Chereads / Awanama Kosmos / Chapter 29 - Bab 29

Chapter 29 - Bab 29

SEMENTARA menunggu pelepasan roket yang membawa sejumlah kecil warganegara Malaysia ke stesen angkasa GEMILANG-01 ini, kru-kru utama stesen angkasa mula mengemas, mengosongkan serta menyusun kembali barang-barang yang ada di dalam stesen angkasa berkenaan. Barang-barang berkenaan terdiri daripada bahan-bahan kajian, bekas berisi makanan yang telah disterilkan, barangan peribadi kru utama serta pelbagai alatan yang digunakan untuk proses penyelenggaraan stesen terbabit. Kompartmen-kompartmen utama yang pada mulanya telah penuh kini telah dikosongkan bagi memberi laluan kepada sejumlah penghuni baru yang bakal berkoloni disitu.

Kompartmen-kompartmen seperti pentadbiran, kompartmen Pertanian dan perikanan, kompartmen perladangan, kompartmen asrama, kompartmen kantin, kompartmen pusat pendidikan, kompartmen masjid, kompartmen hospital dan pusat kesihatan diwujudkan dan dilabelkan secara tertib. Manakala kompartmen penyelenggaraan telah dipecahkan kepada dua jabatan iaitu kompartmen penyelenggara enjin dan juga kompartmen kejuruteraan aeroangkasa. Kompartmen-kompartmen ini akan berperanan sebagai pusat aktiviti, pembelajaran dan pentadbiran terutamanya kepada koloni stesen angkasa ini kelak.

Melalui kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak agensi MYSA, sebanyak empat belas buah roket yang akan membawa kapal angkasa Orion yakni sebuah kapal angkasa buatan Amerika Syarikat akan dilancarkan di tapak pelancaran Subang melalui 'Misi Cakerawala X' ini. Misi sulit ini dijangka akan membawa sekurang-kurangnya 30 sehingga 80 orang pada satu-satu masa untuk sekali perjalanan. Ini bermakna, sebanyak 14 buah kapal angkasa Orion akan digunakan untuk keseluruhan misi ini. Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini telah membeli sebanyak lima belas buah kapal angkasa jenis Orion daripada NASA untuk kegunaan pesawat pengangkut barangan saat beroperasinya stesen angkasa GEMILANG-01 ini. Salah satu daripada lima belas buah kapal angkasa ini tidak dapat berfungsi dengan baik dan perlu diselenggara untuk satu tempoh yang agak lama. Namun, tidak disangka-sangka pula, kapal angkasa Orion yang selebihnya ini akan membawa sejumlah penumpang untuk misi penyelamatan.

Setiap satu kapal angkasa Orion ini akan membawa sejumlah besar tangki oksigen yang akan dimuatkan dalam bahagian kargo yang terletak di bahagian bawah. Tangki oksigen ini  boleh dikitar semula untuk membekalkan oksigen di dalam stesen angkasa berkenaan selain digunakan untuk proses penyulingan air di angkasaraya pada kuantiti yang lebih besar. Selain itu, kapal angkasa jenis Orion ini juga akan membawa sejumlah besar kargo berisi tanah gambut, bijih benih tumbuh-tumbuhan dan juga baka-baka haiwan ternakan yang terbaik untuk di jadikan bahan sumber makanan ruji dan juga untuk diternak di angkasaraya kelak.

Di angkasaraya nanti, kesemua empat belas buah kapal angkasa Orion yang terdiri daripada empat belas buah modul ini akan bercantum dengan stesen angkasa GEMILANG-01 lalu membentuk satu pergelangan besar, seakan-akan bentuk bulan sabit dengan modul utama 'GEMILANG-01' akan berada dibahagian tengah-tengah, seakan-akan berbentuk bintang yang ada pada Jalur Gemilang bagi menambahkan lagi kepadatan ruangan yang tersedia. Jika kesemua modul ini sudah bercantum kelak, stesen angkasa ini boleh memuatkan seramai 10,000 orang pada satu-satu masa untuk jangka masa selama 60 sehingga 70 tahun hayat. Keseluruhan kapal angkasa yang telah bercantum ini kelak akan dinamakan sebagai 'ATHRIA-GEMILANG'.

***

Dalam pada itu di tanah air pula, bagi penumpang yang telah mendapatkan tiket untuk berlepas ke stesen angkasa GEMILANG-01 ini perlu menjalani beberapa ujian pemeriksaan kesihatan yang ketat dan teratur sepertimana yang dilalui oleh para angkasawan selain perlu mendapatkan vaksin imunisasi melalui 'Program Imunisasi Kebangsaan : Misi ke Angkasaraya '. Cuma berbezanya disini, mereka tidak perlu lagi untuk menjalani latihan fizikal yang intensif selama setahun. Hebahan mengenai program imunisasi ini dibuat menerusi satu mesej ringkas yang telah di sulitkan hujung-ke-hujung (end-to-end encrypted) kepada kesemua pemegang tiket untuk ke angkasaraya.

Dua dos vaksin jenis Biotech-Pfizer akan disuntik  ke dalam badan bakal koloni di stesen angkasa GEMILANG-01. Vaksin ini berperanan bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman akibat dedahan sifar graviti selain membantu meningkatkan daya imuniti terhadap penyakit berkaitan angkasa dan juga memberikan perlindungan terhadap sinaran radiasi semula jadi yang terhasil dari planet-planet berdekatan semasa mereka berada di angkasa kelak. Vaksin ini juga bertujuan sebagai 'passport' untuk setiap orang yang akan ke orbit. Mereka akan meletakkan satu cip bersaiz nano berupa cecair yang berwarna kebiru-buruan dan berperanan sebagai alat untuk aktiviti pemantauan kesihatan ketika berada di Stesen Angkasa GEMILANG-01 kelak.

Bagi mereka yang akan dipindahkan ke dalam bunker pula, mereka tidak akan terlepas untuk disuntik dengan satu dos vaksin. Melalui 'Program Imunisasi Kebangsaan : Misi Penyelamatan Tamadun Manusia', golongan yang akan menetap di dalam bunker akan disuntik dengan vaksin jenis Sputnik-Sinovac. Sepertimana vaksin jenis Biotech-Pfitzer, vaksin jenis Sputnik-Sinovac akan memberikan imuniti kepada mereka yang akan menetap di bunker untuk menghadapi tahap sinaran radiasi yang tinggi daripada pelepasan bahan radiasi sintetik Cobalt-60, kerentanan organ badan terhadap sebarang penyakit berjangkit yang boleh tersebar ketika mereka sedang bersesak-sesak di dalam bunker dan juga memberikan 'passport' untuk mereka masuk ke dalam bunker.

Satu dos vaksin Sputnik-Sinovac yang berwarna kemerah-merahan jingga itu akan disuntik ke dalam badan penduduk yang bakal menduduki setiap bunker perlindungan radiasi milik kerajaan mahupun persendirian ini. Vaksin Sputnik-Sinovac ini mengandungi sebuah cip bersaiz mikro yang berperanan sebagai alat pemantauan kesihatan, sebagai dosimeter terbina yang akan merekodkan jumlah penerimaan dos radiasi oleh organ tubuh badan penduduk dan juga sebagai GPS yang akan merekodkan kedudukan terkini kesemua penduduk yang berada di dalam bunker berkenaan.

Vaksin 'Biotech-Pfitzer' ini dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jerman dengan kerjasama Amerika Syarikat manakala vaksin 'Sputnik-Sinovac' pula dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Rusia dengan kerjasama kerajaan China. Pada awalnya, vaksin ini dibangunkan untuk kegunaan para pelancong angkasaraya dan Marikh yang terdedah kepada risiko jangkitan kuman di luar angkasa. Namun, pada akhirnya vaksin ini digunakan untuk merawat penyakit COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2019 sehingga tahun 2023.

Bagi golongan yang menolak mentah-mentah untuk disuntik samada menerusi vaksin jenis Biotech-Pfitzer ataupun vaksin jenis Sputnik-Sinovac ini, mereka tidak akan sesekalipun dibenarkan untuk mendapatkan perlindungan samada di stesen angkasa GEMILANG-01 ataupun di bunker-bunker bawah tanah. Mereka akan hanya berlindung di kediaman masing-masing sambil berdoa dan terus bertahan menghadapi sinaran radiasi yang sedikit demi sedikit akan memakan diri masing-masing sehinggalah tiada lagi sisa jasad yang tinggal. Jika mereka bernasib baik pun, mereka pasti akan diserang dan ditelan hidup-hidup oleh makhluk 'Awanama Kosmos' yang sedang berlegar-legar mencari mangsanya. Golongan ini digelarkan sebagai golongan anti-vaksin.

***