Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 10 - Peluang Untuk Membalas Dendam(1)

Chapter 10 - Peluang Untuk Membalas Dendam(1)

SETELAH rombongan itu kembali ke kediaman Putera Ketiga, semua tetamu yang hadir dibawa ke bahagian taman yang luas dan dibiarkan untuk berehat. Semua pembantu rumah di kediaman Putera Ketiga pun berjalan ke sana ke mari dengan tangkas untuk menyediakan makanan dan minuman kepada semua tetamu Putera Ketiga itu.

Aubree juga tidak ketinggalan untuk menyediakan makanan kepada para tetamu. Aubree dapat melihat dari ekor matanya, beberapa orang Elf dari keluarga kaya sedang mengusik beberapa orang pembantu perempuan.

Meskipun pembantu-pembantu rumah itu merayu untuk meminta dilepaskan, anak-anak orang kaya itu hanya ketawa saja dan semakin mengusik para pembantu itu. Mereka malah menarik beberapa orang Elf sehingga mereka terduduk di atas paha orang-orang kaya itu.

Aubree menggenggam erat tangannya. Meskipun dia mempunyai darah pembunuh dan akan membunuh tanpa belas hasihan, namun Aubree paling tidak suka jika ada lelaki yang berkasar ataupun mengusik para wanita. Aubree merasa itu sangat tidak sopan dan merosakkan maruah seorang wanita. Sedangkan di dalam kumpulan Aubree di kehidupannya sebelum ini, Aubree melarang keras lelaki berbuat kasar terhadap wanita.

Sekuat mana pun hatinya ingin menolong para pembantu itu, Aubree tidak mahu terus datang ke tempat mereka dan menghentikan perbuatan orang-0rang kaya itu. Berbanding dengan kehidupannya sebelum ini, Aubree tidak mempunyai apa-apa kuasa atau darjat yang tinggi untuk melawan semua orang kaya itu. Lagipun, Aubree masih belum cukup kuat untuk menentang mereka.

'Tidak boleh jadi ni, saya kena tolong dorang juga. Saya tidak boleh biarkan orang-orang kaya yang sombong tu terus mengacau pembantu wanita ini,' gumam Aubree dalam hati.

Aubree sedang berfikir bagaimana caranya dia membantu semua pembantu itu. Aubree keluar dari taman itu dan menuju ke satu kawasan yang tersembunyi. Aubree mengambil beberapa ketul batu.

Aubree memandang ke arah kumpulan orang-orang kaya yang sombong itu. Aubree terus membaling seketul batu hitam ke arah seorang Elf yang sedang memeluk seorang pembantu rumah.

Batu itu mengenai tepat di tangan Elf itu, membuatkan Elf itu mengerang kesakitan dan segera melepaskan pembantu yang ada di dalam pelukannya. "Arrghhh!!" jerit lelaki Elf itu sambil memandang tangannya yang kini mempunyai bekas merah terkena dengan batu tadi.

"Siapa yang berani baling batu kepada saya?" teriak lelaki Elf itu lagi sambil memandang sekeliling. Kawan-kawannya juga ikut memandang sekeliling untuk mencari siapakah yang membaling batu kepada lelaki Elf itu.

Aubree tersenyum kecil bila dia melihat semua Elf itu tidak dapat melihat dia yang sedang bersembunyi, Aubree membaling lagi satu ketul batu dan batu itu mengenai ke arah lelaki lain di bahagian kepalanya.

"Argghhh!!!"

Semua orang terpinga-pinga kerana mereka tidak tahu dari manakah datang batunya itu. Mereka cuba memandang sekeliling namun mereka tidak melihat sesiapapun.

"Siapa yang kurang ajar sangat baling batu ni?" kata lelaki yang kedua terkena batu tadi.

Aubree masih lagi diam di sana. Dia membaling batu lain lagi dan batu itu mengenai perut seorang lelaki Elf pula. Lelaki itu menggerutu kesakitan sambil memegang perutnya.

Melihat itu, pembantu-pembantu Elf yang ada di dekat sana terus berteriak ketakutan. Mereka berfikir kalau yang telah membaling itu ialah roh jahat.

"Ada roh jahat!!"

"Ada hantu yang baling batu!"

Para pembantu rumah yang masih ada di sana segera berlari meninggalkan tempat itu kerana takut kalau mereka juga akan terkena sama.

Mendengar teriakan mereka, orang-orang kaya yang sombong tadi menjadi marah. Lelaki yang dibaling pertama kali tadi memberikan semua pembantu rumah itu, sebuah pandangan yang tajam.

"Diamlah, bodoh!! Di sini mana ada hantu! Mesti ada orang yang sengaja nak baling kami batu," kata lelaki itu. Dia memandang kawan-kawannya yang lain. "Berpencar dan cari siapa yang berani membaling batu begini! Kalau saya tahu ada yang sengaja nak main-mainkan saya begini, saya akan pastikan yang dia akan mendapat hukuman yang setimpal!"

Kawan-kawan lelaki itu mengangguk tanda faham dan mereka segera beredar untuk mencari pelaku di sebalik kejadian ini. Mendengar lelaki tadi berteriak, tetamu lain yang juga ada di sana segera berkumpul dan memeriksa apakah yang terjadi.

Aubree pula segera beredar dari tempat persembunyiannya sebaik saja orang-orang kaya itu mula memeriksa di seluruh tempat. Kerja Aubree di sana sudah selesai. Dia hanya mahu melepaskan para pembantu rumah yang diusik dan dibuli oleh kumpulan orang kaya dan sombong itu.

"Patrick, kenapa kau asyik teriak-teriak saja ni? Apa yang berlaku?" tanya seorang wanita Elf.

Lelaki Elf yang dibaling oleh Aubree pertama kali tadi memandang ke arah tetamu-tetamu lain yang mula mengalihkan pandangan mereka ke arah Patrick. Dengan wajah yang tegang dan marah, Patrick menjawab, "Ada orang yang sengaja kacau masa senang saya dengan membaling batu ke arah saya. Kalau saya tahu ada yang sengaja buat benda begini pada saya, saya tidak akan maafkan orang itu!!"

Tidak lama kemudian, kumpulan orang kaya yang disuruh oleh Patrick untuk mencari Aubree kembali kepada Patrick. "Kami tidak melihat sesiapa pun, Patrick. Saya rasa orang itu sudah lari."

Mendengar itu, Patrick terus menumbuk meja minum di tepinya. Dia menjadi semakin marah bila mendengar orang yang dia cari itu tidak dijumpai. "Saya tidak kisah! Saya nak cari juga orang itu!!"

"Apa yang terjadi di sini?" tanya Kilan yang baru saja datang. Dia kembali ke biliknya tadi untuk mengganti baju. Bersama dia, ada empat orang lelaki Elf lagi dan salah satu diantara mereka ialah Issac. Selain Issac, tiga orang lelaki yang bersama mereka itu juga adalah Putera Raja yang berasal dari dua Kerajaan Elf lain.

Kilan merasa bingung apa yang terjadi di taman itu sehingga semua orang harus berkumpul pada satu tempat.

Semua orang terus memberikan salam hormat kepada semua Putera Raja itu.

Mendengar pertanyaan Putera Ketiga itu, Patrick segera menceritakan kejadian yang berlaku sebentar tadi.

Mendengar laporan itu, kening kiri Kilan terangkat ke atas. Dia tidak menyangka akan ada orang yang berani berbuat begitu di dalam kediamannya.

"Saya tidak tahu pula ada orang yang berani berbuat begitu di kediaman saya," kata Kilan pula.

Patrick segera menundukkan badannya sedikit. "Yang Mulia Putera Ketiga, Yang Mulia harus menyelidiki masalah ini. Saya takut jika perkara ini diteruskan, akan membahayakan orang lain."

"Atau mungkin orang yang buat itu saja ingin membalas terhadap kau, Patrick. Diantara kita semua di sini, kau lebih banyak musuh sehingga membuatkan banyak orang yang ingin membalas dendam pada kau," kata seorang lelaki yang tiba-tiba mencelah.

Semua orang menoleh ke arah lelaki itu pula.

"Lucas, apa yang kau cakap ni?" tanya Patrick sambil memandang ke arah Lucas dengan pandangan marah.

Lucas ialah seorang Elf yang bertubuh tinggi dan sasa. Mata birunya bersinar sekejap semasa dia tersenyum. Perlahan-lahan dia mendekati Patrick. "Kau mesti faham apa maksud saya, Patrick. Kau suka cari masalah dengan banyak orang, tentu saja banyak yang mencari peluang untuk membalas dendam terhadap kau.Lagipun, tadi... Sebelum kau kena baling, kau kacau pembantu-pembantu di kediaman Putera Ketiga. Pelaku itu hanya mahu membantu mereka."

Mendengar penjelasan dari Lucas, wajah Patrick bertukar menjadi merah. "Kau---Apa kau cakap ni!?"

Lucas tersengih kecil. "Kau lebih tahu apa yang saya maksudkan, Patrick."