Chereads / SUMPAH SANG ULAR / Chapter 10 - Bab 10 (Akhir)

Chapter 10 - Bab 10 (Akhir)

Bab 10

Jantung Tok Jusoh berdegup laju. Semakin hampir Bunga kepadanya, semakin erat tangannya menggenggam parang yang tersisip di tepi. Lelaki tua itu bersiap siaga untuk menghunus membunuh gadis siluman itu.

Namun, Tok Jusoh membiarkan sahaja Bunga mengambil batu permata hitam itu dan dia tidak boleh membunuh Bunga sesuka hatinya. Dia masih ingat, Bomoh Awang pernah memberitahunya.

"Bunuh dia ketika dia menjadi manusia"

Tok Jusoh harus mencari jalan bagaimana mahu membuatkan gadis itu kembali menjadi manusia. Dia harus lakukan sesuatu untuk menamatkan semuanya.

"Bunga, aku sanggup menjadi pengganti. Kau ambillah aku, lepaskan mereka berdua. Berilah izin kepadaku untuk menunaikan semua janji-janji kita dahulu. Aku sumpah, Bunga. Kali ini aku tidak akan khianati kau lagi" ujar Tok Jusoh. Wajahnya bertukar pucat, dia sedar apa yang dia katakan sebentar tadi membuatkan dia seolah-olah menyerah diri.

Bunga yang tegak menjulang sehingga ke langit gua mula beransur-ansur bertukar menjadi seorang manusia. Wajahnya tampak serius dan tegang. Matanya yang putih sudah kembali normal. Sisik-sisik tebal mulai tenggelam dan di gantikan dengan kulit baharu.

"Bungaaaa.. jangan terpedaya" satu bisikkan halus mencecah ke deria pendengaran Bunga.

"Rangga?" soalnya di dalam hati. Meliar matanya mencari dari mana datangnya arah suara itu. Ianya seakan-akan hampir kepadanya.

"Berhati-hatilah" bisik suara itu lagi. Kali ini lebih tegas dan keras.

Bunga masih berdiri di tempat sama. Dia tahu, Rangga berada dekat dengannya walaupun dia telah menghilang begitu sahaja. Apa yang dia ketahui, Rangga sudah pun mati kerana tubuhnya lemah secara tiba-tiba tanpa adanya batu permata hitam itu. Batu itu adalah batu berkuasa dan membuatkan Rangga hidup abadi selamanya. Tetapi, tanpa batu permata hitam itu, Rangga akan kehilangan segala-gala yang menjadi miliknya.

"Usahlah kau menipu aku, Jusoh. Sejak awal lagi kau memang berniat mahu mempermainkan aku." wajah Bunga berubah riak. Suasana agak tegang ketika ini.

Jusoh menelan air liur, bimbang apa yang dirancangkan diketahui. Dia perlu bertindak pantas tetapi berhati-hati.

Shahril dan Tok Alang yang bersembunyi melangkah keluar menghunus parang dan Tok Alang pula menggenggam sebatang buluh. Buluh yang di perolehinya ketika dalam perjalanan mahu ke gua itu.

Bunga yang berada di hadapan mereka mula mengundurkan diri dan perlahan-lahan berubah. Belum sempat gadis itu berubah sepenuhnya, Tok Jusoh pantas mendekat lalu di layangkan parang miliknya ke tubuh Bunga.

Bunga rebah di atas lantai gua. Serta merta tangannya menyentuh dada. Terasa cecair merah pekat mengalir dengan banyaknya. Namun, ianya tidak menghalang untuk Bunga untuk bangkit semula. Dia harus merebut semula batu permata hitam itu dan mengembalikan kepada pemiliknya. Bunga dengan gagah berdiri semula dan berubah menjadi ular serta merta.

Tok Jusoh berdiri tegak, dia harus tangkas untuk menewaskan ular itu. Dia begitu berhati-hati agar tidak tersilap dan terleka. Ular yang berada di hadapannya bukanlah calang-calang hebatnya. Namun, di dalam hati lelaki tua ini, sudah alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Tiada apa yang bisa menakutkan dirinya jika dia berpaksi kepada tuhan yang Esa. Makhluk itu adalah makhluk ciptaan sepertinya juga. Dia percaya Allah pasti akan membantunya.

"Alang! Shah! Kita kepung dia!" jerit Tok Jusoh mengarahkan mereka berdua agar mengepung ular siluman itu.

Tok Jusoh membuka langkah. Bersiap siaga untuk bertindak. Parang di hunus di genggam dengan erat. Mata mengawasi setiap langkah musuhnya yang berada dihadapan. Di bibirnya pula basah dengan kalimat-kalimat suci alquran untuk memohon bantuan tuhan.

Bunga melibas ekornya yang panjang untuk menangkap Shah dan Tok Alang yang berada di belakang. Sesekali terasa pedih di situ apabila terkena tetakkan dari senjata musuhnya. Namun, dia menyedari, mereka bukanlah orang yang boleh dipandang enteng. Bunga harus berhati-hati.

"Lepaskan cucu aku kalau kau tidak mahu mati!" jerit Tok Jusoh dengan lantang. Sesekali matanya mengerling ke arah Wati yang pengsan tidak sedarkam diri.

"Hadapi aku dahulu jika kau mahukan dia!" balas Bunga pula. Dia tidak akan mengalah walaupun sekali.

"Baik! Itu pilihan mu.. jangan salahkan aku jika kau tewas" kelihatan tegang segala urat di leher Tok Jusoh. Kedegilan makhluk itu membuatkan Tok Jusoh berang. Demi anak cucu dan keturunannya, dia harus berkorban nyawa.

Tok Alang yang berada di bahagian belakang tiba-tiba sahaja teringat akan pesanan seseorang.."Guna buluh untuk membunuhnya, hanya itu sahaja kelemahannya"

Pantas Tok Alang memandang buluh yang berada dalam genggamannya ketika itu. Kemudian, tanpa menunggu lebih lama, dengan pantas dia berlari menuju ke arah Tok Jusoh yang sudah kelihatan lemah dan mencampakkan buluh runcing itu kepadanya.

"Jusoh! Tikam tepat ke dadanya!" jerit Tok Alang dan tanpa disedarinya, Bunga datang dan membuka mulutnya luas-luas dan membaham tubuh Tok Alang. Dalam sekelip mata, lelaki itu hilang dan hanya jeritan nyaring kedengaran lalu akhirnya senyap.

Shahril yang menyaksikan kejadian Tok Alang di telan hidup-hidup rebah ke tanah. Tubuhnya menggeletar dan kakinya lemah untuk berdiri. Berpaut pada dinding-dinding gua langsung tidak membantunya untuk berdiri semula, lalu dia rebah kembali. Matanya bergenang bila melihatkan isterinya yang terbaring tanpa sedarkan diri. Sedaya upaya dia mengesot dan merangkak untuk mendapatkan Wati dan sekaligus membawanya lari.

Bunga dan Tok Jusoh masih lagi bertarung. Melihat akan musuhnya yang mulai lemah, Bunga bertindak pantas membuka mulut seluas-luasnya mahu menelan Tok Jusoh. Tetapi, Tok Jusoh bertindak pantas mengelak dan membenamkan buluh di dada ular jadian itu.

Bunga menggelupur. Terasa panas membahang di tubuhnya. Perlahan-lahan Bunga berubah wajah menjadi manusia. Buluh yang tertanam di dadanya dicabut semula walaupun agak sukar. Darah menyembur keluar membasahi tubuhnya sendiri.

"Aku minta maaf, Bunga, Aku tiada pilihan lain lagi. Anak cucuku lebih utama." ujar Tok Jusoh perlahan. Jelas terpancar di wajah lelaki tua itu kesedihan yang tidak dapat diungkap. Dia pernah berkasih dengan gadis itu dahulu, tetapi kerana sifat serakahnya, dia mengkhianati janjinya sendiri.

Bunga tidak mampu lagi untuk bergerak. Tangannya melekap lekat di dadanya yang berlubang. Semakin lama lubang kesan tikaman itu semakin menghitam. Darah merah yang membanjiri lantai gua juga bertukar hitam.

"Aku tidak akan membiarkan kau dan juga keturunan kau hidup tenteram. Kau akan sentiasa dibayangi kesuraman dan kegelapan. Kau harus ingat Jusoh, sumpah ku terhadapmu sehingga 7 keturunan. Setiap seorang dari waris mu akan mati atau cacat tanpa kau ketahui sebabnya. Ingat itu!! arggghhhhhhhhhhhh!!!" jeritan nyaring Bunga menamatkan segalanya, tubuh gadis itu mulai menghitam dan akhirnya menghilang meninggalkan abu yang berterbangan.

Tok Jusoh terduduk. Lelah dan letih. Semuanya sudah berakhir namun, kesedihannya terhadap kematian sahabatnya Tok Alang tidak dapat lagi disembunyikannya. Kini dia sedar, kerana kejahilan, kerana halobanya semua insan tersayang terbunuh. Dia tidak menyalahkan Bunga dalam hal ini, tetapi dia menyalahkan dirinya sendiri. Kerana dia semuanya hilang dalam sekelip mata,

Shahril yang sedang memangku isterinya mengalirkan air mata. Syukur isterinya selamat. Kemudian, dia mendukung tubuh isterinya itu lalu berjalan ke arah datuknya yang tersandar lemah.

"Mari kita pulang, Tok"

Tok Jusoh bangun dengan bantuan buluh yang menjadi senjatanya tadi lalu perlahan-lahan melangkah keluar dari pintu gua.

"Kita pulang dahulu, kemudian kita kembali ke sini dengan orang kampung untuk mencari jasad ibu kamu dengan yang lain" ujar Tok Jusoh. Mereka bertiga akhirnya melangkah keluar dari gua itu dan berjalan pulang ke kampung.

***

Dua hari kemudian, Tok Jusoh duduk termangu di beranda. Sambil menikmati angin malam yang dingin, air matanya kembali bergenang. Dia teringat akan ketiga-tiga sahabatnya, Tok Alang, Tok Din dan Pak Ngah Hitam yang sudah meninggalkan dia keseorangan. Mungkin selepas ini akan tiba gilirannya, namun dia sendiri tidak pasti bila. Walaupun jasad Makcik Montel, Tok Alang dan Fadil masih tidak ditemui, itu tidak menghalang usaha Tok Jusoh untuk terus berusaha mencari mereka.

"Maafkan aku.." ucap Tok Jusoh perlahan. Dan dia teringat pula anak perempuan satu-satunya Montel, juga pergi meninggalkan dirinya. Air matanya yang mengalir segera di seka.

"Tunggu ayah di sana, Montel" ucapnya dengan nada sedih.

Shahril yang melihat dari balik pintu terasa hatinya bagai di sayat apabila melihat keadaan datuknya yang banyak termenung sejak kejadian itu berlaku. Tambahan lagi, jawatan ketua kampung yang di sandang selama ini telah di gantikan dengan orang lain. Datuknya itu rela dan redha dengan keputusan majoriti dari penduduk kampungnya, dan dia sudah menyatakan, sememangnya dirinya tidak layak untuk memimpin mereka. Biarlah jawatan itu di sandang oleh insan yang benar-benar layak.

"Tok.." tegur Shahril lembut.

"Wati mana?"

"Tidur Tok. Tubuhnya masih lagi panas. Belum kebah demamnya"

"Bidan Misah ada datang tadi?"

"Ada Tok, katanya tidak lama lagi, Wati akan beranak. Kita kena bersedia"

"Baiklah.. kau jaga Wati dan anak kau baik-baik. Sementara aku masih hidup lagi, aku akan jaga semampu aku. Kalau esok-esok aku dah tak ada, pandai-pandailah kau nak hidup" ujar Tok Jusoh sambil menyedut rokok daunnya. Lelaki itu langsung tidak memandang Shahril walaupun sekilas.

"Jangan kata begitu, Tok. Kami masih perlukan Tok. Tambahan pula kami hanya ada Tok sahaja dalam dunia ni"

"Aku ni sudah tua. Umurku 65 tahun, Shah. Kawan-kawan aku semuanya sudah pergi, begitu juga dengan ibumu. Sampai masa nanti, aku akan pergi juga"

Shahril terdiam, tidak tahu apa lagi yang mahu dikatakan. Lelaki tua ini masih lagi dalam kesedihan, kecewa dengan semua yang terjadi. Dia menghampiri Tok Jusoh lalu memeluk tubuh tua itu dengan erat.

***

Malam yang sama..

Di dalam gua yang kelam dan suram. Terdengar desiran halus di dalamnya. Sepasang mata hitam bersinar sedang menjalar perlahan memasuki gua. Dengan kelebihannya yang ada, dia dapat mencari semula batu permata hitam miliknya yang hilang berpuluh tahun dahulu.

"Kerana keinginan mu, kau tega mencuri harta berharga milikku. Namun kerana aku masih menyayangimu, akan aku jaga dan merawat mu sehingga kau sembuh kembali, tetapi dengan syarat, kau tidak boleh lagi berkeinginan untuk kembali menjadi manusia. Kau akan menjadi hak mutlak ku untuk selamanya"

Dalam kesuraman terlihat seseorang sedang menunduk dan sujud menyerah diri dalam keadaan tubuh yang terbakar hangus..

Tamat…