Bab 7
Dua hari sudah berlalu, urusan jual beli tanah milik Tok Din akhirnya selesai juga. Tok Din boleh menarik nafas lega. Kini, dia sudah fikir untuk terus pulang sahaja ke bandar memandangkan dia sudah tidak punya urusan lain lagi di kampung itu.
Semalam, dia menerima seorang tetamu. Tetamu yang tidak pernah diharapkan untuk bertemu.
Malam semalam..
Kedatangan Pak Ngah Hitam membuatkan Tok Din merasa jengkel walaupun sebelum ini mereka berteman rapat.
"Kau apa khabar?' tanya Pak Ngah Hitam berbasa basi. Niatnya hanyalah satu untuk mendapatkan sesuatu dari lelaki itu.
"Aku sihat. Mengapa kau ada disini? Bukankah kau sudah ke Singapura?" soal Tok Din.
"Kenapa? Aku sudah lama menetap di sini. Kerana aku tahu lambat laun kau pasti akan kembali. Kenapa? Kau tidak suka jumpa aku..atau kau takutkan aku?"
Tok Din menggenggam tangannya. Setiap tindak tanduknya asyik tersilap langkah Sejak lelaki itu datang menemuinya, Tok Din merasa tidak senang. Mujur urusannya di kampung ini sudah diselesaikan dengan cepat. Malam ini juga dia akan bergerak pulang ke bandar. Tidak perlu lagi untuk menunggu siang esok.
Kereta yang di pandu sendiri oleh Tok Din bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumahnya menuju ke jalan besar. Namun, kereta itu tiba-tiba sahaja terhenti apabila sudah sampai di persimpangan jalan yang berhampiran dengan kebun sawit milik seorang penduduk di situ.
Tok Din cuba menghidupkan semula enjin keretanya namun masih juga gagal. Mahu meminta bantuan, tiada sesiapa yang di temuinya ketika ini. Telefon pintar di keluarkan, gigih mencari nombor kenalan yang tinggal berdekatan, namun malang tiada isyarat di situ.
"Masa-masa beginilah kereta ni nak buat hal" bebel Tok Din sendiri. Perlahan-lahanTok Din membuka pintu dan melangkah keluar dari kenderaannya. Namun, belum sempat dia mahu menutup pintu, seseorang datang dari belakang secara senyap-senyap dan menikam Tok Din.
"Arrgghhh!"
"Mana benda tu? Beritahu aku, cepat!" bisik lelaki itu di telinga Tok Din.
Tok Din cuba menahan nafas. Rasa pedih pada tikaman di pinggangnya mula terasa. Tongkat yang digenggam pula terlepas.
"Siapa kau ni? Apa yang kau mahu dari aku?"
"Tak perlu tahu siapa aku dan aku pasti kau pun tahu apa yang aku mahu"
"Aku tak faham apa maksud kau"
"Zaaapppp!! zaaapppp!!!" dua kali tikaman hinggap lagi di tubuh Tok Din. Lelaki tua itu mengerang kesakitan. Sakitnya tidak terperi. Terasa sudah nyawanya di ubun-ubun kepala.
"Kalau benda itu yang kau mahukan, aku sudah dapat mengagak engkau siapa. Tetapi, jangan kau berharap akan dapat memiliki benda itu."
"Kau jangan pandang rendah pada aku, Din. Aku akan pastikan benda itu akan jadi milik aku selamanya" ujar lelaki itu, kemudian satu lagi tikaman dilakukan dan ianya membuatkan nyawa Tok Din melayang.
Tubuh Tok Din yang berlumuran darah rebah di atas jalan. Pelakunya pula hilang lesap melarikan diri. Tetapi, di sebalik pokok yang merimbun, terdengar desiran halus nafas yang memburu. Lidahnya yang panjang dan bercabang menjelir keluar. Matanya pula kelihatan bersinar apabila disimbahi cahaya bulan yang agak terang, Dia yang menjadi pemerhati sejak tadi sebenarnya sudah bersedia untuk menyerang namun, kehadiran seorang lelaki yang bertopeng membantutkan tindakkannya.
"Sssss…."
***
Pagi-pagi sudah riuh di jalan. Seorang penduduk kampung menemui jasad berlumuran darah terbaring di atas jalan. Tok Din dan beberapa anak buahnya termasuk Shahril bergegas pergi ke tempat kejadian.
"Astaghfirullah.. " spontan Tok Alang beristighfar.
"Ini dah jadi kes polis. Kampung kita ada pembunuh. Tapi, peliknya tiada apa yang hilang. Dompet arwah masih ada. Duit pun tak luak. Kalau niatnya mahu merompak sudah di bawa lari kereta dan duit yang ada tu. Macam-macam hal lah. Aku pun takut nak hantar anak-anak aku mengaji malam." luah seorang penduduk kampung. Dia bimbang akan keselamatan diri dan juga keluarganya.
"Apa yang perlu kita buat Tok?" tanya Shahril. Terkulat-kulat dia apabila memandang wajah datuknya yang sedang termenung.
"Nanti aku fikirkan caranya. Kamu semua pulanglah dulu ke rumah." arah Tok Jusoh perlahan.
"Assalamualaikum!"
Semua yang ada di situ serentak memalingkan wajah ke luar. Seorang lelaki yang berjambang sedang berdiri tegak di luar rumah.
"Eh Ngah! Naiklah. Alang pun ada sama ni" kata Tok Jusoh.
Lelaki itu pantas memanjat tangga lalu terus masuk ke dalam rumah. Mereka para lelaki duduk bersidang di ruang tamu. Dari riak wajah masing-masing, jelas kelihatan risau dengan masalah yang melanda kampung mereka.
Makcik Montel dan Wati keluar untuk menghidang air teh panas dan sepinggan cucur udang kepada tetamunya, sambil itu, sempat Makcik Montel mengerling tajam memandang Pak Ngah Hitam yang duduk bersebelahan dengan Tok Alang.
"Ada apa ramai-ramai ni?" tanya Pak Ngah Hitam sambil tersenyum-senyum.
"Ini..sahabat kita Zainudin di temui terbaring di simpang jalan nak ke kebun sawit sana tu. Malangnya dia dah tak ada, Ngah" kata Tok Alang. Terpamer kesedihan di wajahnya. Sudahlah dia kehilangan menantunya tidak lama dulu, kini dia kehilangan sahabat lama pula. Baru beberapa hari arwahnya itu pulang semula ke kampung ini, tidak sangka, ini yang terjadi.
"Dah sampai ajal dia. Kita tidak boleh nak menolak takdir. Semua Allah dah tentukan hidup mati kita." perlahan sahaja suara Tok Jusoh. Sedihnya dia kerana kehilangan seorang sahabat. Dia tidak menyangka, pertemuanya dua hari lalu adalah pertemuan terakhirnya.
"Ini aku mahu bertanya. Bagaimana kita mahu selesaikan masalah kampung ni. Aku takut esok lusa akan ada lagi yang menjadi mangsa" soal Tok Alang pula. Dia juga bimbang masalah kematian yang menimpa kampung mereka akan berterusan.
Pak Ngah Hitam hanya mendiamkan diri dan sekadar menjadi pemerhati.
"Kita buat rondaan, Tok. Minta pasukan rela bantu kita" cadang Shahril tiba-tiba.
Tok Jusoh menggeleng. Dia tidak bersetuju dengan cadangan cucunya itu.
"Kenapa pula Tok tak bersetuju?"
"Kita bukan sahaja berurusan dengan pembunuh tu, tapi kita berurusan dengan 'sesuatu', Shahril. Kau sudah lupa?" kata-kata Tok Jusoh membuatkan semua orang terdiam. Memaku pandangan tepat ke wajah lelaki tua itu.
"Maksud kau apa, Jusoh?" tanya Pak Ngah Hitam. Berkerut-kerut dahinya untuk mengetahui apa yang di maksudkan oleh sahabatnya itu.
"Kau faham maksud aku" kata Tok Jusoh menekan sedikit suaranya. Jelingan tajam Tok Jusoh terhadap Pak Ngah Hitam menarik minat Shahril untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka berempat.
Mata Pak Ngah Hitam membulat, dia sudah faham apa yang Tok Jusoh maksudkan. Ini bermakna nyawa mereka dalam bahaya.
"Aku beransur dulu. Lagi pun hari sudah petang." ujar Pak Ngah Hitam meminta diri. Dia bingkas bangun, menyalami mereka yang ada di situ lalu segera beredar.
"Apa masalah Ngah tu Jusoh?" soal Tok Alang. Dia mengiringi pemergian Pak Ngah Hitam dengan ekor matanya.
"Tidak lama lagi, kita akan tahu. Tunggu sahajalah, Alang" balas Tok Jusoh.
***
Malam yang sama, Wati tiba-tiba sahaja tersedar dari lenanya. Tekaknya terasa haus yang amat sangat. Perlahan dia bangkit lalu menapak keluar menuju ke dapur. Tiba-tiba sahaja kakinya berhenti melangkah. Dia terdengar bunyi berlaga di ruangan dapur itu. Dengan sedikit keberanian yang dia ada, Wati memberanikan diri mengintai di celahan pintu.
"Ssssss…"
Mata Wati terbuntang. Dia terkejut dan serta merta jatuh terduduk. Di hadapan matanya ketika ini, seekor ular besar memenuhi ruang dapurnya. Habis segala periuk belanga jatuh apabila di langgar.
Ular hijau dan bermata putih itu sedang khusyuk melahap sesuatu. Wati memicingkan matanya kerana ingin melihat dengan lebih jelas. Di mulut ular itu ada sepasang kaki yang masih lagi bergerak-gerak cuba untuk melepaskan diri, namun akhirnya ianya hilang apbila ditelan hidup-hidup oleh ular besar itu.
"Abangggg!!!!!" kerana ketakutan, Wati menjerit dengan lantang dan akhirnya pengsan.
Jeritan kuat dari ruang dapur itu mengejutkan penghuni rumah. Shahril bingkas bangun dari katil dan lari keluar untuk mendapatkan isterinya. Begitu juga Tok Jusoh. Jeritan itu membuatkan dirinya tersentak. Mujur tidurnya belum lagi nyenyak,
Shahril terlihat isterinya terlentang di atas lantai. Segera dia mendapatkan dan memangku kepala isterinya itu di riba. Kemudian muncul Tok Jusoh dari belakang Shahril.
"Apa yang sudah berlaku, Shahril?' soal Tok Jusoh.
"Shah tak tahu, Tok. Shah keluar sebab dengar Wati menjerit"
Dari malam di bawa sehingga ke siang, akhirnya Wati sudah sedar dari pengsannya. Terkebil-kebil mata apabila melihat suami, Tok Jusoh dan ibu mertuanya sedang memandang dirinya.
"Alhamdulillah, cucu Tok dah sedar. Montel, bagi dia minum air dahulu" arah Tok Jusoh. Setelah air itu di minum, Wati di sandarkan ke dinding supaya lebih selesa.
"Tok, Wati nampak ular dekat dapur, Tok. Ular tu.. besar" cerita Wati sungguh-sungguh. Apa yang dia lihat malam itu tidak mudah untuk dia lupakan. Lebih-lebih lagi dia sempat bertentang mata dengan ular itu sebelum dirinya jatuh pengsan. Mata putih milik ular itu cukup membuatkan Wati merasa gerun.
"Usahlah bercakap lagi, Wati. Kau rehatlah dulu. Kau letih sangat tu sehingga melihat benda yang tidak-tidak" kata Makcik Montel sambil tersenyum. Sehelai tuala kecil di celup ke dalam sebuah mangkuk berisi air, lalu di perah dan di letakkan ke dahi Wati.
"Sumpah mak! Wati tidak bohong. Benar.. Wati lihat dengan mata kepala Wati sendiri. Ular itu besar..warna hijau. Matanya putih bersinar. Lagi pula ketika itu, ular itu sedang menelan sesuatu hidup-hidup"
"Wati, kau rehat saja dulu. Sudah sembuh nanti barulah cerita. Kau masih lemah. Nanti melarat pula" kata Tok Jusoh pula, baju kemeja lusuh yang tersangkut di dinding, segera di capai.
"Ayah mahu ke mana?" tanya Makcik Montel.
"Aku mahu keluar sebentar. Kau tolong jagakan Wati ya. Jika Ngah Hitam datang mencari aku, katakan aku ke rumah Alang" ujar Tok Jusoh menitip pesanan.
"Itu pun sekiranya dia datang.." bisik hati kecil Makcik Montel. Dan bila Tok Jusoh sudah menghilang dari pandangannya, dia menjeling tajam ke arah Wati yang sudah pun kembali lena.
Bersambung..