Chereads / SUMPAH SANG ULAR / Chapter 6 - Bab 6

Chapter 6 - Bab 6

Bab 6

Balai raya Kampung Sentosa gamat dengan hiruk pikuk suara manusia dan bunyi bising siren kereta polis. Bukan itu sahaja, ambulan juga ada sama. Keberadaan mereka di situ untuk membantu penduduk kampung mencari Zaki. Sehingga kini, lelaki itu masih lagi tidak di jumpai.

Di kawasan jambatan di mana Zaki kali terakhir dilihat, menjadi kawasan utama pihak polis mencari begitu juga dengan setiap tebing sungai dan semak samun yang ada di sekelilingnya. Dan pada akhirnya..

"Tuan!" salah seorang pegawai polis yang bertugas menjerit lantang memanggil ketuanya.

Sekujur tubuh yang sudah reput di temui terlungkup di atas tanah. Ulat-ulat meliang liuk mengorek dan mengembur isi daging yang sudah terlerai dan memamah setiap inci tubuh mayat itu.

Bau busuk yang datangnya dari mayat itu membuatkan mereka yang ada di situ memuntahkan segala isi perut kerana tidak dapat menahan baunya yang busuk.

"Tok Jusoh, kami sudah menemui satu mayat lelaki. Berdasarkan apa yang Tok Jusoh beritahu kepada kami, memang saya pasti itu mayat Zaki walaupun mayatnya itu sudah tidak lagi sempurna. Malangnya, mayat itu tiada kepala untuk kita buat pengecaman dan kedua kakinya juga turut hilang. Pihak forensik masih membuat siasatan dan kami akan khabarkan kepada pihak Tok Jusoh jika sudah ada jawapannya. Tapi Tok, apa yang kami temui ada ratusan lubang yang terdapat di tubuh mangsa, sepertinya kesan gigitan ular dan kami dapati ada lendiran putih yang menyelaputi sebahagian tubuhnya" terang Tuan Raffiq panjang lebar.

"Lendiran? Kesan gigitan?" tanya Tok Alang inginkan kepastian. Kemudian lelaki itu menoleh memandang Tok Jusoh yang sepertinya sedang memikirkan sesuatu.

"Jusoh.. kau fikir benda yang sama seperti mana yang aku fikir sekarang ni?" tanya Tok Alang berbisik. Dia tidak mahu pegawai polis yang ada di hadapannya mendengar apa yang mereka katakan.

Tok Jusoh membalas pandangan Tok Alang dan hanya sekadar mengangguk.

"Ada apa-apa yang perlu saya tahu ke, Tok?" soal Tuan Raffiq. Pelik melihat sikap kedua lelaki di hadapannya itu.

"Tak ada apa, Tuan." pantas Tok Jusoh berdalih, tambahan pula apa yang perlu dia ceritakan kepada pegawai polis tersebut, cerita tentang ular gergasi jadian yang menyerang kampung mereka dan membaham manusia. Pihak polis percayakah dengan cerita-cerita itu?. Cerita yang sebelumnya sudah dilabelkan sebagai cerita karut dan dongeng oleh penduduk kampungnya sendiri. Tidak mungkin, pihak polis akan mempercayainya dan kemungkinan besar mereka akan menyangka dirinya sudah nyanyuk. Tidak.. Tok Jusoh tidak memberitahu hal itu kepada pihak polis. Biarlah ianya menjadi rahsia mereka. Andainya jika keadaan memaksa, Tok Jusoh sendiri yang akan berterus terang dan mencari jalan penyelesaian walaupun perkara itu sukar untuknya.

"Kalau begitu, mayat Zaki kami bawa ke hospital untuk di bedah siasat dan jika ada apa-apa maklumat tentang kes ini, saya minta Tok Jusoh dan orang kampung berilah kerjasama sehingga tertangkapnya pesalah. Saya mohon diri dulu Tok Jusoh" beritahu Tuan Raffiq dan selepas itu dia dan juga beberapa anggota polis beredar diikuti oleh yang lain.

Tok Jusoh merenung ke arah laluan semak yang menuju ke sambil melurut janggutnya yang panjang memutih.

Pencarian serta merta dihentikan. Untuk mencari mayat Fadil pula, Tok Jusoh masih lagi belum membuat sebarang keputusan. Dia perlu memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan terjadi dalam setiap keputusan yang bakal dibuatnya nanti. Ianya bukan mudah kerana semuanya adalah di bawah tanggungjawabnya sebagai ketua kampung.

Malam itu, kenduri arwah dibuat oleh Tok Alang. Hanya Shahril dan Tok Jusoh sahaja yang pergi menghadiri majlis itu. Tinggallah Wati bersama Makcik Montel di rumah.

"Tak lama lagi kau akan beranak, Wati. Kau sudah tahu apa anak mu itu seorang putera atau pun puteri?" soal Makcik Montel lembut sambil melipat kain. Matanya mengerling ke arah perut Wati yang membulat penuh.

"Emak fikir putera atau puteri? Wati tidak kisah mak, asalkan anak Wati ni dilahirkan sihat dan sempurna" ujarnya lembut.

"Mak fikir dia seorang puteri. Lihat sahaja pada kau, wajahmu tampak berseri. Indah dan bercahaya. Mungkin dia secantik kau bila lahir nanti" puji Makcik Montel. Kemudian, dia menghampiri Wati dan duduk bersimpuh di sebelah wanita itu.

"Boleh emak sentuh?" pinta Makcik Montel.

"Apa yang tidak bolehnya mak. Mak kan neneknya juga"

Makcik Montel perlahan meletakkan tangannya di perut Wati. Dia dapat merasakan pergerakkan bayi itu di dalam rahim. Makcik Montel tersenyum.

"Sungguh kuat bayi mu itu. Memang benar, bakal bayi mu itu seorang puteri. Tidak lama lagi akan sampai masanya untuk kau melahirkan." beritahu Makcik Montel lembut. Tangannya yang berada di perut wanita itu cuba meramas. Ramasan itu membuatkan Wati mengaduh kesakitan..

"Aduh mak.. sakit" terdengar Wati mengaduh kesakitan, belum pun sempat Makcik Montel mahu lakukan sesuatu, terdengar ada orang memberi salam di luar rumah. Perbuatan Makcik Montel terhenti.

"Assalamualaikum, kami berdua dah balik!" Wati bingkas bangun dari duduknya dibantu oleh Makcik Montel dan mereka keluar untuk menyambut kepulangan Tok Jusoh dan juga Shahril.

Tok Jusoh dan Shahril melangkah memanjat anak tangga satu persatu. Dan apabila sampai di beranda, Tok Jusoh menghulurkan mangkuk tingkat yang berisi makanan kepada Wati.

'Ini Anum kirim untuk kau, Wati. Kamu makanlah" kata Tok Jusoh. Kemudian, Makcik Montel dan juga Wati melangkah masuk ke dalam rumah, namun langkah Makcik Montel terhenti.

"Montel, ke mari" panggil Tok Jusoh.

Makcik Montel berpatah balik lalu duduk bersimpuh di hadapan Tok Jusoh. Wanita itu menundukkan wajahnya, langsung tidak mahu memandang ke arah Tok Jusoh seperti selalu.

"Apakah kau sudah sembuh? Bagaimana keadaan kau sekarang ni, masih ada yang sakit di mana-mana?" soal Tok Jusoh dengan lembut, sambil lelaki tua itu menggulung rokok daun seperti kebiasaannya.

"Sudah semakin sihat, Pak. Usahlah bapak risaukan lagi ya" balas Makcik Montel pula.

"Baiklah kalau begitu katamu. Sudahlah, pergilah ke dalam temankan Wati makan. Selepas itu, berehatlah." suruh Tok Jusoh. Makcik Montel bangun dari duduknya lalu berjalan masuk ke dalam.

Malam itu di dada langit agak suram dan kelam. Bulan juga tidak menampakkan dirinya. Cuaca pula ketika itu agak dingin sehingga mencengkam tulang temulangnya.

"Nampaknya malam ini hujan akan turun. Angin pun sejuk." kata Tok Jusoh. Asap rokoknya meruap ke udara.

"Tok, saya dengar Tok Din mahu pulang ke kampung ini. Bila Tok?" tanya Shahril.

"Mungkin dua atau tiga hari lagi nanti dia datanglah. Tapi bukannya untuk menetap lama di sini"

"Kenapa pula Tok? Kan rumahnya masih ada lagi di sini."

"Tok Din kau itu mahu menjual harta pusakanya yang ada di kampung ini kepada orang lain. Dia tidak mahu lagi menetap di sini. Tambahan pula anak-anaknya juga sudah berpindah ke bandar" jawab Tok Jusoh.

Melihat dari riak wajah lelaki tua itu, Shahril sepertinya dapat menghidu sesuatu. Sepertinya lelaki tua itu sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Tetapi, apakah dia? Shahril sendiri tidak pasti.

Di dalam kamar, kelihatan satu senyuman sinis yang penuh makna di wajah Makcik Montel.

***

Sudah seminggu berlalu, kematian Zaki masih lagi segar diingatan penduduk Kampung Sentosa. Ianya telah menjadi perbualan paling hangat di situ. Apalagi ada sekumpulan lelaki yang gemar berkumpul di kedai runcit Mak Sidah atau lebih popular di panggil Mak Dah.

Hanya di situ sahaja tempat mereka bersidang untuk membincangkan pelbagai isu semasa.

"Aku rasa, Zaki tu dibunuh mafia lah. Tengok sahajalah mayat Zaki tu, ngeri aku" kata Dollah Rongak.

"Memandai sahajalah kau ni.Kau fikir ini seperti filem barat? Mafia apa semua. Tak baik kau buat andaian macam tu. Kita tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Lagipun, tak elok kita bercerita tentang orang yang sudah tak ada." ujar Razi pula. Air pepsi yang dibelinya tadi di sedut sehingga habis.

"Aku tak rasa itu kerja mafia, mungkin geng kongsi gelap punya kerja, manalah tahu, Zaki ada berhutang atau buat sesuatu yang membuatkan geng-geng tu marah dan tidak berpuas hati. Atau geng-geng ceti haram yang punya kerja" kata Samsul pula membuat andaian.

"Mafia dengan geng kongsi gelap tak sama ke?" soal Dollah Rongak

"Sudah-sudahlah kau orang berdua ni, betullah apa yang Razi yang cakap tu. Tak baik bercerita buruk dan membuat andaian yang bukan-bukan pasal arwah Si Zaki tu. Kalaulah Tok Alang atau Anum dengar, tidak ke mereka kecil hati nanti. Kau orang berdua ni mengalahkan makcik-makcik bawang lagaknya. Datang bersidang di kedai aku semata-mata nak bercerita buruk pasal orang yang dah mati" bebel Mak Dah panjang lebar. Razi yang mendengar leteran wanita itu hanya tersengih-sengih.

Di simpang jalan di hadapan kedai Mak Dah berhenti sebuah kereta mewah jenis alphard berwarna putih. Mereka yang ada di situ menanti-nanti siapakah gerangan pemilik kereta itu dan ianya menjadi tanda tanya kepada setiap orang yang ada di kedai itu.

"Siapa tu, Mak Dah?" tanya Samsul.

"Entah. Aku pun tak berapa nak cam siapa dia" jawab Razi pula,

Samsul memandang Razi dan berkata "Aku tanya Mak Dah, yang kau jawab tu kenapa?"

"Mak Dah tak jawab, akulah yang jawab. Salah ke?" balas Razi pula.

"Jangan tanya aku pula ya. Aku memang tak tahu" sampuk Dollah Rongak pula.

Razi dan Samsul serentak memandang ke arah Dollah Rongak.

"Lebih baik kau pasang gigi baru, Dollah. Tempiaslah" kata Samsul tersengih-sengih.

Seorang lelaki yang agak berusia melangkah keluar dari kenderaan mewahnya. Dia berjalan dengan sebatang tongkat kayu untuk memudahkan dia bergerak.

"Assalamualaikum.. saya tumpang tanya boleh?" sapa lelaki tua itu ramah.

"Walaikumsalam.. nak tanya apa tu pakcik?" jawab Razi dengan sopan.

"Jusoh masih lagi tinggal di kampung ni?" tanya lelaki tua itu.

"Jusoh? Maksud pakcik, Tok Jusoh?" soalan lelaki tua itu di jawab juga dengan soalan.

"Siapa lagi yang nama Jusoh dekat kampung ni selain dari Tok Jusoh?" soal Dollah Rongak pula .

"Hah yelah, Tok Jusoh tu lah, siapa lagi? Tok Jusoh tu ketua kampung kami, sekarang dia tinggal di tanah pusaka milik arwah isterinya." jawab Razi pula.

"Ohh, jadi dia tidak tinggal lagi di rumah lamanya?" tanya lelaki tua itu lagi.

Razi hanya membalas dengan gelengan.

"Kenapa pakcik cari Tok Jusoh? Ada hal penting ke?" soal Samsul.

"Oh lupa pula nak kenalkan diri, nama saya Zainudin. Panggil sahaja Tok Din. Saya datang ke sini atas urusan peribadi dan saya sememangnya nak berjumpa dengan Jusoh" jawab lelaki tua itu.

"Ohh begitu. Kalau Tok Din mahu, saya boleh tunjukkan jalan ke rumah Tok Jusoh" kata Dollah Rongak menawarkan diri.

"Tidak mengapalah. Terima kasih sahaja. Saya tahu rumah Jusoh tu. Dulu saya pernah tinggal di sini. Tapi berpindah ke bandar kerana mendapat kerja di sana. Kalau begitu, saya minta diri dulu" kata Tok Din meminta izin untuk beredar. Setelah bersalaman, lelaki tua yang dipanggil Tok Din terus melangkah masuk ke dalam kereta.

"Mak Dah tak kenal ke orang tua kaya tu? Rasanya Mak Dah pun orang lama yang tinggal dekat kampung ni" tanya Samsul ingin tahu.

Berkerut dahi wanita separuh baya itu memikirkan siapakah gerangan lelaki kaya yang baru sahaja singgah di kedainya sebentar tadi.

"Entahlah..Mak Dah tak ingatlah." jawab Mak Dah perlahan.

"Mana nak ingatnya.. Mak Dah asyik teringatkan abang Jusoh je kan?? ingat saya tak tahu ke, Mak Dah" ujar Dollah Rongak. Sengaja dia mengusik wanita itu.

"Kau jangan macam-macam Dollah. Karang hilang semua gigi-gigi kau tu. Dahlah sekarang ni gigi kau tinggal beberapa batang je lagi. Orang lain makan nasi, kau makan bubur nanti" balas Mak Dah selamba. Geram rasanya hati dia. Tiba-tiba sahaja dirinya dikaitkan dengan Jusoh. Malulah Mak Dah kalau lelaki idamannya itu tahu isi hatinya.

"Janganlah marah. Hilang seri muka Mak Dah nanti" usik Razi pula sambil terkekeh ketawa.

***

Mereka berdua saling merenung saling berlawan pandang. hampir 20 tahun mereka tidak berjumpa, hari ini entah apa mimpinya tiba-tiba sahaja pulang dan muncul di halaman rumahnya.

"Berapa lama kau berada di sini?" soal Tok Jusoh.

"Hanya dua tiga hari sahaja"

"Sepertinya kau sudah tidak mahu tinggal lagi di sini. Mengapa?"

"Aku sudah punya rumah di bandar. Anak-anak dan cucuku sudah berada di sana, lagi pun, tiada apa lagi yang perlu aku tunggu di sini"

Tok Jusoh mencerlung memandang lelaki yang sebayanya di hadapan mata. Wajahnya tidak berubah sedikit pun. Cuma cara pemakaiannya agak berubah.

"Adalah lebih baik kau berterus terang dengan aku, Din. Apa tujuan kau datang ke sini? Dan di mana kau simpan benda tu?" tanya Tok Jusoh perlahan. Dia tidak mahu Shahril atau sesiapa pun tahu akan rahsia yang mereka sembunyikan selama ni.

Wajah Tok Din berubah riak. bagaimana mereka tahu benda itu ada padanya. Namun, Tok Din cuba berlagak biasa.

"Kalau bukan dengan Ngah Hitam, mesti ada pada kau bukan?"

"Aku tidak faham apa yang kau maksudkan, Jusoh. Kedatangan aku ke sini hanyalah untuk menyelesaikan urusan ku dan melawat kau serta Alang." dalih Tok Din. Silanya tidak selesa. Tok Jusoh perasan akan sikap Tok Din yang seperti cacing kepanasan.

"Atas urusan apa?"

"Kebun dan tapak rumah aku tu. Aku mahu jual. Lagipun, aku tidak ada apa-apa keperluan pun kalau tinggal di sini" jawab Tok Din.

"Atau… kau mahu melarikan diri?"

Tersentak Tok Din seketika dengan soalan cepu emas dari Tok Jusoh. namun, Tok Din berlagak tenang dengan menghisap rokok kegemarannya.

"Aku beransur dululah. Aku di sini tidak lama, selesai sahaja urusan, aku pulang ke bandar" ujar Tok Din meminta diri.

"Di mana sahaja kau berada, dia akan tetap mengejar kau, Din. Bukan kau sahaja, tapi kita semua. Kau kena ingat tu" perlahan sahaja kata Tok Jusoh. Kata-kata sepertinya berbaur amaran.

Tok Din terus berpaling, mengabaikan amaran lelaki tua itu. Dia tidak mahu ambil tahu dan sebolehnya dia tidak mahu tahu. Yang penting kepadanya, dia harus selamatkan dirinya dahulu. Apa yang bakal terjadi kepada Tok Jusoh dan orang kampung, itu bukan masalahnya.

Dari beranda, Tok Jusoh mengiringi pemergian sahabat baiknya itu dengan beribu persoalan yang menyesakkan. Tetapi dia pasti, perkara ini pasti akan terbongkar juga.

"Bangkai tidak selamanya boleh ditutup, Din" gumamnya di dalam hati.

Bersambung..