Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 34 - BAB 23

Chapter 34 - BAB 23

Mereka melangkah keluar dari perut kereta kuda, ia berhenti tidak jauh dari laluan pejalan kaki. Vyrut mendahului. Dia menuju ke arah orang ramai. Adam mengikut dari belakang.

Sebaik sahaja mereka sampai kedengaran suara riuh rendah memenuhi persekitaran. Ramai orang sedang membeli barang, berborak dan ada yang duduk sambil makan snek.

Adam menoleh ke kiri dan kanan, dia nampak teruja. Vyrut menepuk bahu Adam.

"Ikut dekat saya. Jangan pergi jauh. Banyak orang ni", kata Vyrut. Adam mengangguk.

Vyrut berjalan ke laluan pejalan kaki di sebelah kiri. Ian mengekori dari belakang. Adam melihat deretan pelbagai jenis kedai. Dia dapat melihat barisan manisan yang pelbagai bentuk dari cermin kedai manisan. Kedai sebelah pula adalah restoran makanan laut. Meja-meja di dalam penuh dengan pelanggan, ada juga yang berbaris menunggu di luar. Adam leka memerhati. Vyrut menoleh ke sebelah. Mana dia ni?

Dia menoleh ke belakang. Adam melihat ke arah pakaian yang dipakai pada patung lutsinar itu. Kot tebal berwarna coklat muda itu sesuai untuk musim ini.

"Kamu cari kot ke Adam?", tanya Vyrut.

"Saya belum tahu nak pilih mana satu", Adam menoleh.

"Kita belum habis tengok kedai lain. Ada banyak lagi pilihan selain ni. Jom", mereka sambung berjalan.

Ting! Adam melihat ke arah bunyi itu muncul. Hmm? Orang ramai yang berjalan di laluan tengah bergerak masuk ke laluan pejalan kaki. Beberapa buah objek kelihatan terbang dengan pantas, pelindung lutsinar berwarna hijau setinggi 2 ke 3 meter mula aktif seiring dengan pergerakan objek itu. Mata Adam mengekori arah objek itu tuju.

Seketika kemudian pelindung itu nyah aktif. Keadaan kembali seperti tadi.

"Abang apa tu tadi?", tanya Adam ingin tahu.

"Ah.. tu cuma barangan import dari pelabuhan. Dekat sini ada pelbagai jenis barangan dari luar negara. Kamu perasan tak dekat sini tak ada kenderaan?", balas Vyrut sambil mereka berjalan. Adam teringat bila dia baru sampai di sini. Sekarang pun dia tak nampak hatta sebuah kereta.

"Ini adalah salah satu bandar yang tak menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan persendirian. Sebab ini adalah bandar pelabuhan dan juga tempat di mana kebanyakan barangan import akan masuk dari sini dahulu. Jadi setiap hari ada banyak barangan import tiba. Kami tak gunakan pengangkutan untuk bawa kesemua barang itu. 90% penduduk di sini adalah pengguna elemen angin dan air"

"Kami telah hasilkan formasi genshi tersendiri untuk memudahkan proses penghantaran yang lebih efisyen. Selepas pemeriksaan, pekerja akan cop formasi pada setiap kotak dan salurkan genshi padanya. Formasi itu khas untuk elemen angin sahaja dan kemudian kotak-kotak itu akan meluncur terbang menuju ke destinasi yang dah ditetapkan", jelas Vyrut panjang lebar. Dia cuma menjelaskan bahagian yang penting sahaja.

"Ohh..", Adam mengangguk faham.

Mereka melewati pelbagai jenis kedai dan singgah di sebuah kedai buku. Vyrut membeli beberapa buah buku novel dan yang lain di Kedai Buku Eternal. Adam melihat aneka buku dari segenap genre. Dia berhenti pada bahagian buku-buku lama. Matanya melihat setiap judul buku dan mencapai sebuah buku berkulit tebal berwarna merah. Di muka kulit buku tertera lukisan sebuah menara. Hmm.. Buku ni nampak menarik lah. Adam menuju ke kaunter bersama buku di tangan.

"Ian. Awak beli buku juga ke?", tanya Vyrut.

"Taklah. Kawan saya minta belikan", Ian melihat timbunan buku novel, pen, dan yang lain di kaunter.

"Kenapa?", kata Vyrut.

"Tak ada apa", Ian menghulurkan buku kepada juruwang. Adam muncul di belakang. Selepas Ian membayar, Adam meletakkan buku di kaunter. Dia memberi sekeping duit kepada juruwang. Vyrut meletakkan barang-barangnya ke dalam formasi rantainya.

"Tunggu sini sekejap. Saya nak ambil barang", kata Vyrut di hadapan kedai menjual senjata dan aksesori. Adam melihat ke arah orang ramai yang lalu lalang sambil bersandar pada dinding. Dia melihat pakaian orang lain. Sesuatu terlintas di fikirannya lalu Adam tersenyum.

Mereka melangkah masuk ke dalam perut kereta kuda. Adam tersandar kepenatan. Awan di langit sudah bertukar ke warna ungu diselangi dengan jingga mentari. Dia memandang puas ke arah beg kertas di tangan.

"Abang macam mana nak post barang?", tanya Adam.

"Kamu nak hantar pada siapa?", kata Vyrut tanpa menoleh.

"Saya nak bagi sesuatu untuk ibu"

"Ohh. Kamu nak guna penghantaran mana satu?", tanya Vyrut.

"Huh?"

"Nak hantar barang dari sini ke rumah kamu ambil masa seminggu kalau guna penghantaran biasa. Tapi kalau kamu nak cepat boleh guna NOVA"

"Apa tu?", tanya Adam.

"Penghantaran biasa perlu dihantar ke pusat penghantaran dulu sebelum diasingkan ikut daerah dan tempat lain. Tapi NOVA tak perlukan itu, sebab ia gunakan sistem khas untuk direct delivery tanpa henti sehingga sampai ke destinasi", jelas Vyrut.

"Saya perlu pergi sendiri ke nanti?", tanya Adam.

"Tak apa. Nanti saya panggil mereka datang"

"Kenapa?"

"Tak ramai orang gunakan NOVA. Cuma orang-orang kaya saja mampu. Ada dua cara untuk bayaran nanti. Duit tu mestilah tapi satu lagi adalah dengan genshi", Vyrut melihat sekilas ke arah Adam yang jelas nampak keliru.

Vyrut menoleh ke luar tingkap sambil tersenyum nipis.

Chris melekatkan kertas pada papan putih dengan pin magnet. Dia melangkah ke belakang. Melihat susunan laporan yang dibuat. Pembantunya melangkah masuk sambil membawa fail.

"Tuan. Pihak risikan dah dapatkan maklumat mengenai 'itu'", katanya. Dia menghulurkan fail.

Chris menyelak helaian demi helaian dan membaca dengan teliti. Terdapat juga beberapa keratan akhbar yang dicetak turut dikepil bersama. Mengenai kejadian pembunuhan demi-human yang tidak diketahui dalangnya. Semua ini berlaku di negara jiran mereka.

Dia sampai ke helaian yang menyatakan maklumat mengenai barang bukti yang dijumpainya di hutan. Chris melihat perkataan organisasi dan barang bukti silih berganti.

'Kalau apa yang aku fikirkan ni betul...'

"Saya rasa... tak... saya yakin mereka tinggalkan ini di situ", kata Chris dengan yakin. Dia menoleh ke arah pembantunya. Fail diletak atas meja.

"Maksud Tuan?", riak mukanya berubah keliru.

"Nampaknya kita berhadapan dengan sesuatu yang besar kali ni", kata Chris.

"Mereka tak tahu apa-apa ke fasal ni?", Chris menyentuh bahagian belakang kain hitam di dalam beg plastik itu. Terdapat nombor 10 dan juga simbol yang tidak diketahui maknanya.

"Tidak", balasnya dengan kecewa.

'Kenapa aku rasa tak sedap hati ni?', fikir Chris sambil melihat nombor itu.

Cahaya jingga menyuluh mereka berdua. Chris menoleh ke arah gambar mangsa di papan putih.