Chereads / PENJELMAAN SEMULA PEDANG TUHAN TERULUNG / Chapter 51 - Persaingan di Rumah Lelong

Chapter 51 - Persaingan di Rumah Lelong

Shi Feng menaikkan Papan Carian, dan serta-merta memasukkan perkataan 'Batu Keras'.

Tiba-tiba, barisan-barisan maklumat muncul pada skrin separa lutsinarnya.

Dengan hanya satu imbasan, Shi Feng dapat melihat lebih seratus timbunan Batu Keras sedang dijual. Ramai pemain yang sedang menjualnya. Apabila Shi Feng ternampak setimbun Batu Keras dijual dengan harga 1 Syiling Emas, dia merasai pemain tersebut mungkin hilang kewarasan akibat kemiskinan. Dengan serta-merta, Shi Feng menapis paparan untuk menunjukkan harga dari yang paling rendah ke paling tinggi.

Setelah mengubah paparan, timbunan termurah Batu Keras masih bernilai 26 Tembaga. Setelah menolak yuran pemprosesan Rumah Lelong, pemain-pemain masih boleh menerima 25 Tembaga. Seperti yang dijangka, harga-harganya jauh lebih mahal daripada biasa.

Namun, Shi Feng masih perlu membelinya. Dia masih berkemampuan selagi harganya bawah 30 Tembaga.

Tiba-tiba, bilangan Batu Keras yang ada di Rumah Lelong telah dipotong besar sebanyak separuh. Yang tertinggal semuanya sedang ditawarkan pada 30 Tembaga dan ke atas, dan sesiapa yang cermat pasti enggan membelinya.

Selepas melihat Batu-Batu Keras, Shi Feng melihat bahagian lain-lain dengan selamba.

Matanya terus menyinar. Rupa-rupanya ada Set Kad. Lebih-lebih lagi, banyak pula yang ada. Peluang makhluk-makhluk mencicirkan Set-Set Kad tersebut; namun, kebarangkaliannya amat rendah. Peluang sepuluh ribu ke satu pun tidak sampai. Makhluk-makhluk bawah Tahap 10 boleh mencicirkan dua belas Set Kad, dan mereka terbahagi kepada dua pangkat: Pangkat Gangsa dan Pangkat Besi-Misteri.

Para Pahlawan ada Keluli, Soldadu, dan Kegilaan.

Pakar Senjata ada Huru-Hara, Dendam, dan Taufan.

Perawat ada Ketuhanan, Semulajadi, dan Mulia.

Mage ada Elemen, Badut, dan Syaitan.

Set-Set Kad tersebut masing-masing mewakili dua belas Pekerjaan yang berbeza. Dalam setiap set terdapat sembilan kad, dan di balik setiap kad terdapat nombor. Selagi seorang pemain boleh mengumpulkan satu set yang lengkap, mereka boleh menukarkannya dengan sejenis Peralatan Set untuk Pekerjaan masing-masing.

Pada waktu dahulu, majoriti pemain tidak mengetahui fungsi Set-Set Kad ini. Selain itu, tiada maklumat pengenalan untuk Set-Set Kad tersebut. Para pemain, pada waktu itu, cuma menyimpan Set-Set Kad ini dalam beg mereka ataupun menjualnya di Rumah Lelong. Hanya apabila Mod Biasa Dungeon Tahap 10 yang mengandungi lima puluh orang berhampiran bandar sudah dikosongkan, barulah para pemain sedar terdapat seorang NPC yang akan berniaga untuk Set-Set Kad tersebut. Bergantung kepada pangkat Set Kad, ia boleh ditukar dengan Peralatan Set Gangsa atau Besi-Misteri.

Peralatan Set-Set ini betul-betul menakjubkan. Satu Set Peralatan Gangsa mampu menandingi satu set penuh Peralatan Besi-Misteri, manakala satu Set Peralatan Besi-Misteri mampu menandingi satu set biasa penuh Peralatan Perak-Rahsia. Justeru, Set-Set Kad tersebut yang tidak dipandang sebelum ini tiba-tiba menjadi sangat popular semalaman. Setiap kad dijual pada harga melambung. Walaupun begitu, ramai Kesatuan masih kecoh berkenaannya, dan sering membelinya.

Sedangkan di sini, terdapat beratus Set Kad yang sedang ditunjukkan kepada Shi Feng, tetapi tiada sesiapa yang mahukannya. Setiap kad dijual pada harga tidak melebihi 5 Tembaga, dan maksimumnya pun 7 Tembaga.

Shi Feng membeli kesemuanya tanpa teragak-agak. Shi Feng tidak terlalu memikirkan harganya. Apatah lagi nilainya tidak akan naik sungguhpun dia membiarkannya dalam begnya. Melabur wang untuk membuat wang, itulah cara raja.

Setelah Shi Feng selesai mengumpul Batu Keras dan Set Kad, bakinya yang tertinggal hanyalah 14 Syiling Perak.

Berikutan itu, Shi Feng mencari buku-buku kemahiran melalui Paparan Carian. Untuk mengenal pasti kekuatan seorang pemain di Kawasan Tuhan, selain melihat peralatan mereka, bilangan kemahiran yang mereka miliki juga merupakan faktor. Jika seseorang pemain memiliki banyak kemahiran, mereka akan mempunyai variasi corak serangan yang luas untuk digunakan semasa pertempuran. Seorang Pemain Pedang pakar biasanya mampu menggunakan lebih dua puluh kemahiran dalam pertempuran, manakala pakar kelas pertama mampu menggunakan lebih empat puluh kemahiran dalam pertempuran. Bagi pakar tingkat teratas, mereka tidak asing lagi.

Shi Feng merupakan pakar kelas pertama, namun, dia mempunyai kurang daripada sepuluh kemahiran. Keadaannya benar-benar menyedihkan…

Akan tetapi, bilangan buku kemahiran yang masih dijual amat rendah. Biasanya, pemain akan menggunakan buku kemahiran untuk diri sendiri ataupun menukarkannya dengan kemahiran yang boleh mereka guna.

Shi Feng menghabiskan lebih sepuluh muka surat dengan satu bacaan. Selagi dia ternampak sejenis kemahiran yang boleh digunakan Pemain Pedang, dia terus membelinya. Apabila Shi Feng tiba di muka surat terakhir, fikirannya buntu.

"Biar betul? [Bilah Perlindungan] pun ada?" Shi Feng menjadi liar kerana keseronokan.

Bilah Perlindungan merupakan kemahiran kunci seorang Pemain Pedang. Ia juga merupakan kemahiran pasti-bunuh apabila bertarung dengan Mage. Namun, kemahiran ini juga mempunyai kebarangkalian ciciran yang terlaknat. Dalam hayat lampaunya pun Shi Feng hanya mendapati kemahiran ini setelah lama melepasi Tahap 40. Shi Feng benar-benar tidak dapat membayangkan dia dapat melihatnya sekarang.

Walaupun harganya sedikit tinggi, 6 Perak masih boleh diterima Shi Feng.

Shi Feng terus meletakkan bida 7 Syiling Perak, tanpa mahu membuang banyak masa.

Dengan pantas, Shi Feng membeli kemahiran tersebut dengan harga 7 Syiling Perak.

Dengan kuasa pembelian terkini 7 Syiling Perak, Shi Feng mampu membeli lima hingga enam buku kemahiran Asas. Akan tetapi, Shi Feng membelanjakan kesemuanya pada Bilah Perlindungan tanpa berfikir panjang.

Di samping membeli Kemahiran Jarang, Bilah Perlindungan, Shi Feng juga membeli tiga Kemahiran Biasa: Mata Memerhati, Jalan Udara, dan Serpihan Bumi. Sementara itu, walaupun Shi Feng sedang menikmati keseronokan, situasi di Rumah Lelong mula menjadi kecoh.

Ahli-ahli logistik pelbagai Kesatuan semuanya muka merah padam, dengan kemarahan mereka melambung hingga ke langit.

"Sial, 9 Syiling Perak pun belum cukup untuk beli peralatan ini?! Kesatuan kaya mana yang membida 10 Syiling Perak?!"

"Binatang, kau tak mahu fikirkan kami jugakah?! Ada orang sudah membida 10 Perak dan 65 Tembaga. Gila betul mereka ni. Saya hanya bawa 10 Syiling Perak ke sini. Sekarang saya tak boleh selesaikan tugas, saya mahu buat apa?"

"Keji! Mereka sembunyikan nama mereka dan barang-barang ini sahaja yang dilelong; satu pun saya tak dapat beli?!"

Mereka ini merupakan ahli-ahli logistik Kesatuan yang tidak diberi pangkat. Mereka hampir menjadi gila apabila melihat bida Kesatuan besar, setiap kali lebih tinggi daripada yang sebelumnya. Yang paling keji, pembikin peralatan. Setiap kali, orang tersebut hanya melelong beberapa buah peralatan. Sebelum ini, persaingan untuk mendapatkan peralatan memang sudah ketat. Namun, Perisai Garison yang sedang dilelong mempunyai Atribut yang lebih tinggi, jadi bilangannya juga lebih sedikit. Wang yang dibawa untuk membida memang tidak cukup; jadi macam mana mereka boleh bersaing untuk peralatan tersebut?

"Tak mungkin. Ramai sangat hartawan ke? Ada yang betul-betul membida 11 Perak." Kegembiraan Shi Feng naik sehingga puncak dahinya apabila melihat harga Perisai Garison terus mendadak. Dalam beberapa detik, wang yang dia belanjakan tadi telah didapati semula, malah melebihi apa yang ada tadi.

Tiba-tiba, Shi Feng teringat akan Bilah Perlindungan. Pemain biasa pasti tiada peluang untuk memiliki kemahiran yang begitu jarang untuk Pemain Pedang, manakala Kesatuan-Kesatuan tidak akan menjualnya, walaupun mereka memperolehnya. Kemahiran tersebut pasti telah dijual Kesatuan yang tertentu untuk membeli Perisai Garison. Cuma tindakan mereka telah sekali lagi menguntungkan Shi Feng.

Dalam beberapa detik, kesemua tujuh Perisai Garison telah dinaikkan harga melebihi 11 Perak. Harga sebegini mengejutkan Shi Feng sekali lagi. Dari mana datang semua Kesatuan kuat ini tiba-tiba? Dengan segala sumber kewangan setiap Kesatuan, mereka tidak patut membelanjakan wang yang begitu banyak untuk satu Peralatan Gangsa.

Akan tetapi, apa yang tidak diketahui oleh Shi Feng, setelah dia meletakkan Perisai Garison untuk dilelong, ahli-ahli logistik beberapa Kesatuan besar melaporkan situasi tersebut ke Ketua-Ketua Kesatuan mereka. Sebelum ini, Ketua-Ketua Kesatuan ini ternampak MT Kesatuan lain mempersiapkan Elit Istimewa dengan Perisai Garison. MT-MT ini mampu membenarkan pemain-pemain lain untuk menyerang Elit-Elit Istimewa dengan mudah, sambil memperoleh pelbagai buku kemahiran dan Peralatan Gangsa, Besi-Misteri pun ada. Hal ini telah lama membuatkan ramai Ketua Kesatuan tersebut gelap mata kerana iri hati.

Malangnya, mereka tiada penyelesaian untuk isu ini. Mereka ingin membenarkan para pemain Gaya Hidup Kesatuan masing-masing untuk menempa peralatan ini, namun mereka tidak memiliki Rekaan Penempaan untuknya. Mereka juga berhajat untuk menghubungi pemain yang telah menempa Perisai-Perisai Garison, namun pemain tersebut telah menyembunyikan namanya, lantas menghalang apa-apa usaha untuk menghubunginya. Mereka hanya mampu menonton, tanpa berdaya. Akan tetapi, kini, Perisai Garison kali ini memiliki lebih banyak Kuasa Perlindungan. Mereka mesti mendapatkannya. Justeru, Kesatuan-Kesatuan ini mula mengumpul dana dengan serta-merta.

"Dengar tak, kau mesti dapatkannya! Terus letak 13 Syiling Perak! Aku nak tengok siapa lagi berani membida."

"Apa? Sudah sampai 13 Perak? Letak 13 Perak 50 Tembaga. Tak mungkin ada Kesatuan yang lebih kaya dari kita."

Lebih seratus Bandar di bawah naungan Bandar Sungai Putih, dan beratus Kesatuan yang membida secara berterusan untuk Perisai Garison. Setelah setengah jam, kesemua Perisai Garison telah dilelong, dengan yang paling murah dijual pada 14 Perak 60 Tembaga. Shi Feng meraih lebih daripada satu Syiling Emas dalam sekelip mata. Melihat kesungguhan mereka ini, Shi Feng mengambil kesempatan untuk meletakkan Perisai Berat Garisonnya untuk dilelong, meletakkan harga permulaannya pada 16 Syiling Perak. Berikutan itu, Shi Feng meninggalkan Rumah Lelong.

Hari masih malam, dan masih setengah jam sebelum matahari terbit. Jika dia mencuba untuk menaik tahap di luar sekarang ialah langkah yang kurang bijak, jadi Shi Feng berkunjung ke perpustakaan di Bandar Daun Merah terlebih dahulu. Dia mahu memperoleh kefahaman yang lebih mendalam tentang diari yang mengandungi perkataan Bunian, yang telah dia peroleh dari Mod Neraka Hutan Maut. Mana tahu, mungkin dia boleh mendapat ilmu baru.