HARI yang dinanti-nantikan telahpun tiba. Sebanyak lima buah peluru berpandu yang terisi di dalamnya senjata nuklear berupa Cobalt-60 akan dilepaskan tepat pukul lapan pagi di lima buah benua yang berbeza. Kelima-lima senjata ini akan dilepaskan dari stesen angkasa milik Amerika Syarikat, Rusia, Korea Selatan, China dan Jepun. Sinaran radiasi yang bakal terhasil kelak sudah cukup kuat untuk sampai disekitar kawasan bandar, ceruk mahupun hutan belantara yang terlindung oleh gunung ganang mahupun tumbuhan yang tebal, tidak ada yang terkecuali.
Dianggarkan sebanyak lapan puluh peratus daripada keseluruhan penduduk bumi telahpun berlindung menyelamatkan diri samada ke dalam bunker yang tertanam jauh dibawah perut bumi ataupun melarikan diri ke angkasaraya. Baki populasi yang tinggal hanyalah menunggu masa untuk samada bertahan di kediaman masing-masing ataupun cuba bersembunyi di kawasan hutan yang tebal. Namun, perbuatan ini semua nampaknya sia-sia belaka.
Tepat pukul 8 pagi, senjata nuklear yang pertama dan diberi nama 'Atlantic -01' telah dilepaskan dan beberapa minit selepas mencecah ke bahagian permukaan, sinaran radiasi berupa gelombang panas terus menerjah ke segenap benua Amerika Utara mahupun Amerika Selatan termasuklah kepulauan Caribbean, Alaska dan juga kawasan Antartika. Sinaran radiasi berkenaan berupa gelombang haba yang panas dan mampu mereputkan tubuh manusia dalam jangka masa beberapa saat sahaja. Letupan nuklear ini juga telah mencetus letusan supervolcano Yellowstone yang terletak di taman negara Wyoming, USA yang setelah sekian lama memendam lavanya di bawah tanah itu. Letupan Yellowstone telah memburukkan lagi kemusnahan yang telah diakibatkan oleh persenjataan nuklear itu sendiri.
Senjata nuklear yang kedua yang diberi nama 'Europa-02' telah dilepaskan dan beberapa minit kemudian gelombang haba yang cukup panas dan kering itu pantas menerjah ke sekitar pelusuk benua Eropah termasuklah kawasan Iceland, Eropah Timur sehinggalah sejauh sempadan Eropah-Afrika dan juga Turki. Sinaran radiasi ini telah menghancurkan binaan-binaan zaman kegemilangan Renaissance yang menjadi lambang kemasyhuran penduduk benua Eropah selama beberapa abad lamanya.
Senjata nuklear ketiga yang diberi nama 'Africa-03' pula dilepaskan dan beberapa minit kemudian, bahang sinaran radiasi yang terhasil daripada proses pembelahan nuklear telah menerjah ke seluruh benua Afrika. Sinaran radiasi lantas menerjah daripada pelusuk Algeria di bahagian utara sehinggalah ke Tanjung Harapan di bahagian selatan. Negara-negara Afrika yang tidak dapat memindahkan rakyatnya sudah tidak boleh diselamatkan lagi.
Senjata nuklear keempat diberi nama 'Middle East - 04'. 'Middle East -04' ini merangkumi seluruh kawasan Terusan Suez, negara-negara Arab, Pakistan sehinggalah sejauh Tanah Tinggi Tibet. Pelakuran nuklear yang terhasil daripada ledakan nuklear ini telah menyebabkan sinaran radiasi tersebar luas ke serata pelusuk timur tengah sehingga tiada negara yang berjaya menyelamatkan diri kecuali bagi mereka yang berlindung di dalam bunker yang tertanam jauh dibawah perut bumi. Pelantar-pelantar minyak, binaan-binaan piramid semasa kegemilangan Mesir Purba dan juga Burj Khalifa, kesemuanya hancur dek terhapus oleh sinaran radiasi.
Senjata nuklear Cobalt-60 yang terakhir yang dilepaskan dari angkasa adalah diberi nama 'Asia -05'. Ledakan 'Asia - 05' ini merangkumi kawasan di seluruh benua Asia dan juga Australia sehingga sejauh Rusia di utara dan New Zealand di bahagian selatan. Seusai mencecah sahaja senjata nuklear di permukaan bumi, proses pelakuran nuklear yang terhasil daripada Cobalt-60 ini melepaskan sinaran radiasi lalu menyebar ke seluruh pelusuk bumi. Tembok Besar China, Menara Berkembar Petronas dan binaan Borubodur kesemuanya telah musnah dek kerana ledakan bahan nuklear yang cukup kuat itu. Ini merupakan kali kedua senjata nuklear digunakan setelah kali pertama pada 6 Ogos 1945 yang meletupkan bandar Hiroshima dan Nagasaki, Jepun.
Dari bahagian angkasa pula, peristiwa besar ini dapat diperlihatkan dan dirakam dengan menggunakan kamera digital berteknologi tinggi. Kelima-lima bom nuklear terbabit seakan-akan membentuk satu kebakaran besar di bumi yang semakin lama semakin membengkak dan membesar. Cahaya seakan-akan menjulang-julang itu menghasilkan ledakan berwarna kemerah-merahan itu membentuk seakan-akan lekukan berdiameter bulatannya di tengah-tengah kawasan ledakan lalu mengubah secara total rupa bentuk asal muka bumi yang pernah mereka kenali sebelum ini.
Mereka yang berada di Stesen Angkasa Athria-Gemilang nyata tergamam, terkejut dan ada yang bersedih apabila melihatkan keadaan planet bumi yang terubah bentuknya menjadi seakan-akan planet yang marak berapi. Mereka menggelarkan hari itu sebagai 'Hari Letupan Besar' dan dicatatkan di dalam kalendar dan juga lipatan sejarah peradaban manusia.
Di bahagian dalam bunker bawah tanah pula, satu gegaran yang cukup kuat dapat dirasakan oleh seluruh koloni disusuli dengan beberapa gelombang besar yang menggoncangkan bahagian rusuk utama binaan bunker. Lampu yang pada awalnya terang benderang dirasakan berkelip-kelip seketika dan tiba-tiba terpadam beberapa minit sebelum kembali menyala kembali. Paparan CCTV yang pada tadinya memaparkan situasi di kawasan luar bunker kini sudah rosak sepenuhnya. Hanya sinaran radiasi sahaja yang tidak boleh menembusi kawasan bunker berkenaan kerana binaan dinding bunker berkenaan yang terdiri daripada bahan plumbum yang kalis sinaran radiasi.
***
RUTIN harian penduduk di stesen angkasa Athria-Gemilang semenjak hari pertama ini pada permulaannya menjanjikan pengalaman baru yang penuh keseronokan dan keterujaan. Bukan semua orang dapat berada di angkasa lepas. Setiap hari, ada sahaja yang akan berswafoto dengan bulan, bergambar dengan matahari dan mengemaskini status media sosial masing-masing.
Namun, lama kelamaan perasaan jemu dan bosan sudah menguasai diri. Mereka tidak lagi boleh melancong di tepian pantai sambil merasai betapa hangatnya butiran pasir yang melekat di kaki, mendaki hutan belantara sambil menikmati pemandangan indahnya paku pakis hutan, menelusuri sungai berarus deras dengan berkayak mahupun menghirup udara gunung ganang yang segar dan indah. Semua ini sudah tidak ada lagi dan hanya kekal menjadi memori yang tersemat dan terpahat di hati dan sanubari setiap penduduk stesen angkasa ini. Pemandangan mereka terhad kepada pemandangan besi keluli, pemandangan bintang-bintang yang diselubungi kegelapan vakum angkasa dan juga lintasan satelit-satelit mahupun stesen angkasa milik negara lain di sekitar kawasan stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Mereka semua sudah mula menjadi semakin bosan kerana asyik melakukan aktiviti yang sama sahaja berulang-ulang kali. Sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan bagi mereka, seawal pukul enam pagi lagi,mereka akan bingkas bangun kerana bunyi siren akan membingitkan satu stesen angkasa ini.
Mereka hanya akan mengelap badan dengan menggunakan tuala basah. Ini merupakan satu rutin yang baru dan terpaksa diikuti oleh kesemua mereka. Disini, teramatlah sukar untuk mendapatkan bekalan air. Jurutera akan menggunapakai sistem penyulingan dan juga pembalikan oksigen dengan karbon dioksida selain prosesan semula bahan kumuhan yang dibuang oleh penduduk di Athria-Gemilang ini. Stesen ini menggunapakai sistem masa di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Sarapan mereka setiap hari adalah sama sahaja, roti dengan ubi kayu dan juga teh tarik. Makanan sarapan, makan tengah hari dengan makan malam biasanya akan dicatu untuk langkah-langkah penjimatan. Itupun bekalan makanan dibantu oleh teknik penanaman hidroponik dengan menggunapakai komposisi jumlah penggunaan bahan organik tanah yang amat sedikit. Bahan tanah organik di stesen angkasa ni teramatlah berharga.
Tepat pukul lapan pagi, anak-anak yang bersekolah semuanya akan berada dalam kelas manakala orang dewasa akan ditugaskan untuk melakukan sesuatu perkara yang berfaedah. Kebiasaannya, mereka akan belajar mengenai perkara-perkara yang tidak pernah mereka lihat dengan mata kepala sendiri seperti buruj Capricorn, Kyklos Galaktikos, Galaksi Elips, 'Omuamua. Ilmu-ilmu astronomi ini akan dicerap dengan menggunakan teleskop Hubble yang berteknologi tinggi.
Menu makanan merarau pula adalah Nasi putih dengan ayam rendang, kadangkala ayam masak kicap, dan kadang-kadang, kambing masak kurma. Pukul dua petang pula, mereka akan menghadiri kelas agama. Walaupun mereka sudah berada di angkasaraya, tatasusila mereka masih dikekalkan mengikut syariat agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamma'ah dan juga hukum-hakamnya. Aktiviti pernikahan, perkahwinan dan juga aktiviti keagamaan masih boleh dilakukan di atas angkasa ini. Apabila tibanya bulan Ramadan, mereka akan bersahur beramai-ramai, berbuka dan menunaikan solat wajib mahupun solat sunat terawikh di kompartmen keagamaan ataupun disebut Masjid Athria-Gemilang. Di sinilah aktiviti keagamaan berfungsi dan berjalan. Seperti juga di permukaan suatu masa dahulu, mereka yang beragama lain juga turut bebas untuk melaksanakan ritual keagamaan masing-masing, dengan syarat tidak mengganggu masyarakat agama lain.
Waktu makan malam pula ditetapkan pada pukul 6 sehingga pukul 8.30 malam. Makan malam pula akan dihidangkan pelbagai juadah seperti nasi campur dengan sayur sayuran, ayam goreng dan pelbagai jenis lauk-pauk yang tersedia. Semua ini bukanlah percuma kerana ini adalah sebagai satu bentuk 'gaji' atau 'upah' kepada ibu bapa mereka yang telah berkhidmat di stesen angkasa ini. Tidak ada wang ataupun duit yang diperlukan disini, hanya kerahan tenaga, kemahiran mahupun kreativiti yang diperlukan.
Setiap penduduk di stesen angkasa ini akan diwajibkan untuk tidur tepat pukul 10 sehingga 10.30 malam kecuali bagi mereka yang bertugas pada waktu malam untuk pengoperasian stesen angkasa dengan lebih lancar. Apabila tiba waktu tidur, lampu yang menerangi kawasan susur di stesen angkasa terbabit akan di malapkan dan digelapkan selama tempoh lapan jam bagi memberi laluan untuk koloni Cakerawala untuk berehat dan tidur. Tidur yang cukup akan membuatkan aktiviti pada keesokan harinya lebih produktif.
Terdapat beberapa peraturan baharu yang lebih kejam telah ditetapkan di dalam stesen angkasa ini. Antaranya adalah pesalah berat akan dihukum dengan hukuman mati dengan pesalah terbabit akan di apungan ke luar stesen angkasa ini. Maka, menerawanglah jasad terbabit di kegelapan orbit tanpa udara dan tanpa bernisan. Mengikut kajian pakar, badan manusia hanya mampu bertahan selama kurang tiga minit tanpa udara. Kesalahan berat seperti mencuri, melakukan sabotaj, membunuh penduduk stesen lain, memiliki lebih daripada seorang anak dan sebagainya. Ya, untuk mengawal populasi di stesen angkasa ini, setiap keluarga dihadkan untuk mempunyai terhad kepada hanya seorang anak sahaja.
Jika pihak Komander stesen angkasa ini menangkap ibu bapa yang memiliki lebih daripada seorang anak, mereka akan dihukum dengan hukuman mati dengan kaedah mengapung individu terbabit ke luar stesen angkasa ini. Sebab itulah mereka yang berkelana di stesen angkasa Athria-Gemilang ini tidak mempunyai adik yang lebih kecil. Ada juga kes beberapa keluarga yang mereka pernah terkantoi memiliki lebih satu anak. Keluarga ini telah menerima hukuman diapungkan ke luar stesen angkasa ini bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang dan menjadi pengajaran kepada penduduk di stesen angkasa ini yang lain.
***