AUBREE berjalan bersama dengan Julie untuk pulang ke rumah sewa mereka dengan perasaan yang gembira. Malah dia juga melompat-lompat kecil sepanjang perjalanan dan mulutnya menyanyi dengan suara yang perlahan. Apa yang membuatkan dia sangat gembira adalah kerana dia berjaya membuatkan Viana dihukum dan pada masa yang sama, memalukan dirinya sendiri.
Fikirannya terimbas akan wajah Putera Pertama Kerajaan Elf Barat itu. Tidak pula Aubree menyangka yang Putera Pertama itu mengenali Kilan. Bila direnung secara dekat, wajah Putera Pertama itu tampan juga rupanya.
Ish, apa yang saya fikir ni? Tampan?...
Heh, saya ialah seorang assasin yang kuat dan berwibawa. Benda macam ni tidak pernah muncul dalam kamus hidup saya. Baik saya fikir benda lain daripada fikir pasal lelaki ni...
Julie yang berjalan di samping Aubree memandang tabiat Aubree yang pelik di matanya itu. Sejak dari Aubree kembali dari bilik belajar Putera Ketiga itu, perangai Aubree sedikit pelik. 'Apa yang dia buat dengan Putera Ketiga itu sampai dia gembira macam ni? Janganlah dia buat macam-macam... Kalau tidak, habislah mengamuk pula Puteri Katy nanti...'
"Kenapa kau nampak gembira saja ini? Kau ada buat apa-apa masa kau dipanggil ke bilik belajar Putera Ketiga itu?" tanya Julie. Dia mesti bertanya apakah yang membuatkan Aubree begini gembira kerana dia sudah tidak dapat membendung rasa curiganya.
Aubree memalingkan wajahnya ke arah Julie. Dia memberikan senyuman manis ke arah kawan Elfnya itu namun senyuman manis itu hanya membuatkan Julie menjadi semakin ingin tahu.
"Kau akan tahu juga nanti."
"Tunggu dan lihat."
Dengan begitu saja, Aubree terus berjalan meninggalkan Julie dan segera pulang ke rumah sewa mereka. Julie memandang Aubree yang sudah ada di depannya. Dia ingin bertanya lagi namun melihat keadaan Aubree yang tidak mahu menjawab pertanyaannya, Julie hanya membiarkan Aubree.
Keesokan harinya, Aubree dan Julie kembali bekerja di kediaman Putera Ketiga. Julie pun mendapat jawapan apa yang dia inginkan dari Aubree kelmarin malam. Semua pembantu di kediaman itu sedang bercakap tentang kejadian yang berlaku diantara Viana dan Aubree di bilik belajar Kilan kelmarin.
Julie seakan-akan tidak percaya yang Aubree boleh menang melawan Viana. Semua orang tahu Viana sering membuli Aubree dan tiada yang dapat menghalang Viana untuk membuli Aubree kerana Viana ialah pembantu peribadi Puteri Katy. Malah, terkadang Puteri Katy juga akan membuli Aubree jika Kilan tidak menyedarinya.
Aubree tidak pernah melawan kerana jika dia melawan, sama juga Viana akan mencari cara supaya Aubree akan dihukum, walaupun itu bukan salah Aubree sepenuhnya. Di kediaman Putera Ketiga ini, tiada yang berani untuk mempertahankan Aubree kerana mereka juga takut terkena hukuman sekali dengan Aubree.
Walaupun Julie merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kejadian itu, namun Julie juga merasa gembira kerana Aubree sudah dapat mempertahankan dirinya sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Sedang Julie membersihkan halaman belakang kediaman Putera Ketiga, Julie melihat Aubree sedang duduk mencangkung di tepi kolam teratai. Kolam teratai tidaklah terlalu besar namun bunga teratai di sana sangatlah besar, sehingga dapat menyembunyikan seseorang di sebalik bunga itu.
Kalau Julie tidak kenal itu ialah Aubree, maka dia akan menuduh Aubree sebagai pencuri tadi. Melihat Aubree duduk termenung di sana, Julie terus mendekati Aubree. Dia mengetuk kepala Aubree dengan batang penyapu yang sedang dia pegang itu.
Belum sempat batang penyapu itu mengenai kepala Aubree, Aubree sudah pun menangkap batang penyapu itu. Julie terkejut dengan ketangkasan Aubree menangkap batang itu. Dia belum lagi sedar dari rasa terkejutnya sebelum ini apabila dengan tiba-tiba, Aubree sudah pun melompat tinggi ke belakangnya dan terus mencekik belakang leher Julie dengan kuat.
Julie terkejut dan pada masa yang sama, dia merasa gerun dengan kekuatan Aubree semasa mencekik lehernya. Kalau Julie bergerak sedikitpun, dia akan mati sebab patah leher. Kekuatan Aubree bukan main-main.
"Aubree---Aubree, apa yang kau buat ni? Ini saya, Julie," kata Julie. Sedaya upaya suaranya dibuat tenang umtuk menutup rasa takutnya.
Melihat Julie yang sedang dicekiknya, Aubree segera melepaskan cengkamannya di leher Julie. Dia ingat siapa yang datang menganggunya tadi. Nasib baik Aubree tidak terus membunuh Julie tadi.
Setelah dia melepaskan Julie, Aubree kembali duduk mencangkung di tepi kolam itu. Julie mengusap belakang lehernya yang terasa sakit itu. 'Biar betul kekuatan Aubree ni? Sejak bila dia jadi kuat macam ni?'
Julie memerhati saja Aubree yang sedang duduk termenung di sebelah kolam itu. "Aubree, kenapa kau ada di sini? Kenapa kau tidak ada bersama dengan Putera Ketiga?" Julie berjalan mendekati Aubree dan hanya berdiri di sampingnya.
"Putera Ketiga tidak ada di sini sekarang ini. Jadi saya nak habiskan masa saya di sini," kata Aubree pula. Dia hanya memandang saja bunga teratai yang paling kecil. Walaupun Aubree sedang memandang bunga itu, sebenarnya fikiran Aubree sedang menerawang jauh.
Aubree sedang berfikir bagaimana caranya dia boleh keluar dari kediaman Putera Ketiga ini. Dia tidak mahu lagi berada di sini kerana Aubree sangat tidak suka menjadi seorang pembantu. Aubree tidak suka melayani orang dan membuat suatu kerja untuk orang lain.
Kerana Aubree ialah seorang assasin dan juga tentera, menjadi seorang pembantu itu sangat tidak menyenangkan bagi Aubree. Dia ingin bebas, dia ingin memegang senjata dan dia ingin bertarung lagi seperti ini. Aubree mahu melihat darah musuh di tangannya lagi dan darah pembunuh di dalam dirinya sentiasa membuak-buak, menginginkan Aubree mencari mangsa baru.
Membuatkan Viana terhukum dan malu seperti kelmarin tidak cukup hanya bagi Aubree. Dia mahu lebih dari itu. Jadi Aubree sudah mengambil keputusan, dia mahu keluar dari rumah ini.
"Katakan Julie... Macam mana caranya supaya saya boleh berhenti bekerja dari kediaman ini?" tanya Aubree tiba-tiba. Soalan itu membuatkan Julie terkejut dan dia hampir tidak dapat menjawab soalan itu.
"Kenapa? Kau mahu keluar dari sini?" tany Julie pula. Dia sangat tidak menyangka yang Aubree akan bertanyakan soalan itu kepadanya. Tidak pernah dalam seratus tahun, dia meramal yang Aubree akan bertanya soalan itu. 'Kenapa dia tiba-tiba tanya pasal soalan ini?'
"Jawab sajalah apa yang saya tanya."
"Urm, kalau kau nak berhenti dari bekerja di kediaman Putera Ketiga, kau harus bayar sebanyak 1000 Koin Emas dan kalau kau tidak dapat bayar, kau harus bekerja sampai mati."
'Kerja sampai mati?'
"Kau tiada 1000 Koin Emas, Aubree. Macam mana kau nak bayar Putera Ketiga? Kau dihukum untuk tidak dapat gaji kau selama enam bulan. Lagipun, kalau kau bayar guna gaji kau, sampai seratus tahun pun kau tidak akan dapat. Kecuali kalau kau bekerja sampai mati," kata Julie lagi.
Aubree hanya melirik ke arah Julie. Dia tahu macam mana cara nak keluar dari kediaman ini dengan lebih cepat namun Aubree tidak mahu memberitahu Julie sekarang kerana Aubree masih tidak mempercayai Julie.
Di dalam prinsip Aubree sebagai seorang tentera, kepercayaan sangat penting. Aubree pernah mempercayai orang namun kerana terlalu percaya, Aubree malah membahayakan dirinya sendiri. Aubree pernah mempercayai Lucy kerana Lucy sudah dianggap sebagai seorang ahli keluarga, namun Lucy mengkhianati kepercayaan Aubree dan kini Aubree tidak mudah untuk mempercayai orang lain.