Shi Feng mengelamun. Dia tidak faham bagaimana Pelenyap Fantasi berjaya melengkapkan Misi Epik ini di masa lampaunya.
Siapa sahaja yang tahu di mana Bible Kegelapan itu berada?
Tambahan pula, dalam kehidupannya yang lepas, maklumat yang dikumpulkan Shi Feng mengenai Misi ini tidak lengkap, jadi bahagian yang boleh dirujuk sangat terhad.
Kini, sumpahan kejahatan yang dipikul Shi Feng membuatkannya susah untuk menaikkan Tahap. Tidak kira apa terjadi , dia perlu memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak, masalah yang bakal ditempuhnya di masa hadapan akan bertambah besar.
"Cik Sharlyn yang dihargai, saya sekarang disumpah oleh iblis. Apakah kamu mempunyai apa-apa cara untuk membuang sumpahan ini?" Shi Feng menenangkan hatinya. Dia berpaling untuk memandang Sharlyn, yang kini berada dalam keadaan yang lemah, bertanya, "Dan juga, di manakah saya boleh mendapatkan Bible Kegelapan? Walaupun satu petunjuk sudah cukup baik."
Mendengar soalan-soalan Shi Feng, satu senyuman manis terpapar pada wajah ayu Sharlyn.
"Kamu memang ada banyak soalan, huh, budak tak guna? Bukannya saya tidak punya cara untuk menghapuskan sumpahan kamu. Namun, kamu perlu tahu, untuk mendapatkan sesuatu, kamu perlu memberikan sesuatu sebagai ganti. Terdapat satu sahaja cara untuk membuang sumpahan, dan untuk itu kamu perlu lalui Titisan Bulan. Titisan Bulan ialah satu upacara yang mampu membuang segala jenis magis dan sumpahan di dunia. Akan tetapi, banyak bahan diperlukan untuk menjalankan upacara ini. Saya akan memberikan bahan tersebut, tetapi sebagai habuannya, kamu perlu membayar 3 Syiling Emas untuk pertolongan saya. Jika kamu ingin mendapatkan petunjuk untuk Bible Kegelapan, kamu perlu membayar tambahan 10 Syiling Emas sebagai yuran memberikan maklumat."
Shi Feng merasa seram sejuk mengalir ke belakang badannya sewaktu melihat ekspresi wajah Sharlyn, yang menjadi lebih teruja semakin lama dia menerangkan. Lebih-lebih lagi mata Sharlyn. Walaupun dia kelihatan sangat suci ketika ini, penampilannya masih tidak mampu menyembunyikan keinginan yang membara dalam pandangan matanya.
Akhirnya, satu perkataan menjelaskan segalanya.
Duit!
Sistem: Adakah kamu ingin menerima Misi untuk menghapuskan sumpahan?
"Cik Sharlyn yang dihargai, saya sanggup membayar duit habuan itu." Apa lagi yang perlu dikatakannya? Namun, permintaan harga Sharlyn sebanyak 3 Syiling Emas terlalu tinggi. Tiada seorang pemain pun di Bandaraya Sungai Putih mempunyai duit sebanyak itu.
"Disebabkan kamu sanggup bayar, berikan saya duit pendahuluan sebanyak 1 Syiling Emas dahulu," Sharlyn menghulurkan tangannya yang cantik tanpa segan silu.
Melihat kelakuan Sharlyn tersebut, Shi Feng mengesyaki dia mungkin mempunyai teknik seperti x-ray. Namun, dia tetap perlu membayar duit itu lambat laun, oleh itu Shi Feng menyerahkan 1 Syiling Emas dengan berat hati kepada Sharlyn.
Pada saat Shi Feng menyerahkan duit tersebut, dia berubah terus daripada hartawan kepada petani yang papa kerdana.
"Nah, ini untuk kamu. Kamu perlu mengisi tenaga ke dalam benda ini terlebih dahulu. Ia akan menunjukkan jalan ke Hutan Cahaya Bulan untuk mengutip tiga puluh butir Batu Bulan. Tidak kisah kalau kau bawa balik sahaja batu itu kepada aku," Sharlyn mengambil satu Syiling Emas dengan laju, kemudian mengeluarkan satu bebola kristal bersaiz penumbuk dan menyerahnya kepada Shi Feng.
Sistem: Misi "Titisan Bulan" diterima. Kamu dikehendaki untuk mengumpulkan tiga puluh butir Batu Bulan dan 2 Syiling Emas untuk Sharlyn. Selepas berjaya, Sharlyn akan membuang sumpahan jahat Iblis Agung daripada badan kamu.
Shi Feng menerima bebola kristal dan membeleknya.
[Bebola Magis Merentas Jarak]
Membolehkan pengguna merentas jarak kepada dan daripada Hutan Cahaya Bulan dengan segera ketika diaktifkan.
Syarat untuk mengaktifkan: 200,000 EXP perlu disimpan.
Dua ratus ribu mata pengalaman sudah cukup untuk menaikkan pemain biasa daripada Tahap 0 kepada Tahap 7 dengan sekelip mata. Bagi Shi Feng ketika ini, jumlah itu ibarat menaruhkan nyawanya sendiri.
Kini, pengalaman yang dia dapat daripada membunuh raksasa akan dikurangkan sebanyak 95%. Dia tidak akan mendapat apa-apa pengalaman langsung jika raksasa daripada tahap yang sama. Bagi Elit pula, dia hanya mampu mendapatkan sekitar 10 EXP untuk satu tahap yang lebih tinggi daripadanya. Itu bermakna, dia perlu membunuh dua puluh ribu Elit yang satu tahap lebih tinggi untuk mendapatkan 200,000 EXP. Berapa lama agaknya dia perlukan untuk membunuh sebanyak itu?! Lebih-lebih lagi, tidak banyak raksasa Elit di sekitar Bandar Daun Merah.
"Layakkah misi ini digelar Misi Epik? Kepayahannya sungguh tinggi," Shi Feng ketawa dengan berat hati.
Dalam kehidupan Shi Feng yang lepas, Pelenyap Fantasi mendapat sokongan daripada Persatuan kelas-pertama, [Kuil Fantasi]. Oleh itu, dia mampu melengkapkan Misi selepas begitu susah menanggung kepayahan. Namun, Shi Feng tidak mempunyai pertolongan dari mana-mana Persatuan kelas-pertama. Perkara ini membuatkannya amat susah untuk melengkapkan Misi ini. Namun, selagi Shi Feng melengkapkannya, ganjaran pasti setimpal kepada semua kesusahan yang melanda. Ganjaran untuk Misi Epik menyebabkan kemasyhuran Pelenyap Fantasi.
Walaupun Shi Feng tidak mempunyai sokongan Persatuan kelas-pertama, dia masih seorang yang dijelmakan semula. Dia masih mempunyai kelebihan berbanding pemain lain. Sekurang-kurangnya, dia tidak kalah kepada Persatuan kelas-pertama dalam menjana duit.
"Nampak gayanya aku hanya mampu pulang dan menempa Perisai Garrison buat masa ini." Shi Feng menyimpan bebola kristal itu lalu pergi meninggalkan Perpustakaan. Dia merancang mula-mula untuk mendapatkan Syiling Emas secukupnya sebelum memikirkan bagaimana untuk mengumpul 200,000 EXP.
Langit di luar sudah cerah sewaktu Shi Feng pulang ke Kawasan Dagangan. Ramai pemain sudah pergi membunuh raksasa dan menaikkan tahap, meninggalkan jalanan menjadi sedikit lengang. Shi Feng terus pergi ke Bank untuk mendapatkan bahan menempa dan Batu Falsafah.
Sebaik sahaja Shi Feng jalan menuju ke Persatuan Penempa, satu pemberitahuan datang memasuki Sistem.
Sistem: Perisai Berat Garrison yang kamu letakkan dalam lelongan telah dijual. Selepas menolak yuran proses, sejumlah 31 Perak 53 Tembaga telah diletakkan ke dalam beg.
"Adakah ia bernilai sebanyak itu?" Shi Feng terperanjat.
Perisai Berat Garrison Tahap 3 cuma satu peralatan yang sama Atributnya dengan Peralatan Besi-Misteri. Paling tinggi sekali pun ia bernilai 20 Syiling Perak. Namun, buat masa ini, ia telah dijual dengan harga lebih 30 Syiling Perak. Sesiapa sahaja boleh membayangkan betapa gilanya Persatuan-persatuan ini terhadap Perisai Berat Garrison.
Semangat Shi Feng mula membara dengan kemunculan maklumat ini. Dia tidak tahan lagi untuk menempa seratus set Perisai Garrison, menjualnya dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Oleh itu, Shi Feng menggunakan Langkah Angin untuk terus meluru ke Persatuan Penempa. Tanpa melengahkan masa, Shi Feng menempah sebuah Bilik Menempa Pertengahan selama dua puluh jam. Jika dia tidak menyambar duit daripada Persatuan itu sekarang, dia tidak akan berlaku adil dengan jelmaannya sendiri.
Dalam Bilik Menempa, Shi Feng memperbaiki semua Batu yang telah dikumpulnya, memberikan sepenuh tenaga sewaktu menempa Perisai Garrison.
Semasa Perisai Garrison yang pertama berjaya ditempa...
Sistem: Perisai Garrison telah berjaya ditempa. Kecekapan Menempa bertambah sebanyak 2 mata. Mendapat 800 EXP.
Sistem: Adakah kamu ingin menyimpan pengalaman yang diterima dalam Bebola Magis Merentas Jarak?
Tiba-tiba, Shi Feng menghentikan kerja yang sedang dibuatnya. Dia mengeluarkan Antara Muka Sistem, melihat dengan teliti.
"Aku mendapat 800 EXP daripada menempa?" Shi Feng meletakkan tangan pada dagunya, merenung. Tiba-tiba, dia berkata dengan senyuman, "Bagaimana aku boleh lupa tentang hal ini sewaktu panik tadi? Sumpahan itu hanya menyasarkan pada pengalaman yang diterima daripada pembunuhan raksasa. Ia tiada kesan terhadap pengalaman daripada ganjaran menempa."
Walaupun banyak masa diperlukan untuk menempa sebuah peralatan, lain cerita jika kadar kejayaan sangat tinggi. Kelajuan Shi Feng menaikkan tahap ketika itu pasti lebih pantas berbanding pemain biasa, walaupun dengan keadaan 95% pengurangan pengalaman yang dikenakan kepadanya.
Dengan peluang yang terbentang dalam genggamannya, kepayahan Misi Epik telah berkurangan dengan banyak sekelip mata.
Tambahan pula, Shi Feng mempunyai Buku Menempa. Ia boleh meningkatkan kadar kejayaan menempa Perisai Garrison sehingga 60%. Dengannya, kelajuan Shi Feng menaikkan tahap jauh lebih pantas mengatasi pemain Elit di luar sana. Tidak lama lagi dia mampu mengumpulkan 200,000 EXP.
Dengan cara itu, Shi Feng boleh menjana bukan sahaja duit, malah pengalaman sekali. Seperti menyelam sambil minum air. Cara ini sangat bagus.
Pelenyap Fantasi pasti tidak terbayang satu cara yang lebih cepat untuk mematikan sumpahan.
Memikirkan sehingga ke tahap ini, Shi Feng dengan segera mengubah suai Sistem untuk memberikan 100% pengalaman yang diterima untuk dimasukkan ke dalam Bebola Magis Merentas Jarak. Kemudiannya, mengambil sebiji bijih dan mula menempa peralatan dengan gembira.
Disebabkan perasaannya yang bertambah baik, tangan Shi Feng menjadi lebih tangkas. Tukul Seratus Perbaikan di tangannya seperti alat muzik, mengetuk dengan irama membuatkan satu melodi.
Sewaktu Shi Feng mendapat semua keyakinan diri, dia tiba-tiba terkesima dengan Perisai Garrison di hadapannya itu.