Chereads / Awanama Kosmos / Chapter 30 - Bab 30

Chapter 30 - Bab 30

KURANG dua jam sahaja lagi sebelum roket yang membawa 'Misi Cakerawala X' berlepas ke angkasaraya, kesemua penumpang akan dikumpulkan secara berkelompok dan dibahagikan mengikut negeri yang didaftarkan. Mereka akan memakai sut angkasawan berlogo 'Program Angkasawan Malaysia' tanpa topi pelindung kaca sebelum bertolak daripada hotel ke arah tapak pelancaran Subang dengan menaiki bas shuttle khas. Sebelum menaiki bas shuttle berkenaan, cecair sanitasi dan antiseptik kemudiannya akan di semburkan buat kali terakhir ke seluruh bahagian badan setiap penumpang.

Menjelang sejam sebelum waktu berlepas, penumpang kapal pengangkut Orion perlu segera menaiki bas shuttle yang telah disanitasi untuk terus dihantar ke tapak pelancaran Subang. Mereka kemudiannya akan dipindahkan dengan menggunakan balai penghubung antara bas shuttle dengan kapal pengangkut Orion untuk masuk ke dalam dock kapal pengangkut dan mengambil tempat duduk masing-masing. Topi kaca angkasawan  beserta tong oksigen telah disiapkan ditempat duduk penumpang. Mereka akan memakai, mengetatkan topi angkasawan seperti latihan singkat yang pernah dilakukan sebelum ini serta para penumpang perlu memastikan tiada ruang-ruang udara yang boleh menyebabkan masalah di kemudian hari.

Setiap tempat duduk sudah dilekatkan dengan tanda nama dan juga gambar passport penumpang. Kapal pengangkut Orion pula pada ketika ini dalam mod siap siaga untuk dilancarkan ke angkasa iaitu berada pada sudut sembilan puluh darjah ke arah langit. Tiada sesi bergambar mahupun fotografi dilakukan seperti kebiasaan sebelum ini oleh kerana misi kali ini merupakan misi rahsia kerajaan. Mereka juga perlu melakukannya dengan pantas kerana pihak berkuasa mengejar masa untuk pelancaran kapal-kapal pengangkut Orion yang lain. Menjelang waktu setengah jam ketika berada di tapak pelancaran, kesemua penumpang diminta untuk memakai tali pinggang keselamatan masing-masing dan menunggu sahaja arahan pelepasan daripada pusat pelepasan roket Subang.

Segala pergerakan pesawat pengangkut Orion semasa berada di orbit kelak akan dikawal sepenuhnya daripada Pusat Pelepasan Roket Subang dengan menggunakan komputer tercanggih abad ini. Mereka menggunakan teknik pengiraan tepat melalui kajian statistik aktuari yang dibantu oleh sistem kecerdasan pintar (AI) yang menggabungkan antara data kelajuan, isipadu bahan bakar, masa yang diambil untuk proses mengorbit bumi, jisim pesawat pengangkut Orion bersama jumlah penumpang yang menaiki pesawat pengangkut berkenaan. Jadi, tidak hairanlah jikalau pesawat pengangkut Orion ini digelar sebagai 'pesawat pengangkut angkasa tanpa pemandu', yakni berbeza dengan pesawat pengangkut Soyuz yang memerlukan kepakaran flight attendant untuk mengemudi pesawat pengangkut berkenaan.

***

"Pusat Pelancaran Subang kepada pesawat pengangkut Orion, kira undur akan dimulai daripada sekarang. Mohon bersedia. Sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua, satu, berlepas!" suara pengumuman daripada pembesar suara di sekitar tapak pelancaran Subang memecahkan kesunyian kawasan berkenaan.

Lantas, deruan kuat enjin pesawat pengangkut Orion bersama peningkatan haba bahan bakar kerosene mengiringi perjalanan pertama 'Misi Cakerawala X' ini. Selepas lima saat proses penujahan roket yang membawa pesawat pengangkut Orion dari tapak pelancaran Subang menuju ke orbit, roket ini pun berlepas ke angkasaraya. Dapat diperkirakan, terdapat tiga fasa pemisahan antara kapal pengangkut Orion dengan beberapa bahagian pada roket pelancar selain tiga kali fasa pembakaran minyak kerosene pada ketinggian yang berbeza-beza.

Episod pelancaran dimulai dengan fasa pembakaran bahan bakar kerosene yang pertama di bahagian enjin lalu ditandai dengan sedikit hentakan yang menandakan daya G-force di dalam roket semakin meningkat ketika proses roket mendaki ke orbit. Hasil pembakaran telah menghasilkan daya tujahan yang cukup berkuasa pada sudut sembilan puluh darjah ke arah langit iaitu sudut mencanak tepat ke arah cakerawala. Daya tujahan membawa bersama jasad kapal pengangkut Orion yang  berlepas dari Tapak Pelancaran Subang menuju ke arah stesen angkasa GEMILANG-01. Asap kabut berwarna hitam kelabu berkepul-kepul dengan api yang berwarna kemerah-merahan marak menyala muncul daripada bahagian bawah enjin roket lalu memenuhi tapak pelancaran berkenaan. Jasad aloi angkasa berwarna putih bersinar yakni bahan utama pembuatan roket pelancar Orion dengan logo 'Agensi Angkasa Malaysia' dan bendera Jalur Gemilang meluncur laju menuju ke arah orbit.

Pelancaran roket pelancar Orion ini dapat dicerap sejauh sehingga di Selat Melaka di bahagian barat, tanah tinggi Genting dibahagian timur, kawasan Dengkil dan Hulu Langat di bahagian selatan manakala sejauh Bestari Jaya di bahagian utara. Namun, kebanyakan daripada masyarakat hanya menganggap bahawa ianya merupakan sebahagian daripada program penghantaran barangan kargo ke stesen angkasa milik negara sahaja.

Fasa pertama proses pemisahan antara roket pelancar dengan pesawat pengangkut Orion berlaku selepas minit pertama daripada tempoh masa pelancaran dan ini merupakan salah satu detik yang amat genting dan kritikal untuk keseluruhan misi terbabit. Ini juga merupakan momen-momen paling ditakuti oleh kebanyakan jurutera dan penumpang angkasa kerana kebanyakan kemalangan angkasa berlaku pada fasa ini. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh ini. Tangki minyak meletup dan meleburkan keseluruhan misi, getah pemisah antara roket pelancar dengan pesawat pengangkut Orion yang menipis dan kargo yang dibawa meletup di angkasa, kebocoran oksigen yang menyebabkan kebakaran serta lain-lain kemungkinan masalah yang lain boleh berlaku.

***

Semasa proses pemisahan yang pertama, dada penumpang pesawat pengangkut Orion akan merasai pengalaman seperti dihempap oleh satu bebanan yang cukup berat, dan bebanan ini ditandai dengan G-force seberat 5G. Dada akan terasa seolah-olah dihempap oleh seketul batu-bata bersaiz boulder konkrit yang cukup besar dan berat. Kadar denyutan nadi penumpang pada waktu ini akan mengalami peningkatan sedikit kerana perasaan gugup bercampur baur dengan ketidak selesaan di dalam kokpit yang agak sempit itu.

Empat komponen utama booster yang berada di bahagian bawah dan juga tangki minyak kerosene akan terpisah terlebih dahulu daripada badan kapal pengangkut Orion selepas dua minit dilancarkan. Komponen booster berperanan sebagai alat untuk membantu meningkatkan kuasa semasa proses penujahan kapal pengangkut Orion ke angkasa. Pada waktu ini, badan roket berkenaan akan bergerak sepantas 8,300 kilometer sejam lalu mencapai ketinggian 41 kilometer daripada permukaan bumi pada minit yang keempat. Pada waktu ini, kapal pengangkut Orion akhirnya dapat menelusuri perjalanan ke orbit dengan menggunakan bahan bakar kerosene yang telah tersedia dibahagian tangki pada fasa pembakaran kedua.

Sedikit hentakan sekali lagi akan berlaku semasa proses pemisahan kapal pengangkut Orion daripada bahagian luar roket pelancar yakni fasa yang kedua pada siri pembakaran enjin yang ketiga. Namun, hentakan tersebut sudah dapat diagak dan dijangka terutamanya kepada kesemua penumpang. Tangki minyak kerosene fasa ketiga pula terpisah daripada bahagian badan kapal  pengangkut Orion apabila memasuki minit yang kelima selepas proses pelancaran. Kedudukan kapal pengangkut Orion kini pula berada pada ketinggian 176 kilometer dari permukaan bumi. Kapal pengangkut pula bergerak pada kelajuan 13,500 kilometer sejam. Selepas lima minit, kapal pengangkut Orion sudah bergerak sejauh 500 kilometer dari permukaan bumi pada sudut mengiring empat puluh lima darjah. Sudut ini akan di stabilkan pada ketinggian 450 kilometer ketika mengorbit bumi sebelum perlahan-lahan mendaki sehingga mencapai ketinggian 470 kilometer sebelum berlabuh di stesen angkasa GEMILANG-01 selepas 15 jam mereka mengorbit bumi.

Pada minit ke-9 pula, fasa ketiga proses pemisahan telah berlaku. Kali ini, kapal pengangkut Orion akan terpisah dengan kapal penujah induk lalu meninggalkan kapal pengangkut Orion yang akan turun sedikit di ketinggian 350 kilometer ketika mengorbit bumi dengan menggunakan enjin terbina bersama daya tujahan angkasa. Kapal pengangkut Orion ini turut dikuasakan oleh panel-panel solar yang mengubah tenaga cahaya matahari sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang berada di bahagian badan luar kapal pengangkut Orion terbabit.

Proses pemisahan ketiga ini akan menolak pergerakan kapal pengangkut Orion untuk berada pada kedudukan orbit yang telah ditetapkan oleh komputer di pusat pelancaran Subang iaitu pada ketinggian statik 350 kilometer daripada permukaan bumi. Selepas selesai sahaja kapal pengangkut Orion mengorbit sebanyak dua kali mengelilingi bumi iaitu selama enam jam pada kelajuan 28,800 kilometer sejam, barulah para penumpang dibenarkan untuk membuka tali pinggang keselamatan masing-masing. Pada saat ini, para penumpang akan dapat merasa ringan dan hampir sahaja terapung-apung seusai sahaja mereka semua membuka tali pinggang keselamatan mereka selain pertama kalinya dapat melihat keindahan panorama bumi daripada orbit.

***