Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 9 - Diserang Harimau Bertanduk(2)

Chapter 9 - Diserang Harimau Bertanduk(2)

JULIE merentasi setiap halangan dan tidak peduli dengan keadaan dirinya sendiri. Julie tidak kisah jika kulitnya yang terdedah luka kerana duri tajam atau ranting tajam.

Apa yang Julie ingat adalah untuk mencari Putera Ketiga agar Aubree selamat. Semakin dia mengingati keadaan Aubree yang dalam bahaya itu, semakin laju Julie berlari.

Melihat ada sekumpulan Elf sedang berehat di satu kawasan. Julie merasa sedikit lega. Dia segera ke sana. Julie tidak kisah untuk memberi salam kepada keluarga diraja yang lain dan segera menuju ke arah Putera Ketiga.

"Yang Mulia Putera Ketiga. Cepat, Yang Mulia harus menolong Aubree!" kata Julie. Dia sudah pun melutut di atas tanah ketika ini.

"Pembantu yang tidak sedar diri. Di mana sikap sopan kamu? Berani kamu memerintah Yang Mulia Putera Ketiga begitu?!" jerkah seorang pembantu peribadi Puteri Katy.

Julie hanya menunduk dan tidak berani mengangkat muka. Memang dia sedar yang dia sudah melakukan kesalahan tapi Julie hanya ingin Aubree selamat. Badannya semakin bergegar kerana mengingati keadaan Aubree yang dalam bahaya itu.

Kilan mengangkat tangannya untuk menahan pembantu peribadi itu bercakap. Pembantu peribadi itu terus menunduk bila melihat gerakan Kilan. Kilan merenung badan Julie yang bergegar itu. "Speak!"

"Semasa kami dalam perjalanan ke sini, kami diserang dengan seekor harimau bertanduk. Yang Mulia, Yang Mulia harus menolong Aubree sebelum harimau itu membunuh dia!" kata Julie.

Semua Elf yang hadir saat itu terkejut mendengar berita itu. Mereka tidak menyangka yang Julie akan membawa berita seperti itu.

Mendengar nama Aubree disebut di depan Putera Ketiga, mata Puteri Katy terbuka luas dan darahnya mula menggelegak kerana marah. "Pembantu tidak berguna! Siapa kamu sampai mahu memerintah Yang Mulia untuk menyelamatkan seorang pembantu biasa macam dia? Kamu mahu dihukum??"

Julie tidak berani mengangkat kepalanya. Dia tidak takut untuk dihukum oleh Puteri Katy kerana saat ini dia lebih takut bila memikirkan keadaan Aubree.

Sekali lagi Kilan mengangkat tangannya untuk menahan Puteri Katy daripada bercakap. Dia sangat benci dengan orang yang suka memotong percakapannya. "Harimau bertanduk?? Setahu saya, di sini tiada harimau bertanduk. Macam mana seekor harimau sakti seperti itu boleh ada di hutan ini?" tanya Kilan dengan wajah yang berkerut.

"Mohon maaf, Yang Mulia... Saya juga tidak tahu." Julie masih mengekalkan kedudukannya; menunduk di hadapan Putera Ketiga.

"Yang Mulia, izinkan saya untuk pergi melawan harimau bertanduk itu. Saya yakin saya boleh menumpaskan harimau itu," Seorang lelaki yang bertubuh sasa dan tinggi bangun dari tempat duduknya.

"Saya juga, Yang Mulia."

"Saya juga..."

"Saya juga..."

Kilan merenung semua Elf yang menawarkan diri untuk menawan harimau bertanduk itu. Dia memandang ke arah Julie yang masih menunduk itu.

***

***

AUBREE yang sedang duduk di pokok yang paling tinggi itu memandang ke bawah, tepat ke arah harimau bertanduk yang sedang berjalan mengelilingi pokok itu. Harimau bertanduk itu masih tidak berputus asa mahu menerkam Aubree.

Pembantu-pembantu Elf yang lain sedang bersembunyi di semak-semak yang besar kerana mereka takut harimau itu akan mengejar mereka. Semua makanan yang mereka bawa untuk rombongan itu sudah pun bertaburan di atas tanah. Tidak tahu kalau masih ada yang boleh dimakan atau tiada.

Aubree memandang ke arah Harimau Bertanduk yang masih berlegar-legar di sekeliling pokok itu. Dalam hatinya, dia teringin mahu melawan Harimau Bertanduk, mahu mengetahui sampai mana kekuatan haiwan sakti itu.

Sayangnya, Aubree tidak mahu menunjukkan kekuatannya sekarang. Setidaknya, bukan sekarang. Aubree tidak mahu orang lain tahu tentang identiti barunya. Walaupun Aubree tahu mereka tidak akan percaya, Aubree hanya mahu berhati-hati saja. Dia tidak mahu ada diantara mereka yang curiga dengan identiti 'baru' Aubree.

"Ishh, pergi main jauh-jauhlah, Harimau. Kenapa kau masih nak stay di sini? Apa yang seronok sangat nak buru saya ni? Pergilah jauh-jauh. Jangan pergi ke sini," Aubree berkata pada dirinya sendiri. Dia sebenarnya tujukan semua ayat itu kepada Harimau Bertanduk itu tapi oleh kerana Harimau Bertanduk itu tidak akan faham, jadinya, Aubree hanya bercakap pada dirinya sendiri.

Tidak lama kemudian, Julie tiba bersama dengan rombongan Putera Ketiga. Julie yang tidak menaiki kuda bukan seperti yang lain, berhenti di tengah tempat yang mereka diserang tadi. Badannya berpeluh-peluh dan nafasnya terasa kencang kerana dia baru saja selesai berlari tadi.

"Mana Harimau itu?" tanya Jude sebaik saja mereka berhenti.

Julie memandang sekeliling dan akhirnya dia melihat seekor Harimau Bertanduk sedang mengelilingi sebatang pokok yang tinggi. "Hah, itu pun harimau tu!!!"

Semua orang turun dari kuda masing-masing dan beberapa Elf yang berani mahu ke hadapan. Mereka kelihatan sudah bersedia untuk melawan Harimau Bertanduk itu.

"Oh, ini kan Haiwan Sakti yang hanya tinggal di Hutan Larangan. Kenapa Haiwan Sakti ini ada di sini?" kata satu suara dari seorang Elf lelaki. Diantara kebanyakan mereka, hanya Elf itu saja yang belum turun dari kudanya sendiri.

Semua Elf itu memandang ke arah Harimau Bertanduk itu pula.

Melihat ada ramai Elf datang ke tempat itu, Harimau Bertanduk itu meninggalkan kawasan pokok dan bergerak ke hadapan dan menatap kumpulan Elf itu dengan pandangan yang tajam. Harimau Bertanduk itu mengaum perlahan, menunjukkan yang Harimau Bertanduk itu tidak suka dengan kedatangan Elf yang tidak dikenali itu.

Melihat Harimau Bertanduk itu bersedia untuk menyerang mereka pada bila-bila masa saja, Kilan dan yang lain terus membuka langkah untuk mempertahankan diri. Kerana Harimau Bertanduk itu adalah salah satu dari Haiwan Sakti, kekuatan Harimau Bertanduk itu sangat kuat.

Harimau Bertanduk itu tahu ia tidak akan dapat melawan mereka yang mempunyai jumlah yang lebih banyak dari ia. Jika ia melawan di sini, sama ada ia akan cedera parah atau mati di sini.

Harimau Bertanduk itu pun menoleh ke arah Aubree yang masih ada di pokok. Dia kelihatan sedih ketika memandang Aubree dan mengeluarkan suara rintihan yang sedih. Beberapa saat kemudian, Harimau Bertanduk itu berlalu dari sana dalam sekelip mata.

Tiada seorang pun dari Elf itu sempat memberi reaksi apa-apa semasa Harimau Bertanduk itu beredar meninggalkan tempat itu.

Setelah memastikan kalau Harimau Bertanduk itu sudah pergi, Aubree terus turun dari pokok itu. Julie segera mendekati Aubree dan memeriksa keadaan Aubree jika kawannya itu cedera atau tidak.

"Kau tak apa-apa, Aubree? Harimau itu ada cederakan kau atau apa-apa?"

Aubree sekadar tersenyum kecil mendengar soalan dari Julie itu. Dia dapat melihat dengan jelas wajah Julie yang mencemaskan dirinya. Aubree tidak menyangka kalau Julie akan begitu cemas jika Harimau Bertanduk itu ada mencederakan dia atau tidak.

Kilan mendekati dua orang pembantu Elf itu. "Semuanya baik-baik saja?" tanya Putera Ketiga itu. Dia hanya memandang Aubree dari atas ke bawah untuk memeriksa jika pembantu itu mempunyai luka. Melihat keadaan Aubree yang baik-baik saja, Kilan terus melarikan pandangan dia ke tempat lain.

"Saya baik-baik saja, Yang Mulia. Terima kasih kerana datang untuk membantu saya," kata Aubree. Seterusnya, dia menunduk hormat kepada Putera Ketiga itu.

"Kalau begitu, lebih baik kalau kita keluar dari sini. Kita tidak mahu ada perkara yang sama berulang lagi. Harimau Bertanduk itu sangat berbahaya untuk Elf yang tidak mempunyai Elemen atau ilmu pertahanan diri." Kilan memandang ke arah semua Elf yang mengikuti dia untuk latihan memanah. "Kita akan kembali ke kediaman saya. Latihan ini berakhir sampai di sini saja."

Mendengar itu, terdapat beberapa Elf yang ada di sana mengeluh kerana mereka masih belum berpuas hati dengan latihan memanah ini. Walaupun begitu, mereka faham dengan tujuan Kilan untuk menghentikan latihan ini.

Mereka juga tidak mahu Harimau Bertanduk itu muncul semula dan menyerang mereka.