. Dia melihat keluasan Hutan Larangan itu dan kedudukan gua yang akan mereka pergi.

"Besar juga kawasan hutan ni", kata Ray.

"Ya. Hutan ini terbahagi kepada dua zon. Zon Luaran dan Zon Dalaman. Zon Luaran terdiri dari raksasa rank C hingga A. Menurut khabar angin yang saya dengar Zon Dalaman didiami oleh raksasa yang lebih kuat dari rank A dan ada juga yang kata hutan ini ada 'penjaga'", jelas ketua kesatria yang juga dikenali sebagai Kyrie.

Kyrie adalah kesatria paling handal dalam Kerabat Lynx. Mereka perlukan orang sepertinya untuk masuk ke dalam hutan itu.

"Penjaga?", berkerut kening Ray mendengar katanya.

"Saya tak pasti betul atau tidak. Tapi itulah yang saya dengar. Untuk makluman Tuan muda, tiada siapa pun pernah masuk ke Zon Dalaman selama ni", tambahnya lagi. Kalau dia disuruh pergi pun dia tak pasti dapat keluar hidup-hidup. Entah-entah mayatnya pun tiada.

Mereka berbincang mengenai perancangan yang akan dilakukan di dalam hutan dan gua itu nanti. Kyrie turut menjelaskan formasi yang mereka akan lakukan. Dua jam kemudian, 5 orang kesatria termasuk Kyrie, 2 ahli sihir dan 2 pemanah, Rosalyn, Ray dan juga Malakh berjalan menuju ke dalam kawasan Zon Luaran.

Sebaik mereka berjalan sejauh kira-kira 100 meter, Ray memandang ke belakang. Dia hanya nampak samar-samar sahaja khemah dari situ. Dia menoleh ke hadapan semula. Kabus meliputi kawasan tanah hutan dan suhu menjadi sejuk sedikit.

Malakh berada di depan bersama Rosalyn dan seorang ahli sihir untuk menggunakan formasi pengesanan dan mengenalpasti lokasi mereka setiap masa supaya tidak hilang arah. Mereka berjalan selama setengah jam tapi masih tiada tanda-tanda raksasa. Kesan tapak kaki hatta sebarang bunyi pun tiada.

Seolah-olah mengetahui isi hati mereka, tiba-tiba beberapa biji bola api terbang ke arah mereka. Salah seorang kesatria menggunakan genshi air untuk memadamkan api. Ray menoleh ke arah serangan itu. Seekor burung dengan ketinggian satu meter dengan bulu pelepahnya yang berwarna putih kemerahan berkicau nyaring, ia nampak marah.

Kyrie mengarahkan kesatria menukar formasi. Mereka bersama-sama menyerang burung itu. Matanya yang merah memandang mereka dengan marah. Kemudian seekor lagi burung yang sama terbang laju ke arah kumpulan mereka sambil menggunakan bola api yang banyak.

Rosalyn dengan pantas mendirikan pelindung air mengelilingi mereka semua. Burung itu berkicau seolah-olah geram serangannya tidak mengena. Rosalyn mengarahkan pemanah yang menggunakan genshi air untuk menyerang burung-burung itu.

Hanya Ray sahaja mendiamkan diri. Dia hairan kenapa burung-burung itu nampak marah. Ray memandang kedua-dua burung sambil berfikir.

'Mungkinkah?'

Ray mengeluarkan sejenis cecair di dalam botol kecil lalu melukis corak formasi di bawah mata kanannya dengan muncung botol yang seperti mata pen. Genshi dialirkan pada formasi itu.

Pandangan mata kanannya berubah jelas. Dia memandang ke arah pokok mencari sesuatu. Formasi itu menyala dan pandangannya bergerak masuk ke dalam hutan. Dia melihat sebuah sarang yang besar menempatkan beberapa ekor anak burung dengan tanda merah di dahi.

"Encik Kyrie kita kena pergi dari sini!", jerit Ray. Mereka masih lagi bertahan dengan serangan burung itu.

"Apa maksud Tuan muda?", katanya sambil menghayun pedang.

"Ia tak akan berhenti serang sebab kita dekat dengan sarangnya! Burung-burung tu ada anak!", jelas Ray.

Mendengar kata Ray, Kyrie terus mengarahkan orang bawahannya untuk bergerak keluar dari situ. Mereka berlari masuk ke dalam hutan sehingga burung-burung itu berhenti menyerang. Rosalyn mengira semula semua orang, memastikan tiada yang ketinggalan.

"Ray macam mana kamu tahu kita dekat dengan sarang burung tu?", tanya Rosalyn. Encik Malakh dan Kyrie turut menoleh.

"Saya perasan ada dua ekor burung. Lagipun ia nampak marah. Jadi saya agak saja mungkin burung tu ada anak", jelas Ray.

"Macam tu ke? Bagus Ray", Rosalyn menepuk bahu Ray. Encik Malakh dan Kyrie mengangguk setuju. Burung tadi adalah raksasa rank C yang menggunakan elemen api.

"Baiklah. Kita bergerak semula", kata Encik Malakh.

Sepanjang perjalanan mereka terpaksa berhenti kalau ada raksasa yang nampak bahaya. Ada juga yang dilawan untuk diambil kulit, tulang dan daging. Ray melihat seekor tupai di atas ranting pokok. Jangan hanya melihat luaran kerana tupai itu adalah raksasa rank B5, hampir kepada rank A.

Bulunya yang serba putih dan bercorak jalur biru dari bahagian kepala hingga ke ekornya yang panjang dan gebu. Mata hijaunya memerhati kumpulan manusia yang menuju ke gua.

Setengah jam kemudian, Ray dapat melihat sebuah bukit yang besar. Pintu gua yang berdiameter besar dapat dilihat dari tempat dia berdiri. Mereka berhenti di hadapan setelah memastikan tiada raksasa berdekatan.

Selepas berehat dan menerangkan semula formasi yang akan dilakukan di dalam gua nanti, mereka bergerak masuk. Di hadapan adalah Encik Kyrie dan kesatria, di belakangnya adalah Encik Malakh dan seorang ahli sihir untuk melakukan proses pemetaan gua itu. Ray dan Rosalyn kemudian pemanah di bahagian kiri dan kanan.

Rosalyn dan ahli sihir lelaki itu menggunakan bola api, menerangi sepanjang perjalanan. Mereka hanya akan membuat peta di bahagian hadapan gua dahulu sebelum masuk lebih dalam. Mereka berhenti bila laluan bercabang tiga. Ray mendengar kata Encik Malakh yang memilih laluan sebelah kiri dahulu.

Seratus meter kemudian, muncul seekor raksasa semut yang berwarna hitam dan bertompok merah di badannya. Selepas membunuh seekor ada lagi yang lain datang. Bangkai raksasa semut diletak di tepi laluan. Ray melihat bangkai semut itu sambil berjalan. Kemudian mereka berhenti lagi. Di hadapan terdapat banyak lubang-lubang kecil yang boleh muat seorang sahaja.

"Nampaknya tempat ini adalah sarang semut", kata Encik Malakh. Dia melihat lubang-lubang yang memenuhi dinding gua.

"Kita teruskan ke Malakh?", tanya Kyrie.

"Lebih baik kita keluar dahulu. Hutan ini lebih bahaya pada waktu malam", balas Malakh.

Hari sudah pun senja bila mereka sampai ke khemah. Kesatria yang menunggu di situ sedang masak makan malam. Selepas membersihkan diri dan makan, Ray dan Rosalyn berbincang dengan Kyrie dan Malakh di khemah pengurusan.

"Kita perlu hapuskan semua raksasa di situ dahulu ke?", tanya Kyrie.

"Kalau diikutkan itu yang kita perlu lakukan", balas Rosalyn.

"Tapi kita perlu pastikan ada batuan genshi dahulu kan?", tanya Ray pula.

"Ya. Saya cadangkan kita lakukan pemetaan penuh dahulu sambil itu kita mencari batuan genshi", cadang Malakh. Ray melihat peta gua yang dilukis di kertas lain yang dilekatkan pada papan kayu.

"Kamu okay ke Ray?", tanya Rosalyn di hadapan khemah Ray.

"Okay je. Cuma penat sikit", balas Ray. Kakinya sakit sebab berjalan lama di dalam hutan.

"Ah... Biasalah tu. Kamu akan buat banyak kerja begini juga nanti. Cuma perlu biasakan diri. Kakak pergi dahulu. Rehatlah awal. Kita bertolak selepas dinihari esok", Rosalyn berlalu pergi.

Ray mengusap kepala Who si burung hantu salji. Dia menuju ke katil dan berbaring. Fikirannya menerawang kepada raksasa semut bertompok merah itu. Kalau tak silap itu mesti semut pekerja. Hari pertama nampak okay saja.

Dia menutup mata dan terus dibuai mimpi.