Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 4 - Pembalasan Aubree(1)

Chapter 4 - Pembalasan Aubree(1)

KILAN mahu mengatakan sesuatu kepada Aubree. Namun belum sempat dia mahu membuka mulut, pintu bilik itu diketuk beberapa kali.

"Yang Mulia Putera Ketiga, Putera Pertama dari Kerajaan Elf Barat sudah datang."

"Baik, saya akan datang segera!" kata Putera Ketiga itu. Dia memandang sekilas ke arah Aubree yang masih lagi menunduk itu. Kilan segera berjalan menuju ke luar lagi.

Aubree yang masih menunduk itu mengikuti Kilan keluar dari bilik. Di luar, ada beberapa orang pembantu Elf. Sebaik saja Kilan keluar, mereka terus menunduk hormat dan bila Kilan berjalan pergi, mereka segera mengikuti dari belakang.

Aubree hanya berhenti saja di depan pintu tanpa mengikuti mereka. Dia tidak perlu ikut Putera Ketiga itu pergi ke berjumpa dengan Putera Pertama dari Kerajaan Elf Barat kerana melalui memori dari pemilik badan yang sebelum ini, Aubree hanya menolong Putera Kilan untuk bersiap di pagi hari dan di malam hari. Ketika Putera Ketiga ini membuat kerja lain, ada lagi pembantu lain yang akan bersama dengan Putera Ketiga itu.

Aubree memandang Putera Ketiga itu yang semakin menghilang.

"Orang yang tak jaga mata, akan terima hukuman. Hukuman bagi seorang pembantu rumah yang tak tahu adab, suka tengok kerabat diraja dan tidak tahu siapa diri dia, mata dia akan dicungkil dan mata itu akan diberi makan ikan koi."

Suara yang lembut tapi penuh dengan suara sinis dan jahat terus masuk ke ruang telinga Aubree. Mendengar itu, Aubree tidak dapat menahan dirinya yang mula naik angin. Dia menutup matanya untuk menahan diri daripada melepaskan kemarahannya.

Aubree menoleh ke arah pemilik suara itu. Walaupun dia tidak kenal dengan suara itu, tapi dia tahu bahawa perkataan itu ditujukan kepada dirinya.

Ketika Aubree menoleh ke arah pemilik suara itu, hanya ada satu saja nama yang keluar dari mindanya; Puteri Katy Catherine Donny.

Tak guna!

Puteri Katy ialah seorang Elf yang sangat cantik dengan kulitnya putih mulus seperti warna krim. Matanya berwarna hijau lembut, hidung yang tidak terlalu mancung namun padan dengan mulutnya yang kecil dan seksi. Rambut Puteri Elf itu sangat panjang sehingga mencapai paras lutut dan ditocang. Ada sebuah mahkota permata yang kecil di atas kepala Puteri Elf itu.

"Lepas dihukum potong gaji, kamu masih tidak sedar diri. Mana adab kamu di depan Puteri Katy? Cepat bagi salam hormat!" kata pembantu peribadi Puteri Katy yang ada di sebelah kiri Puteri Elf itu. Dia dikenali sebagai Viana. Geram dia melihat tabiat Aubree yang hanya merenung Puteri Katy tanpa memberi hormat kepada Puteri itu.

Diantara semua pembantu di kediaman Putera Ketiga ini, hanya pembantu peribadi Puteri Katy saja yang selalu mencari masalah untuk Aubree. Tidak kisah masalah kecil ataupun tidak, pembantu peribadi itu akan selalu menjadikannya sebagai kesalahan Aubree.

Kesalahan tentang pasu kesayangan Puteri Katy yang dulu, pecah sebab Viana yang tidak sengaja. Viana terjatuh dan tertolak tiang yang menyokong pasu itu. Viana takut dia akan diberikan hukuman oleh Puteri Katy jadi dia meletakkan semua kesalahan itu kepada Aubree yang pada masa itu mahu menolong Viana.

Mahu tidak mahu, Aubree terpaksa menunduk ke arah Puteri Katy. Tidak mahu amarahnya menjadi bertambah, Aubree terus saja menundukkan kepalanya. Makin aku tengok muka dia, makin bertambah rasa meluat aku. Ingat sebagai seorang puteri itu, senang-senangkah nak buli orang?

Viana mendengus kecil dengan sikap Aubree. Walaupun Aubree sudah mengikuti arahan dia untuk menunduk hormat terhadap Puteri Katy, namun Viana masih tidak puas hati. Dia masih mahu mencari sesuatu kesalahan pada Aubree supaya hukumannya bertambah.

"Kau buat apa lagi tercegat di sana? Beri laluan kepada Puteri Katy. Kalau Puteri terlambat untuk menjemput Putera Pertama Kerajaan Elf Barat itu, kamu akan mendapat hukuman lagi!" kata Viana pula.

Aubree tidak banyak songeh. Dia hanya berganjak ke tepi untuk memberi laluan kepada rombongan Puteri Katy.

Apabila Viana melintasi Aubree, dia sengaja menolak Aubree dengan menggunakan kakinya. Hal itu menyebabkan Aubree terus terjatuh ke atas tanah. Memandangkan Aubree berdiri di atas hujung koridor yang diperbuat daripada papan, dengan senang saja Aubree terjatuh ke bawah.

Bagi orang lain, Aubree terjatuh sebab kecuaiannya sendiri tapi sebenarnya tidak. Viana tersenyum puas melihat Aubree terjatuh dengan cara yang memalukan itu. Dia pun segera berjalan bersama dengan Puteri Katy.

Aubree yang masih ada di atas tanah itu menjeling ke arah Viana. Tak guna! Kurang ajar betul Elf ni!! Saya tak buat apa-apa pun dia nak cari pasal juga. Apa dia nak sebenarnya ni??

Julie yang melihat itu terus berlari untuk mendapatkan Aubree. Dia segera menolong Aubree untuk berdiri. "Aubree, macam mana kau boleh jatuh ni? Cuai betullah kau ni. Tengok sampai kau jatuh lagi!"

Aubree berdiri namun matanya masih memandang ke arah Viana yang semakin menghilang itu. Julie menolong membersihkan semua debu dan pasir yang melekat di baju Aubree. Dia merasa kesian dengan keadaan Aubree tapi dia tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolong Aubree. Mereka hanya pembantu biasa di kediaman ini berbanding dengan Viana yang menjadi pembantu peribadi kepada Puteri Katy.

Jika mereka mahu memberitahu orang lain, tiada yang akan percaya. Berbanding dengan Viana yang dipercayai oleh Puteri Katy begitu saja kalau Viana ingin melaporkan sesuatu kepada Puteri Elf itu.

"Julie, apa yang kau buat di sana lagi tu? Cepatlah datang sini dan bawa makanan ni ke ruang belajar Putera Ketiga. Putera Ketiga tidak suka menunggu!" kata salah satu dari pembantu yang ada di sana. "Oh, dan jangan lupa bawa kawan kau itu. Salah satu dari pembantu sakit dan tidak dapat bawa makanan ringan itu. Dia boleh tolong kita."

Julie memandang ke arah Aubree. "Aubree, kau mahu kan tolong kami angkat semua makanan dan minuman itu ke bilik belajar Putera Ketiga. Salah satu dari pembantu yang sepatutnya hantar makanan itu tidak hadir, jadi kami kekurangan orang."

Aubree tersenyum kecil. "Ya, saya boleh bantu. Bawa saya ke sana."

Tanpa menunggu lama, Julie terus membawa Aubree ke dapur. Di dapur ada dua puluh dulang kayu berisi makanan dan tiga dulang berisi teh sudah disediakan.

Julie menunjukkan dulang makanan yang perlu dibawa oleh Aubree. Aubree pun mengangkat satu dulang kayu yang menempatkan semangkuk agar-agar buah. Terliur Aubree melihat hidangan itu namun dia berusaha menahan rasa laparnya.

Makanan itu nampak sangat sedap dan bagi Aubree yang sangat sukakan makanan itu, tidak akan tahan jika melihat ada makanan seperti itu. Namun memandangkan makanan itu untuk tetamu Putera Ketiga, dia terpaksa menahan dirinya daripada memakan makanan itu.

Tiba-tiba, terdengar jeritan dari salah satu pembantu Elf yang ada di sana sebelum diikuti oleh pembantu-pembantu yang lain. Semua mereka segera bergerak ke dinding dan menyembunyikan wajah mereka di sebalik tangan mereka. Mereka kelihatan sedang menghindari sesuatu yang menakutkan.

"Lipas!! Lipas!!"

"Lari, ada lipas!!"

"Jaga makanan itu! Jangan sampai terlanggar!"

Julie juga ikut berteriak dan terus melekat di dinding bila dia melihat lipas itu sedang menuju ke arahnya. Aubree tidak menunggu lama dan dia terus menangkap lipas itu dengan menggunakan tangannya.

Semua pembantu memandang ke arah Aubree dengan wajah yang kagum bercampur kehairanan. Semua Elf takut akan lipas tapi Aubree langsung tidak takut. Malah, dia berani lagi pegang lipas itu dengan tangannya.

Aubree merenung lipas yang ada di tangannya. Dia hairan kenapa semua pembantu itu takut dengan lipas. Sedangkan Aubree langsung tidak takut. Kehidupan sebelum ini pun, Aubree tidak pernah takut dengan lipas atau serangga-serangga yang kecil seperti itu. Aubree tidak pernah takut apa-apa pun.

Lipas yang ada di tangan Aubree mempunyai besar dua kali ganda yang pernah Aubre lihat dan mempunyai bentuk badan yang sedikit pelik. 'Herm, memang haiwan di dunia Elf ni selalunya pelik kah?'

"Aubree, buang lipas tu! Cepat!!!" teriak Julie sambil masih menutup wajahnya.

Aubree hanya mengikuti arahan Julie tanpa banyak cakap. Setelah lipas itu dibuang, semua pembantu itu kembali tenang. Wajah pucat mereka sebelum ini kembali menjadi normal.

Julie juga sudah menjadi tenang dan dia memandang Aubree dengan wajah yang kagum bercampur hairan. Dia tidak pernah melihat Aubree menangkap lipas seperti itu sebelum ini. Julie tahu kebanyakan musuh kepada Elf perempuan ialah lipas. Setiap kali mereka melihat lipas, mereka akan berteriak ketakutan dan berlari untuk menjauh dari lipas itu. Tapi boleh pula Aubree menangkap lipas itu begitu saja!

Berani betul dia!

"Marilah kita hantar semua makanan ini. Kita tidak boleh buatkan Putera Ketiga menunggu!" kata Aubree dengan tenang. Di tangannya sudah ada dulang yang perlu dia bawa.

Pembantu lain pun sedar dari kesalahan mereka dan segera melakukan tugas mereka. Mereka pun berbaris dalam dua barisan yang panjang untuk menghantar semua makanan dan minuman itu.

Sesampainya di meja belajar Putera Kilan, mereka meletakkan dulang-dulang itu ke atas meja yang sudah disediakan.

Di sekeliling meja itu ada lapan orang Elf lelaki yang berasal dari kerabat diraja ataupun keluarga bangsawan.

'Mungkin kawan-kawan Putera Ketiga,' detik hati Aubree. Dia hanya memandang sekilas sebelum dia memfokuskan pandangannya ke lantai. Aubree tahu kalau tabiat merenung wajah kerabat diraja atau bangsawan adalah salah satu dari perlakuan tidak sopan. Lebih-lebih lagi jika yang memandang itu ialah seorang pembantu biasa seperti Aubree. Hukumannya akan menjadi lebih berat iaitu direndam di dalam air kolam selama mana yang diperlukan.

'Rendam? Bukankah itu sudah terlalu berlebihan? Buat apa nak direndam pula? Jahat betullah mereka ni, mahu rendam-rendam orang!' kutuk Aubree pula di dalam hati.

Giliran Aubree untuk meletakkan makanan yang dibawanya ke atas meja. Dia melintasi Viana yang sedang berdiri di tepi dinding. Viana menjeling ke arah Aubree dan terpancar sinar kejahatan di matanya.

Viana mahu merancang untuk membuatkan Aubree tersadung dan akan memalukan dirinya sendiri di hadapan semua kerabat diraja dan bangsawan itu. Biar Aubree malu seumur hidup dan tidak mampu menunjukkan wajahnya di hadapan umum lagi.

Aubree sempat mengerling ke arah Viana. Dia tahu Viana akan mengambil kesempatan di setiap masa yang ada untuk membuatkan Aubree merasa malu dan dipersendakan oleh orang lain. Mungkin bagi Aubree yang lama, dia tidak akan dapat melihat rancangan licik dari Viana.

Tapi ini ialah Aubree yang baru, Aubree yang sudah biasa melihat rancangan jahat yang dirancang orang hanya dengan memandang ke mata mereka. Dan bila Aubree melihat mata Viana itu, Aubree mendapat tahu kalau Viana akan mencuba sesuatu untuk membuatkan dia celaka.

Aubree tersenyum sinis dalam hati. 'Ini ialah Aubree yang baru, yang pandai, yang kuat dan yang tidak muda ditipu... Bukan lagi Aubree yang bodoh dan lembap. Kau nak kenakan aku? Tunggu sampai seratus tahun lagi!'

Pada masa yang sama, Aubree terus membuka telapak tangannya yang sejak dari dapur lagi digenggam. Dia membuang lipas yang ada di dalam genggamannya itu ke arah Viana. Gerakannya amat pantas dan senyap sehingga dengan mata kasar pun tidak dapat melihat gerakan itu. Kenapa dia boleh ada lipas itu lagi? Alasannya ialah, Aubree sengaja menyembunyikan lipas yang dia tangkap tadi. Aubree tidak membuang lipas itu seperti yang diarahkan oleh Julie.

Setelah beberapa saat Aubree membuang lipas itu secara senyap-senyap, Viana terus memanjangkan kakinya ke depan kaki Aubree, dengan harapan dapat membuatkan Aubree tersadung.

Tempat Viana berdiri juga agak tersembunyi dan terlindung dari mata tetamu yang lain. Jadi, kalau Viana mahu membuatkan Aubree tersadung itu, tiada yang akan nampak. Jadi kalau Aubree mengamuk ataupun menuduh Viana yang melakukannya, tiada yang akan percaya.

Aubree tahu rancangan Viana dan dia dapat melihat kaki Viana yang mahu membuatkan dia tersadung itu. Dengan selamba, dia melangkah kaki Viana dan dia terus menendang kaki Viana dengan kaki belakang.

Viana mengaduh kesakitan dan dia terus menunduk untuk memegang kakinya. Saat dia menunduk, barulah Viana melihat ada lipas melekat di skirtnya. Apalagi, Viana pun membuka mulutnya dan terus berteriak.

Viana memanjangkan tangannya ke mana-mana, berharap dapat mencapai sesiapa saja untuk dijadikan penyokong. Dia sangat takut dan geli melihat lipas itu. Tangannya yang diangkat itu menyentuh dada Aubree.

Aubree pun mengambil kesempatan itu untuk pura-pura terjatuh dan makanan yang ada di dulang itu terpelanting jauh dari Aubree. Sasarannya ialah, Puteri Katy.

Pada masa yang sama, Aubree memegang tangan Viana yang masih menyentuh dadanya dan menolak tangan Viana ke seorang tetamu Elf Putera Ketiga. Setelah menolak tangan Viana, Aubree pun segera menjatuhkan badannya ke lantai dan menunjukkan seolah-olah dia ditolak oleh Viana ke lantai pula. Satu jeritan yang dibuat-buat tapi terdengar betul, keluar dari mulutnya.

Viana tidak sempat melakukan apa-apa kerana dia masih menumpukan perhatiannya ke arah lipas itu. Bila dia sedar saja, dia sudah pun menarik baju yang dipakai oleh tetamu lelaki itu dan baju itu terus koyak dari bahagian paha sehingga ke bahagian kaki.

Semua perkara ini terjadi dengan begitu cepat sehingga tiada yang nampak dan sedar yang Aubree yang merancang semua ini. Melihat rancangannya berjalan dengan lancar, Aubree tersenyum kecil. Sekejap saja dan senyuman itu hilang lagi...

"AARRGGHHHH!!!!" Teriakan Puteri Katy bergema di seluruh ruangan bilik belajar itu diikuti dengan bunyi kain terkoyak.

Buat beberapa saat, keadaan menjadi senyap.