"Jangan pergi jauh sangat. Dengar cakap abang ni", kata abang si arnab. Si arnab tersenyum saja. Dia pantas keluar dan memanggil arnab yang lain.
Si arnab berjalan-jalan di dalam sebuah hutan bersama kawan-kawan arnab yang lain. Mereka sampai di sebuah pintu pagar besi yang terbuka. Arnab-arnab itu menyorok di sebalik rimbunan pokok bunga. Mereka menjenguk seorang demi seorang. Telinga mereka bergerak-gerak ke kiri dan kanan. Melihat ada orang ke tidak di tempat itu.
Mereka berjalan ke tempat yang ingin dituju. Di situ mereka nampak sebuah kotak diletakkan di atas kerusi kayu. Salah seorang arnab naik ke atas kerusi dan melihat isi kotak. Terdapat banyak barisan biskut yang telah siap dibungkus dalam beg kertas. Si arnab tersenyum. Dia memberi biskut kepada arnab yang lain sebelum dia mencapai sebungkus. Mereka duduk di situ sambil menjamah biskut tanpa menyedari ada sepasang mata memerhati dari sebalik pokok.
'Ohh.. Saya tak pernah tengok arnab-arnab tu sebelum ni. Mereka datang dari mana?', fikir Arth. Ahh.. Comelnya mereka makan. Dia tersenyum. Tak sia-sia dia bangun awal untuk bakar biskut tadi. Hehe.
'Dah lewat ni', fikirnya selepas melihat jam tangan. Dia perlu pergi ke dapur untuk periksa sama ada sarapan sudah disediakan ke tidak. Dalam perjalanan dia terjumpa Victor.
"Selamat pagi Victor", sapa Arth.
"Selamat pagi. Kamu nak pergi dapur ke?", kata Victor.
"Ya"
"Oh. Tolong beritahu chef untuk sediakan air teh susu panas", katanya.
"Okay", Arth berlalu pergi.
Victor menuju ke bilik Adam. Pintu diketuk dahulu sebelum dia masuk. Adam masih berkelubung dalam selimut. Pagi itu memang agak sejuk. Dia membuka pili air di dalam bilik mandi untuk mengisi tub dengan air suam. Selepas penuh separuh pili ditutup. Victor menuju ke tingkap dan mengikat tabir. Cuaca agak mendung hari ni. Dia melihat awan kelabu yang berarak.
"Tuan muda bangunlah. Pagi dah ni", kata Victor dari tingkap.
"Nnghh", Adam membuka mata. Dah pagi ke? Dia bangun dan duduk di tepi katil.
"Selamat pagi Victor", kata Adam sambil menggosok mata. Dia menguap.
"Selamat pagi. Pagi ni agak sejuk jadi saya dah sediakan air suam untuk mandi", kata Victor.
Selepas mandi, Adam menyarung baju lengan panjang dan memakai jaket. Sejuknya. Cuaca mendung hari ni. Dia menuju ke ruang makan untuk makan sarapan. Vyrut sudah duduk sambil membaca berita dari tablet hologram.
"Selamat pagi abang", kata Adam. Dia duduk berhadapan Vyrut.
"Pagi", katanya tanpa mengangkat muka. Noah masuk dan duduk di sebelah Vyrut.
Noah mengucapkan selamat pagi kepada Adam dan Vyrut. Sambil menjamah sarapan mereka berborak.
"Abang ada pergi mana-mana ke nanti?", tanya Vyrut.
"Tak lama lagi Kem akan dijalankan. Abang nak pergi ke HQ untuk lakukan pemilihan hari ni", kata Noah.
"Kem?", tanya Adam.
"Kami adakan Kem 2 kali setahun. Objektif Kem ini adalah untuk memperkasa kemahiran memanah. Ia terbahagi kepada dua, dua minggu pertama mereka akan berkhemah dan berlatih dalam hutan dan yang selebihnya akan dilakukan di pusat latihan", jelas Noah panjang lebar.
"Ohh. Macam tu ke. Abang buat apa je masa tu nanti?", tanya Adam lagi.
"Saya cuma perlu lantik beberapa orang penyelia untuk catat prestasi setiap orang dan mereka akan hantar laporan kepada saya", balas Noah.
"Abang pergi dulu. Petang nanti abang balik", Noah memberikan senyuman sebelum berlalu keluar.
"Abang buat apa pagi ni?", kata Adam.
"Masih ada sikit lagi dokumen saya perlu periksa nanti", kata Vyrut. Dia mencapai cawan teh susu panas. Tekaknya terasa perit. Mungkin sebab cuaca dah semakin sejuk dan berangin.
"Kamu nak buat apa hari ni?", tanya Vyrut.
"Saya tak ada kelas hari ni. Saya duduk dalam bilik je", kata Adam.
Adam mencapai beberapa keping kertas, pen, sampul dan juga cop serta lilin. Dia menulis surat kepada ibunya. Ibu tak ada telefon jadi dia menulis surat sahaja. Adam akan hantar surat bila dia ada masa lapang. Surat dilipat dan disimpan ke dalam sampul lalu disyil dengan cop lilin. Hmm.. Dia rasa nak beli sesuatu untuk ibu.
Setiap hari dia rindu mahu mendengar suara ibunya. Masakan ibunya. Adam tersenyum. Raut wajahnya tampak sedih. Tak apa nanti lama-lama dia biasa juga.
Surat diletak ketepi. Dia mencapai buku nota. Ada latihan yang perlu dibuat. Adam fokus dengan latihan sampai tak sedar Victor masuk. Cawan berisi teh panas diletak tepi meja.
"Terima kasih", Adam mendongak ke arah Victor.
"Sama-sama. Tuan muda tengah buat apa tu?", Victor meletak teko di meja bulat.
"Latihan. Cikgu nak tengok minggu depan", dia menghirup teh. Air hujan sudah mula membasahi bumi. Adam melihat ke luar tingkap.
"Kalau macam tu saya keluar dulu", dia tak mahu mengganggu Adam.
Adam meregangkan badan selepas selesai menyiapkan semua latihan. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30. Sekejap lagi makan tengah hari. Hujan pun hanya renyai-renyai sahaja. Buku dan alat tulis disimpan. Adam baring di katil menghadap siling. Bosannya. Nak buat apa nanti ya?
Tiba-tiba pandangannya bertukar kepada sepasang telinga kelabu. Mata si kucing melihat ke arahnya. Adam beralih dan bangun. Dia menoleh ke belakang. Bila dia masuk tadi? Si kucing tersenyum ke arah Adam.
Adam cuba mengusap rambut si kucing. Si kucing melihat tangan Adam. Adam mendaratkan tangan di atas rambut si kucing lalu diusap lembut. Dia memejamkan mata.
Bunyi pintu diketuk kedengaran. Ian masuk ke dalam. Matanya mendarat pada si kucing.
"Kamu dekat sini rupanya", kata Ian.
"Hai Tuan muda", sapa Ian.
"Hello. Kamu cari dia ke?", tanya Adam.
"Ya. Dia memang suka merayau bila dia dah mula bosan. Nampaknya dia dah biasa dengan Tuan muda", kata Ian. Dia sekadar berdiri di tepi katil.
"Erm", dia masih ingat lagi bila dia cuba mahu mengusap rambut si kucing dulu. Belum lagi dia pegang si kucing dah berlari menyorok di belakang Vyrut.
"Abang saya nak pergi jalan boleh?", tanya Adam semasa makan tengah hari.
"Kamu ada sesuatu nak beli ke?", kata Vyrut.
"Saya nak beli sesuatu untuk ibu", jelas Adam. Dia belum tahu nak beli apa lagi.
"Ohh. Hmm.. Kamu boleh tunggu kejap? Saya nak ikut sekali nanti", kata Vyrut.
"Okay. Saya tunggu", balas Adam.
Vyrut kembali ke bilik kerja. Tak ada apa nak buat lagi pun. Dia cuma mahu baca laporan. Adam melilit mafela pada leher. Dia menuju ke taman bunga di belakang dan berjalan sehingga berada di penghujung taman. Adam melihat pemandangan laut dan bandar di bawah.
Rumah agam Kerabat Artorius terletak di puncak tertinggi dan taman ini terletak dekat dengan tebing. Dia berdiri dekat dengan pagar besi putih. Angin menderu-deru menampar pipinya. Air laut jernih dan berwarna biru nampak seperti kristal.
Adam duduk di bangku di bawah pokok yang daunnya sudah mula bertukar jingga. Dia mahu berlatih kawalan genshi sekejap sementara menunggu. Adam menggunakan api kecil seperti biasa. Dia hanya berlatih dalam tempoh sejam dua setiap hari memandangkan dia sibuk dengan kelas. Waktu hujung minggu pula dia berehat dan buat latihan.
Si arnab memerhati Adam dari sebalik rimbunan bunga kelopak putih. Telinganya yang berbulu putih dan bertompok hitam bergerak-gerak. Dia mendekati Adam perlahan-lahan.
Adam masih tak menyedari kehadiran si arnab. Si arnab berdiri di sebalik pokok. Melihat ke arah api kecil di tangan Adam. Dia melangkah setapak. Tapi kakinya terpijak ranting kayu membuatkan Adam menoleh ke belakang. Si arnab pantas menyorok di belakang pokok. Dia berjalan mendekati pokok dan menoleh ke belakang. Si arnab menyorok tetapi matanya yang bundar melihat ke arah Adam di sebalik pokok.
"Hello. Kamu buat apa dekat sini", sapa Adam. Dia duduk mencangkung. Si arnab menyorokkan badannya.
"Janganlah takut. Mari sini", panggil Adam sambil tersenyum.
"Tuan muda cakap dengan siapa tu?", tanya Arth. Adam menoleh. Arth mendekati Adam cuba melihat dengan siapa dia bercakap. Dia dapat melihat si arnab menyorok di sebalik pokok.
'Bulu dia bertompok lah. Comelnya', fikir Arth.
"Tuan muda. Cuba bagi dia biskut ni", Arth menghulurkan sepaket biskut.
Adam mengambil sebiji biskut dan menghulurkan ke arah si arnab. Si arnab menjenguk. Tangannya cuba mencapai biskut. Adam mendekati perlahan sambil tangannya menghala biskut kepada si arnab. Bila sudah semakin dekat si arnab mengambil biskut. Dia menyorok semula di sebalik pokok dan menjamah biskut.
Adam tersenyum. Dia ambil lah. Selepas biskut di tangan hilang dia mencari Adam dan merenung dia dengan mata bundarnya. Adam menghulur sepaket biskut. Si arnab keluar dari belakang pokok dan mendekati Adam. Dia mengambil dan kembali ke belakang pokok. Si arnab duduk di akar dan membuka bungkusan biskut.
'Comelnya dia ni', Adam menjenguk ke arah si arnab. Telinganya bergerak-gerak. Nampaknya dia suka biskut tu.
"Ahh ya. Tuan muda Vyrut kata kejap lagi nak bertolak", kata Arth.
"Saya pergi dulu. Terima kasih bagi biskut tu tadi", kata Adam. Dia melangkah pantas masuk ke dalam. Arth sambung melihat si arnab makan.
Ian berdiri menunggu di hadapan pintu masuk utama. Kereta kuda sudah disediakan. Adam menuju ke arah Ian.
"Tuan muda dah sedia ke?", kata Ian. Dia melihat pakaian Adam.
"Sudah"
Vyrut melangkah melepasi mereka dan membuka pintu kereta kuda.
"Cepatlah masuk Adam", kata Vyrut. Adam masuk ke dalam diikuti Vyrut. Ian masuk dan duduk di barisan depan. Adam dan Vyrut duduk di belakang.
Kereta kuda mula bergerak menuju ke pagar utama. Vyrut mengeluarkan sesuatu dari rantainya. Dia menghulurkan dompet kepada Adam. Adam menyambut dengan hairan.
"Untuk apa ni?", tanya Adam. Dia membuka dan melihat isi di dalam. Ada duit kertas dan juga sekeping kad kredit.
"Saya lupa nak beri wang belanja kamu bulan ni", balas Vyrut.
"Tak apa ke bagi saya banyak ni?", kata Adam dengan risau.
"Kamu dah jadi sebahagian dari kerabat ni. Jadi kamu kena biasa dengan ni", jelas Vyrut. Dia tahu Adam belum dapat biasakan diri dengan semua layanan yang dia alami setakat ini.