Bab 9
Orang-orang kampung mula bersuara. Kenyataan yang baru sahaja Tok Jusoh katakan menjadi tanda tanya. Masing-masing mula membuat andaian sendiri.
"Apa dia Tok?" tanya salah seorang dari mereka.
"37 tahun lalu, kami bertiga sudah membuat perjanjian. Perjanjian yang membuatkan kampung kita dilanda malapetaka. Kerana kami terlalu tamak dan haloba, kami langsung tidak memikirkan kesan dan akibatnya. Perjanjian itu adalah dalam bentuk pertukaran. Sesuatu yang berharga dan berkuasa. Sesuatu itu adalah batu permata hitam milik ular itu. Tapi, malangnya batu permata itu hilang di curi." jujur Tok Jusoh. Wajahnya suram. Dia rela dicemuh atau di marah oleh sesiapa jua. Itu adalah kesilapannya.
"Kami mahu hidup mewah. Punya harta dan tanah. Tapi, kerana ketamakkan itu, kami sanggup mengorbankan orang yang kami sayang sebagai pertukaran." sambung Tok Jusoh lagi. Tanpa di sedari sesiapa, air matanya mengalir.
Teringat ketika dia sudah memiliki harta yang banyak, dan hidup dalam kegembiraan, isterinya meninggal dunia secara tiba-tiba. Kematian yang mengejutkan itu belum lagi dapat menyedarkan Tok Jusoh. Ini semua gara-gara kerana mahukan kemewahan yang berlipat kali ganda. Lama kelamaan, menantunya pula menyusul. Mati ketika berkebun, dan mayatnya di jumpai tertiarap dan terdapat kesan gigitan haiwan berbisa. Kematian menantunya itu serupa seperti arwah isterinya dahulu. Sama halnya dengan Tok Alang. Isterinya meninggal selepas Anum dilahirkan, begitu juga dengan Zaki yang hilang secara tiba-tiba dan akhirnya di temui mati. Tok Din dan Pak Ngah Hitam yang mengetahui tentang perkara itu, segera melarikan diri keluar dari kampung tanpa pengetahuan Tok Jusoh dan Tok Alang, tanpa di sangka-sangka, mereka berdua kembali lagi ke kampung itu, terutama sekali Pak Ngah Hitam yang mahu mendapatkan batu pertama hitam itu dari Tok Din. Sebenarnya, batu permata hitam itu telah diserahkan kepada Tok Jusoh tanpa pengetahuan sesiapa termasuk Tok Alang. Ini di sebabkan Tok Din berada dalam ketakutan sepanjang dia menyimpan batu permata hitam tersebut. Di mana sahaja dia berada, bayangan ribuan ular menganggu hidupnya. Tiada lagi rasa teruja untuk kaya dan hidup mewah jika setiap hari di ganggu oleh jelmaan ribuan ular yang berbisa.
Orang-orang kampung terdiam. Tidak tahu apa yang perlu mereka katakan. Selama ini, hidup mereka agak susah kerana tidak dapat ke hutan. Terutama yang berkerja mencari rotan untuk di jual. Mereka sanggup berkerja di kilang sawit demi meraih pendapatan menampung kehidupan diri dan keluarga. Bagi mereka yang punya tanah, mereka berusaha bercucuk tanam pelbagai sayuran dan hasilnya di jual ke kedai Mak Dah dan ada juga yang dijual kepada peraih yang datang dari pekan.
Namun, Tok Jusoh tidak berputus asa memujuk dan meminta bantuan dari mereka untuk mencari Wati dan Montel sama ada mereka masih hidup atau pun sudah mati walaupun dia sedar orang-orang kampung di saat ini begitu berat hatinya. Lebih-lebih setelah mengetahui perkara yang sebenar-benarnya.
Orang-orang kampung ada yang marah. Marah kerana diantara mereka menjadi mangsa, mati tidak berkubur. Namun, kerana simpati terhadap ketua kampung mereka sendiri, akhirnya mereka bersetuju untuk membantu.
"Tok! Tok!" jerit Dollah Rongak terkocoh-kocoh berlari menuju ke tempat Tok Jusoh berdiri.
"Apahal ni Dollah? Samsul, kenapa?" tanya Tok Jusoh.
Dollah Rongak dan juga Samsul mengurut dada. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian perlahan-lahan di lepaskan.
"Pak Ngah Tok! Pak Ngah! Kami jumpa dia Tok" beritahu Samsul. Bajunya basah kerana bermandi peluh.
"Kenapa dengan Pak Ngah? Bagitahu Tok"
"Kami jumpa mayat Pak Ngah tergantung dekat pokok ara depan jambatan sana tu" jawab Dollah Rongak pula.
"Ngah Hitam tu Jusoh. Patutlah dalam dua tiga hari ni, tak nampak kelibat dia" ujar Tok Alang pula,
"Ayuh semua, kita ke sana." arah Tok Jusoh kepada orang-orang kampungnya.
Mereka segerombolan berjalan menghala ke jambatan di mana tempat Zaki hilang dan juga di mana mayat Pak Ngah Hitam ditemui.
Setibanya mereka di sana, bau busuk menusuk ke deria hidu masing-masing. Bau hanyir juga agak kuat dan ianya membuatkan ada diantara mereka terasa loya.
Tok Jusoh pantas menurunkan jasad Pak Ngah Hitam yang tergantung secara terbalik itu. Mayatnya sudah mengembang dan sedikit hancur di wajahnya. Apa yang mereka lihat, salah satu dari matanya sudah rompong dan berulat. Sebelah lagi biji matanya sudah terjuntai keluar. Lidahnya terjulur dan bibirnya pecah.
"Kita dah tak ada jalan lain lagi. Kita perlu masuk ke hutan itu. Aku perlu membuat perhitungan walaupun nyawa aku menjadi taruhan. Aku tidak sanggup lagi untuk menunggu sehingga ke pagi." tegas Tok Jusoh. Parang yang tersisip rapi di pinggang disentuh. Kali ini dia nekad dan keputusannya bulat. Dia harus berhadapan dengan ular itu untuk melupuskan segala janji. Batu permata hitam yang sebesar ibu jari orang dewasa di genggam erat-erat.
"Aku ikut kau, Jusoh. Mari kita selesaikan bersama." kata Tok Alang tiba-tiba.
"Shah pun nak ikut sama, Tok" ujar Shahril pula.
Di malam itu, mereka bertiga melangkah masuk ke dalam hutan untuk mencari Wati dan Montel. Walaupun dalam keadaan gelap dan hanya di bantu dengan suluhan lampu suluh, Tok Jusoh melangkah dengan yakin tanpa sebarang masalah.
"Kau masih ingat arahnya, Jusoh?" soal Tok Alang.
"Aku masih ingat. Kau jangan risau, kita tidak akan sesat" jawab Tok Jusoh tanpa memandang Tok Alang yang berjalan disebelahnya
Di dalam hutan, bermacam bunyi-bunyian yang menyinggah ke cuping telinga mereka bertiga. Namun, itu tidak dapat menakutkan mereka. Tiga lelaki ini langsung tidak peduli apa yang bakal terjadi. Langkah demi langkah tetap diteruskan demi menyelamatkan orang yang mereka kasihi.
"ssss…"
Tok Jusoh mendepangkan kedua tangannya menghalang Tok Alang dan cucunya untuk meneruskan perjalanan mereka. Bunyi desisan halus membuatkan Tok Jusoh terdiam. Kemudian, dia meletakkan jari telunjuk ke bibir sebagai tanda mereka perlu senyap dan mendiamkan diri.
"Kita dah sampai ke sarangnya" kata Tok Jusoh perlahan.
Sayup-sayup kedengaran suara seorang wanita merayu dan menangis tidak henti-henti.
"Itu suara Wati, Tok" bisik Shahril di telinga Tok Jusoh.
"Tok tahu. Kau jangan bimbang. Tok akan pastikan Wati selamat begitu juga dengan anak mu" ujar Tok Jusoh cuba menyedapkan hati cucunya itu.
"Kita akan masuk sekejap lagi dan biar sahaja aku yang berbicara dengannya. Kamu berdua diam dan tutup mulut" pesan Tok Jusoh.
Tok Alang dan Shahril mengangguk faham.
Tok Jusoh keluar dari persembunyiannya lalu melangkah perlahan mendekati sebuah gua. Gua itu masih tidak berubah sama seperti 37 tahun dahulu ketika umurnya baru 25 tahun. Kini umur Tok Jusoh sudah mencecah 62 tahun, begitu juga dengan Tok Alang.
Sebenarnya, ada satu lagi perjanjian yang dibuat oleh Tok Jusoh kepada Bunga. Satu perjanjian rahsia di antara mereka berdua tanpa pengetahuan Tok Alang, Tok Din dan Pak Ngah Hitam. Perjanjian yang melibatkan sebuah perhubungan. Tok Jusoh berjanji akan mengahwini Bunga jika gadis itu setuju memberikan apa yang dia mahu. Namun, kerana harta yang melimpah, Tok Jusoh menjadi lupa dan dia mengahwini gadis lain sebagai suri hidupnya.
Perkenalan Tok Jusoh dan Bunga bukanlah disengajakan, Tok Jusoh mengetahui latar belakang gadis siluman itu dan ternyata ada sesuatu yang berharga padanya. Tok Jusoh sedaya upaya untuk merapatkan diri walaupun ada ketikanya dia agak takut kerana Bunga bukanlah gadis biasa. Malahan, Bunga di dampingi oleh seekor ular hitam yang di percayai penjaga gadis itu.
Tok Jusoh menjadi nekad walaupun sedar nyawanya ibarat dihujung tanduk. Tersalah tingkah, akan buruklah padahnya. Ini semua kerana pakciknya, seorang bomoh yang bernama Awang. Bomoh yang bisa menilik apa sahaja. Walaupun sudah diingatkan akan bahaya yang bakal menimpa, Tok Jusoh tidak mahu ambil peduli.
"Dia ada sesuatu yang sangat berharga. Jika kau berjaya mendapatkannya. Seumur hidup kau tidak perlu berkerja. Goyang kaki hanya memakan hasilnya. Tidak habis 7 keturunan kau, Jusoh" kata Bomoh Awang.
"Benda apa yang pakcik maksudkan itu. Di mana aku harus mencarinya dan caranya bagaimana?" soal Tok Jusoh merasa teruja. Terbayang-bayang di matanya, dia menikmati kekayaan yang tiada taranya.
"Tetapi, kau perlu tahu. Ianya bukan mudah seperti mana yang kau fikirkan. Kau perlu mengahwini makhluk itu sebagai balasan. Jika tidak, seluruh hidup mu akan hancur. Setiap ahli keluargamu pasti akan ada yang mati. Apakah kau sanggup, Jusoh?" ujar Bomoh Awang. Matanya yang hitam mencerlung memandang Tok Jusoh yang masih lagi termenung.
"Kenapa perlu mengahwini dia, pakcik? Tak ada cara lain kah?"
"Dia berkeinginan kembali menjadi manusia hanya dengan mengahwini lelaki-lelaki dari kalangan manusia."
Tok Jusoh terpempan. Ianya satu kerja gila mengahwini gadis seperti itu. Bukannya dia tidak tahu asal usul Bunga. Gadis itu sebelum menjadi siluman ular, dia adalah seorang gadis biasa dan cacat. Dia tidak mahu menjadikan gadis cacat sebagai isterinya. Malahan, ibunya pasti akan membantah.
"Kalau saya tidak mahu, bagaimana?"
"Lupakan sahaja niat mu untuk menjadi kaya"
***
Bunga yang sedang duduk di singgahsana berehat untuk seketika. Namun, rehatnya tiba-tiba sahaja di ganggu oleh bau yang amat dikenalinya iaitu bau manusia. Matanya pantas bertukar putih, begitu juga separuh tubuhnya dari dada sehingga ke bawah telah bertukar menjadi ular. Hanya bahagian atas sahaja yang masih berupa manusia. Siung tajam mula tumbuh dan kelihatan. Lidahnya yang bercabang mula terjulur keluar dan masuk.
"Akhirnya kau datang juga…sssssss" pantas Bunga turun ke bawah. Ekornya meliang liuk ke kanan dan ke kiri.
"Bunga! Aku datang untuk selesaikan apa yang berlaku diantara kita" jerit Tok Jusoh sambil memandang ke atas melihat di mana gadis itu berada.
"Atas tujuan apa kau ke mari?" soal Bunga sambil menyeringai.
"Semuanya salah aku. Sepatutnya kau bunuh aku, bukan mereka"
"Kau tahu apa syarat-syaratnya bukan? Aku mengambil apa yang sudah menjadi hak ku. Itu kerana kau ingkar akan perjanjian mu"
"Sekarang ini, ambillah aku. Lepaskan cucuku itu. Mereka tidak bersalah, Bunga. Kasihanilah aku" Tiba-tiba sahaja Tok Jusoh melutut, merayu agar Wati dilepaskan.
"Sssssssss….sssssss..." Bunga mendekatkan wajahnya ke wajah Tok Jusoh. Shahril dan Tok Alang yang berada di sebalik rimbunan pohon hanya mampu melihat. Tubuh badan mereka juga sudah menggeletar dengan hebat.
"Aku ada dua syarat"
"Apa dia, Bunga. Aku janji aku akan tunaikan"
"Aku mahukan cucu lelaki kau dan juga bayi yang berada di dalam kandungan itu. Seperti yang kita pernah janjikan dahulu. Mereka adalah pengganti diri kau, Jusoh. Dia adalah anak lelaki sulung dan bayi berada di dalam perut perempuan itu juga adalah anak sulung. Kali ini kau tidak boleh berdalih lagi. Serahkan mereka atau aku akan bunuh kesemuanya"
Shahril yang mendengar tergamam. Dia terduduk di atas tanah. Wajahnya pula mulai terasa membahang. Ular jadian itu mahukan dirinya sebagai ganti. Begitu juga dengan anaknya yang bakal lahir.
Tok Jusoh kaku. Syarat yang baru sahaja diminta, membuatkan Tok Jusoh tidak berdaya. Syarat itu salah satu syarat kepada perjanjian ketika dia mahu mendapatkan batu permata itu. Dan tiba-tiba sahaja, Tok Din teringat bahawa dia membawa batu permata hitam itu bersamanya.
"Aku.. aku ada bawa sesuatu yang akan buat kau teruja. Ini, batu permata hitam milik kau, sudah ada padaku. Kau ambillah semula dan aku pohon, lepaskan dia"
Bunga kaku. Matanya yang putih bersinar memandang tepat ke atas sebiji batu permata yang berwarna hitam mengkilat di atas tapak tangan lelaki tua itu. Perlahan-lahan Bunga merendahkan tubuhnya lalu menghampiri batu permata hitam itu.
Bersambung..