Chereads / Awanama Kosmos / Chapter 33 - Bab 33

Chapter 33 - Bab 33

*75 TAHUN BERLALU di ANGKASARAYA *

SALAM PERKENALAN. Namaku X Ædrian X-ii. Itu adalah nama panjangku. Pelik kan? Ya, nama ini digunakan bagi sesiapa sahaja yang lahir di stesen angkasa. Kiranya nama ini sebagai rekod identiti setiap individu ketika berada di angkasaraya ini. Kawan-kawanku hanya menggelarkanku sebagai 'Ædrian' sahaja. Kami bukanlah keturunan robot mahupun alien, tapi kami juga manusia biasa, seperti kalian juga. Cuma, banyak perbezaan antara kalian dengan aku. Nanti aku ceritakan dengan lebih lanjut apa perbezaan antara kalian dengan aku. Aku berumur 21 tahun pada tahun ini. Kiranya, aku dah 21 tahun menetap di stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Kami menggelarkan seluruh penduduk di sini sebagai 'Koloni Cakerawala' kerana kami dilahirkan dan menetap di Cakerawala. Dan ini adalah penceritaan aku sepanjang aku menetap di stesen angkasa yang sempit ini.

Macam mana boleh menetap kat stesen angkasa ni? Panjang ceritanya. Korang boleh baca cerita tu di satu lagi novel, 'Awanama Kosmos' untuk korang tahu sejarah kami. Cerita tu adalah berdasarkan kejadian yang menimpa datuk dan moyangku suatu ketika dahulu, kira-kira 70 tahun dulu. Mungkin ini adalah takdir aku, untuk aku terus terperap kat dinding dan bumbung keluli yang terapung-apung ini. Setiap hari, bila aku menjenguk ke arah tingkap kaca, aku mesti terfikir macam mana la kehidupan kat bawah sana tu kan? Adakah sama macam apa yang aku alami kat angkasa ni?

Rutin aku semenjak kecil di stesen angkasa ini tersangatlah bosan, tapi sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan bagi kami. Seawal enam pagi lagi, kami akan bangun kerana bunyi siren akan membingitkan satu stesen angkasa ini. Mandi? Kami hanya lap tuala basah pada bahagian badan sahaja. Disini, amatlah sukar untuk mendapatkan bekalan air. Yang aku belajar, dieorang akan menggunakan sistem penyulingan oksigen dengan karbon dioksida selain prosesan semula bahan kumuhan yang dibuang oleh penduduk di Athria-Gemilang ini. Stesen ini menggunakan masa di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Aku tak pernah tengok dengan mata kepala sendiri pasal Kuala Lumpur, hanya lihat di YouTube sahaja.

Sarapan kami setiap hari adalah sama sahaja, roti dengan ubi kayu dan juga teh tarik. Makanan sarapan, makan tengah hari dengan makan malam biasanya akan dicatu, sebab nak berjimat. Itupun sebab mereka gunakan teknik penanaman hidroponik dengan menggunakan tanah yang sedikit. Tanah dekat stesen angkasa ni teramatlah berharga. Aku dengan kawan-kawanku cukup suka bila dapat menyusup secara rahsia ke kompartmen pertanian dan kandang haiwan sebab aku boleh bau tanah dengan bau sayur-sayuran yang ditanam. Bau dia terasa macam menenangkan, bau organik laa kan. Kalau bau kandang haiwan pula, agak busuk sikit, tapi kat situ je lah yang ada bau tu. Kadang-kadang tahi-tahi haiwan tu, dieorang buat baja untuk kompartmen pertanian.

Tepat pukul 8 pagi, kami semua akan berada dalam kelas yang maha sempit tu. Kebiasaannya, kami akan belajar pasal perkara-perkara yang tidak pernah kami lihat dengan mata kepala kami sendiri. Kereta, buah epal, sungai, lautan dan macam-macam lagi. Kadangkala sampai termasuk dalam mimpi sebab nak bayangkan macam mana semua itu berfungsi. Kebiasaannya kami akan tonton melalui video YouTube je. Kalau belajar pasal Kyklos Galaktikos ke, Galaksi Elips ke, 'Omuamua ke, itu kami biasa lihat lah daripada teleskop.

Menu makanan tengah hari pula adalah Nasi putih dengan ayam rendang, kadangkala ayam masak kicap, dan kadang-kadang, kambing masak kurma. Pukul 2 petang pula, kami akan menghadiri kelas agama. Walaupun kami berada di angkasaraya, kami masih mengekalkan syariat agama Islam dan juga hukum-hakamnya. Aktiviti pernikahan, perkahwinan dan juga aktiviti keagamaan masih dilakukan di atas angkasa ini. Apabila bulan Ramadan menjelma, kami akan bersahur secara beramai-ramai, berbuka dan menunaikan solat wajib mahupun solat sunat terawikh di kompartmen keagamaan ataupun disebut Masjid Athria-Gemilang. Di sinilah aktiviti keagamaan berfungsi dan berjalan. Seperti juga di permukaan suatu masa dahulu, mereka yang beragama lain juga turut bebas untuk melaksanakan ritual keagamaan masing-masing, dengan syarat tidak mengganggu masyarakat agama lain.

Waktu makan malam pula ditetapkan pada pukul 6 sehingga pukul 8.30 malam. Makan malam pula akan dihidangkan pelbagai juadah seperti nasi campur dengan sayur sayuran, ayam goreng dan pelbagai jenis lauk-pauk yang tersedia. Semua ini bukanlah percuma kerana ini adalah sebagai satu bentuk 'gaji' atau 'upah' ibu bapa kita yang telah berkhidmat di stesen angkasa ini. Tidak ada wang ataupun duit yang diperlukan disini, hanya kerahan tenaga, kemahiran mahupun kreativiti yang diperlukan. Ibuku bekerja sebagai tukang tani manakala ayahku bekerja sebagai jurutera elektrik ataupun technician yang menjaga sumber elektrik di stesen angkasa berkenaan. Tidak hairanlah aku boleh menyusup masuk ke dalam kompartmen pertanian dengan mudah.

Setiap penduduk di stesen angkasa ini akan diwajibkan untuk tidur tepat pukul 10 sehingga 10.30 malam kecuali bagi mereka yang bertugas pada waktu malam di stesen angkasa ini. Tidur yang cukup akan membuatkan aktiviti pada keesokan harinya lebih produktif. Setiap malam, aku akan berangan untuk mengejar cita-citaku, iaitu menjadi jurutera mekanikal. Setiap jurutera mekanikal mempunyai peluang untuk melakukan aktiviti Extravehicular ataupun EVA. Mereka akan terapung-apung di luar badan stesen angkasa Athria-Gemilang ini untuk membetulkan sesuatu yang rosak, samada dihentam oleh sampah angkasa mahupun sudah tidak boleh digunakan lagi. Aku memang sukakan aktiviti yang mencabar, dan sifat kenakalanku amat sukar dikawal di stesen angkasa berkenaan. Semenjak kecil lagi, aku telah dilemparkan dengan beberapa gelaran seperti 'Budak Degil', 'Budak Nakal' dan pelbagai nama yang negatif tentang diri aku. Tapi, aku peduli apa kan, it's my life!

Terdapat beberapa peraturan yang telah ditetapkan di dalam stesen angkasa ini. Antaranya adalah pesalah berat akan dihukum dengan hukuman apungan ke luar. Kesalahan berat seperti mencuri, melakukan sabotaj, membunuh penduduk stesen lain, mempunyai lebih seorang anak dan sebagainya. Ya, untuk mengawal populasi di stesen angkasa ini, setiap keluarga dihadkan haruslah mempunyai hanya seorang anak sahaja. Jika pihak Komander stesen angkasa ini menangkap ibu bapa yang mempunyai lebih seorang anak, mereka akan dihukum dengan hukuman apungan ke luar stesen angkasa ini.

Untuk pengetahuan, kebanyakan daripada kami mempunyai masalah kesihatan terutamanya berkaitan tulang. Paling biasa adalah masalah tulang rapuh. Kata doktor, kadar penerimaan sinar radiasi yang tinggi daripada luar galaksi ditambah situasi persekitaran yang sifar graviti dengan kurangnya oksigen menyebabkan masalah kesihatan ini wujud sejak lahir. Namun, ada sesuatu yang menarik bagi setiap daripada kami yang lahir di luar orbit ini. Kami mempunyai apa yang dipanggil oleh doktor sebagai skyblood secara semulajadi. Skyblood mempunyai pencirian khas yakni mempunyai daya imuniti yang tinggi terhadap kadar graviti sifar, daya tahan badan terhadap kandungan oksigen yang rendah, mampu menyesuaikan haba pada tubuh badan sekiranya berlaku penurunan haba yang drastik dan organ-organ mempunyai keimunan terhadap gelombang radiasi semulajadi yang terhasil daripada luar galaksi. Kata doktor lagi, ciri-ciri ini salah satu sebab adalah disebabkan tindak balas penyesuaian badan oleh persekitaran selama puluhan tahun yang tidak dapat ditemui pada manusia yang hidup di permukaan bumi 70 tahun lepas. Doktor juga ada bagi tahu yang ini juga merupakan kesan selepas ibu bapa kami disuntik dengan vaksin jenis 'Biotech-Pfitzer' sebelum berkoloni di angkasaraya ini. Oleh itu, bolehlah dikatakan kami ini adalah separa alien dan separa manusia. Bolehkah begitu?

Aku ada dengar ura-ura mengenai pelan Komander Æzarnoush untuk menghantar 10 orang ke permukaan bumi namun rancangan itu masih pada peringkat cadangan lagi. Komander Æzarnoush adalah ketua kepada stesen angkasa ini. Dia adalah seorang individu yang dihormati lagi disegani oleh sesiapa sahaja. Mereka sedang merangka kesan baik dan buruk yang bakal diterima mereka sekiranya pelan ini diteruskan. Makna katanya, ini adalah pelan pembunuhan kejam untuk menghantar seramai sepuluh orang ke permukaan bumi yang tercemar itu.

Jikalau sepuluh orang individu yang dihantar ini masih hidup dan kekal survival, maka, mereka semua satu koloni ini akan menyusul. Namun, jika kesemua sepuluh individu yang di hantar ini terbunuh dek kerana radiasi yang masih memekat di permukaan bumi, maka, mereka terpaksa memikirkan cara yang lain untuk kekal survival dengan pertambahan populasi di stesen angkasa itu yang semakin membimbangkan. Kejam bukan?

***