HARI baru, semangat baru. Hari ini merupakan hari pemindahan kru-kru ISS ke stesen angkasa milik negara masing-masing. Pagi itu, mereka semua dihimpunkan pada satu majlis perpisahan ringkas dengan masing-masing mengucapkan ucapan penghargaan terutamanya kepada kru-kru stesen angkasa YOUSHÉNG kerana banyak membantu sepanjang mereka berada di situ. Kru-kru ISS juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Kapten Wang Lei Wei dan anak kapal sebelum satu jamuan ringan diadakan. Setiap kru juga memberikan beberapa kad ucapan selamat jalan yang ditampal pada dinding kompartmen bilik masing-masing.
Kru-kru ISS mula menukarkan pakaian kepada sut angkasawan dan satu istiadat ringkas untuk ucapan selamat jalan turut dilakukan sebelum kesemua kru menunggu di ruangan berlepas. Mereka diberikan tabik hormat oleh Kapten Wang Lei Wei dan seluruh anak kapal stesen angkasa YOUSHÉNG. Begitu juga sebaliknya, kru-kru ISS memberikan tabik hormat kepada seluruh kru stesen angkasa milik negara China tersebut. Di angkasaraya, skala masa akan menggunakan Greenwich Meridian Time (GMT) iaitu satu garis zon pemasa di bumi yang menjadi sempadan antara zon masa di sebelah timur dengan zon masa di sebelah barat bumi.
Kru pertama yang akan berlepas adalah Komander Andes Shkaplerov yang akan menaiki pesawat pengangkut Sputnik VI. Pesawat pengangkut ini akan berlabuh pada tepat pukul 0800 GMT dan berlepas pada tepat pukul 0815 GMT. Kru kedua adalah Kapten Viktor Yuskov yang akan menaiki pesawat pengangkut Sputnik VII pula tepat pukul 0900 GMT. Pesawat pengangkut Sputnik VII akan berlepas tepat pukul 0915 GMT.
Giliran seterusnya adalah Alexander Sergie yang akan menaiki pesawat pengangkut Sputnik X. Pesawat pengangkut Sputnik X akan berlabuh tepat pukul 1000 GMT manakala akan berlepas tepat pukul 1015 GMT. Ketiga-tiga mereka akan menempuhi perjalanan selama setengah jam sebelum berlabuh di stesen angkasa ZEMLYA.
Giliran keempat pula adalah Olivia Anastasia yang akan diambil oleh pesawat pengangkut Hermes. Hermes adalah sebuah pesawat pengangkut milik ESA dan akan berlabuh di stesen angkasa YOUSHÉNG pada 1100 GMT. Hermes akan berlepas keluar tepat pukul 1115 GMT menuju ke stesen angkasa ELIZABETH.
Seterusnya adalah giliran Akito Nakamura yang menaiki pesawat pengangkut jenis HOPE-X. HOPE ataupun H-X Orbiting Plane Executive adalah sebuah pesawat pengangkut buatan Jepun dan mempunyai keluasan yang terbesar dan terbaik dalam kelasnya. Pesawat pengangkut HOPE-X ini berlabuh pada pukul 1200 GMT dan berlepas kembali ke stesen TEIKOKU tepat pukul 1215 GMT.
Seterusnya adalah giliran Park Han-gyeol yang dijemput oleh pesawat pengangkut Naro-11. Naro adalah sebuah pesawat pengangkut yang dibina oleh jawatankuasa angkasa Korea (KARI) dan menjadi pesawat pengangkut pertama yang mengangkut angkasawan daripada stesen angkasa ke stesen angkasa yang lain. Sebelum ini, Naro-11 hanya mengangkut kargo daripada permukaan bumi ke stesen angkasa BYEOL sahaja. Naro-11 akan berlabuh tepat pukul 1300 GMT dan berlepas keluar pada 1315 GMT.
Terakhir sekali adalah Nora Yuhanis. Dia dijangka akan berlepas ke stesen GEMILANG-01 dengan menaiki pesawat pengangkut MyVeSpace iaitu sebuah pesawat pengangkut yang dibina oleh Rusia. Pesawat MyVeSpace ini mempunyai ruang yang cukup luas yakni mempunyai kelebaran 15.5 meter dan dengan diameter sayap ke sayap pada jarak 10.0 meter. Untuk rekod, pesawat pengangkut MyVeSpace ini boleh memuatkan sehingga 3 orang penumpang pada satu-satu masa. Pesawat ini dibina dengan menggunakan besi keluli aeroangkasa yang super ringan namun tahan karat. Pesawat pengangkut ini juga mempunyai kebolehan sebagai pesawat 'lutsinar' ketika perang dimana ia mampu bergerak secara taktikal tanpa dapat di kesan oleh radar musuh.
Tempat duduk penumpang pula diperbuat daripada bahan kulit yang bermutu tinggi, manakala skrin paparan pada papan kawalan mempunyai terdiri daripada HyperAmoLED beresolusi setinggi 8K. Pada bahagian tengah pesawat pula, terdapat sebuah meja elektronik yang berfungsi sebagai ruangan operasi dan meja perbincangan strategi dengan pancaran lampu hologram yang memancarkan pelbagai maklumat dan juga peta. Di dalam pesawat pengangkut itu juga, terdapat sebuah tandas dan juga ruangan pantri untuk kegunaan anak kapal.
Namun, terdapat beberapa kekurangan pada pesawat pengangkut ini, antaranya adalah jisim tangki oksigen yang tidak besar, isipadu tangki minyak kerosene yang menjadi bahan bakar juga cukup-cukup untuk satu perjalanan sederhana jauh dan juga mempunyai rekabentuk yang tidak terlalu futuristik. Pesawat pengangkut ini juga tidak menyokong elemen pengecasan secara solar dan bergantung sepenuhnya pada bahan bakar kerosene sahaja. Dr. Nora Yuhanis akan berlepas daripada stesen angkasa YOUSHÉNG ke stesen GEMILANG-01 tepat pada pukul 1415 GMT selepas pesawat pengangkut MyVeSpace berlabuh tepat pukul 1400 GMT.
Nora Yuhanis sudah sedia disekitar dock penyambung yang menyambungkan antara dua ruang sejak seawal pukul 1345 GMT lagi dengan berpakaian sut angkasawan lengkap. Kesemua sistem termasuklah sistem penunjang kehidupan telah dihidupkan melalui bahagian sut angkasawan tersebut. Kru-kru utama YOUSHÉNG hanya akan memerhatikan angkasawan yang dipindahkan samada melalui bahagian tingkap kecil berkaca ataupun melalui paparan skrin CCTV jikalau sebarang kecemasan mahupun sesuatu di luar jangka berlaku.
Apabila pesawat pengangkut MyVeSpace tiba dan mula berlabuh di stesen angkasa YOUSHÉNG, satu hentakan kecil dapat dirasakan sebelum lampu kecemasan merah berputar menandakan tekanan di dalam pesawat pengangkut dengan kapal angkasa YOUSHÉNG berkenaan sedang diselaraskan. Prosedur ini kebiasaannya mengambil masa sehingga seminit. Selepas kadar tekanan dan juga kadar oksigen antara dua ruangan berkenaan berjaya diselaraskan, pintu hac akan dibuka. Nora Yuhanis akan masuk ke dalam pintu hac pesawat pengangkut berkenaan dengan penuh cermat dan duduk di kerusi yang telah ditetapkan. Kerusi Nora Yuhanis berada di sebelah tempat duduk Kapten Daeng Mustakim
Selang beberapa minit, pintu hac akan ditutup dan Kapten Daeng Mustakim yang menjadi pemandu kepada pesawat pengangkut MyVeSpace itu memberi isyarat kepada Nora Yuhanis untuk memakai tali pinggang keselamatan. Kini, bermulanya proses pelepasan daripada bahagian dock stesen angkasa YOUSHÉNG ke orbit. Kapten Daeng Mustakim akan berkomunikasi dengan pusat kawalan stesen angkasa YOUSHÉNG dengan menggunakan radar Roosevelt untuk mereka sedia berlepas. Apabila segalanya pada mod bersedia, dia akan mula membuka sistem penujah serentak dengan melepaskan cengkaman hac yang tercantum pada stesen angkasa YOUSHÉNG berkenaan secara perlahan-lahan. Kini, pesawat pengangkut sudah bersedia untuk berlepas ke stesen angkasa milik negara, bagaikan sirih pulang ke gagang!
***
"KAPTEN Daeng Mustakim. Pergh, dah naik pangkat dah Daeng sekarang," Nora Yuhanis membaca tag nama dan juga calitan pangkat yang ada pada bahagian baju Daeng Mustakim. Hatinya cukup girang apalagi dapat bertemu kembali dengan rakan senegaranya.
"Tak adalah. Biasa-biasa je. Nora pun apa kurangnya," ujar Kapten Daeng Mustakim sambil menekan punat-punat pada alat kawalan pesawat pengangkut MyVeSpace berkenaan
"Nora dah tak sabar nak jumpa kawan-kawan. Josephine, Samoi... Semualah. Dieorang sihat ke?" Nora Yuhanis nyata teruja dengan perjalanannya itu. Lagu 'Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arsyad bagaikan terngiang-ngiang di minda.
"Alhamdulillah. Dieorang semua sihat. Sejak pagi tadi dieorang tak sabar nak jumpa Nora. Dieorang nak dengar cerita dari mulut Nora,"
Kapten Daeng Mustakim memandang tepat ke arah anak mata Nora Yuhanis yang sugul itu.
"Daeng... Nora rasa belum lagi masanya untuk Nora cerita segalanya. Nora tahu ni semua salah Nora. Nora yang patut dipertanggungjawabkan dalam hal ni. It's all my fault," nada suara Nora Yuhanis tiba-tiba serak-serak basah, seakan-akan menahan kesedihan dan kekecewaan yang mendalam.
"Nora.. It's okay kalau Nora tak bersedia nak ceritakan segalanya. Daeng tahu benda ni susah Nora nak telan. Tapi, macam mana pun, Nora kena move on. Nora kena fikirkan tentang masa depan," Kapten Daeng Mustakim memujuk Nora Yuhanis.
"Daeng, setiap kali Nora tengok apparatus makmal, setiap kali Nora tengok pintu makmal, Nora mesti masih teringat-ingatkan momen-momen tu..," Nora Yuhanis menundukkan wajahnya. Ada perasaan trauma yang cukup mendalam pada riak wajahnya.
"Nora... Dah... Dah... Tak payah nak teringatkan pasal hal tu. Hari ni, Nora just fikirkan pasal ibu Nora, pasal Aunty Anne. Kalau kita sampai nanti, Nora boleh terus video call ibu Nora. Jangan risau yer. Ramai orang mendoakan kesejahteraan Nora kat sini. Ramai lagi orang yang support Nora. Lagipun Nora tak ada buat apa-apa yang salah. Nora cuma lakukan tanggungjawab Nora jer. Benda nak jadi, kita memang tak boleh nak elak. Just think positive, okay?" Kapten Daeng Mustakim menghembuskan kata-kata semangat buat Nora Yuhanis.
"Baiklah, Daeng. Terima kasih sebab support Nora. Really appreciate it," Nora Yuhanis mengelap air matanya lalu tersenyum kembali.
***